X-ray merupakan ujian yang seringkali dilakukan dalam bidang perubatan. Kebanyakan hospital dan klinik di seluruh Malaysia telah dilengkapi dengan kemudahan untuk melakukan ujian x-ray ini.
Boleh dikatakan hampir kesemua rakyat Malaysia mempunyai pengalaman melakukan ujian x-ray. Jom fahami konsep dan peranan x-ray dalam bidang perubatan.
Sejarah x-ray
X-ray telah di temui oleh seorang Profesor Fizik berbangsa Jerman yang bertugas di Universiti Wurzburg, Wilhelm Conrad Ronrad Roentgen pada 8 November 1895. Beliau mendapati sinar ini mempunyai kuasa ajaib yang dapat menghasilkan imej di filem fotografi setelah menembusi tisu badan, pakaian dan juga logam.
Menerusi kajiannnya, Roentgen mendapati hablur garam barium platinosianida akan bersinar apabila diletakkan berdekatan dengan tiub sinar katod yang ditutup. Beliau juga mendapati plat foto yang ditutup dan diletakan berdekatan dengan sinar katod akan menjadi hitam.
Dari sini kesimpulan dapat dibuat bahawa x-ray tidak boleh dilihat, bergerak dalam garis lurus dan mempunyai daya penembusan yang tinggi, iaitu dapat menembusi objek yang tidak boleh ditembusi oleh sinar cahaya biasa.
Selepas itu, Roentgen menunjukkan sinar ini datang dari dinding kaca berpendaflour cahaya apabila sinar katod terkena padanya. Untuk mengesahkan penemuan ini, beliau telah menjalankan satu eksperimen ringkas. Dalam eksperimen ini beliau meletakan satu skrin yang di lapisi dengan barium platinosianida pada lintasan x-ray.
Skrin ini didapati bersinar apabila terkena pada x-ray ini. Dengan meletak tangan beliau diantara tiub sinar katod dan skrin, satu bayang tangan dengan tulang-tulang di dalamnya jelas kelihatan dalam skrin ini. Ini dapat membuktikan bahan x-ray yang terkeluar dari tiub sinar katod mempunyai kuasa penembusan yang tinggi.
Bidang radiografi mula diperkenalkan di Malaysia pada 3 Februari 1897, iaitu lebih kurang setahun selepas penemuan oleh Roentgen. Pengambilan gambar x-ray telah ditunjukkan semasa perjumpaan tahunan Persatuan Fotografi Amatur di Taiping pada penghujung tahun 1897.
Sebuah mesin x-ray yang lengkap telah dihadiahkan kepada Hospital Ipoh sempena Jubli Intan Ratu Victoria. Selepas itu, dua buah lagi mesin x-ray telah digunakan di Kuala Lumpur pada tahun 1905 dan di Pulau Pinang pada tahun 1910.
Bagaimana x-ray dihasilkan
X-ray di hasilkan apabila elektron bergerak pada kelajuan yang tinggi dan secara tiba-tiba berlaku perubahan dari segi kelajuan. Semua ini berlaku di dalam sebuah tiub x-ray. Di dalam sebuah tiub x-ray terdapat katod (-) yang merupakan sebuah filamen yang dipanaskan oleh tenaga elektrik. Pemanasan yang berlaku menyebabkan elektron dihasilkan dari filemen.
Maksud x-ray
X-ray dalam bahasa Malaysia juga dikenali sebagai sinar-x. X-ray merupakan salah satu daripada sinaran elektromagnet. X-ray mempunyai bentuk yang serupa dengan sinar cahaya biasa, inframerah dan gelombang radio, yang berbeza cuma dari segi panjang gelombangnya sahaja.
