Penyakit Hati – Punca, Tanda dan Rawatan

Penyakit hati merupakan terma umum untuk menyatakan apa-apa penyakit yang boleh merosakkan hati dan mengganggu fungsinya.

Hati merupakan organ penting yang menjalankan beratus-ratus fungsi berkaitan dengan metabolisma, penyimpanan tenaga, dan detoksifikasi bahan kumuh dari badan. Hati membantu untuk mencernakan makanan, menukar makanan kepada tenaga, dan menyimpan tenaga tersebut di dalam badan sehingga diperlukan. Hati juga berupaya untuk menapis dan membuang bahan toksik dari badan.

Penyakit hati merupakan terma umum untuk menyatakan apa-apa penyakit yang boleh merosakkan hati. Penyakit ini boleh terjadi disebabkan punca yang berbeza tetapi kesemuanya boleh merosakkan sel hati dan mengganggu fungsi-fungsinya.

Tanda-tanda dan gejala

Gejala penyakit hati adalah pelbagai dan bergantung kepada puncanya. Walaubagaimanapun terdapat gejala umum yang menunjukkan kerosakan pada hati.

Gejala ini termasuklah:

  • Kulit dan mata menjadi kuning, juga dikenali sebagai jaundis
  • Air kencing berwarna gelap
  • Najis berwarna pucat, berdarah atau najis hitam
  • Bengkak pada buku lali, betis dan abdomen
  • Pening
  • Muntah
  • Kurang selera makan
  • Kerap merasa letih
  • Kegatalan pada kulit
  • Senang lebam

Punca masalah hati

Banyak penyakit yang boleh merosakkan organ hati, antaranya adalah:

Penyakit Hepatitis

Hepatitis adalah penyakit yang disebabkan oleh jangkitan virus pada hati. Ianya akan menyebabkan keradangan dan kerosakan sel hati seterusnya mengganggu fungsinya.

Semua jenis hepatitis boleh berjangkit, tetapi anda boleh mengurangkan risiko dengan mendapatkan vaksin untuk hepatitis jenis A dan B dan mengamalkan langkah pencegahan yang lain seperti melakukan seks selamat dan tidak berkongsi jarum (untuk penagih dadah).

Terdapat lima jenis hepatitis:

  • Hepatitis A merebak melalui air dan makanan yang tercemar. Gejalanya akan hilang dengan rawatan tetapi pemulihan boleh mengambil masa selama beberapa minggu.
  • Hepatitis B boleh berlaku secara akut (tempoh sekejap) atau kronik (tempoh lama). Ianya merebak melalui cecair badan seperti darah dan air mani. Walaupun boleh dirawat namun ianya sukar disembuhkan sepenuhnya. Rawatan awal boleh mencegah komplikasi, jadi jika anda seorang yang berisiko anda perlu membuat saringan dengan lebih kerap.
  • Hepatitis C juga boleh berlaku secara akut atau kronik. Ianya merebak melalui darah seseorang yang menghidap hepatitis C. Selalunya tidak menyebabkan sebarang gejala pada peringkat awal tetapi jika lambat dirawat akan menyebabkan masalah kerosakan hati kekal.
  • Hepatitis D merupakan penyakit hati yang serius dan hanya berlaku pada penghidap hepatitis B – ianya tidak boleh muncul secara bersendiri. Ianya juga boleh berlaku secara akut atau kronik.
  • Hepatitis E disebarkan melalui air minuman yang tercemar. Selalunya akan pulih dengan sendiri tanpa sebarang komplikasi jangka panjang.

Masalah hati berlemak

Lemak boleh berkumpul di hati dan menyebabkan masalah hati berlemak atau fatty liver.

Terdapat dua jenis masalah hati berlemak:

  • Masalah hati berlemak yang disebabkan pengambilan alkohol secara berlebihan.
  • Masalah hati berlemak yang bukan disebabkan oleh alkohol, tetapi puncanya masih belum diketahui dan difahami.

Jika tidak dirawat, kedua-dua masalah hati berlemak ini boleh merosakkan hati dan menyebabkan keradangan hati (sirosis) dan juga kegagalan hati. Kawalan pemakanan dan perubahan gaya hidup boleh mengurangkan gejala dan risiko mendapat penyakit ini.

Masalah hati berlemak.

Masalah autoimun

Masalah autoimun menyebabkan sistem imun badan menyerang sel-sel lain di dalam badan sendiri.

