Penyakit Angin Ahmar – Punca dan Pencegahan

Angin ahmar akan menyebabkan sel otak kekurangan oksigen dan ianya boleh tercedera atau mati hanya dalam tempoh beberapa minit sahaja.

Angin ahmar dari sudut perubatan dikenali sebagai strok atau kerosakan serebrovaskular (cerevrovascular accident – CVA). Ianya terjadi apabila aliran darah ke bahagian otak terganggu. Sel otak akan kekurangan oksigen lantas mengakibatkan ianya tercedera atau mati hanya dalam tempoh beberapa minit sahaja.

Bahagian badan yang dikawal oleh sel-sel otak yang tercedera tadi tidak lagi dapat berfungsi dengan baik. Gangguan aliran darah ini mungkin disebabkan oleh tersumbatnya saluran arteri dalam otak atau di tengkuk. la mungkin juga disebabkan oleh pecahnya saluran darah dalam otak yang kemudian menyebabkan berlakunya pendarahan di dalam otak.

Jenis-jenis angin ahmar

Jenis-jenis angin ahmar adalah seperti berikut:

Trombosis

Ini adalah kejadian angin ahmar yang paling kerap berlaku. Sebahagian daripada arteri menjadi tertutup dengan terbinanya gumpalan sisa lemak dari aterosklerosis. Aliran darah menjadi perlahan lalu membentuk gumpalan di dalam saluran darah yang tersumbat lantas menghalang penghantaran darah ke bahagian otak.

Embolisma

Embolisma adalah gumpalan lemak atau darah beku yang terjadi di luar otak yang bergerak melalui peredaran darah ke arah otak. Gumpalan embolisma ini akhirnya tersekat pada saluran darah yang lebih kecil lalu menghalang aliran darah ke otak.  

Pendarahan

Kadang-kadang terdapat tempat-tempat yang lemah di dinding salur darah ketika lahir atau hasil daripada tekanan darah yang tinggi. Koyakan atau pemecahan dinding saluran darah di dalam otak terjadi dan mengakibatkan kebocoran pada saluran darah (pendarahan).

Kadar kematian dari angin ahmar jenis ini dibandingkan dengan lain-lain jenis adalah amat tinggi dan peluang untuk pemulihan sepenuhnya adalah tipis.

Tanda dan gejala

Gejala angin ahmar biasanya terjadi secara tiba-tiba dalam beberapa minit atau jam dan kadang-kadang hingga ke beberapa hari. Bergantung kepada tempat, penyebab dan tahap kecederaan, pesakit boleh mengalami sebahagian atau kesemua gejala yang tersebut diatas.

Rasa lemah yang amat sangat atau lumpuh pada satu dari bahagian badan adalah kesan yang paling biasa dalam angin ahmar yang serius. Dalam kes-kes yang lebih serius ia boleh mengakibatkan kematian atau kecacatan fizikal dan mental yang teruk. Sesetengah angin ahmar pula langsung tidak menunjukkan sebarang gejala yang jelas.

Tanda amaran angin ahmar

Salah satu amaran kemungkinan berlakunya angin ahmar ialah serangan iskemia sementara (Transient Ischemic Attack – TIA). Tanda amaran ini memerlukan anda supaya bersegera untuk pergi berjumpa doktor agar langkah-langkah yang sewajarnya dapat diambil bagi menghalang terjadinya angin ahmar penuh.

TIA ini dianggap sebagai strok mini kerana ianya terjadi disebabkan oleh kehilangan bekalan darah sementara ke bahagian otak. la mungkin terjadi untuk beberapa saat hingga kepada 24 jam dengan memperolihi pemulihan yang sepenuhnya selepas itu.                                •

Gejala-gejala TIA sering-kali adalah penglihatan menjadi kabur dan kurang jelas. Disebabkan ianya bersifat sementara, kita sering mengabaikannya. Bagaimanapun sebarang dari gejala-gejala yang disebutkan dibawah ini harus dibawa kepengetahuan doktor dengan segera.

  • Hilang atau kabur penglihatan dengan tiba-tiba pada satu atau kedua-dua belah mata
  • Lemah atau kebas pada lengan, kaki atau otot muka
  • Kesukaran bertutur
  • Gangguan fikiran atau sawan
  • Pening atau pengsan
  • Hilang keseimbangan badan

Rawatan yang efektif merangkumi penggunaan ubat antiplatelet (aspirin, ticlopidine) atau pembedahan dan ubat pencair darah untuk membuka saluran arteri karotid (saluran darah ditengkuk) yang mana merupakan sumber saluran utama darah ke otak.

Faktor risiko angin ahmar

Mengetahui tentang apakah faktor-faktor penyebab angin ahmar akan dapat mengurangkan peluang seseorang daripada terkena serangan ini.

Berikut adalah diantara faktor-faktor risiko serangan angin ahmar:

Faktor genetik juga memainkan peranan meningkatkan risiko angin ahmar. Jika terdapat sejarah di antara keluarga anda yang pernah terkena angin ahmar, anda patut mengambil langkah-langkah untuk mengurangkan bahaya diri anda melalui pengubahsuaian cara hidup.

