Penyakit Jantung – Punca, Tanda, dan Rawatan

Penyakit jantung merupakan antara punca kematian utama di Malaysia, terdapat pelbagai jenis penyakit jantung dan kebanyakannya boleh dicegah.

Penyakit jantung merujuk kepada apa-apa penyakit yang memberi kesan kepada jantung. Terdapat banyak jenis penyakit jantung termasuklah yang boleh dicegah.

Menurut statistik, penyakit jantung menjadi punca utama kematian di Malaysia dengan mencatatkan jumlah 15 peratus daripada semua kematian di Malaysia pada tahun 2019. Penyakit jantung juga boleh menyerang sesiapa sahaja tanpa mengira jantina, kaum dan etnik.

Artikel ini akan membincangkan tentang jenis, punca dan gejala penyakit jantung. Ianya juga termasuklah faktor risiko penyakit jantung serta rawatan.

Jenis penyakit jantung

Penyakit jantung merujuk kepada mana-mana penyakit yang boleh memberi kesan kepada sistem kardiovaskular. Terdapat beberapa jenis penyakit jantung, dan ianya boleh memberi kesan kepada jantung serta salur darah dengan cara yang berbeza.

Berikut merupakan penerangan bagi beberapa jenis penyakit jantung yang sering berlaku.

Penyakit koronari arteri

Penyakit koronari arteri ataupun dikenali juga sebagai penyakit jantung koronari merupakan penyakit jantung yang paling kerap berlaku.

Ianya terjadi apabila arteri yang membekalkan darah kepada jantung menjadi tersumbat disebabkan oleh plak. Seterusnya arteri ini akan menjadi keras dan sempit. Plak merupakan bahan yang terdiri daripada kolesterol dan lain-lain.

Proses pembentukan plak di dalam salur darah

Oleh sebab itu, aliran darah ke jantung akan berkurangan dan jantung tidak lagi menerima oksigen serta nutrien yang mencukupi. Lama-kelamaan, otot jantung akan menjadi lemah, dan terdapat risiko untuk mendapat kegagalan jantung serta arrythmia.

Pembentukan plak yang berlaku di dalam arteri juga dikenali sebagai atherosklerosis. Kadangkala plak ini boleh pecah dan menutup sepenuhnya saluran darah, aliran darah yang terhenti akan menyebabkan serangan jantung.

Penyakit jantung kongenital

Penyakit jantung kongenital bermaksud penyakit jantung yang berlaku sebaik sahaja dilahirkan. Terdapat banyak jenis penyakit jantung kongenital, antaranya termasuklah:

  • Injap jantung atipikal: Injap jantung mungkin tidak terbuka dengan betul atau darah bocor melalui injap
  • Kecacatan septal: Terdapat lubang diantara dinding pada ruangan bawah atau atas jantung
  • Atresia: Salah satu injap jantung tidak terbentuk

Penyakit jantung kongenital juga boleh melibatkan kecacatan struktur jantung yang serius, seperti ventrikel tidak terbentuk atau terdapat sambungan yang tidak normal di antara arteri utama yang meninggalkan jantung.

Kebanyakan penyakit jantung kongenital tidak menunjukkan gejala yang teruk dan hanya dikesan ketika pemeriksaan rutin.

Menurut Persatuan Jantung Amerika (AHA), bunyi murmur jantung sering dikesan pada kanak-kanak tetapi hanya sebahagian daripadanya yang disebabkan oleh kerosakan jantung.

Penyakit ritma jantung

Penyakit ritma jantung atau arrythmia merujuk kepada denyutan jantung yang tidak normal. Ianya berlaku apabila impuls elektrik yang mengkoordinasi denyutan jantung tidak berfungsi dengan betul. Oleh itu, jantung mungkin akan berdenyut sangat laju, sangat perlahan atau tidak sekata.

