Penyakit Kelamin – Punca, Tanda dan Rawatan

Penyakit kelamin merupakan penyakit yang berjangkit melalui hubungan seksual dan boleh dicegah dan dirawat terutamanya jika dikenalpasti lebih awal.

Penyakit kelamin bermaksud penyakit yang boleh berjangkit dari seseorang kepada orang yang lain melalui hubungan kelamin atau hubungan seksual. Seseorang itu boleh dijangkiti penyakit kelamin jika melakukan hubungan seks tanpa perlindungan menggunakan alat kelamin (penis dan vagina), lubang punggung (anus) atau mulut dengan seseorang yang telah dijangkiti penyakit kelamin.

Penyakit kelamin juga dikenali sebagai penyakit venereal atau sexually transmitted disease (STD/STI).

Walaubagaimanapun terdapat juga penyakit kelamin yang berjangkit bukan melalui hubungan seksual seperti melalui perkongsian jarum dan juga penyusuan susu ibu untuk penyakit tertentu.

Gejala penyakit kelamin pada lelaki

Ada penghidap penyakit kelamin yang tidak mengalami sebarang gejala, namun selalunya gejala akan muncul. Antara gejala penyakit kelamin pada lelaki termasuklah:

  • sakit atau tidak selesa ketika melakukan hubungan seksual
  • ruam, melecet, atau kulit merah pada atau di sekitar penis, buah zakar, lubang punggung, punggung, peha atau mulut
  • nanah atau pendarahan daripada penis
  • testis yang sakit atau membengkak

Terdapat juga gejala yang spesifik untuk penyakit kelamin tertentu sahaja.

Gejala penyakit kelamin pada wanita

Seperti lelaki, ada juga penghidap penyakit kelamin wanita yang tiada gejala. Namun gejala penyakit kelamin yang boleh berlaku pada wanita adalah seperti berikut:

  • sakit atau tidak selesa ketika kencing atau melakukan hubungan seksual
  • ruam, melecet, atau kulit merah pada atau di sekitar vagina, lubang punggung, punggung, peha atau mulut
  • nanah atau pendarahan daripada vagina
  • kegatalan di dalam atau sekitar vagina

Gejala ini boleh berbeza-beza mengikut penyakit kelamin yang dihidapi.

Jenis-jenis penyakit kelamin

Terdapat beberapa jangkitan yang boleh disebarkan melalui hubungan seksual. Penyakit kelamin yang kerap berlaku akan dibincangkan di dalam artikel ini.

Klamidia

Penyakit klamidia adalah disebabkan oleh jangkitan bakteria. Ianya adalah antara penyakit kelamin yang paling kerap berlaku.

Kebanyakan penghidap klamidia tidak mengalami sebarang gejala. Namun ada juga yang mengalami gejala seperti berikut:

  • sakit atau tidak selesa ketika kencing atau melakukan hubungan seksual
  • nanah berwarna hijau atau kuning keluar daripada saluran penis atau vagina
  • sakit pada bahagian bawah abdomen

Jika tidak dirawat, klamidia boleh menyebabkan:

  • jangkitan pada uretra, kelenjar prostat dan biji testis
  • penyakit keradangan pelvik (PID)
  • kemandulan

Jika wanita hamil menghidap klamidia yang tidak dirawat, ianya boleh menjangkiti bayi ketika proses kelahiran. Bayi boleh mengalami masalah seperti berikut:

Klamidia boleh dirawat dengan ubat antibiotik.

HPV (human papillomavirus)

Human papillomavirus (HPV) merupakan sejenis virus yang boleh merebak dari seseorang kepada orang yang lain melalui sentuhan atau hubungan seksual. Virus ini mempunyai banyak strain (pecahan virus) dan terdapat strain yang berbahaya.

Antara gejala paling kerap berlaku ketika jangkitan HPV adalah ketuat pada alat kelamin, mulut atau di dalam tenggorok.