X-ray mempunyai gelombang yang pendek. Contoh panjang gelombang berbagai-bagai sinaran elektromagnet adalah seperti berikut:
Gelombang radio | 1cm – 3 x 10 5 cm |
X-ray | 7 x 10 –5 cm – 10 –2 cm |
Sinar cahaya | 4 x 10-5 cm – 7 x 10 –5 -5cm |
Sinar ultraungu | 10 –5 cm – 7 x 10 –5 cm |
X-ray | 10-7 cm – 10 –9 cm |
Sinar gama | 10-9 cm |
Sinar kosmos | < 10 –10 cm |
X-ray yang dihasilkan dengan tenaga 20-40 keV mempunyai panjang gelombang 10-7 cm dan sinar ini dikatakan x-ray lembut (soft-rays). X-ray yang dihasilkan dengan 40-125 keV mempunyai gelombang 10-8 cm. Sinar ini kerap digunakan untuk pemeriksaan x-ray diagnostik, manakala panjang gelombang yang lebih pendek lagi yang dihasilkan dengan tenaga 200-1000 keV digunakan dalam rawatan radioterapi yang lebih dalam (deep radiotheraphy). Sinar ini biasanya berukuran < 10-8 cm (hard-rays).
Pancaran x-ray dapat diperolehi daripada sejenis alat elektronik yang dinamakan tiub x-ray. Daripada kajian ahli sains didapati x-ray mempunyai sifat-sifat tertentu yang dapat dibahagikan kepada:-
- Sifat biasa.
- Sifat khas.
a) Sifat biasa
- X-ray bergerak laju dan lurus.
- Tidak boleh difokus oleh kanta atau cermin dan tidak boleh dipesong oleh medan magnet sekitar arah tuju yang dilaluinya.
- Mematuhi peraturan ‘Hukum Kuasa Dua Songsang’ iaitu keamatan sinar berubah dengan kuasa dua songsang jarak daripada punca pancaran.
b) Sifat khas
- Keupayaan menembusi jirim padat.
- Kesan pendarcahaya – memberikan kesan cahaya kepada sebatian kimia seperti zink sulfida, kalsium tungstat dan barium platinosiamida.
- Kesan fotografi – memberikan penghitaman kepada filem apabila didedah kepada x-ray.
- Kesan pengionan – alur x-ray yang melintas melalui gas memindahkan tenaganya kepada molekul-molekul yang seterusnya akan berpecah kepada zarah yang bercas positif dan negatif.
- Kesan biologi – x-ray bertindak dengan kesemua tisu hidup yang terdapat dalam badan.
Senarai ujian x-ray yang boleh dilakukan
1. Pemeriksaan am
- Anggota atas – tangan, sendi pergelangan tangan, radius ulna, sendi siku dan humerus
- Anggota bawah – kaki, sendi pergelangan kaki, tibia fibula, sendi lutut, femur
- Girdel bahu – sendi bahu
- Sendi pinggul – sendi pinggul dan 1/3 atas femur
- Tulang vertebra – cervikal, torasik, lumbar, sakrum, koksik
- Tulang torak – tulang rusuk
- Kandungan torak – paru-paru dan jantung
- Tengkorak – rangka kepala termasuk tulang muka
- Abdomen – gaster, usus kecil & besar, hepar dan lain-lain
- Pergigian – gigi dan mandibel
- Radiografi di wad
- Radiografi di dewan bedah
2. Pemeriksaan dengan kontras
- Sistem pencernaan – dari esofagus ke usus besar
- Sistem biliari – dari duodenum ke pundi hempedu
- Sistem urinari – dari buah pinggang ke pundi kencing
- Pemeriksaan angiografi – pemeriksaan salur darah arteri & vena
- Mielografi – pemeriksaan saraf-saraf
3. Pemeriksaan khas (termasuk bukan x-ray)
- Tomografi berkomputer atau CT Skan
- Pengimejan Resonan Magnetik atau MRI
- Ultrasonografi – pemeriksaan menggunakan frekuensi bunyi
- Pemeriksaan barium – ba.enema, ba.swallow, ba.meal, ba.meal follow through, small bowel enema & gastrografin study
- Pemeriksaan mamografi – pemeriksaan ke atas payudara
- Dakriosistografi – pemeriksaan ke atas sistem lakrimal
- Sialografi – pemeriksaan sistem kelenjar liur
- Histerosalpingografi – pemeriksaan ke atas sistem pembiakan perempuan
- Intravena urografi – pemeriksaan sistem urinari
- Micturation cystografi – pemeriksaan ke atas pundi kencing
- Sinografi
- Diskografi
- Artografi – pemeriksaan ke atas sendi
Tulis Komen