Terdapat banyak jenis arrythmia, antaranya adalah:

  • Tachykardia: Bermaksud denyutan jantung yang laju
  • Bradykardia: Bermaksud denyutan jantung yang perlahan
  • Denyutan pramatang: Bermaksud denyutan jantung yang awal
  • Fibrilasi atrial (AF): Denyutan jantung yang tidak sekata

Seseorang itu boleh merasakan jantungnya berdenyut laju atau berdebar-debar. Dalam sesetengah kes, arrythmia juuga boleh membahayakan nyawa dan menyebabkan komplikasi berbahaya.

Kardiomyopathy (jantung bengkak)

Penyakit kardiomyopathy akan menyebabkan ruang jantung membesar, di mana otot jantung akan meregang dan menjadi lebih nipis. Punca utama penyakit kardiomyopathy atau jantung bengkak ini adalah sejarah serangan jantung, arrythmia, toksin, dan boleh juga disebabkan oleh faktor genetik.

Apabila kardiomyopathy berlaku, jantung akan menjadi semakin lemah dan tidak dapat mengepam darah dengan baik. Ianya boleh menyebabkan komplikasi arrythmia, darah beku di dalam jantung serta kegagalan jantung.

Biasanya penyakit ini berlaku pada julat umur 20 ke 60 tahun.

Infarksi Myokardial

Juga dikenali sebagai serangan jantung, infarksi myokardial melibatkan gangguan aliran darah yang membekalkan oksigen serta nutrien ke otot jantung. Infarksi myokardial boleh merosakkan atau memusnahkan tisu jantung.

Antara punca utama serangan jantung adalah disebabkan oleh kewujudan plak, darah beku atau kedua-duanya sekali pada arteri koronari. Ianya juga boleh berlaku apabila salur darah arteri mengecut atau mengecil secara tiba-tiba.

Kegagalan jantung

Apabila seseorang mengalami kegagalan jantung, jantung tersebut masih boleh berfungsi namun tidak lagi seperti normal. Kegagalan jantung kongestif merupakan sejenis kegagalan jantung yang berlaku akibat masalah ketika jantung sedang mengepam serta relaks.

Ianya boleh disebabkan oleh penyakit arteri koronari yang tidak dirawat, tekanan darah tinggi, arrythmia dan juga beberapa penyakit yang lain. Penyakit ini akan memberikan kesan kepada fungsi jantung untuk mengepam darah.

Kegagalan jantung boleh membahayakan nyawa, namun rawatan awal boleh memperlahankan perkembangan penyakit ini dan mencegah komplikasi berbahaya.

Kardiomyopathy hipertrophik

Penyakit ini selalunya berlaku apabila masalah genetik memberi kesan kepada otot jantung. Penyakit ini selalunya berlaku akibat keturunan (genetik).

Otot pada dinding jantung akan menebal dan menyebabkan pengucupan jantung terjejas. Ini akan menyebabkan jantung sukar untuk menerima dan mengepam darah dari seluruh badan. Dalam sesetengah kes, aliran darah boleh terhalang.

Kadangkala penyakit ini tidak menyebabkan sebarang gejala yang menyebabkannya lambat dikesan. Penyakit ini boleh menjadi bertambah teruk dan menyebabkan fungsi jantung merosot.

Mereka yang mempunyai sejarah keluarga yang menghidap penyakit kardiomyopathy hipertrophik dinasihatkan untuk mendapatkan ujian pemeriksaan saringan, kerana rawatan awal dapat mencegah komplikasi berbahaya.

Penyakit ini merupakan antara punca utama kematian akibat jantung pada usia muda dan juga dikalangan atlet.

Regurgitasi injap mitral

Penyakit ini berlaku apabila injap mitral dalam jantung tidak tertutup dengan rapat dan membenarkan darah mengalir semula masuk ke dalam jantung.

Akibatnya, darah tidak boleh mengalir dengan efisien ke seluruh badan dan jantung perlu bekerja dengan lebih keras. Lama kelamaan, jantung boleh membengkak dan menyebabkan kegagalan jantung.

Kerosakan injap mitral

Ini berlaku apabila daun pada injap mitral tidak tertutup sepenuhnya. Injap ini akan termasuk semula ke atrium kiri dan menyebabkan bunyi murmur.

Prolaps pada injap mitral selalunya tidak membahayakan nyawa tetapi pesakit masih perlu menerima rawatan.