Terdapat strain virus HPV yang boleh menyebabkan kanser seperti:

Walaupun kebanyakan jangkitan HPV tidak menyebabkan kanser, terdapat strain yang lebih berisiko menyebabkannya iaitu strain HPV 16 dan HPV 18. Kedua-dua strain HPV ini dikatakan menjadi punca lebih kurang 70% daripada kes kanser servikal.

Ketuat pada alat kelamin

Tiada rawatan khusus untuk jangkitan HPV, virus ini biasanya akan hilang dengan sendiri. Terdapat juga vaksin yang boleh melindungi seseorang daripada strain HPV yang berbahaya termasuk HPV 16 dan HPV 18.

Jika seseorang dijangkiti virus HPV, beberapa ujian saringan dan pengesahan perlu dilakukan bagi mengesan sebarang komplikasi berbahaya.

Sifilis

Sifilis juga adalah sejenis jangkitan bakteria. Ianya sukar dikesan pada peringkat awal jangkitan.

Antara gejala awal termasuklah ruam berbentuk bulat yang dikenali sebagai chancre. Ianya boleh muncul pada alat kelamin, lubang punggung atau mulut. Ianya tidak menyakitkan tetapi boleh menjangkiti orang lain.

Gejala sifilis seterusnya pula termasuklah:

  • ruam
  • badan letih
  • demam
  • sakit kepala
  • sakit sendi
  • berat badan berkurang
  • rambut gugur
Ruam Chancre

Jika tidak dirawat, sifilis boleh menyebabkan komplikasi berikut:

  • hilang penglihatan
  • hilang pendengaran
  • masalah memori
  • sakit mental
  • jangkitan pada otak atau saraf tunjang
  • sakit jantung
  • kematian

Walaubagaimanapun, jika dapat dikesan awal, sifilis boleh dirawat dengan mudah menggunakan ubat antibiotik. Adalah penting untuk melakukan ujian saringan sifilis kepada wanita hamil kerana jangkitan sifilis pada bayi yang baru lahir boleh mengancam nyawa.

Lebih awal penyakit sifilis dikesan dan dirawat, lebih ringan gejala dan komplikasi yang berlaku.

HIV

Penyakit HIV boleh memusnahkan sistem imun seseorang dan meningkatkan risiko penghidap untuk dijangkiti bakteria, virus dan mendapat kanser tertentu. Jika tidak dirawat, ianya boleh menyebabkan komplikasi AIDS. Tetapi dengan rawatan perubatan moden, kebanyakan pesakit HIV kini boleh mengelakkan komplikasi AIDS.

Pada peringkat awal, gejala HIV boleh menyerupai penyakit influenza. Antara gejala tersebut adalah:

  • demam
  • sejuk
  • sakit badan dan sendi
  • kelenjar limfatik membengkak (seperti biji di bawah kulit)
  • sakit tekak
  • sakit kepala
  • pening
  • ruam

Gejala awal ini akan hilang selepas lebih kurang sebulan. Setelah itu, ada pesakit yang tidak mengalami sebarang gejala selama beberapa tahun. Ada pula pesakit yang mengalami gejala tidak spesifik seperti:

  • cepat letih
  • demam
  • sakit kepala
  • masalah penghadaman

Sehingga kini belum ada lagi rawatan yang boleh menyembuhkan HIV, namun terdapat rawatan bagi mengawal gejala dan komplikasi HIV. Rawatan yang awal dan efektif dapat membantu penghidap HIV hidup normal seperti orang biasa.

Rawatan yang betul juga dapat mengurangkan risiko penyebaran virus HIV kepada pasangan pesakit. Ini kerana, rawatan perubatan dapat membantu mengurangkan jumlah virus HIV dalam badan pesakit ke tahap tidak dapat dikesan. Jika tahap ini dapat dicapai, HIV tidak dapat menjangkiti orang lain.

