Penyakit Gonorrhea – Punca, Tanda dan Rawatan

Gonorrhea disebabkan oleh jangkitan bakteria Neisseria gonorrhea yang merebak melalui hubungan kelamin, yang menjangkiti saluran pembiakan.

Gonorrhea merupakan salah satu daripada penyakit kelamin (Sexually Transmitted Diseases – STDs) yang kerap berlaku. Gonorrhea boleh menjadi teruk sekiranya tidak dirawat dan akan menyebabkan pelbagai komplikasi yang lain.

Malangnya ramai diantara mangsa Gonorrhea sehingga 80%,  tidak menyedari mereka telah dijangkiti Gonorrhea. Ini  adalah disebabkan dalam kebanyakan kes, jangkitan Gonorrhea tidak menunjukkan tanda-tanda yang nyata.

Apa itu Gonorrhea

Gonorrhea disebabkan oleh jangkitan bakteria Neisseria gonorrhea yang merebak melalui hubungan kelamin, yang menjangkiti saluran pembiakan dalaman seperti uterus, salur fallopian, dan ovari.

Kadang-kala tanda-tanda Gonorrhea dapat dikesan, tetapi kebanyakan penghidap Gonorrhea tidak menunjukkan sebarang tanda yang ketara. Kuman Gonorrhea boleh didapati pada bahagian berlendir badan seperti saluran pembiakan, zakar, dubur, kerongkong, faraj, dan serviks.

Sekiranya penyakit Gonorrhea tidak dirawat, Gonorrhea juga boleh merebak kepada bahagian rahim dan salur fallopian, menyebabkan penyakit radang pelvik (Pelvic Inflammatory Disease – PID). Sekiranya ini berlaku, komplikasi bagi wanita seperti percantuman pada salur fallopian boleh menyebabkan kemandulan dalam 10% kes, dan juga masalah kehamilan di luar rahim.

Sekiranya Gonorrhea menjangkiti wanita yang mengandung, bayi yang dilahirkan secara normal menghadapi risiko dijangkiti Gonorrhea dan menjadi buta. Untuk mengelakkan keadaan ini, kebiasaanya, bayi akan dilahirkan melalui pembedahan Caesarean.

Sekiranya bayi dilahirkan secara normal rawatan menggunakan lapsis (silver nitrate) yang diletakkan pada mata bayi sekiranya terdapat tanda jangkitan. Sebelum 1985 rawatan ini digunakan secara meluas, tetapi kini ia hanya digunakan apabila terdapat tanda jangkitan.

Bagi kedua-dua golongan lelaki dan wanita masalah jangka panjang bagi Gonorrhea yang tidak dirawat adalah bengkak sendi arthritis kategori gonococcal arthritis boleh menyebabkan sendi jadi bengkak dan kaku. Jangkitan darah “Fatal septicemia” yang boleh membawa maut, juga merupakan salah satu komplikasi yang boleh berlaku.

Golongan berisiko

Sesiapa yang aktif secara seksual boleh dijangkiti Gonorrhea, dan penyakit Gonorrhea lebih kerap merebak dikalangan golongan yang lebih muda, antara umur 15 – 30 tahun. Ini disebabkan tabiat golongan muda yang menjalinkan hubungan rambang dengan dari satu pasangan seksual.

Gonorrhea juga lebih luas merebak dikawasan bandar berbanding kawasan luar bandar. Selain itu peratusan kes Gonorrhea dikalangan kumpulan homoseksual juga meningkat. Di Amerika Syarikat sahaja, di anggarkan terdapat 800,000 kes dilaporkan setiap tahun.

Tanda dan gejala

Mereka yang dijangkiti Gonorrhea menunjukkan tanda-tanda seperti:

Lelaki

Antara gejala gonorrhea pada lelaki termasuklah:

  • Keluar cecair bewarna kekuningan (creamy) atau hijau daripada alat kelamin
  • Sakit seperti terbakar apabila kencing
  • Gatal-gatal pada bahagian dubur
  • Radang (gatal-gatal) pada bahagian kerandut zakar
  • Radang pada bahagian kelanjar prostate (boleh ditentukan dengan pemeriksaan doktor)

Tanda-tanda ini kelihatan pada hari ke 2-7 selepas jangkitan pada lelaki. 10% ke 15% lelaki tidak menunjukkan sebarang tanda jangkitan Gonorrhea.

Wanita

Antara gejala gonorrhea pada wanita termasuklah:

  • Peningkatan keluaran lendir bewarna kekuningan (creamy) atau hijau daripada alat kelamin
  • Peningkatan jumlah cecair yang keluar dari alat kelamin
  • Pendarahan antara tempoh haid
  • Sakit apabila kencing
  • Gatal-gatal pada bahagian alat kelamin
  • Sakit atau memulas bahagian bawah perut
  • Sakit apabila bersetubuh
  • Jangkitan kerongkong
  • Demam
  • Jangkitan dalaman
    • Sembelit
    • Keluar lendir bewarna kekuningan (creamy) atau hijau daripada dubur
    • Gatal bahagian dalam dubur/alat sulit
    • Sakit ketika membuang air besar dan ada darah bersama najis
    • Dubur berdarah

Tanda-tanda ini biasanya kelihatan pada hari ke 2-30 selepas jangkitan dikalangan 20% kes bagi wanita. Bagaimanapun, dalam 80% kes tiada sebarang tanda jangkitan Gonorrhea kelihatan dikalangan wanita.

