Sukan Bola Tampar – Peraturan dan Pertandingan

Objektif permainan bola tampar bertujuan untuk menghantar bola melepasi jaring serta mematikan bola di gelanggang pihak lawan.

Permainan bola tampar telah direka oleh Professor William G. Morgan (1870 –1942) pada 9 Februari, 1895 di Young Men’s Christian Association (YMCA) Holyoke, Massachusetts, Amerika Syarikat. Permainan ini direka berdasarkan permainan tenis (jaring) dan bola keranjang (bola), dan beliau menamakan permainan baru ini sebagai ”Mintonette”.

Pada tahun 1896, nama tersebut telah ditukar kepada “Volley Ball” setelah cadangan dibuat oleh Professor Alfred T. Halstead, dan diterima oleh Morgan dalam persidangan. Pada tahun 1952, Jawatankuasa Pentadbiran United States Volleyball Association (USVBA) telah memutuskan supaya nama permainan ini dieja sebagai satu perkataan iaitu Volleyball.

Peraturan dan Undang-undang Bola Tampar

Kawasan Permainan

Kawasan permainan merangkumi gelanggang permainan dan zon bebas. Gelanggang permainan adalah satu segi empat yang berukuran 18m x 9m dikelilingi oleh satu zon bebas yang berukuran minimum 3m lebarnya dari tepi gelanggang permainan dan 7m tinggi dari permukaan permainan.

Ukuran gelanggang bola tampar.

Garisan Gelanggang Permainan

Gelanggang permainan ditandakan oleh garisan yang lebarnya 5sm. Garisan ini ditandakan oleh dua garisan tepi dan dua garisan hujung. Kesemua garisan ini termasuk dalam ukuran gelanggang permainan.

Dua garisan yang lain ialah garisan tengah dan garisan serangan. Garisan tengah berukuran 9m panjangnya dan terletak tepat di bawah jarring manakala garisan serangan dilukis 3m dari paksi garisan tengah menandakan zon depan.

Zon-Zon dan Kawasan

Zon Depan

Zon ini dihadkan oleh paksi garisan tengah dan belakang garisan serangan. Zon depan dianggap sebagai pemanjangan menjangkaui garisan tepi hingga zon bebas.

Zon Belakang

Zon belakang pula dihadkan dari belakang garisan serangan (tidak termasuk garisan serangan) hingga ke belakang garisan hujung.

Zon Servis

Zon servis ialah kawasan yang lebarnya 9m di belakang garisan hujung.

Zon Penggantian

Zon ini dihadkan antara garisan serangan dengan meja pencatat skor.

Kawasan Memanaskan Badan

Berukuran 3m x 3m terletak pada kedua-dua penjuru bersebelahan bangku di luar zon bebas.

Kawasan Penalti

Berukuran 1m x 1m dengan sebuah kerusi terletak di kawasan kawalan di lua garisan hujung.

Peralatan Bola Tampar

Gelanggang Bola Tampar

Permukaan gelanggang bola tampar perlu rata dan diperbuat daripada simen atau sebarang permukaan sintetik yang sesuai dan selamat. Gelanggang bola tampar juga boleh dibuat di atas padang berumput dan permukaan tanah liat.

Jaring dan Tiang

Jaring bola tampar adalah 1m lebar dan 9.50m panjang yang diletakkan di atas paksi garisan tengah. Dua jalur putih, 5cm lebar dan 1m panjang dilekatkan tegak pada jaring dan diletakkan di atas setiap garisan tepi. Ia dikira sebagai sebahagian daripada jaring dan mengehadkan ruang lintasan.

Tinggi jaring adalah 2.43m bagi lelaki dan 2.24m bagi wanita. Ia diukur dari tengah gelanggang bermain dengan sebatang pengukur. Kedua-dua hujung jaring (di atas garisan tepi) mesti sama tinggi daripada permukaan bermain dan tidak melebihi 2cm daripada tinggi rasmi.

Jaring bola tampar dengan antena dan pelapik tiang.

Tiang-tiang yang menyangga jaring mestilah bulat dan licin, dengan tingginya 2.55m, seelok-eloknya yang dapat dilaraskan. Ia mesti dipasang pada tanah pada jarak antara 0.50-1.00m daripada setiap garisan tepi.

Sepasang antena diletakkan di kedua-dua hujung jaring serenjang dengan garisan tepi gelanggang. Antena diwarnakan putih berbelang merah. Pelapik tiang juga boleh dipasang bagi mengelakkan kecederaan kepada pemain.

