Kepentingan Tidur Menurut Islam dan Sains

Tidur merupakan aktiviti yang penting bagi setiap manusia dalam kehidupan seharian, jom ketahui kepentingan tidur menurut Islam dan sains.

“Ana letih la. Ana tidur dulu ya dah lewat malam nih, kena tidur la takut mengantuk pula dalam kelas”

Sesungguhnya kalam inilah yang biasa dilafazkan apabila malam melabuhkan tirainya dan apabila letih tak tertahan lagi. Bagai tak dapat dipisahkan keinginan tidur dari kehidupan manusia.

Justeru apa pentingnya tidur kepada seorang mukmin serta apa untungnya pada sistem tubuh badan? Sesungguhnya setiap penciptaan ada hikmah tersembunyi dan bukan semua boleh diungkapkan melalui kajian saintifik mahupun mengikut lojik akal yang terbatas ini.

Hakikatnya tidur sudah menjadi rutin harian kehidupan manusia amnya. Tidur bagaikan pelengkap kitaran hidup seorang dalam berubudiyyah kepada Rabbuljalil. Maha suci Allah menciptakan sesuatu sesuai dengan kehendak makhluknya. Apabila didatangkan siang untuk memerah keringat didatangkan pula malam untuk berehat.

Firman Allah: Dan kami jadikan tidurmu untuk rehat dan kami jadikan malam sebagai pakaian dan kami jadikan siang sebagai ruang mencari penghidupan.
(an-Naba'9:11)

Setelah berdekad lamanya dalam pengkajian corak tidur oleh para saintis, banyak penemuan tentang kepentingan tidur yang telah ditemui. Oleh itu terdapat dua teori asas tentang keutamaan tidur yang boleh dikongsi bersama.

Pemulihan (Restorative)

Tidur membolehkan badan dan minda kita untuk kembali cerdas, bertenaga dan cerdas. Kajian telah menyatakan bahawa semasa tidur otak boleh menjalankan tugasan mengemas kini data seperti menyusujn semula memori long term mahupun short term memory, mengintegrasikan maklumat baru dan memluihkan tisu dan saraf serta pelbagai lagi perubahan kimia di dalam badan.

Penyesuaian (adaptive)

Tidur juga boleh dikategorikan sebagai salah satu bentuk penyesuaian badan untuk bekerja di siang hari tidak terjejas.

Dr. Willian Dement, salah seorang diantara perintis dalam kajian tidur ini mengatakan bahawa kebanyakan mahasiswa yang memasuki kolej dan universiti mempunyai pengetahuan tentang kesihatan tapi tidak mempunyai pengetahuan tentang nilai dan kepentingan tidur.

Beliau juga turut menyarankan agar mahasiswa tidak hanya mengambil berat akan penjagaan tubuh badan serta pengambilan makanan yang bernutrisi tapi turut menitikberatkan soal tidur yang berkualiti untuk kestabilan dan kelancaran sistem koordinasi tubuh badan. Ketiga-tiga elemen ini penting untuk kesihatan dan dikenali sebagai fundamental triumvirate of health.

Namun sebagai insan yang bergelar mukmin, tidur yang cukup juga tidak memadai andai ibadah tidak dijaga. Inilah yang membezakan mukmin dengan manusia lain. Inilah kelebihan yang sedia ada kerana setiap ibadah yang diperintahkan membantu dalam melancarkan sistem aliran darah dan pelbagai sistem badan yang lain.

Contohnya ketika kita bersujud dalam solah sebenarnya membolehkan hampir keseluruhan kawasan di bahagian otak menerima jumlah darah lebih dari keadaan biasa. Begitulah agungnya penyusunan Allah.

Tahukah anda bagaimana kita tertidur?

Mengikut kajian saintifik , badan manusia akan dirangsang untuk tidur apabila menerima isyarat dari ‘Circadian clock‘ atau juga dikenali sebagai ‘Circadian rhythm‘. ‘Circadian clock‘ diibaratkan sebagai kitaran jam yang terdapat dalam badan (internal biological clock) iaitu seperti sebuah perisian yang mengawal dan mengesan perubahan biological di dalam badan.

Circadian clock‘ bekerja seiring dengan kehadiran adenosine iaitu sejenis neurotransmitter (bahan kimia yang terdapat di kawasan saraf) yang mampu memperlahankan segala aktiviti badan. Semakin banyak adenosine berkumpul di otak semakin mengantuk individu tersebut. Namun secara keseluruhannya fenomena mengantuk dan keinginan untuk tidur ini masih sukar untuk disingkap secara saintifik.

Adakah kita mengetahui bahawa tidur juga mempunyai peringkat dan fasanya? Agaknya bila kita diulit mimpi?

