Kanser Tiroid – Punca, Tanda dan Rawatan

Kanser tiroid merupakan antara kanser yang kerap berlaku di Malaysia namun selalunya bertindakbalas dengan baik terhadap rawatan perubatan.

Kanser tiroid merupakan kanser yang berlaku pada kelenjar tiroid, yang merupakan sebahagian dari sistem endokrin. Kelenjar tiroid menghasilkan hormon yang mengawal suhu badan, denyutan jantung dan juga metabolisma badan.

Kanser tiroid papillari dan follikular, iaitu jenis kanser tiroid yang paling kerap berlaku biasanya memberikan tindakbalas yang baik terhadap rawatan. Kebanyakan kanser tiroid juga boleh disembuhkan.

Kanser tiroid

Kanser tiroid berlaku pada kelenjar tiroid, iaitu kelenjar berbentuk rama-rama yang terdapat pada bahagian hadapan leher. Kelenjar ini menghasilkan hormon bagi mengawal metabolisma badan (bagaimana badan menggunakan tenaga).

Hormon tiroid juga membantu kita mengawal suhu badan, tekanan darah, dan denyutan jantung. Kanser tiroid, sejenis kanser endokrin selalunya boleh dirawat sehingga sembuh.

Kelenjar tiroid

Kelenjar tiroid merupakan salah satu daripada kelenjar dalam sistem endokrin. Kelenjar endokrin menghasilkan hormon yang dapat mengawal fungsi tubuh badan yang berbeza.

Kelenjar pituitari pada otak mengawal kelenjar tiroid dan juga kelenjar-kelenjar endokrin yang lain. Ianya akan melepaskan hormon perangsang tiroid (TSH) yang akan merangsang kelenjar tiroid untuk menghasilkan hormon tiroid.

Tiroid juga memerlukan iodin, iaitu sejenis mineral bagi menghasilkan hormon. Makanan yang kaya dengan iodin termasuklah ikan kod, tuna, produk tenusu, roti bijirin dan garam yang ditambah iodin.

Lokasi

Kelenjar tiroid bersaiz sekecil ibu jari dan terdapat pada pangkal leher, di bahagian hadapan saluran pernafasan di bawah halkuum. Ianya berbentuk seperti rama-rama. Kelenjar tiroid terdiri daripada dua lobul dan ada tisu yang menghubungkan kedua-dua lobul ini.

Statistik

Mengikut Statistik Kanser Malaysia, insiden kanser tiroid ialah sebanyak 2,272 pada tahun 2007-2011. Seperti yang dilaporkan juga di Malaysia, wanita adalah tiga kali lebih berkemungkinan mendapat kanser tiroid berbanding lelaki.

Faktor risiko

Wanita adalah tiga kali ganda lebih berisiko mendapat kanser tiroid daripada lelaki. Penyakit ini selalu dikesan pada wanita yang berumur diantara 40 ke 50 tahun dan lelaki pada umur antara 60 ke 70 tahun. Kanak-kanak juga boleh mendapat kanser tiroid.

Antara faktor risiko berlakunya kanser tiroid termasuklah:

  • Kelenjar tiroid membesar (goiter)
  • Sejarah keluarga menghidap kanser tiroid atau penyakit tiroid
  • Tiroiditis (keradangan pada kelenjar tiroid)
  • Mutasi atau perubahan pada gen yang menyebabkan penyakit endokrin, seperti sindrom neoplasia endokrin berbilang jenis 2A (MEN2A) atau jenis 2B (MEN2B).
  • Kurang pengambilan iodin
  • Obesiti
  • Terapi radiasi pada kepala dan leher, terutamanya ketika masih kanak-kanak.
  • Pendedahan kepada bahan radioaktif daripada senjata nuklear atau kemalangan nuklear.

Jenis

Kanser tiroid dikelaskan mengikut jenis sel yang menyebabkan kanser. Antara jenis kanser tiroid termasuklah:

  • Papillari: Lebih kurang 80% kanser tiroid adalah dari jenis papillari. Kanser ini membesar dengan lambat. Walaupun kanser tiroid papillari boleh merebak ke kelenjar limfatik pada leher, ianya memberikan respons yang baik terhadap rawatan. Ianya juga boleh disembuhkan dan jarang membawa maut.
  • Follikular: Kanser tiroid follikular menyebabkan lebih kurang 15% kanser tiroid. Kanser jenis ini selalu merebak ke bahagian tulang dan organ seperti paru-paru. Kanser yang merebak ini (metastasis) lebih sukar untuk dirawat.
  • Medullari: Lebih kurang 2% kanser tiroid adalah dari jenis medullari. Lebih kurang suku pesakit kanser tiroid medullari mempunyai sejarah keluarga yang menghidap penyakit ini. Ianya mungkin disebabkan oleh mutasi atau kecacatan pada gen.
  • Anaplastik: Kanser yang agresif ini adalah paling sukar untuk dirawat. Ianya boleh membesar dengan cepat dan merebak ke tisu disekeliling tiroid dan juga bahagian badan yang lain. Kanser yang jarang berlaku ini meliputi lebih kurang 2% daripada keseluruhan kanser tiroid.