Tanpa ujian saringan, ramai mereka yang dijangkiti HIV tidak menyedarinya. Oleh itu, bagi mereka yang berisiko tinggi disarankan untuk menjalani ujian saringan HIV sekurang-kurangnya sekali setahun walaupun tiada gejala.

Ujian yang percuma dan rahsia boleh dijalankan di mana-mana klinik kesihatan kerajaan dan juga swasta jika anda risau atau mengesyaki dijangkiti HIV. Kini di Malaysia, mereka yang ingin berkahwin telah diwajibkan untuk menjalani ujian saringan HIV.

Pengesanan awal dapat membantu penghidap HIV menjalani kehidupan yang normal seperti orang lain.

Gonorrhea

Gonorrhea merupakan satu lagi jangkitan bakteria yang kerap berlaku melalui hubungan seksual.

Kebanyakan mereka yang dijangkiti gonorrhea tidak mempunyai gejala, tetapi ada juga yang mengalami gejala seperti berikut:

  • nanah berwarna putih, coklat atau hijau keluar daripada saluran penis atau vagina
  • sakit atau tidak selesa ketika kencing atau melakukan hubungan seks
  • kencing lebih kerap
  • sakit sekitar alat kelamin
  • sakit tekak

Jika tidak dirawat, gonorrhea boleh menyebabkan:

  • jangkitan kepada uretra, kelenjar prostat dan biji testis
  • penyakit keradangan pelvik (PID)
  • kemandulan

Penyakit ini boleh dijangkiti daripada ibu kepada bayi ketika proses kelahiran dan akan menyebabkan masalah kesihatan serius kepada bayi. Oleh sebab itu wanita hamil perlu menjalani ujian saringan bagi menentukan jika menghidap sebarang penyakit kelamin.

Penyakit gonorrhea boleh dirawat menggunakan ubat antibiotik.

Kutu pubis

Kutu pubis atau lice merupakan sejenis serangga yang boleh hidup pada bulu pubis. Seperti kutu kepala, ianya juga akan menyedut darah seseorang yang dijangkiti.

Antara gejala yang boleh dialami termasuuklah:

  • sakit disekitar alat kelamin dan lubang punggung
  • bintik berwarna pink atau merah sekitar alat kelamin atau lubang punggung
  • demam ringan
  • cepat letih
  • rasa terganggu

Selain itu, pesakit juga mungkin boleh melihat pergerakan atau menemui telur kutu tersebut pada akar bulu pubis. Ianya boleh dilihat dengan jelas menggunakan kanta pembesar.

Jika dibiarkan, kutu ini boleh menjangkiti orang lain melalui sentuhan kulit atau perkongsian pakaian, cadar dan juga tuala. Kawasan yang gatal dan digaru juga boleh dijangkiti kuman. Jadi adalah penting untuk merawat masalah kutu pubis ini.

Terdapat ubat yang boleh dibeli di farmasi seperti ubat sapu dan sikat khas untuk membuang kutu ini. Selain itu, pastikan juga pakaian, cadar, tuala dan rumah sentiasa dibersihkan apabila dijangkiti.

Trikomoniasis

Trikomoniasis adalah berpunca daripada organisma protozoa halus yang boleh berjangkit dari seseorang kepada orang lain melalui sentuhan alat kelamin.

Selalunya tidak menyebabkan sebarang gejala, namun terdapat pesakit yang mengalami gejala seperti berikut:

  • nanah daripada saluran penis dan vagina
  • rasa gatal atau terbakar pada penis dan vagina
  • sakit atau tidak selesa ketika kencing atau melakukan hubungan seks
  • kerap kencing

Pada wanita, nanah yang keluar kadangkala berbau busuk atau hanyir seperti ikan.

Jika tidak dirawat, ianya boleh menyebabkan:

  • jangkitan pada uretra
  • penyakit keradangan pelvik (PID)
  • kemandulan

Trikomoniasis boleh dirawat dengan menggunakan ubat antibiotik.

