Penyakit Bipolar – Punca, Tanda dan Rawatan

Tiada rawatan khusus untuk menyembuhkan penyakit ini namun terdapat banyak rawatan yang berkesan untuk mengawal gejala penyakit bipolar.

Penyakit bipolar merupakan penyakit mental yang menyebabkan perubahan mood secara mendadak. Antara gejalanya termasuklah peningkatan mood ketara atau rasa gembira berterusan yang dikenali sebagai mania. Bipolar juga boleh menyebabkan episod kemurungan. Nama lain bagi penyakit bipolar adalah manic depressive illness atau manic depression.

Penghidap penyakit bipolar mungkin menghadapi masalah ketika di tempat kerja, sekolah, atau ketika bersosial. Tiada rawatan khusus yang boleh menyembuhkan penyakit ini sepenuhnya namun terdapat banyak rawatan yang berkesan untuk mengawal gejala penyakit bipolar.

Fakta penyakit bipolar

Penyakit bipolar bukanlah penyakit yang jarang berlaku. Di Amerika Syarikat sahaja, lebih kurang 2.8 peratus orang dewasa menghidap bipolar. Umur purata kemunculan gejala penyakit bipolar adalah pada umur 25 tahun.

Kemurungan yang disebabkan penyakit bipolar selalunya berlaku untuk tempoh 2 minggu manakala episod mania pula boleh berlaku selama beberapa hari atau minggu. Sesetengah pesakit mengalami episod perubahan mood beberapa kali setahun manakala ada pesakit yang jarang mengalami gejala perubahan mood.

Tanda-tanda dan gejala

Terdapat tiga gejala utama yang boleh berlaku dalam penyakit bipolar: mania, hypomania dan kemurungan.

Ketika episod mania, seseorang dengan masalah bipolar akan mengalami perasaan gembira yang melampau. Mereka akan sentiasa berasa seronok, berkelakuan impulsif dan menjadi sangat bertenaga. Ketika episod ini mereka juga mungkin akan melakukan perkara seperti berikut:

  • Membeli-belah tanpa had
  • Melakukan hubungan seks tanpa perlindungan
  • Menggunakan dadah

Hypomania pula selalunya dikaitkan dengan penyakit bipolar II. Gejalanya lebih kurang sama dengan episod mania tetapi tidak seteruk itu. Selalunya episod hypomania tidak melibatkan sebarang masalah di tempat kerja, sekolah atau dalam perhubungan. Walaubagaimanapun mereka yang mengalami hypomania akan perasan perubahan mood yang sedang dialami.

Ketika episod kemurungan pula seseorang akan mengalami:

  • Kesedihan mendalam
  • Rasa seperti tiada harapan
  • Tidak bertenaga
  • Tidak berminat melakukan aktiviti yang digemari
  • Tidur terlalu banyak atau kurang tidur
  • Ingin membunuh diri

Penyakit bipolar mungkin agak sukar untuk dikenalpasti kerana gejalanya yang pelbagai.

Gejala pada wanita

Bilangan lelaki dan wanita yang dikenalpasti menghidap penyakit bipolar adalah pada jumlah yang lebih kurang sama, walaubagaimanapun terdapat gejala yang berbeza untuk setiap jantina. Wanita yang mengalami bipolar mungkin akan:

  • Dikenalpasti lebih lewat iaitu pada lewat 20-an ke 30-an
  • Mengalami episod mania yang tidak teruk
  • Mengalami lebih banyak gejala kemurungan berbanding mania
  • Mempunyai empat kali episod mania dan kemurungan dalam setahun yang dipanggil ‘kitaran pantas’
  • Mengalami penyakit lain pada masa yang sama termasuk penyakit tiroid, obesiti, keresahan melampau dan juga migrain
  • Menggunakan alkohol dengan lebih kerap

Wanita yang mengalami penyakit bipolar juga lebih mudah relaps atau penyakit berulang semula. Ini kemungkinan disebabkan oleh perubahan hormon ketika kitaran haid, mengandung atau menopos. Jika anda seorang wanita yang menghidap penyakit bipolar, anda perlu memahami fakta ini.

Gejala pada lelaki

Lelaki dan wanita akan mengalami gejala yang sama untuk penyakit bipolar. Namun lelaki mungkin merasai gejala tersebut secara berbeza termasuk:

  • Penyakit bipolar dikesan lebih awal
  • Mengalami gejala yang lebih teruk terutamanya ketika episod mania
  • Menyalahgunakan dadah
  • Berkelakuan aneh ketika episod mania

Lelaki yang menghidap penyakit bipolar selalunya jarang mendapatkan rawatan berbanding wanita dan mereka juga lebih berisiko untuk membunuh diri.