Hasil kajian yang telah ditemui membahagikan tidur kepada 2 jenis iaitu REM (Rapid Eye Movement) dan NREM (non-REM). REM adalah peringkat dimana kita bermimpi. NREM pula dibahagikan kepada 4 fasa iaitu:

Fasa 1: (Separuh tidur/drowsiness) – Fasa ini mengambil masa 5-10 minit. Mata akan bergerak dengan perlahan dalam keadaan kelopak mata tertutup dan aktiviti yang dilakukan oleh otot badan berkurangan.Kalian akan mudah terjaga pada fasa ini apabila ada gangguan.

Fasa 2: (Light sleep) – Kemudian pada fasa ini mata akan berhenti bergerak,denyutan jantung makin perlahan dan suhu badan mula berkurangan.

Fasa 3 & 4: (Deep sleep) – Apabila memasuki fasa ketiga dan keempat kebiasaannya anda amat susah dikejutkan.Namun bagi mereka yang terjaga pada fasa ini akan mengalami masalah untuk meyesuaikan diri dan akan berasa pening serta kestabilan badan terganggu untuk beberapa minit selepas terbangun dari tidur. Anak-anak kecil biasanya mudah mengalami mimpi buruk,mengigau,berjalan dan kencing malam ketika fasa ini.

Ketika fasa ‘REM sleep’ iaitu ‘Dream sleep‘ ia memakan masa 70-90 minit dari kitaran tidur. Apabila anda memasuki fasa ini kebiasaannya kita akan mengalami 3 hingga 4 episod mimpi setiap malam. Bebola mata kita akan bergerak dengan laju dalam keadaan terpejam dan disebabkan inilah fasa ini dikenali sebagai ‘rapid eye movement (REM) sleep

Setiap fasa tidur memainkan peranan yang penting. Walaubagaimanapun ‘deep sleep’ merupakan fasa yang paling penting kerana inilah fasa pertama bagi otak mengemas kini data dan rehat secukupnya.

Sekiranya kita tidak mendapat deep sleep yang secukupnya kita akan mendapat gangguan tidur yang boleh memberi impak pada kecergasan tubuh badan. Kajian juga mendapati bahawa sistem ketahanan atau sistem imuniti badan juga akan meningkat pada fasa ini serta semua tenaga di kumpulkan semula untuk melakukan proses seterusnya.

Dewasa ini ramai juga di kalangan kita mengalami gangguan tidur seperti insomnia iaitu mengalami masalah untuk tidur. Justeru golongan ini mengalami kemurungan, kelesuan dan hilang tumpuan untuk melakukan kerja pada siang hari. Gangguan tidur juga boleh meningkatkan kandungan ‘stress hormone‘ iaitu kortisol dan merencatkan tindakan insulin untuk menukarkan glukosa untuk disimpan.

Masalah ini juga boleh membantutkan pertumbuhan kanak-kanak kerana hormon pertumbuhan lebih banyak dirembeskan pada waktu tidur. Oleh sebab itulah kanak-kanak dan bayi memerlukan tidur yang lebih lama berbanding orang dewasa.

Tuntasnya, tidur yang berkualiti diperlukan untuk memaksimakan potensi diri untuk berubudiyah kepada Allah. Maka sama-sama kita hindari dari perkara yang boleh mengganggu proses tidur kerana sekiranya kita memandang perkara ini secara remeh maka kitaran hidup dan produktiviti kerja kita pasti tidak memuaskan.

Keseimbangan di antara kehendak rohani dan jasmani haruslah diutamakan kerna mukmin yang kuat itu lebih disukai Allah. Namun qiamullail juga tidak harus diabaikan kerana qiamlah pelengkap dan penghias proses tidur seorang mukmin. Maka Allahlah selayaknya disembah kerana Dialah yang memberi kesempatan untuk kita memberi peluang kepada badan berehat setelah seharian beribadah padaNya.

Akhir kalam setinggi-tinggi kesyukuran dirafa’kan dan FirmanNya sebagai renungan agar kita sentiasa hargai nikmat kesihatan yang diberikan.

Dan kerana rahmat-Nya,Dia jadikan untukmu malam dan siang,supaya kamu beristirahat pada malam itu dan supaya kamu mencari sebahagian dari kurnia-Nya (pada siang hari) dan agar kamu bersyukur kepada-Nya.
(Al-Qasas:73)
Print Friendly, PDF & Email
Langgan Newsletter Kami
Jom dapatkan notifikasi artikel-artikel terbaru kami terus ke email anda!
Laman web ini bertujuan untuk memberikan pengetahuan am sahaja dan tidak membuat sebarang nasihat perubatan individu. Jika anda mempunyai apa-apa simptom sila berjumpa doktor dengan kadar segera.