Penyakit Psoriasis – Punca, Tanda dan Rawatan

Penyakit psoriasis merupakan masalah kuping pada kulit yang disebabkan oleh masalah pada sistem imun seseorang. Jom ketahui dengan lebih lanjut.

Psoriasis merupakan sejenis penyakit autoimun kronik yang menyebabkan pertumbuhan sel kullit secara mendadak. Pertumbuhan sel ini akan menyebabkan kuping pada permukaan kulit.

Penyakit ini juga akan menyebabkan keradangan dan kemerahan di sekeliling kuping tersebut. Kuping yang terhasil selalunya tebal, berwarna putih atau kelabu (perak) dan disekelilingnya terdapat kesan kemerahan. Kadangkala kuping ini boleh merekah dan berdarah.

Penyakit prosiasis akan mempercepatkan penghasilan sel kulit. Kitaran normal pada kulit adalah selama kira-kira sebulan, dan akan tumbuh dari dalam ke luar sebelum gugur sebagai sel kulit mati.

Pada pesakit psoriasis, kitaran ini boleh berlaku hanya dalam beberapa hari. Disebabkan itu sel kulit di bahagian luar tidak sempat untuk gugur sepenuhnya sebelum sel baru tumbuh. Ini akan menyebabkan pengumpulan sel kulit pada permukaan dalam bentuk kuping.

Kuping dan kawasan kemerahan pada pesakit psoriasis jenis plak.

Kuping selalunya berlaku di bahagian sendi seperti siku dan lutut. Ianya juga boleh terjadi pada bahagian badan yang lain seperti:

  • Tangan
  • Kaki
  • Leher
  • Kulit kepala
  • Muka

Kadangkala ianya juga boleh terjadi pada bahagian kuku, mulut dan kawasan kemaluan tetapi agak jarang.

Penyakit psoriasis juga selalunya boleh dikaitkan dengan penyakit-penyakit yang lain seperti:

Jenis-jenis psoriasis

Terdapat lima jenis psoriasis:

Psoriasis jenis plak

Psoriasis jenis plak merupakan psoriasis yang paling kerap berlaku. Menurut kajian Akademi Dermatologi Amerika, lebih kurang 80 peratus penghidap psoriasis adalah dari jenis ini. Ianya akan menyebakan keradangan dan kemerahan pada kawasan kulit dengan kuping yang berwarna putih. Kuping ini selalunya ditemui pada bahagian siku, lutut dan kulit kepala.

Psoriasis jenis guttate

Psoriasis jenis guttate selalunya berlaku pada kanak-kanak. Ianya akan menyebabkan tompokan berwarna pink. Kawasan yang terlibat adalah seperti bahagian atas badan, lengan dan kaki. Tompokan ini tidak tebal seperti psoriasis jenis plak.

Psoriasis jenis guttate.

Psoriasis jenis pustular

Psoriasis jenis pustular kerap berlaku pada orang dewasa. Ianya akan menyebabkan lepuh berwarna putih yang mengandungi nanah dengan kulit disekelilingnya mengalami keradangan dan kemerahan. Psoriasis jenis pustular selalunya berlaku pada sebahagian kecil badan seperti tangan atau kaki, tetapi kadangkala boleh juga melibatkan keseluruhan badan.

Psoriasis jenis terbalik

Psoriasis jenis terbalik akan menyebabkan kawasan keradangan, kemerahan yang berkilat pada kulit. Ianya selalu berlaku di bahagian ketiak, payudara, kawasan lipatan pinggang atau disekitar kemaluan.

Psoriasis jenis erythrodermik

Psoriasis jenis erythrodermik merupakan psoriasis paling teruk namun jarang berlaku. Ia selalunya berlaku dengan serentak diseluruh badan pada masa yang sama. Kulit akan kelihatan seperti sedang terbakar.

Kuping yang berlaku biasanya bersaiz besar dan tercabut dengan banyak. Mereka yang mengalami psoriasis ini juga sering mengalami demam dan gejala yang lain. Mereka yang mengalami psoriasis jenis ini perlu berjumpa doktor dengan segera.

