Penyakit Hipertiroid – Punca, Tanda dan Rawatan

Masalah biasa kelenjar tiroid ialah hipertiroid iaitu penghasilan hormon tiroid yang berlebihan yang boleh berpunca dari banyak penyakit.

Kelenjar tiroid yang terletak pada bahagian depan leher mempunyai peranan penting dalam menghasilkan hormon yang bertindak untuk mengawal metabolisma dalam tubuh manusia.

Kelenjar yang berbentuk seperti rama-rama ini juga berfungsi memastikan bahawa hormon tiroid yang dihasilkan dalam keadaan seimbang dengan keperluan tubuh.

Kedudukan kelenjar tiroid

Ini kerana sekiranya hormon tersebut tidak dihasilkan mengikut keperluan tubuh, ia boleh menimbulkan pelbagai masalah.

Masalah biasa kelenjar tiroid ialah hipotiroid (kekurangan penghasilan hormon tiroid) dan hipertiroid (penghasilan hormon tiroid yang berlebihan). Hipertiroid merupakan masalah yang sering berlaku.

Penyakit ini perlu ditangani dengan sebaik-baiknya kerana rawatan yang tidak tepat boleh mengakibatkan kematian. Ini kerana, tanda-tanda yang dihidapi oleh seseorang pesakit hipertiroid menyebabkan ramai beranggapan bahawa penyakit ini merupakan penyakit buatan orang.

Sebaliknya, masalah ini boleh ditangani sekiranya pesakit datang awal berjumpa doktor.

Tanda-tanda dan Gejala Hipertiroid

Antara tanda-tanda yang biasa dialami ialah:

  • Jantung berdebar-debar
  • Tangan berpeluh-peluh dan menggeletar
  • Penurunan berat badan
  • Keguguran rambut
  • Kerap membuang air besar
  • Tidak boleh duduk diam
  • Bagi pesakit wanita, kitaran haid mereka akan terganggu dan menyebabkan pengeluaran darah haid berkekurangan
Tanda-tanda hipertiroid

Individu berisiko

Masalah ini boleh berlaku kepada mana-mana individu, namun wanita dalam lingkungan umur reproduktif lebih terdedah dengan masalah ini. Di samping itu, mereka yang merokok juga berisiko tinggi untuk mendapat penyakit ini.

Punca Hipertiroid

Antara punca yang biasa menyebabkan masalah ini ialah:

1. Penyakit Graves

Penyakit ini merupakan antara punca penyebab yang paling biasa berlaku di mana ia mengakibatkan penghasilan hormon tiroid yang berlebihan. Penyakit ini timbul kerana terdapat masalah pada sistem pertahanan tubuh. Biasanya, sistem pertahanan tubuh (sistem imun) akan mempertahankan tubuh daripada sebarang serangan bakteria dan virus.

Sebaliknya, bagi penyakit autoimun (penyakit Graves), sistem pertahanan tubuh akan menyerang tisu-tisu tubuh. Bagi penyakit ini, tubuh menghasilkan antibodi yang bertindak ke atas kelenjar tiroid yang menyebabkan ia menghasilkan terlalu banyak hormon tiroid. 

Kebiasaannya, mereka yang menghidap penyakit ini mempunyai sejarah keluarga yang menghidap penyakit seumpama ini. Nisbahnya dianggarkan lebih tinggi di kalangan wanita sebanyak lima kali ganda.

Penyakit ini juga boleh mengakibatkan warna kulit seseorang itu bertompok-tompok putih (vitiligo).

 Antara gejala penyakit ini ialah:

  • Bengkak pada kelenjar tiroid dikenali sebagai penyakit Goiter
  • Tidak boleh duduk diam dan sentiasa gelisah
  • Tangan sering menggeletar
  • Mata seakan-akan terkeluar (exophthalmos)
Exophthalmos – mata yang terkeluar

Penyakit Graves mengakibatkan salah satu atau kedua-dua belah mata terkeluar daripada soketnya. Sehubungan itu, keadaan ini mengakibatkan mata akan kehilangan kawalan otot-ototnya, penglihatan berganda dan boleh mengakibatkan hilang penglihatan.

Namun, risiko hilang penglihatan ini agak jarang berlaku.

2. Adenoma toksik

Ketumbuhan pada tiroid yang menyebabkan hormon tiroid dihasilkan secara berlebihan.

Tiroid akan membengkak jika ada ketumbuhan atau terlampau aktif

Manakala punca yang juga mempunyai kaitan tetapi agak jarang berlaku ialah:

3. Tiroiditis

Bermaksud keradangan pada kelenjar tiroid.

4. Pengambilan hormon tiroid

Pengambilan hormon tiroid di katakan berkesan untuk mereka yang ingin menurunkan berat badan.

Bagaimanapun, pengambilan hormon ini boleh menimbulkan implikasi sekiranya ia diambil berlebihan seperti merosakkan jantung dan mereputkan tulang seperti osteoporosis.

Rawatan Hipertiroid

Peluang untuk seseorang pesakit sembuh dari penyakit ini ialah 100 peratus, namun masa yang diperlukan untuk sembuh tidak menentu. Antara kaedah rawatan adalah melalui:

  • Ubat-ubatan
  • Radioaktif iodin
  • Pembedahan

Masalah ini boleh diatasi dengan rawatan ubat-ubatan. Peluang untuk sembuh bagi pesakit yang mendapatkan rawatan ubat ubatan ialah 50 peratus. Pesakit perlu mematuhi jadual pengambilan ubat-ubatan ini selama 18 bulan hingga dua tahun secara berterusan tanpa henti.

