Sakit Pinggang – Punca, Rawatan & Pencegahan

Sakit pinggang boleh disebabkan pelbagai punca dan pemeriksaan lanjut perlu dilakukan bagi membuat diagnosis yang tepat sebelum rawatan diberikan.

Sakit pinggang merupakan antara punca sakit badan kronik yang kerap berlaku. Sakit pinggang meliputi sakit pada bahagian belakang sebelah bawah.

Menurut kajian, sakit pinggang merupakan antara punca utama penyakit yang disebabkan oleh pekerjaan. Lebih kurang 80 peratus penduduk Malaysia pernah mengalami sakit pinggang ini.

Kebanyakan sakit pinggang berpunca daripada kecederaan, seperti otot terseliuh atau ketegangan disebabkan pergerakan yang tiba-tiba atau postur badan yang tidak betul ketika mengangkat barangan berat.

Sakit pinggang juga boleh disebabkan oleh penyakit berikut:

  • kanser pada saraf tunjang
  • disk yang pecah atau terkeluar
  • sciatika
  • artritis
  • jangkitan buah pinggang
  • jangkitan pada tulang belakang

Sakit pinggang akut boleh berlaku selama beberapa hari hingga beberapa minggu manakala sakit pinggang kronik pula berlaku melebihi tempoh tiga bulan.

Sakit pinggang lebih kerap berlaku pada individu berusia antara 30 ke 50 tahun. Ini kerana terdapat perubahan yang berlaku pada badan akibat proses penuaan. Apabila seseorang semakin berumur, terdapat pengurangan cecair di antara vertebra pada tulang belakang.

Ini menyebabkan disk yang terdapat diantara tulang belakang itu lebih mudah bergesal dan rosak. Penuaan juga menyebabkan fungsi otot semakin merosot dan lebih mudah tercedera. Oleh sebab itu adalah penting untuk menguatkan otot belakang serta mengekalkan postur yang betul bagi mengelakkan sakit pinggang.

Punca sakit pinggang

Otot meregang

Otot dan ligamen bahagian belakang boleh meregang atau terkoyak disebabkan aktiviti lasak. Antara gejalanya termasuklah sakit dan kesukaran bergerak, termasuk otot kejang. Rawatan utamanya adalah rehat dan terapi fizikal bagi mengurangkan gejala.

Kecederaan disk

Disk yang terletak di bahagian belakang amat mudah tercedera. Risikonya semakin meningkat dengan umur. Bahagian luar disk boleh terkoyak atau terkeluar.

Disk yang terkeluar ini juga dikenali sebagai disk hernia atau disk tergelincir (slip disc). Ianya berlaku apabila kartilej disekeliling disk ditekan oleh saraf tunjang atau akar saraf, ini akan menyebabkan lapisan disk yang terletak diantara tulang belakang ini terkeluar daripada posisi asal.

Disk yang tergelincir boleh menekan pada saraf tunjang

Ini boleh menyebabkan tekanan kepada akar saraf iaitu sejenis saraf yang berasal daripada saraf tunjang dan keluar melalui celah tulang belakang. Kecederaan disk selalunya berlaku secara tiba-tiba apabila mengangkat barang atau ketika bahagian belakang terpusing. Tidak seperti regangan otot, kecederaan pada disk selalunya akan menyebabkan kesakitan melebihi 72 jam.

Sciatika

Sciatik boleh berlaku bersama-sama disk hernia apabila disk tersebut menekan pada saraf sciatik. Saraf sciatik menghubungkan saraf tunjang kepada bahagian peha, betis dan kaki. Oleh itu, sciatika akan menyebabkan kesakitan pada peha, betis dan kaki. Kesakitan ini selalunya terasa seperti terbakar, atau dicucuk dengan jarum.

Stenosis tulang belakang

Stenosis tulang belakang berlaku apabila saluran laluan saraf tunjang pada tulang belakang mengecil, lalu menyebabkan tekanan kepada saraf tunjang dan saraf disekitarnya.

Stenosis tulang belakang selalunya disebabkan oleh kerosakan kepada disk yang terletak diantara tulang belakang. Ini akan menyebabkan akar saraf atau saraf tunjang ditekan oleh tulang dan tisu lembut seperti disk itu sendiri.

Tekanan kepada saraf tunjang ini boleh menyebabkan gejala seperti:

  • kebas
  • kejang
  • lemah otot

Gejala ini boleh dirasai di mana-mana sahaja bahagian badan bergantung pada di mana stenosis itu berlaku. Selalunya gejala ini disedari apabila pesakit mengalami kesukaran berdiri atau berjalan.