Bola

Bola tampar hendaklah berbentuk sfera dan diperbuat daripada lapisan kulit fleksibel dengan satu pundi getah atau bahan sintetik yang ringan dan lembut. Bahan ini penting untuk menyerap hentakan pada tangan ketika bola disentuh.

Bola yang biasa digunakan.

Kesesuaian tekanan angin dapat ditentukan dengan menjatuhkan bola dari ketinggian aras kepala. Bola tersebut akan melantun semula pada ketinggian aras pinggang. Berat bola antara 260-280 gram. Ukur lilit dalam lingkungan 65-67 cm. Manakala warnanya seragam dan cerah.

Petikan Undang-Undang Yang Berkaitan

Objektif permainan ini bertujuan untuk menghantar bola melepasi jaring serta mematikan bola di gelanggang pihak lawan dan menghalang usaha yang sama oleh pihak lawan. Setiap pasukan mempunyai tiga pukulan untuk menghantar balik bola itu (tidak termasuk sentuhan menghadang).

Pemain Libero

  • Setiap pasukan boleh mendaftarkan satu atau dua orang pemain Libero yang memakai jersi yang berlainan warna daripada jersi pasukan.
  • Pemain Libero boleh menggantikan mana-mana pemain barisan belakang dan digantikan dengan pemain asal apabila bergerak ke kedudukan hadapan.
  • Pemain Libero tidak boleh membuat servis, menghadang, menyerang dengan bola di atas paras jaring atau mengumpan atas kepala semasa berada di zon depan untuk serangan.

Rali

Setiap pasukan akan kehilangan rali jika satu daripada perkara yang berikut berlaku:

  1. Bola menyentuhi lantai dalam gelanggang permainan sendiri.
  2. Bola menyentuh seseorang pemain dan keluar dari gelanggang.
  3. Bola dimainkan melebihi tiga kali kecuali menghadang.
  4. Bola disentuh oleh pemain yang sama sebanyak dua kali berturut-turut.
  5. Seorang pemain menyentuhi simpai/ pita putih atas jaring.
  6. Seorang pemain melintasi garisan tengah dan masuk ke gelanggang pihak lawan
  7. Seorang pemain barisan belakang merejam bola atas paras jaring dalam kawasan serangan 3m.
  8. Libero merejam bola atas paras jaring atau berusaha untuk menghadang di jaring.
  9. Libero mengumpan di kawasan serangan 3m untuk perlakuan rejaman.

Sistem Pertandingan

Pertandingan Kalah Mati

Pertandingan cara ini paling mudah dan ringkas dikelolakan. Pemenang akan terus bertanding manakala yang kalah akan tersingkir. Sistem ini sangat sesuai dalam mengelolakan pertandingan yang terdapat banyak penyertaan tetapi kekurangan masa, sumber kewangan, tempat, kemudahan, peralatan dan sumber manusia. Sistem ini bukan cara yang terbaik untuk mengukur keupayaan sesuatu pasukan atau peserta.

Kelebihan

  • Boleh dijalankan dalam masa yang singkat.
  • Cepat memilih pemenang.
  • Boleh dijalankandengan peralatan yang terhad.
  • Seronok untuk ditonton.
  • Penyertaan ramai.

Kelemahan

  • Pasukan yang menjadi johan, boleh jadi bukan yang benar-benar terbaik.
  • Separuh daripada pasukan akan terkeluar selepas pusingan pertama.
  • Kemungkinan ada antara pemain dari pasukan yang kalah langsung tiada peluang bermain.

Pertandingan Liga

Merupakan satu-satunya pertandingan yang sesuai dijalankan sekiranya pertandingan itu bertujuan memilih pasukan yang terbaik. Perkara-pekara yang perlu diambil perhatian:

  • Masa yang mencukupi.
  • Bilangan pengadil.
  • Kewangan yang ada.
  • Kemudahan dan peralatan yang ada.

Pertandingan boleh dijalankan dalam:

  • Liga satu pusingan.
  • Liga berkumpulan.

Langgan Newsletter Kami
Jom dapatkan notifikasi artikel-artikel terbaru kami terus ke email anda!
Laman web ini bertujuan untuk memberikan pengetahuan am sahaja dan tidak membuat sebarang nasihat perubatan individu. Jika anda mempunyai apa-apa simptom sila berjumpa doktor dengan kadar segera.