Tanda-tanda Gonorrhea

Mereka yang tidak menunjukkan sebarang tanda menghadapi risiko lebih tinggi menghadapi komplikasi daripada jangkitan Gonorrhea teruk, dan tanpa disedari akan menyebarkan jangkitan Gonorrhea.

Dari tempoh jangkitan Gonorrhea akan terus merebak sehingga dirawat dengan betul. Jangkitan yang terdahulu tidak menjadikan seseorang immune kepada Gonorrhea, malah komplikasi boleh berlaku dengan lebih pantas berbanding dengan mereka yang mengalami Gonorrhea kali pertama.

Jangkitan kali kedua juga menambah risiko mendapat jangkitan HIV.

Komplikasi gonorrhea

Dianggarkan 2% daripada pesakit Gonorrhea yang tidak dirawat akan menghidap Jangkitan Gonococcal Meluas (Disseminated Gonococcal Infection).

Tanda-tanda Jangkitan Gonococcal Meluas adalah:

  • Sakit sendi tulang (Gonococcal Arthritis)
  • Demam
  • Kudis pada kulit

Gonorrhea yang tidak dirawat juga boleh tersebar melalui salur darah dan boleh menjangkiti:

  • Injap jantung
  • Otak (jarang)

Selain itu, masalah jangka panjang bagi lelaki adalah:

  • Epididymitis (Radang pada keradut zakar yang boleh menyebabkan kemandulan)
  • Sakit sendi tulang (Gonococcal Arthritis)
  • Jangkitan organ lain
  • Bengkak pada kerandut zakar dan zakar

Masalah jangka panjang bagi wanita adalah:

  • Kudis
  • Mengandung luar rahim yang boleh menyebabkan kematian pada ibu. (Ectopic pregnancy)
  • Pelvic Inflammatory Disease (PID). Jangkitan yang merebak dari faraj dan serviks kepada uterus dan salur fallopian dan menyebabkan kemandulan
  • Jangkitan pada hati (Hepatitis)
  • Mandul pada wanita
  • Salur fallopian tersumbat yang menghalang telur yang subur memasuki rahim dan menyebabkan kemandulan
  • Jangkitan sekeliling hati (Perihepatitis)
  • Parut tebal terbentuk pada saluran fallopian

Penyebaran

Walaupun Gonorrhea tersebar melalui hubungan seks, Gonorrhea juga boleh merebak melalui kaedah yang lain.

Cara Gonorrhea merebak adalah melalui:

  • Hubungan kelamin termasuk:
    • Hubungan kelamin biasa. (30-50% lelaki, 60%-90% wanita)
    • Alat kelamin ke mulut (Gonococcal pharyngitis)
    • Alat kelamin ke dubur
  • Dari ibu kepada bayi ketika proses kelahiran semasa bayi melalui saluran peranakan yang menyebabkan jangkitan dan kerosakan pada mata.
  • Melalui sentuhan pada bahagian yang sakit.
  • Melalui najis pesakit.
  • Vulvovaginitis pada kanak-kanak melalui pakaian yang bercampur dengan pakaian pesakit Gonorrhea ketika dibasuh. Ini boleh menyebabkan satu keluarga dijangkiti Gonorrhea sekiranya bapa terkena Gonorrhea. Vulvovaginitis juga terdapat dalam kes penderaan seksual.

Pencegahan

Antara cara mencegah gonorrhea adalah:

  • Cara terbaik mengelakkan Gonorrhea adalah dengan mengelak dari melakukan hubungan kelamin (bagi yang belum berkahwin) atau hanya dengan berkahwin (1 pasangan sahaja)
  • Bagi mereka yang mengamalkan cara hidup berisiko dan aktif secara seksual, mereka perlu mengamalkan cara yang selamat ketika melakukan hubungan kelamin seperti penggunaan kondom dengan betul, yang menutupi bahagian yang terkena jangkitan penyakit kelamin. Penggunaan kondom dengan betul boleh mengelakkan penyebaran penyakit kelamin disamping mencegah kehamilan yang tidak dirancang.
  • Melakukan pemeriksaan lebih kerap dan secara berkala seperti setiap enam bulan sekali. Mereka juga perlu membersihkan tangan dengan teliti disebabkan bakteria Gonorrhea boleh merebak kepada mata.
  • Hubungan seksual perlu dilakukan dengan mereka yang diketahui selamat atau dengan satu pasangan sahaja dan dengan menggunakan kondom. Elakkan daripada melakukan hubungan rambang.
  • Mendapatkan penerangan terperinci dengan melawat klinik kesihatan, hospital, doktor, atau pengamal perubatan.
  • Selain itu adalah penting bagi wanita untuk menjalani pemeriksaan pap smear bertujuan mengesan sebarang kelainan kepada alat kelamin. Pengesanan awal perubahan yang diperoleh daripada ujian ini adalah langkah pencegahan terbaik bagi mengelakkan kanser rahim.

