Ubat Selsema Yang Berkesan Untuk Orang Dewasa

Pada masa kini terdapat banyak ubat yang boleh dibeli di farmasi bagi merawat selsema, jom ketahui ubat yang sesuai dengan gejala yang anda alami.

Ubat yang dibeli di farmasi tidak boleh menyembuhkan selsema dengan segera, tetapi ianya mampu membuatkan anda berasa lebih selesa, supaya anda boleh berehat sementara badan melawan jangkitan.

Artikel ini akan melihat beberapa produk ubat yang boleh didapati dan bagaimana ianya boleh membantu anda.

Ubat hidung tersumbat

Ubat untuk hidung tersumbat dikenali sebagai ubat dekongestan yang boleh membantu mengurangkan bengkak di dalam hidung dan ruang sinus supaya pernafasan boleh kembali seperti biasa. Jika anda mengalami hidung atau ruang sinus tersumbat, ubat dekongestan boleh membantu.

Ubat dekongestan boleh menyebabkan seseorang menjadi lebih bertenaga dan terjaga.

Ubat ini juga boleh meningkatkan tekanan darah dan denyutan jantung, dan meningkatkan risiko mendapat serangan jantung serta angin ahmar. Ubat dekongestan yang sering digunakan adalah pseudoephedrine.

Secara umumnya, jika tekanan darah anda normal atau terkawal melalui ubat darah tinggi, ubat ini tidak akan memberikan masalah jika anda memantau tekanan darah secara berterusan. Namun anda boleh bertanya dengan doktor atau ahli farmasi jika anda mempunyai penyakit darah tinggi, sama ada anda sesuai untuk mengambil ubat dekongestan.

Ubat dekongestan selalunya berkesan dengan pantas dalam melegakan hidung tersumbat. Walaubagaimanapun jika digunakan melebihi 3 hari, kesan melantun (rebound) boleh berlaku di mana hidung tersumbat boleh menjadi lebih teruk dari asal.

Sesetengah perawat lebih suka mencadangkan penggunaan semburan saline berbanding semburan yang mengandungi ubat. Semburan saline lebih lambat kesannya tetapi tiada kesan melantun.

Ubat untuk hidung dan mata berair serta bersin

Jika anda mengalami selsema, badan akan menghasilkan sejenis bahan kimia yang dipanggil histamin. Histamin inilah yang menyebabkan bersin, hidung berair dan juga mata berair.

Ubat anti-histamin boleh didapati di farmasi seperti ubat chlorpheniramine dan diphenhydramine. Ubat ini boleh menghalang tindakan histamin yang dihasilkan badan seterusnya dapat melegakan gejala.

Namun ubat ini boleh menyebabkan mengantuk dan mengeringkan bahagian mata, hidung serta mulut. Selain itu ubat anti-hitamin juga boleh menyebabkan cairan hidung menjadi lebih pekat dan boleh menyebabkan masalah pada pesakit asma.

Ubat batuk

Batuk tidak berhenti? Terdapat dua pilihan utama untuk masalah ini:

  • Ubat penekan batuk seperti dextromethorphan boleh memberikan kelegaan untuk jangkamasa pendek. Ianya berfungsi pada kawasan otak yang mengawal batuk.
  • Ubat ekspektoran seperti guaifenesin boleh memecahkan bahagian tersumbat pada dada dengan mencairkan kahak di dalam laluan pernafasan. Dengan itu, apabila anda batuk, kahak akan menjadi lebih mudah untuk dikeluarkan. Minum banyak air jika anda sedang mengambil ubat ini.

Batuk boleh membantu membersihkan paru-paru dari kekotoran dan kahak yang banyak, jadi batuk sebenarnya membantu dalam melawan penyakit. Namun jika batuk ini berlaku secara berterusan, ianya perlu diperiksa dan dirawat.

Ubat demam, sakit badan dan sakit tekak

Selalunya ketika selsema, gejala demam, sakit badan dan sakit tekak tidaklah terlalu teruk. Namun jika anda merasa tidak selesa dan tidak boleh berehat, anda boleh mengambil ubat bagi mengurangkan kesakitan dan demam seperti acetaminophen atau ibuprofen.

