Penyakit Osteoporosis – Punca, Tanda & Rawatan

Penyakit tulang rapuh ataupun yang dikenali sebagai osteoporosis merupakan satu penyakit yang sering menyerang mereka yang telah berumur.

Penyakit tulang rapuh ataupun yang dikenali sebagai osteoporosis merupakan satu penyakit yang sering menyerang mereka yang telah berumur. Penyakit ini didapati lebih kerap menyerang wanita daripada lelaki.

Faktor Risiko

Menurut satu laporan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), dianggarkan bahawa setiap seorang daripada tiga wanita akan mengalami penyakit ini ataupun terdapat kemungkinan sebanyak 67% untuk golongan wanita mengalaminya.

Kemungkinan bagi orang lelaki mengalaminya juga agak tinggi dikalangan mereka yang berumur, merokok, minum minuman keras dan kurang bersenam. Walau bagaimanapun penyakit ini bukanlah satu penyakit genetik tetapi, merupakan satu penyakit yang boleh dikawal melalui pengawalan pemakanan yang baik.

Perbezaan kepadatan tulang normal dan rapuh

Punca Osteoporosis

Tulang selalunya tebal dan kuat semasa remaja. Pada sekitar umur 35 tahun, lebih banyak tisu tulang yang hilang daripada yang diganti. Ini menyebabkan tulang menjadi nipis dan lemah. Orang yang kerap melakukan senaman semasa muda, dan masih aktif semasa berumur, kurang risiko osteoporosis, kerana tulang masih kuat.

Ada beberapa faktor yang boleh meningkatkan risiko anda mendapat osteoporosis: Wanita berisiko lebih tinggi mendapat osteoporosis berbanding lelaki. Ini disebabkan penurunan hormon oestrogen selepas menopaus. Wanita berisiko tinggi apabila:

  • Mengalami menopaus awal sebelum umur 45 tahun
  • Menjalani pembedahan histerektomi (pembuangan organ rahim) sebelum berusia 45 tahun, terutama jika ovari dibuang sekali
  • Tidak datang haid dalam jangkamasa lama (lebih dari 6 bulan) disebabkan senaman berlebihan
  • Makan berlebihan hormon lelaki, iaitu testosteron. Lelaki menghasilkan hormon testosteron secara berterusan walaupun usia lanjut, tetapi berisiko mendapat osteoporosis jika paras hormon rendah

Penyakit yang menjejaskan penghasilan hormon boleh menyebabkan osteoporosis. Hormon wanita, estrogen dan hormon lelaki, testosteron adalah penting untuk menjadikan tulang kuat, dengan memproseskan mineral seperti kalsium. Osteoporosis boleh tercetus oleh masalah hormon, termasuk:

  • Hipertiroidism (kelenjar tiroid yang sangat aktif)
  • Gangguan kelejar adrenal. Dalam Sindrom Cushing, penghasilan berlebihan kortisol (hormon yang dihasilkan oleh kelenjar adrenal) menyebabkan osteoporosis
  • Kurang pengeluaran hormon seks ( estrogen dan testosteron).
  • Gangguan di kelenjar pituitari
  • Kencing manis

Fakta-fakta lain yang akan meningkatkan risiko mendapat osteoporosis termasuk:

  • Sejarah osteoporosis di kalangan keluarga yang terdekat (ibu bapa)
  • Tidak aktif dalam jangkamasa lama seperti terlantar di katil
  • Kerap mengambil minuman keras dan merokok
  • Gangguan penyerapan seperti ‘ Coeliac disease’ dan Crohn’s disease.
  • Penggunaan ubat kortikosteroid pada dos yang tinggi bagi tempoh yang lama (selalunya digunakan bagi rawatan arthritis dan asma) boleh memberi kesan kepada kekuatan tulang
  • Kekurangan kalsium
  • Paras vitamin D rendah
  • Jisim badan yang sangat rendah (contoh, berat badan yang kurang atau mempunyai tulang yang menipis akibat kecelaruan gaya pemakanan)

Pencegahan

1. Pengambilan Kalsium

Institut Perubatan Amerika Syarikat telah mencadangkan pengambilan minima kalsium, bagi mereka yang berumur antara 19 – 50 tahun, antara 1000 – 1200 miligram sehari tanpa mengira jantina ataupun bangsa. Masih terdapat pihak yang mendakwa bahawa jumlah ini masih terlalu rendah untuk mengelakkan penyakit osteoporosis.

