Tanda-tanda Anda Mengalami Penyakit Jantung

Setiap penyakit jantung memerlukan rawatan berbeza tetapi boleh berkongsi simptom dan tanda-tanda yang sama.
tanda penyakit jantung

Penyakit arteri koronari, penyakit kegagalan jantung kongestif dan serangan jantung – setiap masalah jantung tersebut memerlukan rawatan berbeza tetapi berkongsi simptom dan tanda-tanda yang sama. Adalah amat penting untuk berjumpa doktor dengan segera supaya diagnosis yang tepat dapat dilakukan seterusnya rawatan segera boleh diberikan.

Pelajari cara-cara untuk mengenalpasti simptom yang terjadi apabila berlakunya penyakit jantung. Telefon ambulans atau segera berjumpa doktor jika simptom ini muncul ataupun menjadi semakin kerap dan teruk.

Tanda-tanda Penyakit Arteri Koronari

Simptom yang paling kerap berlaku dalam penyakit arteri koronari ialah angina ataupun sakit dada. Angina boleh terasa seperti ketidakselesaan, rasa berat, menekan, terbakar, terhimpit ataupun kesakitan di bahagian dada. Ianya boleh disalahtafsir sebagai masalah gastrik ataupun makanan tidak lawas. Sakit dada ini boleh menular ke bahagian bahu, lengan, leher, rahang dan juga belakang.

Simptom lain yang boleh berlaku dalam penyakit arteri koronari termasuklah:

  • Sesak nafas.
  • Jantung berdegup kuat (rasa seperti degupan tidak sekata di bahagian dada).
  • Jantung berdegup laju.
  • Rasa lemah dan pening.
  • Rasa mual.
  • Berpeluh.
Kolesterol yang tinggi boleh menyebabkan arteri koronari tersumbat

Tanda-tanda Serangan Jantung

Simptom serangan jantung termasuklah:

  • Ketidakselesaan, rasa berat, tekanan atau sakit di bahagian dada.
  • Sakit atau tidak selesa yang menular ke bahagian belakang, rahang, leher atau lengan.
  • Terasa pedih, perut tidak selesa atau rasa tercekik.
  • Berpeluh, mual, muntah dan pening.
  • Rasa badan lemah, rimas dan sesak nafas.
  • Degupan jantung laju dan tidak sekata.

Ketika serangan jantung, simptom akan berlaku selama kira-kira 30 minit atau lebih dan selalunya tidak berkurang walaupun selepas berehat atau mengambil ubat. Simptom boleh bermula dengan perasaan tidak selesa dan menjadi sakit dada yang teruk.

Terdapat sesetengah pesakit yang mengalami serangan jantung tanpa apa-apa simptom dan dikenali sebagai ‘infarksi jantung senyap’. Selalunya berlaku pada pesakit kencing manis.

Jika anda merasakan mengalami simptom serangan jantung, DAPATKAN RAWATAN SEGERA. Sila hubungi ambulans jika berseorangan atau minta keluarga anda menghantar anda ke unit kecemasan dengan segera. Rawatan awal dapat mengurangkan kerosakan pada jantung.

Tanda-tanda Arrythmia

Arrythmia bermaksud rentak jantung yang tidak normal, jika berlaku boleh menyebabkan simptom seperti berikut:

  • Jantung berdegup kuat (rentak jantung kuat dan seperti melompat-lompat).
  • Rasa berdebar yang kencang dan kuat pada bahagian dada.
  • Pening dan kepala terasa ringan.
  • Pengsan.
  • Sesak nafas.
  • Dada tidak selesa.
  • Rasa lemah badan dan keletihan.

Tanda-tanda Atrial Fibrillation

Atrial fibrillation (AF) merupakan sejenis rentak jantung yang tidak normal (arrythmia). Mereka yang mengalami AF boleh mempunyai simptom berikut:

  • Jantung berdegup kuat dan laju.
  • Dada berdebar-debar kuat.
  • Kurang tenaga.
  • Pening (rasa ingin pengsan dan kepala ringan).
  • Dada tidak selesa (sakit dan rasa menekan).
  • Sesak nafas walaupun melakukan aktiviti normal.

Sesetengah pesakit AF tidak mempunyai sebarang simptom, serangan AF boleh berlaku untuk seketika sahaja.

Tanda-tanda Penyakit Injap Jantung

Simptom penyakit injap jantung termasuklah:

  • Sesak nafas atau susah menarik nafas, selalunya berlaku apabila melakukan aktiviti harian atau baring rata di atas katil.
  • Lemah badan dan pening.
  • Rasa tidak selesa pada bahagian dada, rasa seperti ditekan terutamanya apabila melakukan aktiviti atau di tempat yang sejuk.
  • Jantung berdebar-debar (degupan yang laju, ritma boleh menjadi tidak sekata).