Demam merupakan tindakbalas badan dalam melawan jangkitan dan mengurangkan pertumbuhan bakteria dan virus serta mengaktifkan sistem pertahanan badan. Demam yang sedikit mungkin tidak memerlukan ubat kecuali untuk kanak-kanak, orang tua, dan untuk mereka yang mempunyai penyakit seperti penyakit jantung atau penyakit paru-paru. Ubat demam juga boleh diambil jika anda merasa tidak selesa dan tidak dapat berehat.

Bagi orang muda (termasuk yang berumur di awal 20-an) perlu mengelakkan pengambilan aspirin. Ubat acetaminophen (Tylenol) dan ibuprofen (Advil) boleh diambil. Namun ubat ini juga mempunyai kesan sampingan, jadi minta pandangan doktor atau ahli farmasi berkenaan ubat demam yang terbaik untuk anda.

Meminum banyak air dan berkumur menggunakan air garam (campur air suam dengan sesudu kecil garam) boleh melegakan sakit tekak. Sesetengah ubat oral (seperti Tylenol) dan ubat lozenge sera ubat kumur juga boleh memberikan kelegaan sementara terhadap sakit tekak.

Periksa dengan doktor atau ahli farmasi sebelum mengambil sebarang ubat dan jangan gunakan ubat lozenge atau kumur melebihi beberapa hari. Ini kerana ubat ini boleh menutup gejala jangkitan strep, iaitu sejenis jangkitan berbahaya yang perlu dirawat dengan ubat antibiotik.

Selain itu, amalkan untuk memeriksa label pada botol atau kotak ubat bagi melihat kesan sampingan dan cara pengambilan ubat yang betul. Jangan campur ubat secara sembarangan dan selalu bertanya dengan doktor atau ahli farmasi jika anda tidak pasti.

Ubat selsema semulajadi

Antara ubat alternatif yang sering digunakan untuk selsema adalah vitamin C, echinacea, dan suplemen zink yang dikatakan berkesan.

Suplemen vitamin C dan zink boleh membantu mengurangkan tempoh selsema. Manakala kajian untuk echinacea masih tidak menunjukkan bukti kukuh keberkesanannya. Sebelum anda mengambil ubat-ubat ini, minta pandangan doktor terlebih dahulu terutamanya jika anda juga mengambil ubat untuk penyakit yang lain.

Strip hidung juga dapat membantu anda bernafas dengan lebih lancar, kerana ianya membuka laluan hidung ketika dipakai.

Terdapat beberapa lagi rawatan tradisional yang mungkin boleh membantu melegakan gejala selsema, antaranya adalah:

  • Mengambil banyak air, termasuk melalui sup seperti sup ayam. Sup juga dapat menambah tenaga.
  • Untuk melegakan sakit tekak, berkumur dengan air suam bergaram, gunakan semburan tekak atau kemam ais batu dan lozenge.
  • Cuba bersihkan hidung menggunakan air garam. Ianya boleh membantu melegakan hidung tersumbat dan berhingus.
  • Gunakan jeli petroleum pada hidung jika ianya sakit disebabkan bersin yang kerap. Tisu muka berlosyen juga boleh mencegah dan merawat kemerahan dan ruam pada hidung.
  • Gunakan alat pelembap udara bagi mengurangkan kahak.

Lakukan apa-apa sahaja yang boleh menjadikan diri anda lebih selesa ketika mengalami selsema, supaya badan dapat fokus untuk melawan virus.

Print Friendly, PDF & Email
Langgan Newsletter Kami
Jom dapatkan notifikasi artikel-artikel terbaru kami terus ke email anda!
Laman web ini bertujuan untuk memberikan pengetahuan am sahaja dan tidak membuat sebarang nasihat perubatan individu. Jika anda mempunyai apa-apa simptom sila berjumpa doktor dengan kadar segera.