Tanda-tanda dan gejala psoriasis

Tanda-tanda dan gejala psoriasis boleh berbeza diantara pesakit bergantung kepada jenis psoriasis. Kawasan psoriasis yang terlibat boleh terdiri daripada beberapa kuping sahaja pada kulit kepala atau siku sehinggalah melibatkan seluruh badan.

Antara gejala-gejala psoriasis jenis plak yang kerap berlaku adalah:

  • Keradangan, kemerahan dan penebalan pada kulit
  • Kuping berwarna putih atau kelabu pada kulit yang terlibat
  • Kulit kering yang boleh merekah dan berdarah
  • Sakit pada kulit terlibat
  • Kegatalan dan rasa seperti terbakar disekeliling kawasan terlibat
  • Kuku menjadi tebal dan kering
  • Sendi bengkak dan sakit

Namun tidak semua pesakit psoriasis mempunyai gejala-gejala di atas. Terdapat juga sesetengah pesakit yang mempunyai gejala yang lain terutamanya jika mendapat psoriasis jenis yang jarang berlaku.

Gejala penyakit psoriasis ini selalunya berlaku dalam kitaran. Ianya menyebabkan gejala yang teruk selama beberapa hari atau minggu, kemudiannya hilang secara tiba-tiba. Selepas itu beberapa minggu kemudian gejala akan muncul semula apabila pesakit terdedah kepada pencetus (trigger).

Kadangkala ada juga pesakit yang tidak lagi mengalami gejala psoriasis setelah ianya hilang. Apabila seseorang itu tidak lagi mengalami gejala, mereka dikatakan dalam keadaan “remission“. Walaubagaimanapun ianya tidak bermaksud pesakit telah sembuh sepenuhnya tetapi hanya sementara.

Bukan penyakit berjangkit

Psoriasis tidak boleh berjangkit. Anda tidak boleh menjangkitkan penyakit ini kepada orang terdekat melalui sentuhan kerana ianya merupakan penyakit autoimun.

Punca psoriasis

Setakat ini punca penyakit psoriasis masih belum jelas. Namun menurut kajian ianya berkaitan dengan dua faktor utama iaitu sistem imuniti dan genetik seseorang.

Sistem imuniti

Penyakit psoriasis adalah penyakit autoimun. Ini bermaksud sistem imun badan menyerang sel badan sendiri. Dalam psoriasis, sel darah putih yang dikenali sebagai sel T telah tersilap menyerang sel kulit pesakit.

Dalam keadaan normal, sel darah putih berfungsi untuk menyerang dan membunuh bakteria yang masuk ke dalam tubuh. Apabila sel darah putih tersilap menyerang sel kulit, penghasilan sel kulit akan meningkat dan menjadi lebih cepat. Ini menyebabkan sel kulit yang baru akan terkumpul pada permukaan kulit dan sel yang lama tidak sempat untuk gugur lalu menyebabkan terjadinya kuping atau plak.

Serangan daripada sel darah putih juga menyebabkan keradangan dan kemerahan pada kulit.

Genetik

Sesetengah pesakit mendapat psoriasis secara keturunan kerana mewarisi gen tertentu. Jika terdapat ahli keluarga terdekat yang mengalami psoriasis atau penyakit kulit, risiko seseorang akan meningkat. Walaubagaimanapun peratusannya tidak begitu ketara, menurut kajian hanya lebih kurang 2 ke 3 peratus mereka yang mempunyai gen psoriasis akan mempunyai penyakit ini.

Pengesanan psoriasis

Terdapat dua ujian atau pemeriksaan yang diperlukan untuk mengesahkan penyakit psoriasis.

Pemeriksaan fizikal

Doktor akan melakukan pemeriksaan fizikal keseluruhan badan dan pemeriksaan kulit. Gejala kulit pada pesakit psoriasis selalunya amat jelas dan senang dibezakan dengan penyakit kulit yang lain. Ketika pemeriksaan doktor juga akan bertanyakan jika terdapat gejala yang lain atau jika terdapat ahli keluarga dengan masalah yang sama.