Penyakit injap jantung boleh menyebabkan kegagalan jantung dan akan mempunyai simptom berikut:

  • Bengkak pada kaki dan buku lali, bengkak juga boleh berlaku pada bahagian abdomen yang akan menyebabkan perasaan mual.
  • Peningkatan berat yang cepat.

Simptom penyakit injap jantung tidak berkaitan dengan tahap keterukan penyakit ini. Pesakit mungkin tiada simptom tetapi injap jantung telah rosak teruk dan memerlukan rawatan segera. Untuk pesakit injap mitral pula, selalunya mengalami simptom yang teruk tetapi kerosakan injap hanyalah sedikit sahaja.

Tanda-tanda Kegagalan Jantung

Simptom kegagalan jantung termasuklah:

  • Sesak nafas terutamanya ketika melakukan aktiviti, boleh juga berlaku ketika rehat terutamanya ketika baring rata.
  • Batuk dengan kahak putih atau air.
  • Kenaikan berat badan yang cepat.
  • Bengkak pada buku lali, betis dan abdomen.
  • Pening.
  • Lemah badan dan letih.
  • Degupan jantung laju dan tidak sekata.
  • Simptom lain seperti mual, jantung berdebar kuat dan sakit dada.

Seperti penyakit injap jantung, simptom kegagalan jantung juga tidak berkaitan dengan tahap kelemahan jantung anda. Pesakit mungkin mempunyai banyak simptom tetapi tahap kelemahan jantung hanya sedikit. Ataupun tiada simptom tetapi tahap kerosakan jantung adalah teruk.

Tanda-tanda Masalah Jantung Kongenital

Masalah jantung kongenital merupakan penyakit jantung yang berlaku sebelum lahir, apabila lahir, ketika umur kanak-kanak ataupun sebelum dewasa. Kadangkala penghidap tidak mengalami sebarang simptom dan penyakit akan lambat dikenalpasti. Selalunya dikenalpasti melalui bunyi jantung yang tidak normal ketika pemeriksaan doktor ataupun bacaan elektrokardiogram (ECG) dan x-ray dada yang tidak normal.

Penghidap masalah jantung kongenital boleh mempunyai simptom berikut:

  • Sesak nafas terutama ketika melakukan aktiviti.
  • Aktiviti terhad.
  • Simptom yang sama seperti kegagalan jantung atau masalah injap jantung di atas.

Tanda-tanda Masalah Jantung Pada Kanak-Kanak

Simptom masalah jantung kongenital pada kanak-kanak adalah seperti berikut:

  • Cyanosis iaitu kebiruan pada kulit, kuku dan juga bibir.
  • Pernafasan laju dan kurang makan.
  • Berat lambat naik.
  • Jangkitan jantung yang berulang.
  • Tidak boleh melakukan senaman.

Tanda-tanda Masalah Otot Jantung

Masalah otot jantung juga dikenali sebagai kardiomyopathy dan kebanyakan penghidapnya tidak mengalami sebarang simptom atau simptom ringan sahaja. Namun ianya mampu menjadi teruk dan merosakkan fungsi jantung.

Simptom kardiomyopathy boleh berlaku pada semua peringkat umur dan simptom ini termasuklah:

  • Sakit dada atau tekanan di bahagian dada terutamanya ketika melakukan aktiviti atau selepas makan.
  • Simptom kegagalan jantung (seperti di atas).
  • Bengkak pada kaki dan tangan.
  • Lemah badan.
  • Pengsan.
  • Jantung berdebar-debar dengan ritma tidak sekata.

Sesetengah pesakit juga boleh mengalami arrythmia yang boleh menyebabkan kematian secara tiba-tiba kepada penghidap penyakit ini.

Tanda-tanda Perikarditis

Perikarditis merupakan keradangan pada selaput yang melindungi jantung dan simptomnya termasuklah:

  • Sakit dada tetapi berbeza dari angina di mana dada terasa seperti dicucuk di bahagian tengah. Sakit boleh menular ke bahagian leher, lengan dan belakang. Sakit ini akan menjadi lebih teruk apabila baring, menarik nafas dalam, batuk dan menelan manakala akan berkurang apabila penghidap menunduk ke depan.
  • Demam ringan.
  • Kadar denyutan jantung meningkat.
Print Friendly, PDF & Email
Staf Editorial
Laman web ini bertujuan untuk memberikan pengetahuan am sahaja dan tidak membuat sebarang nasihat perubatan individu. Jika anda mempunyai apa-apa simptom sila berjumpa doktor dengan kadar segera.