Penyakit Kemurungan – Punca, Tanda dan Rawatan

Perasaan sedih berlaku pada setiap orang namun jika ianya berterusan dan berlaku dengan kerap, anda mungkin sedang mengalami penyakit kemurungan.

Kemurungan merupakan sejenis penyakit mental yang berkaitan mood seseorang. Ianya boleh ditafsirkan sebagai perasaan sedih, kehilangan atau kemarahan yang boleh mengganggu aktiviti harian penghidapnya.

Ianya merupakan antara penyakit mental yang kerap berlaku di Malaysia. Setiap pesakit akan mengalami pengalaman berbeza berkaitan kemurungan. Mungkin ianya menyebabkan pekerjaan terganggu yang akan mengurangkan produktiviti seseorang dan ada juga yang menyebabkan masalah dalam perhubungan.

Selain itu, kemurungan juga boleh menyebabkan penyakit kronik yang lain menjadi lebih teruk, antaranya adalah:

Adalah penting untuk menyedari bahawa perasaan sedih itu merupakan sebahagian dari kehidupan normal. Perasaan sedih berlaku pada setiap orang namun jika ianya berterusan dan berlaku dengan kerap, anda mungkin sedang mengalami kemurungan.

Kemurungan merupakan masalah mental yang serius kerana ianya boleh menjadi teruk tanpa rawatan. Mereka yang mendapatkan rawatan biasanya akan beransur pulih dalam masa beberapa minggu.

Tanda-tanda dan gejala

Kemurungan bukan sekadar perasaan sedih atau “down” yang berterusan. Kemurungan juga boleh menyebabkan banyak gejala-gejala yang lain. Ada gejala yang mengganggu mood dan ada juga gejala-gejala fizikal pada tubuh badan. Gejala-gejala ini juga boleh berlaku secara berterusan atau sementara.

Gejala-gejala kemurungaan juga boleh berbeza di antara lelaki dan wanita, dan juga antara orang dewasa dan kanak-kanak.

Antara gejala kemurungan pada lelaki adalah:

  • Menjadi pemarah, agresif, mudah terganggu, resah dan tidak senang duduk
  • Sentiasa berasa sedih, kosong dan putus harapan
  • Tidak lagi berminat terhadap perkara yang digemari, sentiasa berasa penat, ingin membunuh diri, minum alkohol berlebihan, menggunakan dadah, dan melakukan aktiviti berisiko
  • Kurang berminat melakukan hubungan seksual atau prestasi seksual yang berkurang
  • Sukar menumpukan perhatian, tidak boleh menyiapkan tugas, dan lambat memberi respons ketika berkomunikasi
  • Perubahan tidur seperti sukar tidur (insomnia), terlebih tidur atau tidak boleh tidur pada waktu malam
  • Badan berasa letih, sakit-sakit badan, sakit kepala dan mengalami masalah pencernaan

Antara gejala kemurungan pada wanita adalah:

  • Senang terganggu dan resah
  • Merasa sedih, kosong dan putus harapan
  • Tidak lagi berminat melakukan aktiviti yang digemari, menjauhkan diri dari orang lain dan ingin membunuh diri
  • Bercakap atau berfikir dengan perlahan
  • Gangguan tidur seperti sukar tidur atau terlebih tidur
  • Perubahan fizikal seperti kurang bertenaga, cepat penat, perubahan selera makan, perubahan berat badan, sakit badan, sakit kepala dan kerap kejang

Antara gejala kemurungan pada kanak-kanak pula adalah:

  • Mudah menangis, mudah terganggu dan mood tidak stabil
  • Sentiasa sedih, menangis dan merasa tidak kompeten
  • Menghadapi masalah di sekolah seperti tidak mahu ke sekolah, mengelakkan berjumpa rakan dan ingin membunuh diri
  • Sukar menumpukan perhatian, prestasi peperiksaan yang merosot dan tidak mahu mengikuti aktiviti di sekolah
  • Perubahan tidur seperti sukar tidur atau tidur terlalu lama
  • Masalah fizikal seperti tidak bertenaga, masalah pencernaan, perubahan selera makan, dan perubahan berat badan

Kesimpulannya gejala kemurungan tidak hanya melibatkan pemikiran dan mood sahaja, tetapi terdapat juga gejala fizikal.