Jenis-jenis penyakit bipolar

Terdapat tiga jenis penyakit bipolar iaitu: bipolar I, bipolar II, dan cyclothymia.

Bipolar I

Bipolar I bermaksud kemunculan sekurang-kurangnya sekali episod mania. Pesakit ini juga akan mengalami hypomania atau episod kemurungan teruk sebelum dan selepas episod mania tersebut. Ianya tidak spesifik kepada mana-mana jantina.

Bipolar II

Mereka yang mengalami bipolar jenis ini akan mengalami episod kemurungan teruk yang berlaku sekurang-kurangnya dua minggu. Mereka juga akan mengalami episod hypomanic sekurang-kurangnya sekali yang berlaku selama lebih kurang empat hari. Bipolar jenis ini biasa berlaku pada wanita.

Cyclothymia

Mereka yang mengalami cyclothymia akan mengalami episod hypomania dan kemurungan. Gejalanya berlaku lebih sekejap dan kurang teruk berbanding mania dan kemurungan dalam bipolar I dan bipolar II. Kebanyakan mereka yang mengalami keadaan ini akan mengalami tempoh mood yang stabil selama sebulan atau dua bulan.

Doktor anda mungkin akan dapat mengenalpasti jenis bipolar yang anda alami.

Penyakit bipolar pada kanak-kanak

Pengesahan bipolar pada kanak-kanak adalah agak kontorversi. Ini kerana kanak-kanak biasanya tidak menunjukkan gejala yang sama seperti orang dewasa. Mood dan kelakuan mereka tidak mengikut kriteria yang digunakan pada orang dewasa.

Selain itu gejala yang ditunjukkan juga mungkin boleh bertindih dengan gejala penyakit yang lain seperti attention deficit hyperactivity disorder (ADHD).

Walaubagaimanapun sejak beberapa dekad lepas, doktor dan profesional kesihatan telah dapat mengenalpasti keadaan ini dengan lebih jelas namun doktor mungkin memerlukan lebih masa untuk membuat diagnosis berbanding orang dewasa. Diagnosis yang tepat membantu dalam pemberian rawatan yang sesuai. Anak anda mungkin perlu dirujuk kepada pakar psikiatri yang khusus untuk kanak-kanak.

Seperti orang dewasa, kanak-kanak dengan masalah bipolar juga mengalami episod peningkatan mood. Mereka akan kelihatan sangat gembira dan berkelakuan seronok. Episod ini akan diikuti dengan episod kemurungan. Semua kanak-kanak boleh mengalami perubahan mood namun perubahan mood pada kanak-kanak yang menghidap bipolar adalah lebih jelas. Kelakuan mereka juga menjadi lebih ekstrim berbanding kanak-kanak lain.

Gejala mania pada kanak-kanak

Gejala mania pada kanak-kanak yang mempunyai penyakit bipolar termasuklah:

  • Berkelakuan pelik dan gembira tidak bertempat
  • Bercakap laju dan sering menukar topik perbualan
  • Bermasalah untuk menumpukan perhatian
  • Melakukan perkara berisiko dan suka bereksperimen dengan perkara berisiko
  • Panas baran dan selalu mengamuk
  • Bermasalah tidur dan tidak penat walaupun kurang tidur

Gejala kemurungan pada kanak-kanak

Gejala kemurungan pada kanak-kanak yang mengalami penyakit bipolar pula termasuk:

  • Selalu bersedih dan bersendirian
  • Kurang tidur atau terlebih tidur
  • Tidak bertenaga melakukan aktiviti harian dan tidak menunjukkan minat pada semua benda
  • Selalu merasa bersalah dan tidak dihargai
  • Makan terlalu sedikit atau terlalu banyak
  • Memikirkan mengenai mati atau kemungkinan membunuh diri

Kemungkinan penyakit lain

Terdapat masalah tingkahlaku yang mungkin anda perhatikan pada anak anda yang boleh disebabkan masalah lain. Namun ADHD dan masalah tingkahlaku yang lain juga boleh berlaku bersekali dengan penyakit bipolar. Bincang dengan doktor anak anda untuk mencatat setiap tingkahlaku tidak normal yang dilakukan anak anda yang dapat membantu doktor membuat diagnosis.

Diagnosis yang tepat dapat membantu doktor memberikan rawatan yang sesuai untuk membantu anak anda hidup dengan sihat.

