Penyakit tidak berjangkit merupakan masalah kesihatan yang tidak boleh merebak dari seseorang individu kepada individu yang lain. Penyakit tidak berjangkit juga selalunya berlaku untuk jangkamasa yang lama atau dikenali juga sebagai penyakit kronik.
Penyakit tidak berjangkit berpunca daripada kombinasi faktor genetik, fisiologikal, gaya hidup dan juga persekitaran. Antara faktor risiko penyakit tidak berjangkit adalah:
- Pemakanan tidak sihat
- Kurang melakukan aktiviti fizikal
- Merokok
- Mengambil alkohol secara berlebihan
Penyakit tidak berjangkit telah membunuh lebih kurang 40 juta orang setahun di seluruh dunia dan penyebab kepada 70 peratus kematian. Jumlah ini juga didapati semakin meningkat saban tahun.
Penyakit tidak berjangkit boleh menyerang sesiapa sahaja tanpa mengira umur, agama dan bangsa. Walaupun ramai menganggap penyakit tidak berjangkit ini lebih ramai dihidapi oleh golongan tua, namun data menunjukkan kematian akibat penyakit tidak berjangkit boleh berlaku pada pesakit yang berumur dari 30 sehingga ke 70 tahun.
Selain itu, data juga menunjukkan lebih dari 85 peratus kematian berlaku di negara yang berpendapatan sederhana dan rendah di mana capaian kepada perkhidmatan kesihatan adalah lebih sukar.
Penyakit tidak berjangkit yang paling kerap berlaku
Terdapat empat kumpulan penyakit tidak berjangkit iaitu penyakit kardiovaskular, penyakit pernafasan kronik, kanser dan kencing manis. Sesetengah penyakit tidak berjangkit lebih kerap berlaku berbanding yang lain.
Penyakit kardiovaskular
Pemakanan tidak sihat dan kehidupan yang tidak aktif boleh menyebabkan peningkatan:
- Tekanan darah
- Paras gula dalam darah
- Lemak dalam darah
- Obesiti
Keadaan di atas boleh meningkatkan risiko mendapat penyakit kardiovaskular. Sesetengah orang dilahirkan dengan genetik (keturunan) yang berisiko untuk mendapat penyakit kardiovaskular.
Penyakit kardiovaskular merupakan penyebab utama kematian diantara kesemua penyakit tidak berjangkit. Antara contoh penyakit kardiovaskular yang tidak berjangkit adalah:
- Serangan jantung
- Angin ahmar atau strok
- Penyakit koronari arteri
- Penyakit serebrovaskular
- Penyakit arteri periferi
- Penyakit jantung kongenital
- DVT (deep vein thrombosis) dan embolisma pulmonari
Kanser
Kanser boleh menyerang semua peringkat umur, taraf sosioekonomik, jantina dan bangsa. Ianya merupakan penyumbang kedua terbanyak kematian akibat penyakit tidak berjangkit diseluruh dunia.
Sesetengah kanser sukar untuk dicegah disebabkan ianya melibatkan faktor genetik (keturunan). Walaubagaimanapun Pertubuhan Kesihatan Sedunia menganggarkan lebih kurang 30 ke 50 peratus kanser boleh dicegah dengan mengamalkan gaya hidup yang sihat.
Antara perubahan gaya hidup yang boleh dilakukan termasuklah:
- Berhenti merokok
- Mengurangkan atau menghentikan pengambilan alkohol
- Mendapatkan vaksin untuk kanser yang disebabkan oleh jangkitan kuman
Pada tahun 2015, lebih kurang 1 dari 6 kematian di seluruh dunia adalah disebabkan kanser.
Antara kanser yang paling kerap berlaku kepada lelaki di seluruh dunia termasuklah:
- Kanser paru-paru
- Kanser hati
- Kanser perut
- Kanser usus kolorektal
- Kanser prostat
Antara kanser yang paling kerap berlaku kepada wanita di seluruh dunia termasuklah:
- Kanser payudara
- Kanser paru-paru
- Kanser kolorektal
- Kanser serviks
- Kanser perut
Penyakit pernafasan kronik
Penyakit pernafasan kronik merupakan penyakit yang menyerang saluran pernafasan dan paru-paru. Sesetengah penyakit ini juga melibatkan genetik (keturunan).
Namun, ianya juga boleh disebabkan faktor gaya hidup seperti merokok dan keadaan persekitaran seperti terdedah kepada udara tercemar dan pengaliran udara yang teruk.
Kebanyakan penyakit pernafasan kronik sukar disembuhkan tetapi boleh dikawal dengan rawatan perubatan. Antara penyakit pernafasan kronik yang kerap berlaku termasuklah:
- COPD (chronic obstructive pulmonary disease)
- Asma atau lelah
- Penyakit paru-paru disebabkan pekerjaan
- Hipertensi pulmonari
- Cystic fibrosis
Kencing manis
Penyakit kencing manis berlaku apabila badan tidak dapat menghasilkan insulin yang mencukupi. Insulin merupakan hormon yang mengawal kandungan gula (glukos) dalam darah. Kencing manis juga boleh berlaku apabila badan tidak dapat menggunakan insulin yang dihasilkan.
