Masalah Spektrum Autism

Istilah autism digunakan untuk mentakrif corak kelakuan anak yang berpunca daripada kesukarannya untuk berinteraksi dengan orang lain.

Istilah autism digunakan untuk mentakrif corak kelakuan anak yang berpunca daripada kesukarannya untuk berinteraksi dengan orang lain, termasuk ibu bapanya.

Anak yang autistik hidup dalam dunianya tersendiri. Misalnya, walaupun anak tidak pekak, anak seakan-akan tidak mendengar apa yang dikatakan kepadanya.

Ramai antara mereka langsung tidak bertutur atau bertutur dengan cara yang aneh. Jika ibu bapa mengimbas kembali sejarah anak, mereka akan mendapati semasa bayi anak jarang tersenyum dan tidak pernah meminta untuk didukung.

Punca Spektrum Autism

Sejak penyakit ini mula dibincangkan pada tahun 1943, pelbagai teori tentang punca gangguan ini telah dikemukakan tetapi baru kini diketahui bahawa keadaan ini bukan berpunca daripada perlakuan ibu bapa atau tindak balas terhadap faktor persekitaran.

Namun beberapa faktor dilihat cenderung untuk kanak-kanak mempunyai spektrum autism:

  • Jantina anak : Lelaki mempunyai 4 kali ganda risiko mendapat spektrum autism
  • Sejarah keluarga : Keluarga yang mempunyai seorang anak autism ada potensi untuk mendapat anak autism bagi kandungan seterusnya. Adalah sesuatu yang biasa untuk saudara mara mempunyai anak autism atau mempunyai masalah berkaitan komunikasi.
  • Penyakit lain : Kanak-kanak yang mempunyai penyakit tertentu mempunyai risiko lebih tinggi untuk mendapat spektrum autism atau masalah perkembangan mental seperti penyakit tuberous sklerosis, Rett syndrome, sindrom fragile X dan lain-lain
  • Kelahiran pra-matang ekstrim : Bayi yang lahir kurang dari 26 minggu kandungan mempunyai risiko lebih tinggi untuk mendapat spektrum autism
  • Umur ibu bapa : Terdapat hubungkait terhadap anak autism yang lahir kepada ibu bapa yang telah berumur namun kajian lanjut masih dijalankan.

Pengesanan Kanak-kanak Autism

Autism biasanya tidak dikesan sehingga ibu bapa mendapati bahawa anak mereka masih belum pandai bertutur. Pada ketika ini, anda mungkin menyedari hakikat bahawa anak kerap menyisihkan diri dan menghabiskan masa bermain seorang diri.

Kerap kali anak akan menunjukkan kelakuan yang tertentu, seperti menyentuh benda dalam turutan yang tertentu atau menggoyangkan badannya ke depan dan belakang. Jika diganggu, anak akan melenting dan membuat perangai.

Kelakuan ini menunjukkan keperluannya untuk berada di persekitaran yang tidak berubah.

Ada kanak-kanak autistik yang sangat peka terhadap sesuatu benda. Misalnya mereka akan menumpukan perhatian terhadap pergerakan tangan atau jari atau menggosok-gosok sesuatu permukaan seakan-akan menghayati tekstur.

Tanda-tanda Spektrum Autism

  • Tidak suka bersosial.
  • Pendengaran tidak normal.
  • Mengelak daripada bertentang mata.
  • Gangguan pertuturan.
  • Corak kelakuan yang berulang.
  • Tidak mengendahkan rasa sakit.

Sebahagian kanak-kanak sudah menunjukkan spektrum autism sejak awal seperti tiada eye contact, lambat memberi respon terhadap panggilan atau tidak memberi tindakbalas kepada penjaga. Ada kanak-kanak yang bermula normal namun selepas beberapa bulan atau tahun mula menjadi agresif dan hilang kemampuan berkomunikasi yang dipelajari. Selalunya bermula pada umur 2 tahun.

Setiap kanak-kanak spektrum autism mempunyai paten yang unik dan tahap keterukan berbeza – dari yang rendah tahap fungsi ke tahap fungsi yang tinggi.

Ada kanak-kanak spektrum autism mempunyai masalah belajar, ada yang mempunyai tahap berfikir yang rendah, ada yang belajar dengan baik tetapi tidak mampu berkomunikasi atau mengaplikasikan apa yang dipelajari.

Disebabkan variasi berbeza untuk setiap kanak-kanak autism, kadangkala penyakit ini sukar untuk dikenalpasti.