Penyakit bipolar pada remaja

Kelakuan memberontak bukanlah sesuatu yang asing bagi setiap remaja. Perubahan hormon dan gaya hidup yang berubah disebabkan oleh akil baligh boleh membuatkan seseorang remaja menjadi lebih beremosi atau mudah tersinggung. Walaubagaimanapun perubahan mood sesetengah remaja mungkin disebabkan oleh masalah yang lebih serius seperti penyakit bipolar.

Gejala penyakit bipolar selalunya berlaku pada umur lewat remaja dan awal dewasa. Untuk remaja, gejala yang biasa dialami ketika episod mania termasuk:

  • Sentiasa berasa sangat gembira
  • Berkelakuan nakal
  • Melakukan perbuatan berisiko
  • Mengambil dadah
  • Memikirkan berkenaan seks secara berlebihan
  • Melakukan seks secara aktif
  • Sukar tidur tetapi tidak merasa penat
  • Panas baran
  • Sukar menumpukan perhatian dan mudah terganggu

Untuk remaja, gejala yang biasa dialami ketika episod kemurungan pula termasuk:

  • Banyak tidur atau kurang tidur
  • Makan sedikit atau terlalu banyak
  • Sentiasa merasa sedih dan tidak seronok
  • Tidak lagi melakukan aktiviti yang gemar dilakukan
  • Tidak lagi berjumpa dengan kawan-kawan
  • Memikirkan mengenai kematian dan membunuh diri

Diagnosis dan rawatan penyakit bipolar untuk remaja boleh menyelamatkan nyawa dan membantu mereka hidup dengan lebih sihat.

Penyakit bipolar dan kemurungan teruk

Penyakit bipolar mempunyai dua ekstrim: gembira dan sedih. Untuk membuat diagnosis bipolar, seseorang mestilah mempunyai episod mania atau hypomania. Pada masa ini mood seseorang akan meningkat dan mereka merasa lebih bertenaga serta seronok.

Sesetengah penghidap penyakit bipolar pula mengalami episod kemurungan di mana mereka merasa tidak bertenaga, tidak bermotivasi dan sedih. Walaubagaimanapun, episod ini tidak cukup teruk untuk diabelkan sebagai kemurungan. Selalunya selepas episod mania dirawat, perasaan normal juga dianggap sebagai kemurungan kerana mereka telah mengecapi mood yang tinggi ketika episod mania.

Walaupun penyakit bipolar boleh menyebabkan kemurungan ianya tidak sama seperti masalah kemurungan teruk kerana keadaan ini menyebabkan seseorang menjadi murung sepanjang masa.

Punca penyakit bipolar

Penyakit bipolar merupakan antara penyakit mental yang sering berlaku tetapi puncanya masih belum jelas kenapa sesetengah orang mengalami masalah ini.

Antara kemungkinan punca penyakit bipolar termasuklah:

Genetik

Jika ibu bapa atau adik beradik mempunyai bipolar, kemungkinan seseorang itu lebih berisiko mengalaminya. Namun kebanyakan orang yang mempunyai ahli keluarga dengan bipolar tidak mengalami masalah ini.

Fungsi otak

Struktur otak yang tidak normal boleh meningkatkan risiko mengalami penyakit bipolar kerana perubahan fungsi otak.

Faktor persekitaran

Faktor persekitaran juga boleh menyumbang kepada berlakunya masalah bipolar. Antara faktor yang mungkin terlibat adalah:

  • Stres yang melampau
  • Pengalaman traumatik
  • Penyakit fizikal

Setiap faktor ini boleh mempengaruhi kewujudan penyakit bipolar. Namun kombinasi faktor di atas boleh meningkatkan lagi risiko seseorang.

Penyakit bipolar dan keturunan

Penyakit bipolar boleh berlaku kerana faktor genetik. Kajian menunjukkan seseorang yang mempunyai ibu bapa atau ahli keluarga yang mempunyai bipolar akan menjadi empat ke enam kali ganda lebih berisiko untuk mendapat penyakit ini.

Walaubagaimanapun ianya juga bergantung kepada faktor lain seperti faktor luaran. Ada juga penghidap bipolar yang tidak mempunyai ahli keluarga dengan masalah ini.

Pengesanan penyakit bipolar

Diagnosis penyakit bipolar I melibatkan satu atau lebih episod mania, atau gabungan episod mania dan kemurungan. Ianya juga boleh melibatkan episod kemurungan teruk. Diagnosis untuk bipolar II pula melibatkan satu atau lebih episod kemurungan teruk dan sekurang-kurangnya satu episod hypomania.