Biopsi

Jika gejala anda tidak begitu jelas, doktor akan melakukan ujian biopsi kulit di mana doktor akan mengambil sedikit sampel kulit untuk diperiksa di makmal.

Pemeriksaan makmal akan dilakukan di bawah mikroskop untuk melihat jenis psoriasis yang dihidapi. Ianya juga dapat melihat jika seseorang itu mempunyai penyakit yang lain.

Pengambilan sampel merupakan satu prosedur mudah dan doktor akan memberikan bius setempat sebelum sampel diambil. Doktor juga akan memberikan temujanji yang baru untuk melihat keputusan biopsi.

Pencetus gejala psoriasis

Pencetus luaran (trigger) merupakan faktor yang boleh memulakan atau menerukkan lagi psoriasis atau dipanggil sebagai flare-up. Pencetus ini tidak sama bagi setiap pesakit dan boleh juga bertukar-tukar.

Antara pencetus yang paling kerap adalah:

Stres

Stres atau tekanan yang tinggi boleh menyebabkan flare-up. Jadi pesakit perlu belajar cara menangani stres jika ianya boleh menyebabkan gejala psoriasis.

Alkohol

Pengambilan alkohol yang tinggi juga boleh menyebabkan flare-up. Mereka yang mengambil alkohol dalam jumlah yang tinggi didapati lebih kerap mengalami gejala psoriasis. Mengurangkan pengambillan alkohol merupakan salah satu strategi dalam rawatan psoriasis. Dapatkan nasihat doktor jika anda sukar untuk berhenti.

Kecederaan

Kemalangan, luka atau tercalar juga boleh menyebabkan flare-up. Ini termasuklah menerima suntikan dan juga sunburn.

Ubat-ubatan

Terdapat ubat-ubatan yang boleh mencetuskan psoriasis, antaranya adalah:

  • Lithium
  • Ubat anti-malaria
  • Sesetengah ubat darah tinggi

Jangkitan kuman

Jangkitan kuman juga mampu mencetuskan gejala psoriasis kerana sel imun badan akan menjadi lebih aktif pada ketika ini dan mula menyerang sel kulit selain kuman. Antara contoh jangkitan kuman adalah seperti sakit tekak.

Rawatan psoriasis

Psoriasis tidak boleh sembuh. Rawatan hanyalah bertujuan untuk mengurangkan keradangan dan gejala pada kulit, memperlahankan pertumbuhan sel kulit dan menghilangkan kuping. Terdapat tiga kategori rawatan:

Ubat sapu

Krim dan ubat sapu pada kulit dapat membantu mengurangkan psoriasis tahap rendah ke sederhana. Antara ubat sapu ini termasuklah:

  • Ubat sapu kortikosteroid
  • Ubat sapu retinoid
  • Anthralin
  • Analog vitamin D
  • Salicylic acid
  • Pelembap kulit

Ubat sistemik

Mereka yang mempunyai psoriasis tahap sederhana ke teruk, dan tidak berkesan menggunakan rawatan lain akan diberikan ubat makan atau suntikan. Walaubagaimanapun ubat ini mempunyai kesan sampingan yang lebih teruk. Doktor hanya akan memberikan ubat ini untuk jangkamasa pendek sahaja.

Antara contohnya termasuklah:

  • Methotrexate
  • Cyclosporine
  • Biologik
  • Retinoid

Rawatan lampu

Terdapat juga rawatan psoriasis menggunakan cahaya ultraviolet (UV) atau cahaya semulajadi. Cahaya matahari boleh membunuh sel darah putih terlebih aktif yang menyerang sel kulit dan menyebabkan pembentukan kuping. Kedua-dua cahaya UVA dan UVB boleh mengurangkan gejala psoriasis tahap ringan ke sederhana.

Kebanyakan pesakit psoriasis tahap sederhana ke teruk lebih berkesan dengan rawatan kombinasi yang menggunakan gabungan ubat dan lampu. Terdapat juga mereka yang hanya sesuai dengan satu rawatan sahaja dan ada juga yang perlu menukar cara rawatan dikemudian hari. Bincang dengan doktor anda berkenaan rawatan yang paling sesuai untuk anda.