Herpes

Herpes merupakan singkatan kepada virus herpes simplex (HSV). Terdapat dua strain virus ini iaitu HSV-1 dan HSV-2. Kedua-duanya boleh merebak melalui hubungan seksual. Ianya juga agak kerap berlaku kepada mereka yang berisiko.

HSV-1 selalunya menyebabkan herpes mulut, yang seterusnya menyebabkan ruam sejuk (cold sores). Ianya juga boleh menjangkiti alat kelamin melalui hubungan seks secara oral. Apabila ini berlaku, HSV-1 akan menyebabkan herpes kelamin.

HSV-2 pula selalunya menyebabkan herpes kelamin.

Ruam sejuk (cold sores)

Antara gejala utama herpes adalah ruam lepuh. Dalam kes herpes kelamin, ruam ini terjadi pada atau disekeliling alat kelamin. Pada herpes mulut pula, ianya terjadi di dalam atau sekeliling mulut.

Ruam ini akan mengering dan sembuh selepas beberapa minggu. Ruam ini selalunya berasa sakit pada peringkat awal namun kesakitan akan beransur-ansur hilang.

Jika wanita mengandung menghidap herpes, ianya boleh menjangkiti bayi dalam kandungan atau ketika proses kelahiran. Ianya dikenali sebagai herpes kongenital dan sangat merbahaya kepada bayi. Oleh itu adalah penting bagi wanita mengandung untuk mengetahui status HSV mereka.

Sehingga kini masih tiada ubat untuk penyakit herpes, namun terdapat rawatan untuk mengawal jangkitan dan mengurangkan kesakitan akibat ruam herpes. Ubat ini juga boleh membantu mengurangkan risiko jangkitan kepada pasangan pesakit.

Rawatan yang efektif dan seks yang selamat dapat membantu pesakit menjalani kehidupan yang normal dan tidak menyebarkan virus ini kepada orang lain.

Penyakit kelamin yang lain

Antara penyakit kelamin yang lain pula termasuklah:

  • chancroid
  • lymphogranuloma venereum
  • granuloma inguinale
  • molluscum contagiosum
  • kudis buta (scabies)

Penyakit kelamin disebabkan seks oral

Hubungan seks melalui alat kelamin atau lubang punggung bukan satu-satunya cara penyakit kelamin boleh merebak. Ianya juga boleh berjangkit melalui seks oral atau seks menggunakan mulut. Dengan kata lain, jangkitan berlaku dari alat kelamin ke mulut atau sebaliknya.

Penyakit kelamin oral kadangkala sukar dikesan. Antara gejalanya termasuklah sakit tekak, ruam atau bintik di dalam atau sekitar mulut dan tenggorok.

Penyakit kelamin yang boleh sembuh

Kebanyakan penyakit kelamin boleh disembuhkan, penyakit kelamin berikut boleh sembuh dengan pengambilan ubat antibiotik dan rawatan lain:

Terdapat juga penyakit kelamin yang tidak boleh disembuhkan, antaranya adalah:

Walaupun tidak boleh sembuh, ianya masih boleh dikawal dengan rawatan. Adalah penting untuk mendapatkan diagnosis dan rawatan awal kerana pesakit boleh mengelakkan gejala yang teruk serta penyebaran jangkitan ini kepada orang lain.

Penyakit kelamin dan kehamilan

Penyakit kelamin juga boleh berjangkit daripada ibu kepada bayi dalam kandungan (fetus) atau ketika proses kelahiran. Penyakit kelamin boleh menyebabkan banyak komplikasi kepada bayi baru lahir termasuk kematian.

Untuk mencegah penyakit kelamin merebak kepada bayi, doktor akan melakukan ujian saringan terutamanya untuk ibu yang berisiko tinggi walaupun tiada gejala. Jika disahkan mempunyai penyakit kelamin, doktor mungkin akan memberikan ubat antibiotik, antivirus dan rawatan lain.