Pengesanan

Ramai doktor gemar menggunakan lebih dari satu ujian bagi mengenalpasti Gonorrhea agar lebih tepat.

Terdapat tiga jenis ujian makmal yang boleh dilakukan untuk memastikan Gonorrhea iaitu:

  • Mewarnakan Contoh Biologi (Staining Biological Samples)
    • Ujian mewarnakan contoh biologi dilakukan dengan meletakkan contoh lendir yang keluar dari zakar atau serviks dan mewarnakannya dengan pewarna (dye). Ujian ini adalah lebih tepat bagi lelaki berbanding wanita disebabkan hanya 1/2 wanita yang dijangkiti dapat dikesan dengan menggunakan ujian ini.
  • Penkulturan
    • Membiakkan bakteria dalam makmal dengan menggunakan lendiran yang keluar untuk dikulturkan dalam petri kultur dan mengeramkannya sehingga 2 hari untuk membenarkan bakteria membiak. Penkulturan contoh serviks mengesan 90% daripada mereka yang dijangkiti. Penkulturan juga boleh dilakukan dengan menggunakan sapuan kerongkong (throat swabs).
  • Mengesan gen Bakteria atau ujian Nucleic Acid (DNA)
    • Mengesan gen Bakteria atau ujian Nucleic Acid (DNA) digunakan dengan menggunakan air kencing atau sapuan serviks untuk mengesan gene bakteria. Ujian ini adalah lebih tepat berbanding penkulturan.
Gonorrhea di bawah mikroskop

Diagnosis

Sekiranya anda mempunyai tanda-tanda seperti di atas, atau mempunyai hubungan kelamin dengan mereka yang diketahui mempunyai penyakit kelamin atau mereka yang tidak dikenali, atau dirogol, anda perlu berjumpa dengan doktor serta merta.

Anda perlu memberitahu doktor untuk pemeriksaan penyakit kelamin. Pemeriksaan sapuan pap hanya menumpu kepada pemeriksaan kelainan pada sel serviks, dan bukannya untuk penyakit kelamin. Dengan permintaan khusus, pihak makmal akan menguji penyakit Gonorrhea secara khusus.

Jika anda ada melakukan hubungan seks rambang tanpa menggunakan kondom, anda perlu menguji diri anda untuk penyakit kelamin. Ini adalah untuk memastikan anda bebas daripada sebarang penyakit kelamin dan juga agar anda boleh mendapatkan rawatan untuk penyakit kelamin sekiranya anda dijangkiti.

Sekiranya anda didapati positif mempunyai sebarang penyakit kelamin, anda perlu memberitahu pasangan anda, kerana penyakit kelamin boleh berjangkit.

Selain daripada menghalang penyakit kelamin daripada terus merebak, pasangan anda mungkin tidak sedar tentang tanda-tanda penyakit. Dengan memberitahu pasangan anda, ini membantu pasangan anda untuk mendapat rawatan yang sempurna.

Walaupun anda mungkin merasa malu atau rendah diri untuk memberitahu pasangan anda bahawa mereka mempunyai masaalah ini, amat penting mereka diberitahu untuk mengelakkan mereka menghadapi masalah jangka panjang.

Rawatan

Penyakit Gonorrhea mudah dirawat dengan pengambilan antibiotik dalam bentuk pil, atau suntikan tempoh tertentu. Bagaimanapun Gonorrhea semakin tahan kepada ubat-ubatan biasa.

Antibiotik yang digunakan sekarang adalah:

  • Cefixime
  • Ceftriaxone
  • Ciprofloxacin
  • Ofloxacin
  • Tetracycline

Antibiotik Ciprofloxacin dan Ofloxacin perlu dielakkan sekiranya anda mengandung atau bawah 18 tahun.

Penghidap Gonorrhea biasanya juga menghidap jangkitan Chlamydial, sejenis penyakit kelamin yang lain.

Gabungan antibiotik yang mampu merawat kedua-dua penyakit adalah:

  • Azithromycin
  • Ceftriaxone
  • Doxycycline

Untuk memastikan rawatan yang diberikan berkesan, anda perlu mendapatkan rawatan seberapa segera sebelum kemandulan berlaku. Jangan berlengah kerana kemandulan hanya diketahui apabila anda cuba untuk mengandung.

Menghindar adalah cara terbaik untuk mengelakkan jangkitan Gonorrhea atau sebarang penyakit kelamin. Gunakan kondom kerana kondom berkesan sehingga 99% mengelakkan jangkitan penyakit kelamin. Atau elakkan daripada hubungan rambang, dan sebaiknya berkahwin.

Print Friendly, PDF & Email
Langgan Newsletter Kami
Jom dapatkan notifikasi artikel-artikel terbaru kami terus ke email anda!
Laman web ini bertujuan untuk memberikan pengetahuan am sahaja dan tidak membuat sebarang nasihat perubatan individu. Jika anda mempunyai apa-apa simptom sila berjumpa doktor dengan kadar segera.