Ubat untuk psoriasis

Jika anda mempunyai psoriasis tahap sederhana ke teruk – atau jika rawatan sedia ada tidak berkesan – doktor mungkin akan memberikan ubat makan atau suntikan.

Antara ubat makan dan suntikan yang sering digunakan adalah:

Biologik

Kumpulan ubat biologik boleh mengubah tindakan sistem imuniti dan mengelakkan interaksi antara sistem imuniti dan keradangan. Ianya diberikan melalui cara suntikan.

Retinoid

Retinoid berfungsi untuk mengurangkan penghasilan sel kulit. Apabila pesakit berhenti mengambil ubat ini, selalunya gejala akan muncul semula. Antara kesan sampingannya adalah rambut gugur dan keradangan bibir.

Mereka yang mengandung atau ingin mengandung dalam masa tiga tahun tidak boleh mengambil retinoid kerana ianya boleh menyebabkan kecacatan janin.

Cyclosporin

Cyclosporin dapat menekan reaksi sistem imun badan seterusnya mengurangkan gejala psoriasis. Ianya juga bermaksud sistem imun seseorang menjadi lebih lemah dan mudah mendapat jangkitan. Antara kesan sampingan yang lain adalah masalah buah pinggang dan tekanan darah tinggi.

Methotrexate

Seperti cyclosporin, methotrexate juga boleh menekan sistem imun badan. Namun kesan sampingannya kurang teruk pada dos yang rendah. Penggunaan jangka panjang dapat menyebabkan kesan sampingan seperti kerosakan hati dan kurang penghasilan darah merah dan putih.

Diet untuk pesakit psoriasis

Pemakanan tidak boleh merawat atau menyembuhkan psoriasis, tetapi boleh membantu mengurangkan gejala. Lakukan lima perubahan gaya hidup ini untuk mengurangkan gejala psoriasis dan mencegah flare-up:

Kurangkan berat badan

Pengurangan berat badan dapat membantu mengurangkan tahap keterukan penyakit terutamanya jika pesakit seorang yang obes. Pengurangan berat badan juga dapat meningkatkan keberkesanan rawatan yang sedang diberikan. Selain itu ianya dapat mencegah penyakit yang lain seperti kencing manis.

Pemakanan sihat

Kurangkan pengambilan lemak tepu yang selalunya didapati daripada daging dan produk tenusu. Tingkatkan pengambilan protein yang mengandungi asid lemak omega-3 seperti ikan salmon, sardin, udang, kacang soya kacang walnut, dan biji flax.

Elakkan makanan pencetus

Psoriasis adalah disebabkan keradangan, jadi kurangkan makanan yang boleh menyebabkan keradangan supaya gejala tidak menjadi lebih teruk. Antara makanan yang perlu dielakkan adalah:

  • Daging merah
  • Gula yang diproses
  • Makanan yang diproses
  • Produk tenusu

Kurangkan alkohol

Pengambilan alkohol boleh meningkatkan lagi gejala psoriasis. Kurangkan atau hentikan terus pengambilan alkohol. Jika anda mempunyai masalah ketagihan alkohol, dapatkan nasihat doktor.

Mengambil vitamin

Tingkatkan pengambilan vitamin melalui pemakanan atau suplemen. Banyakan pengambilan buah dan sayur dalam pemakanan. Dapatkan nasihat doktor jika ingin mengambil suplemen vitamin.

Hidup dengan psoriasis

Hidup dengan psoriasis merupakan suatu cabaran, namun dengan rawatan yang berterusan, gejala psoriasis dapat dikurangkan atau dihilangkan dan pesakit boleh hidup dengan sihat dan normal. Tiga perkara ini dapat membantu anda untuk jangkamasa pendek dan panjang:

Diet

Pengurangan berat badan dan menjaga pemakanan merupakan perkara penting yang dapat membantu mengurangkan gejala psoriasis. Kurangkan pengambilan lemak serta tingkatkan pengambilan protein, buah dan sayur. Elakkan juga makanan yang boleh menyebabkan keradangan seperti yang telah dibincangkan.