Terdapat juga kes di mana kelahiran perlu dilakukan melalui pembedahan caesarean bagi mengurangkan risiko jangkitan kepada bayi.

Pengesanan penyakit kelamin

Dalam kebanyakan kes, doktor tidak membuat diagnosis berdasarkan gejala semata-mata. Jika doktor mengesyaki anda manghidap penyakit kelamin, doktor akan mencadangkan beberapa ujian pengesahan.

Bergantung kepada sejarah hubungan seksual seseorang, doktor mungkin mencadangkan ujian saringan penyakit kelamin walaupun tidak mempunyai sebarang gejala. Ini kerana kebanyakan jangkitan penyakit kelamin tidak menyebabkan banyak gejala atau tidak disedari namun ianya masih boleh menjangkiti orang lain.

Kebanyakan ujian adalah melalui pengambilan darah dan air kencing. Kadangkala sapuan dari bahagian alat kelamin juga perlu diambil terutamanya jika terdapat ruam dan nanah.

Anda boleh mendapatkan ujian saringan penyakit kelamin dari klinik kerajaan dan juga klinik swasta. Ujian sendiri di rumah mungkin tidak begitu tepat.

Ujian Pap smear tidak dilakukan untuk mengesan penyakit kelamin. Ianya dilakukan bagi mengesan sel pre-kanser pada serviks. Walaubagaimanapun ianya boleh dilakukan bersekali dengan ujian HPV. Ujian Pap smear negatif tidak bermaksud seseorang itu tiada penyakit kelamin.

Jika anda pernah melakukan hubungan kelamin, anda boleh berbincang dengan doktor anda jika perlu melakukan ujian penyakit kelamin. Ini kerana terdapat individu yang lebih berisiko tinggi untuk mendapat jangkitan.

Rawatan penyakit kelamin

Rawatan untuk penyakit kelamin adalah berbeza mengikut jenis penyakit. Adalah penting untuk pesakit dan pasangan mendapatkan rawatan dahulu sebelum melakukan semula hubungan seksual. Jika tidak penyakit ini akan berterusan menjangkiti kedua-dua pasangan.

Disebabkan bakteria

Selalunya, ubat antibiotik adalah berkesan untuk jangkitan bakteria.

Adalah penting untuk menghabiskan ubat antibiotik yang diberikan. Teruskan pengambilan walaupun gejala semakin berkurangan. Sila maklumkan kepada doktor jika gejala tidak hilang atau kembali semula setelah anda selesai menghabiskan ubat antibiotik.

Disebabkan virus

Ubat antibiotik tidak boleh merawat penyakit kelamin yang disebabkan oleh virus. Kebanyakan jangkitan penyakit kelamin yang disebabkan virus tidak boleh sembuh, pilihan rawatan hanyalah untuk melegakan gejala dan mengurangkan risiko penyebaran penyakit.

Sebagai contoh, terdapat ubat yang boleh membantu mengurangkan kekerapan dan keterukan serangan herpes. Terdapat juga ubat untuk mengawal penyakit HIV. Ubat antiviral juga boleh membantu mengurangkan risiko penyebaran HIV kepada orang lain.

Penyakit kelamin yang lain

Terdapat juga penyakit kelamin yang bukan disebabkan oleh virus atau bakteria. Ianya disebabkan oleh organisma halus yang lain seperti:

Penyakit kelamin ini boleh dirawat menggunakan ubat makan atau ubat sapu. Dapatkan nasihat doktor mengenai pilihan rawatan yang sesuai untuk masalah anda.

Pencegahan penyakit kelamin

Mengelakkan hubungan seksual merupakan strategi paling berkesan bagi mencegah penyakit kelamin. Namun jika masih ingin melakukan hubungan seksual, terdapat cara yang selamat.

Apabila digunakan dengan betul, kondom memberikan perlindungan terhadap penyakit kelamin. Kondom boleh digunakan ketika melakukan hubungan seks melalui alat kelamin, lubang punggung mahupun mulut. Pelindung mulut atau dental dam juga boleh digunakan untuk memberikan perlindungan ketika melakukan hubungan seksual menggunakan mulut.