Punca

Pengkaji masih mencari punca bagaimana sesetengah sel boleh berubah menjadi sel kanser (malignan) dan menyerang tiroid. Sesetengah faktor seperti pendedahan kepada radiasi, pemakanan rendah iodin dan kecacatan gen boleh meningkatkan risiko.

Tanda dan gejala

Antara gejala utama kanser tiroid adalah bengkak atau benjolan pada leher yang dipanggil nodul tiroid. Jangan risau jika anda mendapat nodul tiroid kerana kebanyakannya bukanlah sel kanser (benign). Menurut statistik, lebih kurang 3 daripada 20 nodul tiroid didapati sebagai kanser (malignan).

Antara gejala lain yang boleh berlaku termasuklah:

  • Susah menelan
  • Susah bernafas
  • Suara menjadi garau atau hilang
  • Kelenjar limfatik pada leher membengkak (terasa seperti biji pada leher)

Pengesanan

Jika anda mengalami kelenjar tiroid membengkak atau tanda-tanda yang lain, doktor boleh melakukan ujian-ujian berikut:

  • Ujian darah: Ujian fungsi tiroid dilakukan bagi melihat paras hormon tiroid untuk memastikan kelenjar tiroid berfungsi dengan baik.
  • Biopsi: Dengan menggunakan jarum yang halus, doktor akan mengambil sel daripada tiroid untuk diuji bagi kehadiran sel kanser. Biopsi pada kelenjar sentinel boleh menentukan jika sel kanser telah merebak ke kelenjar limfatik. Doktor juga boleh menggunakan alat ultrasound bagi memandu jarum ketika prosedur biopsi ini.
  • Imbasan radioiodin: Ujian ini dapat mengesan kanser tiroid dan menentukan jika kanser telah merebak. Pesakit perlu menelan pil yang mengandungi radioiodin (iodin dengan radioaktif) dalam jumlah yang selamat. Selepas beberapa jam, kelenjar tiroid akan menyerap iodin tersebut. Alat khas akan digunakan bagi mengukur jumlah iodin di dalam tiroid. Kawasan yang kurang radioaktif memerlukan pemeriksaan lanjut bagi mengesahkan kehadiran kanser.
  • Ujian pengimejan: MRI (Magnetic resonance imaging), imbasan CT dan imbasan PET (positron emission tomography) boleh mengesan kanser tiroid dan jika kanser ini telah merebak.

Rawatan

Rawatan untuk kanser tiroid bergantung kepada saiz kanser, tahap keterukan dan sama ada kanser telahpun merebak.

Antara rawatan yang boleh diberikan termasuklah:

  • Pembedahan: Pembedahan merupakan rawatan yang sering dilakukan terhadap pesakit kanser tiroid. Bergantung kepada saiz dan lokasi kanser, pakar bedah mungkin perlu membuang sebahagian (lobektomi) atau keseluruhan kelenjar tiroid (tiroidektomi). Pakar bedah juga akan membuang kelenjar limfatik di mana kanser telah merebak.
  • Terapi radioiodin: Dengan terapi radioiodin, pesakit perlu menelan pil atau cecair yang mengandungi iodin dengan radioaktif pada dos yang lebih tinggi berbanding yang digunakan ketika ujian radioiodin. Radioiodin ini boleh mengecutkan dan memusnahkan kelenjar tiroid dengan sel kanser. Rawatan ini adalah selamat dan kelenjar tiroid akan menyerap hampir kesemua radioiodin. Bahagian badan yang lain hanya mengalami sedikit pendedahan kepada radioaktif.
  • Terapi radiasi: Radiasi boleh membunuh sel kanser dan menghalangnya dari bertumbuh. Terapi radiasi luaran menggunakan mesin khas bagi menghantar pancaran tenaga yang kuat secara terus ke kawasan tumor. Rawatan radiasi dalaman (brachytherapy) pula melibatkan penggunaan biji radioaktif yang diletakkan disekeliling tumor.
  • Kemoterapi: Pengambilan ubat kemoterapi secara oral atau intravena boleh membunuh sel kanser dan menghentikan pertumbuhan kanser. Namun tidak semua pesakit kanser tiroid memerlukan kemoterapi.
  • Terapi hormon: Rawatan ini akan menghentikan pelepasan hormon yang boleh menyebabkan kanser merebak atau berulang semula.

Komplikasi

Kebanyakan kanser tiroid bertindakbalas dengan baik terhadap rawatan dan jarang menyebabkan maut.