Terdapat beberapa masalah autoimun yan boleh menyerang dan merosakkan sel hati, antaranya adalah:

  • Hepatitis autoimun. Penyakit ini menyebabkan sistem imun badan menyerang sel hati seterusnya menyebabkan keradangan hati. Jika tidak dirawat akan menyebabkan sirosis dan kegagalan hati.
  • Sirosis biliari primer (PBC). Penyakit ini disebabkan oleh kerosakan pada saluran hempedu di dalam hati yang menyebabkan pengumpulan cecair hempedu. Ianya juga menyebabkan sirosis dan kegagalan hati.
  • Sclerosing cholangitis primer. Penyakit ini menyebabkan keradangan dan kerosakan pada saluran hempedu di dalam hati. Saluran ini akan tersumbat dan berlaku pengumpulan cecair hempedu seterusnya menyebabkan sirosis dan kegagalan hati.

Masalah genetik

Terdapat beberapa masalah genetik atau penyakit keturunan yang boleh merosakkan hati:

  • Hemokromatosis akan menyebabkan badan menyimpan zat besi secara berlebihan. Zat besi ini akan tersimpan di dalam organ termasuk hati dan menyebabkan kerosakan pada jangka masa panjang jika tidak dirawat.
  • Penyakit Wilson yang menyebabkan hati cenderung menyimpan tembaga dan tidak membuangnya melalui cecair hempedu. Lama-kelamaan hati akan menjadi rosak kerana tiada lagi ruang untuk menyimpan tembaga ini dan ianya juga akan merosakkan organ lain apabila terlepas masuk ke dalam saluran darah.
  • Kekurangan Alpha-1 antitrypsin (AT) berlaku apabila hati tidak boleh menghasilkan alpha-1 antitrypsin yang cukup, ianya sejenis protein yang mencegah penghancuran enzim di dalam badan. Penyakit ini juga boleh merosakkan paru-paru selain hati. Tiada ubat untuk menyembuhkannya tetapi rawatan perubatan dapat mengawal penyakit ini.

Kanser hati

Kanser hati boleh berasal dari hati atau boleh disebabkan kanser dari kawasan badan yang lain. Jika kanser tersebut berasal dari kawasan badan yang lain, ianya dikenali sebagai kanser sekunder atau metastasis.

Kanser yang paling kerap berlaku di hati adalah kanser hepatoselular karsinoma. Ianya selalu berlaku di beberapa kawasan pada hati namun kadangkala boleh juga berbentuk tunggal.

Ianya juga boleh berlaku disebabkan komplikasi penyakit hati yang lain jika tidak dirawat seperti hepatitis C.

Sirosis hati

Sirosis merujuk kepada parut pada hati yang disebabkan penyakit hati atau apa-apa faktor yang boleh menyebabkan kerosakan sel hati seperti pengambilan alkohol secara berlebihan. Penyakit cystic fibrosis dan sifilis juga boleh merosakkan hati dan menyebabkan sirosis.

Apabila kerosakan hati berlaku, sel hati akan cuba memperbaikinya namun proses ini akan menyebabkan parut terbentuk pada hati. Lebih banyak parut ini terjadi, lebih teruk fungsi hati akan terganggu.

Pada peringkat awal, sirosis boleh dirawat dengan merawat puncanya. Namun jika dibiarkan, ianya boleh menyebabkan pelbagai komplikasi kerosakan hati yang boleh mengancam nyawa.

Kegagalan hati

Kegagalan hati kronik berlaku apabila sebahagian besar hati telah rosak dan tidak dapat menjalankan fungsinya. Secara umumnya, kegagalan hati yang berkait dengan mana-mana penyakit hati dan sirosis berlaku secara perlahan-lahan. Selalunya tiada tanda dan gejala pada peringkat awal tetapi lama-kelamaan gejala berikut akan muncul:

  • Kekuningan atau jaundis
  • Cirit-birit
  • Keliru
  • Lemah badan dan letih
  • Pening

Ianya merupakan keadaan serius yang memerlukan rawatan berterusan.

Kegagalan hati akut pula berlaku dengan pantas dan selalunya disebabkan oleh keracunan ataupun overdos ubat atau dadah.

Risiko mendapat penyakit hati

Terdapat beberapa perkara yang menyebabkan seseorang itu lebih berisiko mendapat penyakit hati. Salah satunya adalah peminum alkohol tegar iaitu mereka yang meminum lebih dari 8 gelas alkohol dalam seminggu untuk wanita dan lebih daripada 15 gelas alkohol untuk lelaki.