Pencegahan angin ahmar

Berikut merupakan cara-cara mencegah angin ahmar daripada berlaku.

Rawat tekanan darah tinggi anda

Tekanan darah tinggi adalah penyebab yang penting kepada kejadian angin ahmar. la terjadi dalam kadar 40-70 peratus kejadian. la mendorong kepada tersumbatnya saluran arteri dan memberikan tekanan yang tidak normal ke atas dinding saluran darah.

Keadaan ini boleh mengakibatkan kekoyakan pada tempat-tempat yang lemah. Tekanan darah tinggi memerlukan rawatan. Adalah penting untuk mendapatkan pemeriksaan yang teratur. Mengawal tekanan darah tinggi anda akan dapat membantu di dalam mengurangkan bahaya terkena angin ahmar.

Berhenti merokok

Merokok mempercepatkan aterosklerosis. Nikotin dalam tembakau juga boleh meningkatkan tekanan darah. Menghisap rokok adalah faktor penting terjadinya angin ahmar dan patut dihentikan.

Elakkan makanan berlemak dan berkolesterol tinggi

Tahap kolesterol darah yang tinggi adalah faktor penyebab kepada berlakunya angin ahmar. Jadi, adalah penting bagi anda supaya mengurangkan bahaya ini dengan mengambil hanya sedikit sahaja makanan berlemak dan berkolesterol tinggi.

Elakkan alkohol yang berlebihan

Seseorang yang mengambil alkohol mempunyai dua kali ganda kemungkinan untuk mendapat angin ahmar jenis pendarahan berbanding dengan mereka yang tidak mengambil alkohol. Bagi peminum alkohol yang tegar, risiko kejadian strok boleh meningkat kepada tiga kali ganda.

Kurangkan garam

Terlalu banyak garam dalam satu-satu diet boleh menyebabkan tekanan darah tinggi. Menurunkan tekanan darah boleh dicapai dengan mengurangkan pengambilan garam.

Kawal berat badan

Cuba kawal berat badan anda dalam lingkungan yang ideal mengikut umur dan tinggi anda. Tekanan darah meningkat dengan peningkatan berat badan dan turun apabila kurang berat.

Senaman yang teratur

Rangka satu program senaman yang teratur. Anda adalah dinasihatkan supaya mendapat pemeriksaan lengkap perubatan sebelum memulakannya senaman. Doktor anda boleh menyediakan satu program senaman yang sesuai untuk anda.

Elakkan tekanan yang berlebihan

Cuba elakkan daripada situasi-situasi yang tertekan dan belajarlah teknik-teknik menenangkan diri jika tertekan. Jika anda mempunyai tabiat suka bersaing serta mengamalkan corak hidup yang tergopoh-gapah, buatlah perubahan. Tekanan hidup boleh meningkatkan tekanan darah anda.

Pencegahan melalui perubatan

Pemeriksaan teliti mengenai kesihatan badan secara keseluruhan adalah penting. Ini termasuklah memeriksa sistem kardiovaskular.

Ramai doktor berpendapat penggunaan ubat-ubatan yang membantu menghalang pembekuan darah seperti aspirin dan ticlopidine dapat menolong dalam mencegah kejadian angin ahmar. Kaedah ini adalah disyorkan terutama kepada mereka-mereka yang didapati mudah cenderung kepada pembekuan darah, yang mana ini adalah merupakan 2/3 daripada penyebab angin ahmar.

Rawatan darah tinggi dan sakit jantung yang teratur juga amat penting. Berundinglah dengan doktor anda jika anda rasa anda patut berbuat demikian. Doktor anda mungkin mencadangkan supaya satu pembedahan dijalankan dimana arteri karotid dalam tengkuk dibuka dan bahan yang menyekat saluran arteri ini dikeluarkan.

Rawatan pemulihan pesakit angin ahmar

Pengidap angin ahmar boleh mengurangkan penderitaan mereka melalui program pemulihan atau rehabilitasi yang dapat membantu mereka mencapai tahap maksima dari segi keupayaan fizikal, mental dan aktiviti bersosial.

Ini bermakna memulihkan kembali kehilangan keupayaan mereka akibat daripada serangan angin ahmar dan mempelajari kemahiran-kemahiran baru untuk mengatasi kelemahan yang dialami.

Baca artikel kami yang menerangkan dengan lebih lanjut berkenaan rehabilitasi pesakit angin ahmar:

  1. Komplikasi dan Rawatan Pemulihan Pesakit Strok
  2. Rehabilitasi Untuk Pesakit Strok (Angin Ahmar)

      

Langgan Newsletter Kami
Jom dapatkan notifikasi artikel-artikel terbaru kami terus ke email anda!
Laman web ini bertujuan untuk memberikan pengetahuan am sahaja dan tidak membuat sebarang nasihat perubatan individu. Jika anda mempunyai apa-apa simptom sila berjumpa doktor dengan kadar segera.