Punca-punca kemurungan

Terdapat beberapa faktor yang menyababkan masalah kemurungan. Ianya boleh disebabkan faktor biologi ataupun persekitaran.

Antara punca utama kemurungan adalah:

  • Sejarah keluarga. Seseorang lebih berisiko mengalami kemurungan jika terdapat ahli keluarga yang mempunyai masalah ini.
  • Trauma ketika kanak-kanak. Jika terdapat kejadian yang menyebabkan seseorang trauma ketika masih kecil akan menyebabkan badan dan minda lebih cenderung mengalami kemurungan.
  • Struktur otak. Terdapat risiko yang lebih tinggi jika seseorang itu mempunyai bahagian frontal otak yang kurang aktif. Walaubagaimanapun kajian lanjut masih sedang dijalankan.
  • Masalah perubatan. Sesetengah masalah perubatan boleh menyebabkan seseorang itu lebih cenderung mengalami kemurungan seperti penyakit kronik, insomnia, sakit kronik dan ADHD.
  • Penyalahgunaan dadah. Sejarah penyalahgunaan dadah juga boleh meningkatkan risiko seseorang mengalami kemurungan.

Lebih kurang 21 peratus mereka yang menyalahgunakan dadah mengalami kemurungan. Selain itu, antara faktor lain yang boleh menyumbang kepada kemurungan adalah:

  • Rendah harga diri (self esteem) atau terlalu tegas terhadap diri sendiri
  • Pernah mengalami masalah penyakit mental
  • Mengambil ubat tertentu
  • Mengalami keadaan stres seperti masalah kemalangan, kehilangan orang tersayang atau perceraian

Terdapat banyak faktor yang boleh mempengaruhi seseorang untuk mendapat kemurungan dan agak sukar untuk menentukan faktor manakah yang sebenarnya menjadi punca utama masalah kemurungan tersebut.

Pengesanan kemurungan

Pengesanan kemurungan adalah berdasarkan gejala-gejala dan penilaian psikologi seseorang. Tiada ujian tertentu yan boleh digunakan untuk mengesahkan masalah kemurungan.

Antara soalan-soalan yang akan ditanya oleh doktor termasuklah berkenaan:

  • Selera makan
  • Masalah tidur
  • Tahap aktiviti harian
  • Pemikiran

Disebabkan kemurungan juga boleh berkait dengan masalah kesihatan yang lain, doktor juga akan melakukan pemeriksaan fizikal dan ujian darah. Kadangkala masalah thyroid atau kekurangan vitamin D boleh menyebabkan gejala-gejala kemurungan.

Masalah kemurungan tidak boleh dibiarkan, jika anda merasakan mood tidak berubah atau menjadi semakin teruk, dapatkan pemeriksaan doktor dengan segera. Ini kerana kemurungan boleh menjadi semakin teruk dan menyebabkan komplikasi berbahaya.

Jika tidak dirawat ianya boleh menyebabkan:

  • Pengurangan atau penambahan berat badan
  • Kesakitan fizikal
  • Masalah penyalahgunaan dadah
  • Serangan panik
  • Masalah dalam perhubungan
  • Isolasi sosial
  • Ingin membunuh diri
  • Mencederakan diri

Anda juga boleh melakukan ujian saringan DASS (Depression Anxiety Stress Scale) yang dapat menentukan jika anda berisiko menghidap kemurungan, jika skor anda tinggi sila jumpa doktor dengan segera.

Jenis-jenis kemurungan

Kemurungan boleh dibahagikan kepada beberapa kategori bergantung kepada keterukan gejala yang berlaku. Terdapat pesakit yang mengalami gejala ringan dan sementara, manakala ada pula yang mengalami gejala yang teruk dan berterusan.

Terdapat dua jenis masalah kemurungan yang utama: masalah kemurungan major dan masalah kemurungan berterusan.

Masalah kemurungan major

Masalah kemurungan major merupakan jenis kemurungan yang paling teruk. Ianya melibatkan perasaan sedih, hilang harapan, dan rasa tidak berharga yang berpanjangan dan tidak hilang dengan sendiri.