Lengkungan tulang belakang tidak normal

Skoliosis, kyphosis, dan lordosis merupakan keadaan di mana terdapat lengkungan yang tidak normal pada tulang belakang.

Ianya adalah keadaan yang mungkin berlaku dari lahir tetapi selalunya disedari pada umur kanak-kanak atau apabila meningkat dewasa. Lengkungan tidak normal ini akan menyebabkan kesakitan dan postur badan yang teruk kerana ianya boleh menyebabkan tekanan pada:

  • otot
  • tendon
  • ligamen
  • tulang belakang

Penyakit lain

Terdapat juga beberapa penyakit lain yang boleh menyebabkan sakit pinggang, antaranya adalah:

  • Arthritis iaitu keradangan pada sendi
  • Fibromyalgia iaitu sakit kronik (jangkamasa panjang) pada sendi, otot dan tendon
  • Spondylitis iaitu keradangan pada sendi di antara tulang belakang
  • Spondylosis iaitu sejenis penyakit degeneratif yang boleh menyebabkan kerosakan pada struktur dan fungsi tulang belakang. Ianya selalu disebabkan oleh proses penuaan, namun lokasi dan tahap kecepatan adalah berbeza bagi setiap individu

Antara keadaan atau penyakit lain yang boleh menyebabkan sakit pinggang termasuklah:

Pengesanan sakit pinggang

Doktor akan bertanyakan mengenai sejarah perubatan dan melakukan pemeriksaan fizikal bagi memastikan lokasi kesakitan. Pemeriksaan fizikal juga dapat melihat jika kesakitan itu menyebabkan kesukaran pergerakan.

Doktor juga mungkin akan memeriksa refleks dan deria sentuh anda. Ini bagi menentukan sama ada sakit pinggang ini ada melibatkan saraf atau tidak.

Melainkan jika anda mempunyai gejala yang teruk atau masalah neurologi, doktor mungkin akan mengawasi dahulu sakit pinggang selama beberapa minggu sebelum melakukan ujian seterusnya. Ini kerana kebanyakan sakit pinggang akan sembuh dengan rawatan biasa.

Namun jika anda mengalami gejala berikut, ujian seterusnya akan dilakukan. Antara gejala ini adalah:

  • tidak boleh mengawal kencing atau berak
  • lemah otot
  • demam
  • berat badan berkurang

Selain itu, jika sakit pinggang masih berterusan selepas rawatan awal, doktor mungkin akan melakukan ujian yang lain.

Dapatkan pemeriksaan perubatan segera jika anda mengalami gejala di atas bersekali dengan sakit pinggang.

Ujian pengimejan seperti X-ray, imbasan CT, ultrasound, dan MRI mungkin diperlukan supaya doktor dapat melihat jika terdapat:

  • masalah pada tulang
  • masalah disk
  • masalah kerosakan tendon dan ligamen bahagian belakang

Jika doktor mengesyaki terdapat masalah pada kekuatan tulang belakang, doktor akan melakukan ujian imbasan tulang atau ujian ketumpatan tulang. Ujian Electromyography (EMG) atau ujian fungsi saraf boleh membantu doktor mengenalpasti masalah pada saraf.

Rawatan sakit pinggang

Rawatan di rumah

Rawatan awal di rumah dapat membantu dalam tempoh 72 jam bermulanya kesakitan. Namun jika kesakitan itu berterusan, sila jumpa doktor dengan segera.

Berhenti melakukan sebarang aktiviti fizikal selama beberapa hari dan letakkan ais pada bahagian pinggang yang sakit. Selalunya doktor akan menyarankan penggunaan ais untuk tempoh 48 ke 72 jam pertama, selepas itu baru menggunakan tuaman panas.

Anda boleh bertukar-tukar di antara tuaman sejuk dan panas bagi merehatkan otot. Lakukan protokol RICE – rest, ice, compression, dan elevation — untuk tempoh 48 jam pertama.

Boleh juga ambil ubat penahan sakit yang dibeli di farmasi seperti ibuprofen (Advil, Motrin IB), atau acetaminophen (Tylenol) bagi mengurangkan kesakitan.

Kadangkala baring boleh menyebabkan kesakitan bertambah, oleh itu anda boleh cuba tidur mengiring dengan membengkokkan lutut dan meletakkan bantal diantara kedua belah kaki. Jika anda ingin baring, boleh cuba meletakkan bantal atau tuala yang digulung di bawah peha bagi mengurangkan tekanan pada pinggang.

Mandian air panas dan urutan juga dapat membantu merehatkan otot belakang yang tegang.