Antara komplikasi kencing manis termasuklah penyakit jantung, hilang penglihatan dan kerosakan buah pinggang. Jika paras gula dalam darah tidak terkawal, ianya boleh merosakkan organ-organ dalam badan untuk jangkamasa panjang.
Terdapar dua jenis kencing manis:
- Kencing manis jenis 1 selalunya dikesan ketika kanak-kanak atau remaja. Ianya disebabkan oleh masalah sistem imun.
- Kencing manis jenis 2 selalunya berlaku apabila dewasa. Ianya disebabkan oleh faktor pemakanan, aktiviti, obesiti dan gaya hidup serta persekitaran.
Kencing manis yang lain pula termasuklah:
- Kencing manis gestational yang menyebabkan paras gula dalam darah tinggi pada 3 ke 8 peratus wanita yang sedang hamil.
- Pra-kencing manis yang bermaksud paras gula yang lebih tinggi daripada normal dan berkemungkinan untuk mendapat kencing manis jenis 2 pada masa hadapan.
Senarai penyakit tidak berjangkit
Antara penyakit tidak berjangkit yang kerap berlaku di seluruh dunia termasuklah:
- Penyakit Alzheimer
- Amyotrophic lateral sclerosis (ALS) (juga dikenali sebagai penyakit Lou Gehrig)
- Arthritis
- Attention deficit hyperactivity disorder (ADHD)
- Autism spectrum disorder (ASD)
- Bell’s palsy
- Penyakit bipolar
- Kecacatan ketika lahir
- Palsi serebral
- Penyakit buah pinggang kronik
- Sakit kronik
- Pankreatitis kronik
- Encephalopathy traumatik kronik (CTE)
- Masalah pembekuan darah / pendarahan
- Hilang pendengaran kongenital
- Anemia Cooley (juga dikenali sebagai beta thalassemia)
- Penyakit Crohn
- Kemurungan
- Sindrom Down
- Ekzema
- Epilepsi
- Sindrom alkohol janin
- Fibromyalgia
- Sindrom X rapuh (FXS)
- Hemokromatosis
- Hemofilia
- Penyakit keradangan usus (IBD)
- Insomnia
- Jaundis pada bayi
- Penyakit buah pinggang
- Keracunan plumbum
- Penyakit hati
- Dystrophy otot (MD)
- Myalgic encephalomyelitis/Sindrom keletihan kronik (ME/CFS)
- Myelomeningocele (sejenis spina bifida)
- Obesiti
- Thrombocythemia primer
- Psoriasis
- Masalah sawan
- Anemia sel bentuk sabit
- Masalah tidur
- Stres atau tekanan
- Systematic lupus erythematosus (juga dipanggil lupus)
- Sklerosis sistemik (juga dikenali sebagai skleroderma)
- Masalah sendi temporomandibular (TMJ)
- Sindrom Tourette (TS)
- Kecederaan otak traumatik (TBI)
- Ulserative kolitis
- Masalah penglihatan
- Penyakit von Willebrand (VWD)
Pencegahan penyakit tidak berjangkit
Pertubuhan Kesihatan Sedunia telah mengenalpasti bahawa penyakit tidak berjangkit merupakan antara ancaman utama kesihatan awam dan menjadi salah satu punca kematian tertinggi di seluruh dunia.
Terdapar banyak faktor risiko penyakit tidak berjangkit yang boleh dicegah. Antaranya adalah:
- Kehidupan tidak aktif
- Penggunaan tembakau
- Merokok
- Pemakanan tidak sihat seperti kandungan garam, gula dan lemak yang tinggi dan kurang memakan buah dan sayur-sayuran
Sesetengah keadaan ini dikenali sebagai faktor risiko metabolik kerana ianya boleh menyebabkan sindrom metabolik. Sindrom metabolik dikaitkan dengan penyakit jantung dan kencing manis. Antara tanda-tanda dan gejala sindrom metabolik termasuklah:
- Tekanan darah tinggi: Lebih daripada 130/85 millimeter merkuri (mm Hg)
- HDL (“kolesterol baik”): Kurang daripada 40 milligram per desiliter (mg/dL) untuk lelaki; kurang daripada 50 mg/dL untuk wanita
- Triglycerides: Melebihi 150 mg/dL
- Paras gula dalam darah ketika berpuasa: Melebihi 100 mg/dL
- Saiz pinggang: Melebihi 35 inci untuk wanita; melebihi 40 inci untuk lelaki
Seseorang yang mempunyai faktor risiko di atas perlu menjalani pemeriksaan kesihatan dan perubahan gaya hidup untuk mencegah berlakunya penyakit tidak berjangkit.
Antara faktor risiko yang tidak boleh diubah adalah seperti umur, jantina, bangsa dan sejarah keluarga.
Walaupun penyakit tidak berjangkit merupakan keadaan jangka panjang yang boleh mengurangkan hayat seseorang, ianya masih boleh dikawal dengan rawatan perubatan dan perubahan gaya hidup.
Jika anda dikesan menghidap penyakit tidak berjangkit, ikutlah pelan rawatan yang telah diberikan oleh doktor anda bagi memastikan anda berapa pada tahap kesihatan yang optimum dan mampu memiliki kehidupan yang berkualiti.
Tulis Komen