Pesakit dinasihatkan supaya tidak berhenti daripada mengambil ubat daripada tempoh yang di tetapkan. Ini kerana sekiranya pesakit berhenti daripada mengambil ubat-ubatan tersebut, peluang untuk sembuh agak tipis.

Bagaimanapun, pesakit boleh menghentikan pengambilan ubat-ubatan ini selepas tempoh yang ditetapkan. Biasanya pesakit tidak perlu menggunakan ubat ini lebih dari dua tahun.

Sekiranya masalah hormon tiroid yang berlebihan ini berulang atau tidak sembuh selepas 18 bulan, pesakit perlu menjalani rawatan radio aktif iodin atau pembedahan.

Radioaktif iodin (RAI)

Kaedah ini biasanya akan digunakan apabila pesakit gagal dirawat dengan rawatan ubat-ubatan.  Ramai di kalangan pesakit takut untuk menjalani rawatan ini kerana salah anggap mengenai risiko untuk mendapat penyakit kanser.

Bagaimanapun, hakikatnya kaedah ini selamat digunakan. Malah, kaedah seumpama ini digunakan agak meluas di Amerika Syarikat tanpa pesakit menghadapi sebarang komplikasi.

Melalui rawatan ini pesakit perlu minum radio aktif iodin sekali.  Keberkesanan rawatan akan dapat di lihat dalam tempoh antara tiga bulan hingga satu tahun.

Ubat radioaktif sodium iodide

Pada masa yang sama, pesakit juga perlu makan ubat-ubatan.  Namun, dengan rawatan ini pesakit juga boleh menghadapi masalah lain seperti kekurangan hormon tiroid (hipotiroid).

Masalah kekurangan hormon tiroid ini boleh diatasi dengan mengambil hormon thyroxine seumur hidup. Rawatan hormon ini mudah diamalkan di mana pesakit hanya perlu mengambil ubat sekali sehari. 

Melalui rawatan ini paras hormon akan stabil, di mana pesakit hanya perlu berjumpa doktor setahun sekali.

Kaedah rawatan ini juga digunakan untuk merawat kanser tiroid.  Bagaimanapun, dos yang digunakan 10 kali ganda lebih tinggi berbanding dos untuk penyakit hipertiroid.

Sekiranya pesakit terdiri daripada kalangan wanita, mereka tidak digalakkan hamil dalam tempoh enam bulan kerana bimbang timbul sebarang kemungkinan yang berbahaya kepada bayi.

Panduan selepas rawatan

Dalam tempoh seminggu selepas pesakit meminum radioaktif iodin ini, mereka dinasihatkan supaya tidak menghampiri wanita hamil dan kanak-kanak. Ini bagi mengelakkan kemungkinan rencatan pertumbuhan terutama bagi kanak-kanak yang sedang membesar.

Bagaimanapun, hingga kini belum ada catatan rencatan tumbesaran kanak-kanak ekoran dihampiri oleh individu yang meminum radioaktif iodin.

Komplikasi Hipertiroid

Penghasilan hormon yang berlebihan ini sekiranya dibiarkan tanpa rawatan boleh menyebabkan beberapa komplikasi seperti :

  • Masalah jantung iaitu degupan jantung menjadi laju dan lama-kelamaan ia menjadi lemah. Biasanya masalah ini akan timbul dalam jangka masa antara lima hingga enam tahun apabila ia tidak dirawat

Tiroid Akut

Pesakit tiroid yang tidak memakan ubat-ubatan boleh mengakibatkan metabolisme mereka meningkat terlalu tinggi dan menimbulkan masalah pada jantung. Pada masa yang sama, masalah tiroid yang dihidapi boleh berlaku secara mendadak sekiranya mereka mendapat  serangan jantung, strok atau jangkitan.

Pesakit juga mempunyai risiko tinggi mendapat gejala psikosis.

Pesakit Tiroid Wanita

Bagi wanita yang menghadapi masalah ini, mereka dinasihatkan supaya meneruskan pengambilan ubat-ubatan tiroid apabila hamil. Ini kerana sekiranya keadaan tiroid tidak terkawal, ia boleh mengakibatkan keguguran.

Kadangkala, doktor akan menggantikan ubat-ubatan yang di katakan lebih selamat dimakan.  Walau bagaimanapun, masalah tiroid ini biasanya akan pulih dengan sendirinya apabila seseorang wanita itu hamil.

Apa yang mengelirukan ialah simptom kehamilan dan hipertiroid sukar untuk dibezakan. Jika keadaan ini berlaku, doktor mungkin akan menghentikan ubat-ubatan untuk mengawal tiroid.

Bagaimanapun, selepas bersalin masalah ini akan muncul semula di mana terdapat kemungkinan keadaan menjadi lebih serius. Justeru, pesakit perlu mendapat rawatan seawal mungkin iaitu sebik-baiknya enam minggu selepas kelahiran.

Print Friendly, PDF & Email
Langgan Newsletter Kami
Jom dapatkan notifikasi artikel-artikel terbaru kami terus ke email anda!
Laman web ini bertujuan untuk memberikan pengetahuan am sahaja dan tidak membuat sebarang nasihat perubatan individu. Jika anda mempunyai apa-apa simptom sila berjumpa doktor dengan kadar segera.