Penyelidikan yang dijalankan di Malaysia mendapati bahawa pengambilan kalsium di kalangan masyarakat Malaysia agak rendah jika dibandingkan dengan yang kadar yang disarankan di Amerika Syarikat, iaitu hanya pada kadar antara 250 – 430 miligram sehari (Sumber:Ismail 1989/1994 Suriah:1996).

Faktor lain adalah disebabkan kurangnya pengambilan makanan yang berkalsium tinggi seperti meminum susu atau memakan keju setiap hari di kalangan penduduk Malaysia.

Walaubagaimanapun, pengambilan makanan yang berkalsium tinggi perlu diawasi dengan teliti disebabkan makanan yang berkalsium tinggi pada kebiasaannya juga mempunyai kandungan lemak yang tinggi. Kandungan lemak yang berlebihan ini boleh memudaratkan jantung.

Di antara sebab utama bagi kaum wanita lebih kerap diserang penyakit ini adalah kerana bagi kaum wanita yang mengandung, kalsium akan digunakan oleh tubuh mereka untuk pertumbuhan anak di dalam kandungan.

Oleh itu adalah penting bagi bakal ibu memastikan bahawa mereka mengambil pemakanan yang berkalsium tinggi semasa mengandung. Pengambilan kalsium yang tinggi adalah lebih penting bagi bakal ibu yang telah mula mengandung sedangkan baru sahaja melahirkan anak dalam tempoh kurang daripada setahun. Ini disebabkan oleh kerana badan mereka masih belum dapat menggantikan kalsium yang digunakan ketika mengandung sebelum ini.

Makanan tinggi kalsium

2. Tidak Mengambil Vitamin C Berlebihan

Pengambilan vitamin C melebihi had yang dicadangkan juga boleh menambahkan risiko osteoporosis. Ini ialah kerana badan kita akan cuba meneutralkan keasidan dengan menggunakan kalsium yang diserap melalui pemakanan. Sekiranya jumlah kalsium tidak mencukupi, badan kita akan menggunakan kalsium dari tulang sebagai tambahan.

Osteoporosis tidak begitu diambil berat dikalangan masyarakat di Malaysia oleh kerana kesan penyakit ini tidak dapat dilihat secara langsung, tetapi hanya dapat dilihat setelah penghidapnya telah pun tua.

Terdapat juga pendapat yang mengatakan bahawa pengambilan minuman yang mengandungi kafeina juga boleh membawa kepada osteoporosis. Ini disebabkan oleh peranan kafeina yang menggalakkan perkumuhan. Ia membawa kepada kehilangan kalsium melalui air kenching.

3. Bersenam

Bagaimanapun, selain daripada mengawal pemakanan, cara terbaik bagi mereka yang ingin mengelakkan osteoporosis sama ada yang masih muda ataupun yang telah berumur ialah bersenam.

Senaman boleh menggalakkan tulang untuk tumbuh semula seperti yang dilakukan oleh para angkasawan bagi mengatasi masalah yang sama.

Para angkasawan yang tinggal untuk tempoh yang lama di angkasa bebas graviti, mengalami tanda-tanda pengurangan kalsium dari tulang yang teruk.

Bagaimanapun, dengan bersenam setiap hari, kadar kehilangan kalsium ini dapat dikurangkan, tetapi pengurangan kalsium sepenuhnya ini hanya dapat dihentikan atau diundurkan apabila para angkasawan ini telah pulang ke bumi dan mula menjalani aktiviti biasa, kecuali untuk kes yang teruk.

Ini menunjukkan bahawa senaman boleh melambatkan permulaan osteoporosis dan selain itu senaman juga boleh mencegah tekanan darah rendah dan kadar cholesterol.

Vitamin D juga telah di dapati boleh membantu penyerapan kalsium oleh badan. Oleh itu pengambilan vitamin D bersama dengan kalsium boleh menambah keberkesanan penyerapan kalsium oleh badan.

Kesan Osteoporosis

Kurangnya kesedaran di kalangan masyarakat Malaysia menunjukkan perlunya kempen kesedaran diadakan bagi menambahkan pengambilan kalsium untuk memastikan kekukuhan tulang berkekalan sehingga hari tua.