Stres

Stres dan tekanan juga boleh menjadi pencetus kepada gejala psoriasis. Belajar cara-cara menangani stres. Antara perkara yang boleh dilakukan termasuklah:

  • Beribadah dan bermeditasi
  • Melakukan hobi yang disukai
  • Teknik pernafasan
  • Senaman dan yoga

Kesihatan emosi

Penyakit psoriasis juga boleh menyebabkan masalah emosi dan pesakit juga boleh mengalami gejala penyakit mental seperti kemurungan dan kurang harga diri. Pesakit mungkin merasa malu atau rendah diri apabila terdapat masalah pada kulit.

Jika anda mempunyai gejala penyakit mental, sila dapatkan bantuan profesional seperti ahli kaunseling atau doktor perubatan. Pesakit juga boleh menyertai kumpulan sokongan untuk pesakit psoriasis bagi berkongsi masalah dan tips-tips untuk menangani penyakit ini.

Psoriasis dan arthritis

Menurut kajian, lebih kurang 30 ke 33 peratus penghidap psoriasis juga akan mendapat penyakit psoriatik astrhitis.

Arthritis jenis ini akan menyebabkan sendi menjadi bengkak, sakit dan juga keradangan. Ianya sering dikelirukan dengan rheumatoid arthritis atau gout. Cara membezakan psoriatik arthritis adalah dengan kehadiran kawasan kulit yang merah dan berkuping.

Psoriatik arthritis merupakan sejenis penyakit kronik. Gejalanya boleh datang dan pergi, bertukar-tukar di antara remission dan flare-up. Kadangkala ianya juga boleh berlaku secara berterusan dan gejalanya sukar hilang.

Ianya selalu berlaku pada sendi jari tangan dan kaki. Ianya juga boleh menyerang tulang belakang, pergelangan tangan, lutut, dan buku lali.

Kebanyakan penghidap psoriatik arthritis juga menghidap psoriasis. Namun terdapat juga pesakit psoriatik arthritis yan tidak menghidap psoriasis. Selalunya ada ahli keluarga pesakit ini yang mengalami psoriasis.

Rawatan psoriatik arthritis boleh membantu mengurangkan gejala, kesakitan dan meningkatkan pergerakan. Mengurangkan berat badan, mengamalkan pemakanan sihat dan mengelakkan pencetus boleh membantu mengurangkan flare-up penyakit ini. Pengesanan dan rawatan awal boleh mengurangkan komplikasi serius seperti kerosakan sendi dan kecacatan.

Statistik psoriasis

Psoriasis boleh terjadi pada semua peringkat umur, namun biasanya dikesan pada umur dewasa. Umur purata ianya dikesan adalah pada umur 15 ke 35 tahun. Menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia, 75 peratus penyakit psoriasis dikesan sebelum pesakit berumur 46 tahun.

Lelaki dan wanita menghidap penyakit ini pada nisbah yang sama. Mereka yang mempunyai keluarga yang menghidap psoriasisi adalah lebih berisiko, namun kebanyakan pesakit tidak mempunyai sejarah keluarga yang menghidap penyakit ini. Terdapat juga mereka yang tidak menghidap penyakit ini walaupun ada ahli keluarga yang menghidapnya.

Lebih kurang satu pertiga pesakit psoriasis juga mendapat penyakit psoriatik arthritis. Selain itu pesakit psoriasis juga lebih cenderung mendapat penyakit berikut:

Kajian terbaru menunjukkan terdapat peningkatan kes psoriasis di seluruh dunia. Namun tidak dapat dipastikan jika ianya lebih mudah dikesan pada masa kini disebabkan kemajuan perubatan atau memang jumlah tersebut semakin meningkat.

Print Friendly, PDF & Email
Langgan Newsletter Kami
Jom dapatkan notifikasi artikel-artikel terbaru kami terus ke email anda!
Laman web ini bertujuan untuk memberikan pengetahuan am sahaja dan tidak membuat sebarang nasihat perubatan individu. Jika anda mempunyai apa-apa simptom sila berjumpa doktor dengan kadar segera.