Untuk mengenalpasti masalah kemurungan klinikal, seseorang mesti mengalami 5 atau lebih gejala-gejala berikut dalam masa 2 minggu:

  • Rasa murung sepanjang hari
  • Hilang minat melakukan aktiviti harian
  • Hilang berat atau berat bertambah
  • Banyak tidur atau tidak boleh tidur
  • Proses berfikir atau pergerakan yang lembab
  • Merasa letih dan kurang bertenaga sepanjang hari
  • Rasa tidak berharga atau bersalah
  • Kurang tumpuan dan sukar membuat keputusan
  • Sering terfikir untuk mati atau membunuh diri

Terdapat juga pecahan kecil yang berbeza bagi masalah kemurungan major yang dikenali sepagai “specifier”. Antaranya adalah:

  • Dengan ciri-ciri atipikal
  • Dengan keresahan
  • Jenis campuran
  • Peripartum, bermula ketika hamil atau selepas melahirkan anak
  • Mengikut musim
  • Jenis melankoli
  • Dengan gejala psikotik
  • Katatonia

Penyakit kemurungan berterusan

Penyakit kemurungan berterusan juga dikenali sebagai dysthymia. Gejalanya kurang teruk namun berlaku berpanjangan atau kronik.

Untuk mengenalpasti kemurungan jenis ini, gejalanya mestilah berlaku melebihi tempoh 2 tahun. Kemurungan jenis ini juga lebih mengganggu kehidupan kerana ianya berlaku dalam tempoh yang lama.

Antara gejalanya adalah:

  • Tidak berminat melakukan aktiviti harian
  • Rasa tiada harapan
  • Kurang produktiviti
  • Rendah harga diri

Kemurungan boleh dirawat namun adalah penting untuk mengikut pelan rawatan yang telah diberikan oleh doktor anda.

Rawatan kemurungan

Hidup dengan kemurungan adalah sangat sukar, namun rawatan dapat membantu meningkatkan semula kualiti hidup pesakit. Dapatkan rawatan segera dan bincang dengan doktor berkenaan pilihan rawatan yang ada.

Setiap orang memerlukan jenis rawatan yang berbeza, terdapat pesakit yang pulih dengan satu jenis rawatan sahaja dan terdapat juga pesakit yang memerlukan gabungan beberapa jenis rawatan.

Biasanya kombinasi rawatan dan perubahan gaya hidup mampu memberikan kesan terbaik kepada pesakit. Antara pilihan rawatan adalah:

Ubat-ubatan

Antara ubat-ubatan yang boleh diberikan termasuklah:

Psikoterapi

Ahli terapi dapat membantu anda mempelajari teknik menghadapi perasaan negatif. Terapi bersama keluarga atau secara berkumpulan juga mungkin dapat membantu.

Terapi cahaya

Pendedahan kepada cahaya putih dapat menyeimbangkan semula mood dan mengurangkan gejala kemurungan. Terapi cahaya biasanya digunakan untuk masalah kemurungan bermusim.

Terapi alternatif

Bincang dengan doktor anda berkenaan rawatan alternatif seperti akupuntur atau meditasi. Terdapat juga beberapa suplemen herba yang boleh membantu mengurangkan gejala kemurungan seperti St. John’s wort, SAMe, dan minyak ikan.

Sila beritahu dulu dengan doktor yang merawat anda sebelum mengambil suplemen kerana terdapat suplemen yang boleh berinteraksi dengan ubat yang sedang diambil dan dapat mengurangkan keberkesanan ubat atau meningkatkan gejala kemurungan.

Senaman

Lakukan senaman selama 30 minit setiap sesi, 3 ke 5 kali seminggu. Senaman dapat meningkatkan penghasilan endorphin oleh badan yang dapat membantu meningkatkan mood seseorang.

Elakkan pengambilan alkohol dan dadah

Dadah dan alkohol hanyalah memberikan kelegaan secara sementara namun untuk jangkamasa panjang ianya akan menyebabkan gejala kemurungan dan keresahan menjadi semakin teruk.

Belajar katakan tidak

Perasaan sesak atau terlalu banyak berfikir boleh menyebabkan gejala kemurungan dan keresahan menjadi semakin teruk. Meletakkan had dalam kehidupan professional dan peribadi anda dapat membantu anda menjalani hidup dengan lebih baik.