Osteoporosis akan menyebabkan tulang penghidapnya menjadi rapuh. Ini adalah disebabkan oleh kepadatan tulang penghidap pesakit berkurang jika dibandingkan dengan orang biasa, keadaan ini akan menyebabkan tulang pesakit mudah patah. Keadaan ini adalah lebih ketara kepada mereka yang kurang memakan makanan berkalsium dan bersenam.

Tanda-tanda lain penyakit ini ini adalah dingin seks, resah dan gelisah yang berlarutan. Kekurangan yang teruk pula adalah tubuh pesakit lebih bongkok, mudah mengalami patah tulang dan ketinggian mereka mengurang.

Masalah bongkok akibat osteoporosis

Perkara ini amatlah mendukacitakan oleh kerana pada masa itu keadaan sudahpun hampir terlambat dan badan kita sudahpun tidak mampu menggantikan jumlah kalsium yang hilang di dalam tulang kita. Pengambilan kalsium tinggi pada ketika itu hanya dapat menghalang kehilangan kalsium dari berlanjutan tetapi tidak dapat menggalakkan pembinaan tulang semula.

Pengesanan Osteoporosis

Osteoporosis selalunya tidak dikesan sehinggalah tulang menjadi rapuh lalu menyebabkan kepatahan. X-ray tidak boleh memberi ukuran jisim tulang yang betul, tetapi boleh mengenalpasti kepatahan tulang.

Kepadatan tulang dapat dilihat melalui imbasan DEXA (Dual Energy X-ray Absorptiometry), dan membandingkannya dengan tulang yang normal. Ujian ini mengukur kekuatan tulang serta risiko kepatahan penghidap osteoporosis.

Cara imbasan DEXA dilakukan

Rawatan Osteoporosis

Penyelidikan yang berterusan mendapati beberapa jenis dadah perubatan yang mempunyai potensi untuk menggalakkan tulang untuk membina semula kepadatannya, tetapi adalah perlu diingati bahawa pengelakan dari penyakit adalah lebih baik dari rawatan.

Oleh itu pastikan anda mengamalkan tabiat pemakanan yang baik semasa muda dan rajin bersenam.

Antara rawatan perubatan yang boleh diberikan kepada penghidap osteoporosis termasuk:

  • Terapi gantian hormon (Hormone Replacement Therapy) terapi ini membantu wanita yang bakal menopos dengan mengekalkan keupayaan tulang dan mengurangkan kepatahan tulang sepanjang rawatan. Walau bagaimapun pun HRT tidak selalu disyorkan sebagai rawatan pertama osteoporosis kerana mampu meningkatkan risiko mendapat strok, sakit jantung dan juga kanser payu dara. Anda perlu berbincang dengan doktor mengenai kebaikan dan risiko HRT.
  • Rawatan testosteron sangat berguna kepada lelaki yang dikaitkan dengan oateoporosis kesan daripada kekurangan penghasilan hormon seks lelaki.
  • Bisfosfonat ubatan bukan hormone mengekalkan keupayaan tulang dan mengurangkan kadar kepatahan. Kadar kerapuhan tulang dikurangkan manakala proses penghasilan akan meningkat.
  • Kalsitonin – hormon yang dihasilkan dari kelenjar tiroid menghalang sel yang menyebabkan kerapuhan tulang.
  • Kalsium dan vitamin D tambahan amat berguna untuk lelaki dan wanita bagi mengelakkan risiko kepatahan tulang pinggul. Pengambilan kalsium yang mencukupi dalam pemakanan semasa muda sangatlah penting bagi mengurangkan risiko terutama wanita. Anda perlu 1000mg kalsium setiap hari iaitu bersamaan dengan segelas susu. Sekiranya anda tidak mendapat kalsium yang cukup dalam pemakanan harian tanyalah doktor anda untuk mendapatkan nasihat pengambilan supplemen kalsium.
  • Selective Estrogen Receptor Modulators (SERMs) adalah ubatan yang mengurangkan risiko kepatahan terutama tulang belakang.
Contoh keputusan imbasan DEXA

Print Friendly, PDF & Email
Langgan Newsletter Kami
Jom dapatkan notifikasi artikel-artikel terbaru kami terus ke email anda!
Laman web ini bertujuan untuk memberikan pengetahuan am sahaja dan tidak membuat sebarang nasihat perubatan individu. Jika anda mempunyai apa-apa simptom sila berjumpa doktor dengan kadar segera.