Untuk membuat diagnosis episod mania, gejala yang dialami mestilah berlaku sekurang-kurangnya selama seminggu atau gejala yang menyebabkan anda dimasukkan ke hospital. Gejala tersebut juga perlu dialami hampir setiap hari sepanjang seminggu itu. Masalah kemurungan teruk pula perlu berlaku selama sekurang-kurangnya dua minggu.

Diagnosis penyakit bipolar mungkin sukar dilakukan kerana perubahan mood yang ketara. Ianya lebih sukar dikesan pada kanak-kanak dan juga remaja. Kumpulan ini mempunyai perubahan mood, kelakuan dan tenaga yang lebih ketara.

Penyakit bipolar akan menjadi lebih teruk jika tidak dirawat. Episod serangan akan berlaku dengan lebih kerap dan ekstrim. Jika anda telah menerima rawatan untuk penyakit bipolar, anda boleh hidup secara normal dan produktif. Oleh itu diagnosis dan rawatan yang tepat adalah amat penting.

Ujian penyakit bipolar

Beberapa ujian perlu dilakukan untuk mengesahkan penyakit bipolar. Antara ujian ini termasuklah:

  • Ujian fizikal. Doktor akan melakukan ujian fizikal dan berkemungkinan juga ujian darah atau urin untuk melihat punca-punca yang lain untuk gejala anda.
  • Pemeriksaan kesihatan mental. Doktor anda akan bertanyakan soalan-soalan berkenaan gejala yang berlaku untuk melihat tanda-tanda penyakit bipolar.
  • Jurnal mood. Jika doktor mengesyaki anda mmempunyai masalah mood seperti bipolar, doktor mungkin akan meminta anda membuat jurnal atau diari untuk mencatatkan perubahan ini. Doktor juga mungkin akan meminta anda mencatatkan perubahan makan dan tidur jika ada.
  • Kriteria diagnostik. The Diagnostic and Statistical Manual of Mental Disorders (DSM) merupakan kriteria gejala penyakit mental yang dirujuk oleh doktor untuk mengesahkan penyakit bipolar.

Sesetengah doktor mungkin akan menggunakan alat atau ujian lain selain ujian di atas.

Rawatan penyakit bipolar

Terdapat beberapa rawatan yang dapat membantu menangani masalah bipolar. Ianya meliputi ubat-ubatan, kaunseling dan perubahan gaya hidup. Sesetengah rawatan alternatif juga mungkin boleh membantu.

Perubatan

Antara ubat yang boleh diberikan termasuklah:

  • Penstabil mood, seperti lithium
  • Antipsikotik, seperti olanzapine
  • Antidepresan-antipsikotik, seperti fluoxetine-olanzapine
  • Benzodiazepin, sejenis ubat anti keresahan seperti alprazolam (Xanax) yang boleh digunakan untuk jangkamasa pendek

Psikoterapi

Rawatan psikoterapi yang boleh dilakukan termasuklah:

Terapi tingkahlaku kognitif

Terapi tingkahlaku kognitif merupakan sejenis terapi kaunseling, Anda dan ahli terapi akan berbincang mengenai cara-cara menangani penyakit bipolar. Mereka akan cuba memahami cara anda berfikir dan merangka strategi melawan gejala penyakit ini.

Psikopendidikan

Psikopendidikan merupakan sejenis kaunseling yang membantu anda dan orang tersayang memahami penyakit bipolar. Pemahaman mengenai penyakit ni boleh membantu anda dan orang sekeliling menanganinya.

Terapi Interpersonal dan ritma sosial

Terapi ini memfokuskan kepada penyusunan semula aktiviti harian seperti tidur, makan dan bersenam. Keseimbangan aktiviti harian ini dapat membantu menangani masalah bipolar.

Rawatan lain

Rawatan lain yang boleh dijalankan termasuklah:

  • Terapi elektrokonvulsif atau ECT
  • Ubat tidur
  • Suplemen
  • Akupuntur

Perubahan gaya hidup

Terdapat beberapa langkah yang boleh diambil untuk menangani penyakit bipolar:

  • Menetapkan jadual makan dan tidur
  • Belajar mengenalpasti perubahan mood
  • Minta kawan atau ahli keluarga menyokong proses rawatan anda
  • Berbincang dengan doktor atau ahli terapi

Perubahan gaya hidup yang boleh mengurangkan stres juga membantu dalam pemulihan penyakit bipolar.