Jaga kesihatan diri

Gejala kemurungan juga dapat dikurangkan dengan mengambil berat kesihatan anda. Ini termasuklah mendapatkan tidur yang cukup, pemakanan sihat, mengelakkan orang yang negatif serta melibatkan diri dalam aktiviti kegemaran anda.

Kadangkala ubat tidak berkesan dalam mengurangkan gejala kemurungan. Doktor mungkin akan mencadangkan rawatan lain untuk membantu mengurangkan gejala.

Antara rawatan ini adalah terapi elektrokonvulsif (ECT), atau repetitive transcranial magnetic stimulation (rTMS) yang boleh membantu merawat kemurungan dan meningkatkan mood seseorang.

Rawatan semulajadi untuk kemurungan

Rawatan perubatan memerlukan gabungan ubat preskripsi dan kaunseling. Selain itu, terdapat juga rawatan alternatif atau komplementari yang boleh dicuba.

Namun harus diingatkan rawatan semulajadi ini kebanyakannya masih di peringkat kajian dan belum betul-betul dibuktikan keberkesanannya. Bincang dahulu dengan doktor anda sebelum mencuba mana-mana rawatan alternatif.

Supplemen

Terdapat beberapa jenis suplemen yang dikatakan mampu mengurangkan gejala kemurungan. Antaranya adalah:

St. John’s wort

Ianya banyak digunakan di negara Eropah untuk merawat kemurungan.

S-adenosyl-L-methionine (SAMe)

Terdapat beberapa kajian yang menunjukkan ianya dapat mengurangkan gejala kemurungan. Ianya juga dikatakan bagus untuk diambil oleh mereka yang sedang menggunakan ubat selective serotonin reuptake inhibitors (SSRIs), iaitu sejenis ubat antidepressan.

5-hydroxytryptophan (5-HTP)

5-HTP mungkin dapat meningkatkan paraas serotonin dalam otak seterusnya mengurangkan gejala kemurungan. Badan juga dapat meningkatkan penghasilan serotinin apabila seseorang mengambil tryptophan.

Asid Lemak Omega-3

Ianya merupakan lemak perlu yang penting untuk perkembangan neurologi dan kesihatan otak seterusnya mungkin mampu membantu mengurangkan gejala kemurungan.

Essential oil

Essential oil atau EO merupakan rawatan semulajadi yang popular namun kajian keberkesanannya masih terhad.

Antara EO yang mungkin dapat membantu pesakit kemurungan adalah:

  • Wild ginger: Bau minyak ini yang kuat mungkin dapat mengaktifkan reseptor serotonin pada otak dan memperlahankan penghasilan hormon stres.
  • Bergamot: Minyak yang berbau sitrus ini mungkin boleh mengurangkan keresahan dan kini digunakan oleh pesakit yang sedang menunggu tarikh pembedahan. Namun kajian lanjut masih dijalankan.

Minyak yang lain seperti chamomile dan ros mungkin dapat memberikan kesan ketenangan apabila dihidu. Namun kesemua EO ini hanya berkesan untuk jangkamasa pendek.

Vitamin

Vitamin amat penting untuk fungsi badan. Kajian awal menunjukkan dua jenis vitamin ini mungkin dapat membantu mengurangkan gejala kemurungan:

  • Vitamin B: Vitamin B-12 dan B-6 penting untuk kesihatan otak. Apabia paras vitamin B rendah, risiko untuk mendapat kemurungan adalah lebih tinggi.
  • Vitamin D: Juga dikenali sebagai vitamin cahaya matahari kerana pendedahan kulit kepada cahaya matahari membantu badan menghasilkan vitamin ini. Ianya penting untuk kesihatan otak, jantung dan tulang. Mereka yang mengalami kemurungan mungkin kekurangan vitamin D.

Banyak herba, suplemen dan vitamin dikatakan boleh mengurangkan gejala kemurungan namun masih belum dapat dibuktikan melalui kajian.

Mencegah kemurungan

Secara umumnya penyakit kemurungan sukar untuk dicegah kerana ianya disebabkan pelbagai faktor dan sukar untuk mengenalpasti punca utamanya.