Selepas rawatan atau pembedahan, badan seseorang masih memerlukan hormon tiroid untuk berfungsi. Pesakit mungkin memerlukan terapi gantian hormon tiroid sepanjang hayat. Hormon tiroid sintetik seperti levothyroxine akan menggantikan hormon tiroid yang tidak lagi dihasilkan oleh badan.

Kanser tiroid dan kehamilan

Kanser tiroid merupakan kanser kedua paling kerap dikesan pada ibu mengandung (kanser payudara adalah yang terbanyak). Lebih kurang 10 peratus kanser tiroid berlaku ketika kehamilan atau dalam jangkamasa setahun selepas beranak. Pakar berpendapat bahawa perubahan paras hormon ketika hamil mungkin boleh mencetuskan kanser ini.

Jika anda dikesan menghidap kanser tiroid ketika sedang hamil, bincang pilihan rawatan yang terbaik dengan doktor anda. Bergantung kepada jenis kanser dan tahap keterukan, doktor mungkin akan mencadangkan untuk menangguhkan dahulu rawatan sehinggalah selepas beranak.

Jika rawatan perlu dilakukan segera, kebanyakan wanita hamil boleh menjalani pembedahan bagi membuang kanser tersebut. Namun ujian atau rawatan menggunakan radioaktif tidak boleh dilakukan ketika hamil atau sedang menyusu badan.

Pencegahan

Kebanyakan pesakit kanser tiroid tidak mengetahui puncanya, jadi pencegahan sukar untuk dilakukan. Namun jika anda tahu bahawa anda lebih berisiko untuk mendapat kanser tiroid, beberapa langkah berikut boleh diambil:

  • Pembedahan prophylaxis (pencegahan): Ujian genetik boleh menentukan jika seseorang mempunyai gen yang telah berubah atau bermutasi yang boleh meningkatkan risiko mendapat kanser tiroid medullari atau neoplasia endokrin berbilang. Jika seseorang mempunyai gen ini, pembedahan prophylaxis boleh dijalankan bagi membuang kelenjar tiroid sebelum kanser berlaku. 
  • Potassium iodide: Jika seseorang itu pernah terdedah kepada radiasi ketika kemalangan nuklear, seperti yang berlaku di Fukushima, Jepun pada tahun 2011, pengambilan potassium iodide dalam masa 24 jam pendedahan boleh mengurangkan risiko mendapat tiroid kanser pada masa hadapan. Potassium iodide boleh menghalang kelenjar tiroid daripada menyerap terlalu banyak radioiodin dan mengurangkan risiko mendapat kanser.

Kelangsungan hidup

Lapan daripada sepuuluh penghidap kanser tiroid adalah dari jenis papillari. Kanser tiroid papillari mempunyai kadar kelangsungan hidup lima tahun sebanyak 100% jika kanser tersebut hanya berlaku pada kelenjar tiroid sahaja. Jika ianya telah merebak, kadar kelangsungan hidup menurun ke 80%.

Kadar ini bermaksud secara purata, terdapat peluang sebanyak 80% untuk hidup sekurang-kurangnya lima tahun selepas dikesan berbanding dengan mereka yang tidak mempunyai penyakit ini.

Kadar kelangsungan hiduup untuk kanser tiroid jenis lain pula adalah:

  • Follikular: Hampir 100% untuk yang tidak merebak, dan lebih kurang 63% untuk yang telah merebak.
  • Medullari: Hampir 100% untuk yang tidak merebak, dan lebih kurang 40% untuk yang telah merebak.
  • Anaplastik: Hampir 31% untuk yang tidak merebak, dan lebih kurang 4% untuk yang telah merebak.

Bila perlu berjumpa doktor

Anda patut berjumpa doktor dengan segera jika anda mengalami:

  • Benjolan pada leher
  • Jantung berdegup laju
  • Hilang berat atau berat naik secara tiba-tiba
  • Keletihan melampau

Kesimpulan

Dikesan menghidap kanser tiroid adalah berita yang mengejutkan. Namun, kebanyakan kanser tiroid bertindakbalas dengan baik terhadap rawatan yang diberikan. Bincang dengan doktor anda berkenaan pilihan rawatan terbaik untuk jenis kanser yang anda alami.

Selepas rawatan, anda mungkin perlu mengambil hormon tiroid sintetik sepanjang hayat bagi menyokong fungsi tubuh anda. Hormon sintetik ini selalunya tidak menyebabkan kesan sampingan yang teruk tetapi anda masih perlu sentiasa dipantau oleh doktor.

Print Friendly, PDF & Email
Langgan Newsletter Kami
Jom dapatkan notifikasi artikel-artikel terbaru kami terus ke email anda!
Laman web ini bertujuan untuk memberikan pengetahuan am sahaja dan tidak membuat sebarang nasihat perubatan individu. Jika anda mempunyai apa-apa simptom sila berjumpa doktor dengan kadar segera.