Paten Tingkahlaku Kanak-kanak Autism

Kanak-kanak atau orang dewasa dengan spektrum autism mungkin mempunyai tingkahlaku, minat atau aktiviti berulang seperti berikut:

  • Membuat pergerakan berulang seperti berpusing, berayun atau pergerakan tangan
  • Membuat aktiviti yang mencederakan diri sendiri seperti menghantukkan kepala dan menggigit
  • Mempunyai rutin yang spesifik dan akan mengamuk jika diganggu
  • Mempunyai masalah kordinasi dan melakukan pergerakan pelik seperti menginjit ketika berjalan, berjalan dengan lemah atau bahasa badan yang berlainan
  • Mempunyai minat terhadap objek yang bergerak seperti tayar kereta mainan tetapi tidak memahami fungsi pergerakan itu
  • Sensitif kepada cahaya, bunyi dan sentuhan tetapi tidak mengendahkan rasa sakit atau kepanasan
  • Tidak melibatkan diri dalam permainan ‘rolaplay’ atau imitatif
  • Bila minat sesuatu akan fokus secara berlebihan
  • Cerewet berkenaan makanan seperti makan benda yang sama dan hanya suka tekstur makanan tertentu

Apabila mereka membesar, sesetengahnya akan mula berkomunikasi dengan orang lain dan kurang menunjukkan kerenah. Ada juga yang boleh meneruskan hidup seperti biasa atau hampir kepada orang normal. Namun, sesetengah yang masih tidak mampu berkomunikasi mungkin akan menjadi lebih teruk apabila dewasa.

Tanda biasa pada kanak-kanak autism

Komplikasi Autism

Masalah berkaitan interaksi sosial, komunikasi dan tingkahlaku akan membawa kepada:

  • Masalah pembelajaran di sekolah dan dalam kehidupan
  • Masalah mendapatkan pekerjaan
  • Masalah pergantungan hidup apabila dewasa
  • Disisihkan masyarakat
  • Tekanan terhadap keluarga
  • Mangsa buli

Pencegahan Autism

Tiada cara untuk mencegah autism tetapi terdapat banyak pilihan rawatan. Pengesanan awal dan intervensi membantu memulihkan serba-sedikit tingkahlaku, skill dan juga perkembangan komunikasi. Intervensi amat membantu di semua peringkat umur tidak kira awal atau lambat dikesan. Walaupun selalunya spektrum autism tidak menghilang, tetapi penghidap spektrum autism mampu untuk berfungsi dengan cemerlang.

Rawatan Spektrum Autism

Tiada penawar penyembuhan untuk autism dan tiada rawatan yang sama untuk setiap kanak-kanak. Objektif rawatan adalah untuk memaksimakan kebolahan anak supaya dapat berfungsi seperti normal dan mengurangkan tanda spektrum autism. Intervensi awal sejak tadika akan membantu kanak-kanak belajar berkenaan cara bersosial, berkomunikasi, berfungsi dan mempunyai tingkahlaku yang baik.

Terdapat pelbagai jenis terapi tidak kira di rumah atau pun di sekolah khas dan keperluan kanak-kanak autism mungkin berubah-ubah dari semasa ke semasa oleh itu ibu bapa perlu lebih fleksibel.

Doktor dan profesional yang memeriksa anak anda dapat memberi nasihat yang lebih lanjut dan merangka pelan pemulihan berdasarkan keadaan semasa anak anda.

Pilihan rawatan termasuklah:

  • Terapi tingkahlaku dan komunikasi : Terdapat banyak program yang tertumpu pada kebolehan sosial, bahasa dan tingkahlaku kanak-kanak autism. Terdapat program yang bertumpu kepada pemulihan tingkahlaku dan pengajaran skil, ada pula yang lebih tertumpu kepada komunikasi.
  • Terapi pelajaran : Untuk kanak-kanak autism yang memberi tindakbalas kepada program berstruktur boleh lah mengikuti program ini di mana-mana tadika khas dan mereka selalunya menunjukkan respons yang baik.
  • Terapi keluarga : Ibu bapa dan ahli keluarga yang lain boleh belajar cara untuk bermain dan berkomunikasi dengan anak autism untuk mendorong interaksi sosial, mengawal tingkahlaku dan mengajar skil harian.
  • Terapi lain : Selalunya bergantung pada keperluan anak autism, seperti terapi pertuturan untuk yang sukar bercakap, terapi carakerja untuk mengajar aktiviti harian, dan terapi fizikal untuk membantu pergerakan dan keseimbangan badan. Psikologis juga boleh membantu mengawal tingkahlaku anak.
  • Ubat-ubatan : Tiada ubat yang boleh mengurangkan spektrum autism, tetapi ada ubat yang boleh mengawal simptom seperti jika anak terlalu aktif atau ganas, ubat antipsikotik mungkin berguna dan ubat anti-kemurungan boleh digunakan jika anak autism terlalu resah. Pastikan semua ubat yang diberi adalah atas nasihat doktor sahaja.
Infografik spektrum autism
Print Friendly, PDF & Email
Staf Editorial
Laman web ini bertujuan untuk memberikan pengetahuan am sahaja dan tidak membuat sebarang nasihat perubatan individu. Jika anda mempunyai apa-apa simptom sila berjumpa doktor dengan kadar segera.