Rawatan perubatan

Sakit pinggang boleh berlaku disebabkan keadaan berikut:

  • kejang dan lemah otot
  • saraf tersepit
  • kedudukan tulang belakang yang tidak betul

Terdapat beberapa jenis rawatan perubatan yang boleh dicuba termasuklah:

  • ubat-ubatan
  • alatan perubatan
  • terapi fizikal

Doktor akan menentukan dos dan jenis ubat berdasarkan gejala yang anda alami. Antara ubat yang boleh digunakan termasuklah:

  • ubat merehatkan otot (relaksan)
  • ubat nonsteroidal anti-inflammatory drugs (NSAIDs) 
  • ubat penahan sakit jenis opiat seperti kodein
  • ubat steroid untuk mengurangkan keradangan
  • suntikan kortikosteroid

Doktor juga boleh mencadangkan terapi fizikal seperti:

  • urutan
  • regangan
  • senaman untuk menguatkan otot
  • manipulasi tulang belakang

Pembedahan

Untuk sakit pinggang yang teruk, pembedahan mungkin diperlukan. Pembedahan selalunya merupakan jalan terakhir apabila semua rawatan yang lain tidak berkesan. Jika berlaku gejala kencing dan berak yang tidak boleh dikawal, atau kehilangan fungsi saraf berterusan, pembedahan kecemasan mungkin perlu dilakukan.

Pembedahan disektomi boleh melegakan tekanan ke atas akar saraf yang menekan pada disk atau tulang belakang. Pakar bedah akan membuang bahagian lamina pada tulang belakang.

Pembedahan foraminotomi merupakan prosedur pembedahan bagi membuka saluran foramen, iaitu bahagian laluan akar saraf daripada saraf tunjang.

Terapi Intradiscal electrothermal (IDET) melibatkan jarum yang dimasukkan melalui kateter ke dalam disk dan dipanaskan selama lebih kurang 20 minit. Ini akan menyebabkan dinding pada disk menjadi lebih tebal dan mengurangkan disk yang terkeluar seterusnya mengurangkan tekanan ke atas saraf.

Pembedahan nukleoplasti pula menggunakan alat berbentuk panjang yang dimasukkan melalui jarum ke dalam disk. Seterusnya bahagian dalaman disk akan dibuang. Alat tersebut akan mengeluarkan pancaran radio bagi memanaskan dan mengecutkan tisu.

Pembedahan ablasi menggunakan radiofrekuensi dilakukan bagi mengubah atau mengurangkan fungsi saraf. Pakar bedah akan memasukkan jarum khas ke dalan saraf terlibat dan memanaskannya lalu merosakkan saraf tersebut.

Pembedahan menggabungkan tulang belakang (spinal fusion) juga boleh dilakukan bagi menguatkan tulang belakang dan mengurangkan pergerakan yang menyakitkan. Pakar bedah akan membuang disk diantara tulang belakang yang terlibat, seterusnya tulang belakang tersebut akan digabungkan dengan menggunakan skru khas atau graf tulang.

Laminektomi tulang belakang, atau dikenali juga sebagai dekompresi tulang belakang melibatkan pembuangan lamina untuk menjadikan saiz saluran saraf tunjang menjadi lebih luas. Ini akan mengurangkan tekanan ke atas saraf tunjang dan saraf yang lain.

Pencegahan sakit pinggang

Terdapat banyak cara yang boleh dilakukan bagi mencegah sakit pinggang. Amalkan teknik pencegahan ini bagi mengelak atau mengurangkan sakit pinggang.

Antara langkah pencegahan yang boleh dilakukan termasuklah:

  • melakukan senaman yang menumpukan otot abdomen dan otot belakang
  • mengurangkan berat badan sehingga mencapai BMI yang normal
  • mengangkat barang dengan membengkokkan lutut dan mengunakan otot betis dan peha
  • mengamalkan postur yang betul
Postur mengangkat barang yang betul

Anda juga boleh:

  • tidur atas permukaan yang menyokong belakang anda
  • duduk atas kerusi yang menyokong belakang dengan tinggi yang betul
  • elakkan memakai kasut tumit tinggi
  • berhenti merokok

Nikotin dalam rokok boleh mempercepatkan kerosakan disk tulang belakang dan mengurangkan pengaliran darah.

Bincang dengan doktor anda bagi mengenalpasti punca sakit pinggang yang anda alami supaya ubat dan rawatan yang tepat dapat diberikan.

Print Friendly, PDF & Email
Langgan Newsletter Kami
Jom dapatkan notifikasi artikel-artikel terbaru kami terus ke email anda!
Laman web ini bertujuan untuk memberikan pengetahuan am sahaja dan tidak membuat sebarang nasihat perubatan individu. Jika anda mempunyai apa-apa simptom sila berjumpa doktor dengan kadar segera.