Faktor-faktor yang lain adalah:

  • Perkongsian jarum dikalangan penagih dadah.
  • Membuat tatu atau tindik menggunakan peralatan yang tidak steril.
  • Pekerjaan yang melibatkan darah dan cecair badan yang lain.
  • Melakukan hubungan seks tanpa alat perlindungan dan kerap bertukar pasangan.
  • Pesakit kencing manis dan tinggi kolesterol.
  • Mempunyai ahli keluarga yang menghidap penyakit hati.
  • Obesiti atau lebih berat badan.
  • Terdedah kepada toksin dan racun serangga.
  • Mengambil supplemen atau herba dalam jumlah yang banyak dan kerap.
  • Mencampurkan ubat dengan alkohol atau mengambil ubat melebihi dos yang disarankan.

Pengesanan penyakit hati

Jika anda risau atau mempunyai gejala penyakit hati, anda perlu berjumpa doktor dengan segera untuk membuat pengesahan dan mencari puncanya.

Doktor akan bertanyakan mengenai sejarah penyakit dan gejala yang berlaku dan jika terdapat sejarah keluarga yang mengalami penyakit hati. Doktor juga akan bertanya bila gejala tersebut bermula dan jika terdapat faktor yang boleh menjadikannya lebih teruk.

Bergantung kepada gejala yang anda alami, anda juga akan ditanya jika mengambil alkohol dan tabiat pemakanan. Sila beritahu doktor jika anda mengambil apa-apa suplemen, vitamin, ubat herba, jamu dan ubat-ubatan yang lain terutamanya yang dibeli sendiri di farmasi.

Apabila doktor mendapatkan semua maklumat yang diperlukan, ujian di bawah mungkin akan dijalankan yang meliputi:

  • Ujian fungsi hati
  • Ujian kiraan darah lengkap
  • Imbasan CT, MRI atau ultrasound untuk melihat jika ada perubahan atau kecederaan pada hati
  • Biopsi hati, iaitu pengambilan sampel hati yang akan diperiksa di makmal untuk sebarang tanda-tanda penyakit atau kerosakan

Rawatan penyakit hati

Kebanyakan penyakit hati adalah penyakit kronik, bermaksud ianya berlaku untuk jangkamasa yang panjang dan sukar untuk disembuhkan sepenuhnya. Namun rawatan perubatan dapat membantu mengawal kerosakan dan gejala yang disebabkan penyakit ini.

Untuk kebanyakan orang, perubahan gaya hidup dapat membantu. Antaranya adalah:

  • Mengurangkan atau berhenti mengambil alkohol
  • Mengekalkan berat badan sihat
  • Meminum banyak air
  • Memakan makanan yang mesra hati iaitu mengandungi banyak fiber dan kurangkan pengambilan lemak, gula serta garam

Rawatan seterusnya bergantung kepada punca penyakit hati tersebut, doktor mungkin akan mencadangkan perubahan diet mengikut punca penyakit. Sebagai contoh mereka yang menghidap penyakit Wilson perlu mengurangkan pengambilan makanan yang mengandungi banyak tembaga sepeti kerang, cendawan dan kacang.

Bergantung kepada penyakit anda, rawatan berikut mungkin akan diberikan:

  • Ubat antiviral untuk merawat hepatitis
  • Ubat steroid untuk merawat keradangan hati
  • Ubat mengawal tekanan darah
  • Antibiotik
  • Ubat untuk mengawal gejala seperti ubat gatal
  • Vitamin dan supplemen untuk membantu pemulihan hati

Terdapat keadaan di mana pembedahan membuang sebahagian atau keseluruhan hati perlu dilakukan. Pemindahan hati dari penderma organ merupakan langkah terakhir apabila kesemua rawatan lain tidak berjaya.

Kesan penyakit hati

Kebanyakan penyakit hati boleh dikawal jika rawatan dimulakan lebih awal. Jika dibiarkan ianya boleh menyebabkan kerosakan hati kekal. Sila pastikan anda membuat pemeriksaan berkala jika anda mempunyai sebarang gejala atau risiko untuk mendapat penyakit hati.

Print Friendly, PDF & Email
Langgan Newsletter Kami
Jom dapatkan notifikasi artikel-artikel terbaru kami terus ke email anda!
Laman web ini bertujuan untuk memberikan pengetahuan am sahaja dan tidak membuat sebarang nasihat perubatan individu. Jika anda mempunyai apa-apa simptom sila berjumpa doktor dengan kadar segera.