Namun bagi mereka yang mengalami episod kemurungan, pesakit boleh bersedia untuk mencegah serangan seterusnya melalui perubahan gaya hidup dan rawatan perubatan.

Antara teknik yang boleh dilakukan termasuklah:

  • Senaman berterusan
  • Mendapatkan tidur yang cukup
  • Mengikut pelan rawatan
  • Mengurangkan stres dan tekanan
  • Menjaga hubungan yang baik dengan orang lain

Bincang dengan doktor anda berkenaan cara terbaik untuk mencegah gejala kemurungan.

Kemurungan dalam penyakit bipolar

Kemurungan juga boleh berlaku dalam penyakit bipolar di mana pesakit bipolar akan mengalami gejala-gejala kemurungan.

Namun pesakit bipolar akan mengalami perubahan mood yang ketara. Sebagai contoh dalam bipolar jenis 2, pesakit akan mengalami episod mania yang menyebabkan mood dan tenaga menjadi tinggi diikuti dengan episod kemurungan yang menyebabkan mood dan tenaga menjadi rendah.

Episod ini juga bergantung kepada jenis bipolar yang dihidapi. Untuk bipolar jenis 1 seseorang mungkin hanya mengalami episod mania dan tiada episod kemurungan.

Gejala kemurungan pada pesakit bipolar termasuklah:

  • Hilang minat melakukan aktiviti harian atau hobi yang diminati
  • Merasa sedih, risau, resah dan kosong
  • Tiada tenaga atau sukar melaksanakan tugas
  • Sukar mengingat
  • Tidur terlalu banyak atau sukar tidur
  • Berat bertambah atau berkurang disebabkan perubahan selera makan
  • Ingin mati atau membunuh diri

Jika penyakit bipolar ini dirawat, gejala kemurungan juga akan berkurang.

Kemurungan dan keresahan

Kemurungan dan keresahan boleh berlaku pada masa yang sama. Kajian menunjukkan lebih 70 peratus mereka yang mengalami kemurungan juga mengalami gejala keresahan.

Walaupun disebabkan oleh penyakit berlainan, kedua-dua keadaan kemurungan dan keresahan boleh menyebabkan gejala yang sama seperti:

  • Mudah terganggu
  • Sukar mengingat dan menumpukan perhatian
  • Masalah tidur

Kedua-dua keadaan ini juga berkongsi rawatan yang sama. Antara rawatan yang boleh diberikan untuk kedua-dua keadaan ini termasuklah:

  • Ubat-ubatan
  • Terapi tingkahlaku kognitif
  • Rawatan alternatif seperti hipnoterapi

Bincang dengan doktor anda jika anda merasakan mengalami kedua-dua gejala kemurungan dan keresahan dan rawatan yang paling sesuai untuk mengatasi kedua-dua masalah ini.

Kemurungan dan obsessive-compulsive disorder (OCD)

Penyakit obsesif-kompulsif (OCD) merupakan sejenis masalah keresahan. Ianya menyebabkan pemikiran, kemahuan dan ketakutan (obsesi) yang tidak diingini dan tidak boleh dikawal.

Ketakutan ini akan menyebabkan seseorang melakukan perbuatan yang berulang (kompulsif) dengan harapan ianya akan mengurangkan tekanan akibat obsesi yang berlaku.

Mereka yang menghidap OCD selalunya akan mengalami obsesi dan kompulsif secara berulang-ulang. Jadi mereka akan cuba mengelakkan diri dari kawan, keluarga dan orang ramai seterusnya meningkatkan risiko mengalami kemurungan.

Penyakit OCD dan kemurungan boleh berlaku secara bersama. Kajian menunjukkan mereka yang mengalami satu masalah keresahan berisiko tinggi untuk mengalami masalah keresahan yang lain. Lebih kurang 80 peratus pesakit OCD mengalami gejala kemurungan.

Ianya juga boleh berlaku pada kanak-kanak. Perbuatan kompulsif yang berlaku ketika masih kecil boleh menyebabkan mereka berasa malu dan tidak mahu berjumpa kawan-kawan lalu meningkatkan risiko mengalami kemurungan.