Jenis kondom di pasaran

Kondom secara umumnya boleh mencegah penyebaran penyakit kelamin melalui cecair badan seperti air mani dan darah. Namun ianya tidak memberikan perlindungan terhadap penyakit yang merebak melalui sentuhan kulit. Jika kondom tidak menutup bahagian kulit yang dijangkiti, seseorang masih boleh dijangkiti penyakit kelamin dari pasangannya.

Selain melindungi dari penyakit kelamin, kondom juga membantu mengelakkan kehamilan yang tidak dirancang.

Terdapat banyak lagi teknik bagi mengelakkan kehamilan yang tidak dirancang namun ianya tidak melindungi dari penyakit kelamin, antaranya ialah:

Ujian saringan berkala untuk penyakit kelamin juga boleh dilakukan bagi mereka yang aktif melakukan hubungan seksual terutamanya yang sering bertukar pasangan atau mempunyai ramai pasangan. Diagnosis dan rawatan awal boleh mencegah penularan penyakit kelamin.

Sebelum melakukan hubungan seksual dengan pasangan, anda boleh berbincang mengenai sejarah seksual lampau. Anda dan pasangan juga boleh menjalani ujian saringan penyakit kelamin kerana kebanyakan penyakit kelamin tidak menunjukkan gejala.

Tanya doktor anda berkenaan ujian penyakit kelamin spesifik yang dilakukan bagi memastikan anda mendapat maklumat yang tepat. Jika salah seorang positif penyakit kelamin, minta pandangan doktor berkenaan cara terbaik bagi mengelakkan pasangan yang negatif dari dijangkiti.

Selain itu, ubat pencegahan atau prophylaxis juga boleh diberikan mengikut jenis penyakit. Jika perlu, anda dan pasangan juga boleh mendapatkan vaksin bagi penyakit HPV dan juga hepatitis B.

Dengan mengikut saranan yang diberikan, seseorang boleh mengurangkan risiko mendapat atau menyebarkan penyakit kelamin kepada orang lain.

Hidup dengan penyakit kelamin

Jika seseorang itu disahkan menghidap penyakit kelamin, adalah penting untuk mendapatkan rawatan segera.

Jika seseorang itu mendapat penyakit kelamin, risiko untuk menyebarkan penyakit ini kepada orang lain adalah tinggi. Jika tidak dirawat, terdapat penyakit kelamin yang boleh menyebabkan komplikasi berbahaya bahkan kematian.

Kebanyakan penyakit kelamin boleh dirawat sehingga sembuh. Tetapi terdapat juga penyakit kelamin yang tidak boleh sembuh dan hanya boleh dikawal gejala dan komplikasinya bagi mengurangkan risiko jangkitan kepada pasangan.

Selain mengambil ubat dan langkah pencegahan, doktor juga mungkin menyarankan pesakit untuk mengubah tabiat seksual mereka bagi melindungi diri sendiri dan orang terdekat. Sebagai contoh, doktor mungkin menasihatkan pesakit untuk tidak melakukan hubungan seksual sehingga rawatan selesai. Apabila rawatan selesai, doktor akan menasihatkan pula untuk menggunakan kondom atau cara lain sebagai perlindungan ketika melakukan hubungan intim.

Adalah penting untuk mengikut pelan rawatan dan saranan daripada doktor supaya diri kita dan orang tersayang terlindung daripada penyakit kelamin.

Print Friendly, PDF & Email
Langgan Newsletter Kami
Jom dapatkan notifikasi artikel-artikel terbaru kami terus ke email anda!
Laman web ini bertujuan untuk memberikan pengetahuan am sahaja dan tidak membuat sebarang nasihat perubatan individu. Jika anda mempunyai apa-apa simptom sila berjumpa doktor dengan kadar segera.