Rawatan alternatif

Terdapat beberapa rawatan alternatif yang mungkin dapat membantu mengurangkan gejala penyakit bipolar. Walaubagaimanapun anda perlu berbincang dulu dengan doktor yang merawat anda kerana ada antara rawatan ini boleh berinteraksi dengan ubat yang sedang diambil.

Herba dan suplemen di bawah boleh membantu menstabilkan mood dan mengurangkan gejala:

  • Minyak ikan. Terdapat beberapa kajian menunjukkan mereka yang mengambil minyak ikan kurang berisiko mendapat penyakit bipolar. Ianya boleh didapati dengan memakan ikan atau mengambil secara suplemen seperti pil dan kapsul.
  • Rhodiola rosea. Tumbuhan ini dikatakan boleh merawat kemurungan dan stres.
  • S-adenosylmethionine (SAMe). SAMe merupakan suplemen asid amino yang dikatakan boleh mengurangkan gejala kemurungan dan perubahan mood.

Terdapat juga beberapa suplemen dan vitamin lain yang boleh membantu mengurangkan gejala bipolar.

Menangani penyakit bipolar

Jika anda mengalami gejala penyakit bipolar, sila buat temujanji segera dengan doktor. Jika kenalan anda menghidap penyakit ini, sokongan dan pemahaman anda sangat penting bagi membantu mereka. Galakkan mereka berjumpa doktor dan meneruskan rawatan dengan bantuan profesional.

Mereka yang mengalami episod kemurungan mungkin ada perasaan ingin membunuh diri. Anda perlu sentiasa peka dan mengambil berat jika ada seseorang yang menyatakan hasrat ini.

Jika anda merasakan seseorang berisiko untuk mencederakan diri sendiri atau orang lain:

  • Telefon nombor kecemasan
  • Menemani orang tersebut sehingga bantuan tiba
  • Mengalihkan mana-mana senjata, ubat atau alat berbahaya yang boleh mencederakan
  • Mendengar tetapi jangan menghakimi, mengugut atau memarahi mereka

Jika anda mengetahui seseorang yang ingin membunuh diri, anda boleh mencadangkan mereka untuk menghubungi Befrienders di talian 03-76272929 (24 jam).

Penyakit bipolar dan perhubungan

Penyakit bipolar boleh memberikan impak dalam perhubungan seseorang terutamanya hubungan suami isteri. Amatlah penting untuk sentiasa terbuka dengan pasangan anda berkenaan keadaan ini.

Tiada masa yang betul atau salah untuk memberitahu pasangan anda dan kejujuran perlu dijadikan keutamaan. Antara maklumat yang patut anda kongsikan dengan pasangan termasuklah:

  • Bila anda disahkan mendapat penyakit ini
  • Gejala yang berlaku ketika episod mania
  • Gejala yang berlaku ketika episod kemurungan
  • Bagaimana anda cuba menangani masalah ini
  • Bagaimana mereka boleh membantu

Salah satu cara untuk mendapatkan sokongan dan mengekalkan hubungan adalah dengan mendapatkan rawatan. Rawatan akan mengurangkan gejala dan keterukan perubahan mood seterusnya dapat membantu anda meluangkan masa bersama orang yang tersayang.

Pasangan anda juga boleh bersama-sama membantu dalam proses rawatan.

Hidup dengan penyakit bipolar

Penyakit bipolar merupakan penyakit mental kronik. Ianya bermaksud anda perlu menyesuaikan diri sepanjang hayat. Walaubagaimanapun ini tidak bermakna anda tidak boleh hidup secara normal dan gembira.

Rawatan perubatan boleh membantu anda mengawal perubahan mood dan gejala yang berlaku. Selain doktor psikiatri, anda juga mungkin ingin mendapatkan khidmat nasihat ahli kaunseling dan terapi yang lain.

Pencarian rawatan yang sesuai memerlukan kesabaran dan disiplan yang tinggi. Anda juga boleh mendapatkan inspirasi dan nasihat daripada kumpulan sokongan yang mempunyai penyakit yang sama. Mereka juga boleh membantu di saat anda kesusahan atau memerlukan pertolongan.

Langgan Newsletter Kami
Jom dapatkan notifikasi artikel-artikel terbaru kami terus ke email anda!
Laman web ini bertujuan untuk memberikan pengetahuan am sahaja dan tidak membuat sebarang nasihat perubatan individu. Jika anda mempunyai apa-apa simptom sila berjumpa doktor dengan kadar segera.