Kemurungan dengan psikosis

Sesetengah pesakit kemurungan major mungkin mengalami gejala penyakit mental yang dikenali sebagai psikosis. Apabila kedua-dua keadaan ini berlaku ianya dikenali sebagaai kemurungan dengan psikosis.

Pesakit kemurungan dengan psikosos boleh melihat, mendengar, percaya, atau menghidu sesuatu yang tidak wujud. Mereka juga akan mengalami gejala kesedihan, hilang harapan dan mudah tersinggung.

Kombinasi kedua-dua masalah ini amat bahaya kerana mereka yang menghidap kemurungan dengan psikosis mungkin akan mengalami delusi yang menyebabkan mereka cuba membunuh diri atau melakukan perbuatan berisiko.

Kajian masih dijalankan untuk mengenalpasti bagaimana kedua-dua keadaan ini boleh berlaku secara serentak namun rawatan boleh membantu mengurangkan gejala. Antara rawatan yang boleh diberikan termasuklah terapi elektrokonvulsif (ECT).

Gejala juga boleh dikurangkan dengan mengenalpasti dan mengelakkan faktor risiko dan kemungkinan punca masalah ini.

Kemurungan ketika mengandung

Kehamilan merupakan pengalaman mengujakan pada kebanyakan orang. Namun masalah kemurungan ketika hamil masih boleh berlaku.

Antara gejala kemurungan ketika kehamilan termasuklah:

  • Perubahan selera makan
  • Merasa tidak berguna
  • Resah
  • Hilang minat melakukan aktiviti harian atau aktiviti yang digemari
  • Sedih yang berterusan
  • Sukar menumpukan perhatian dan mengingat
  • Masalah sukar tidur atau terlebih tidur
  • Memikirkan untuk mati atau membunuh diri

Rawatan kemurungan ketika mengandung selalunya melibatkan kaunseling dan rawatan semulajadi.

Kadangkala jika pesakit mengalami gejala yang agak teruk, ubat antidepressan mungkin perlu diberikan namun selalunya doktor akan menunggu sehingga selepas kelahiran. Bincang dengan doktor anda rawatan yang paling sesuai dan selamat untuk anda dan juga bayi dalam kandungan.

Risiko kemurungan juga boleh berterusan selepas melahirkan anak. Ianya dikenali sebagai kemurungan postpartum atau dikalangan masyarakat Malaysia juga dikenali sebagai meroyan. Pesakit kemurungan postpartum ini perlu dikenalpasti dan diberikan rawatan segera kerana selalunya melibatkan kemurungan jenis major.

Kemurungan dan alkohol

Kajian telah menunjukkan perkaitan antara penggunaan alkohol dan kemurungan. Mereka yang mengalami kemurungan selalunya akan menyalahgunakan alkohol.

Lebih kurang 40 peratus mereka yang menyalahgunakan alkohol dan dadah mengalami masalah penyakit mental.

Kajian pada 2012 di Amerika Syarikat menunjukkan 63.8 peratus mereka yang ketagihan alkohol mengalami gejala kemurungan.

Meminum alkohol secara berterusan boleh menyebabkan gejala kemurungan menjadi lebih teruk, dan mereka yang mengalami kemurungan akan menyalahgunakan dan bergantung kepada alkohol.

Kesan kemurungan

Kemurungan boleh berlaku secara sementara atau untuk tempoh yang lama. Rawatan kadangkala tidak menyebabkan gejala hilang sepenuhnya.

Walaubagaimanapun, rawatan membolehkan gejala menjadi lebih terkawal. Menguruskan gejala kemurungan selalunya melibatkan kombinasi ubat, perubahan gaya hidup dan terapi lain mengikut kesesuaian pesakit tersebut.

Jika satu-satu rawatan tidak berkesan, bincang dengan doktor anda. Doktor boleh menukar ubat atau mencadangkan pelan rawatan yang lain bagi mengawal gejala anda.

Print Friendly, PDF & Email
Langgan Newsletter Kami
Jom dapatkan notifikasi artikel-artikel terbaru kami terus ke email anda!
Laman web ini bertujuan untuk memberikan pengetahuan am sahaja dan tidak membuat sebarang nasihat perubatan individu. Jika anda mempunyai apa-apa simptom sila berjumpa doktor dengan kadar segera.