Masalah tisu penghubung dan faktor genetik selalunya menjadi punca keadaan ini berlaku.

Stenosis aortik

Dalam stenosis aortik, injap pulmonari akan menebal atau bercantum dan tidak terbuka dengan sepenuhnya. Ini akan menyukarkan jantung mengepam darah daripada ventrikel kiri ke dalam aorta.

Pesakit boleh mengalami masalah ini dari lahir (kongenital) atau berlaku kemudiam disebabkan parut atau pengumpulan kalsium.

Tanda-tanda dan gejala

Gejala penyakit jantung berbeza bergantung kepada jenis penyakit jantung yang dialami seseorang. Kadangkala terdapat sesetengah penyakit jantung yang tidak menyebabkan gejala.

Berikut merupakan gejala-gejala yang mungkin disebabkan oleh penyakit jantung:

  • sakit dada atau angina (sebutan an-jai-na)
  • susah bernafas
  • cepat letih atau rasa pitam
  • bengkak disebabkan pengumpulan cecair dalam badan atau edema

Pada kanak-kanak, gejala yang disebabkan oleh penyakit jantung kongenital termasuklah sianosis, iaitu kebiruan pada kulit dan juga sukar bersenam.

Antara gejala dan tanda serangan jantung pula adalah seperti:

  • sakit dada
  • sukar bernafas
  • jantung berdebar-debar
  • mual
  • sakit perut
  • berpeluh
  • sakit pada lengan, belakang atau betis
  • rasa seperti tercekik
  • bengkak buku lali
  • cepat letih
  • denyutan jantung tidak sekata

Serangan jantung boleh menyebabkan jantung terhenti (cardiac arrest) dan badan tidak lagi boleh berfungsi. Seseorang itu perlu menerima rawatan kecemasan dengan segera jika mengalami gejala serangan jantung.

Jika anda mengesyaki serangan jantung pada diri sendiri atau orang terdekat:

  • telefon talian kecemasan segera (999)
  • melakukan rawatan CPR (cardiopulmonary resuscitation) jika perlu
  • jika ada, memberikan kejutan elektrik menggunakan alat defibrillator (AED)

Punca dan faktor risiko

Penyakit jantung boleh berlaku apabila:

  • terdapat kerosakan pada sebahagian atau keseluruhan jantung
  • terdapat masalah pada salur darah yang masuk atau keluar daripada jantung
  • bekalan oksigen dan nutrien yang kurang kepada jantung
  • masalah pada ritma jantung

Dalam sesetengah kes, ianya disebabkan oleh faktor genetik. Walaubagaimanapun, faktor gaya hidup dan tahap kesihatan seseorang juga memainkan peranan. Ini termasuklah:

Selain itu, kajian juga menunjukkan masalah kemiskinan dan tekanan menyebabkan meningkatnya kes penyakit jantung dan kardiovaskular di seluruh dunia.

Rawatan penyakit jantung

Pilihan rawatan adalah bergantung kepada jenis penyakit jantung, namun kebanyakannya adalah melibatkan strategi perubahan gaya hidup, mengambil ubat-ubatan dan menjalani pembedahan jika perlu.

Berikut merupakan rawatan yang boleh dilakukan terhadap pesakit jantung.

Ubat-ubatan

Terdapat banyak jenis ubat-ubatan bagi merawat penyakit jantung. Antaranya termasuklah:

  • Antikoagulan: Juga dikenali sebagai ubat pencair darah, ubat ini boleh mencegah berlakunya darah beku. Ianya termasuklah warfarin (Coumadin) dan koagulan yang diambil secara oral iaitu dabigatran, rivaroxaban, dan apixaban.
  • Ubat anti-platelet: Ubat ini termasuklah aspirin, dan ianya berfungsi dengan mencegah pembentukan darah beku.
  • Perencat enzim angiotensin (ACEi): Ubat ACEi dapat membantu merawat kegagalan jantung dan tekanan darah tinggi dengan menyebabkan pengembangan saluran darah. Contohnya adalah seperti lisinopril.
  • Penghalang reseptor angiotensin II (ARB): Ubat ARB berfungsi dengan mengawal tekanan darah dan antara contohnya adalah seperti losartan.
  • Perencat neprilysin reseptor angiotensin: Ubat ini dapat membantu mengurangkan beban pada jantung dan mengganggu laluan kimia yang melemahkan jantung.
  • Penghalang beta: Ubat penghalang beta dapat membantu mengurangkan kadar denyutan jantung dan merendahkan tekanan darah, contohnya adalah seperti metoprolol. Ianya juga boleh merawat penyakit arrythmia dan angina.
  • Penghalang laluan kalsium (CCB): Ubat CCB boleh merendahkan tekanan darah dan mencegah arrythmia dengan mengurangkan kekuatan pengepaman jantung dan mengendurkan saluran darah. Salah satu contohnya adalah diltiazem.
  • Ubat merendahkan paras kolesterol: Ubat statin seperti atorvastatin dan lain-lain merupakan ubat yang boleh membantu menurunkan paras kolesterol lipoprotein berdensiti rendah di dalam badan.
  • Digitalis: Ubat seperti digoxin boleh meningkatkan kekuatan pengepaman jantung. Ianya juga boleh membantu dalam rawatan kegagalan jantung dan arrythmia.
  • Diuretik: Ubat diuretik boleh mengurangkan beban pada jantung, menurunkan tekanan darah, dan membuang air berlebihan daripada badan. Contohnya adalah frusemide (Lasix).
  • Pengembang saluran darah (Vasodilator): Ubat vasodilator digunakan untuk menurunkan tekanan darah kerana ianya dapat merehatkan salur sarah. Contohnya adalah seperti nitroglycerin (Nitrostat). Ubat ini juga boleh melegakan sakit dada.

Doktor akan melakukan pemeriksaan dan ujian lanjut sebelum menentukan ubat mana yang sesuai dengan pesakit jantung.

Ubat-ubat di atas juga mempunyai berbagai kesan sampingan yang perlu dipantau oleh doktor dari semasa ke semasa dan boleh ditukar jika perlu.

Pembedahan

Pembedahan jantung dapat membantu merawat penyakit jantung dan saluran darah yang tersumbat terutamanya jika pengambilan ubat tidak berkesan.

Antara pembedahan jantung yang sering dilakukan termasuklah:

  • Pembedahan pintasan arteri koronari: Juga dikenali sebagai pembedahan pintasan jantung. Ianya bagi mengalirkan semula darah apabila arteri sudah tersumbat. Selalunya pintasan menggunakan graft akan dilakukan dengan mengambil salur darah yang sihat dari kawasan badan yang lain untuk menggantikan arteri yang telah tersumbat.
  • Angiografi koronari: Prosedur ini dilakukan untuk meluaskan semula koronari arteri yang sempit atau tersumbat. Selepas itu pakar bedah akan memasukkan alat stent, iaitu sejenis wayar berbentuk tiub yang dapat memulihkan semula pengaliran darah.
  • Penggantian atau pembaikan injap jantung: Pakar bedah boleh memperbaiki atau menggantikan injap jantung yang tidak berfungsi dengan baik.
  • Pembedahan memperbaiki struktur jantung: Pakar bedah boleh memperbaiki kerosakan jantung kongenital, aneurisma, dan masalah struktural jantung yang lain.
  • Implan alat: Pakar bedah boleh memasukkan alat seperti perentak jantung, kateter belon dan alat-alat lain yang dapat membantu mendapatkan semula rentak jantung yang sekata dan aliran darah yang bagus.
  • Rawatan lazer: Pembedahan untuk memulihkan semula salur darah secara transmyokardial menggunakan lazer boleh membantu merawat angina.
  • Pembedahan maze: Pakar bedah boleh membuat laluan baru untuk isyarat elektrik pada jantung yang digunakan dalam rawatan fibrilasi atrial.

Pencegahan

Melakukan perubahan gaya hidup dapat membantu mengurangkan risiko mendapat penyakit jantung. Antaranya adalah dengan:

  • Pemakanan sihat: Pilih makanan yang sihat dan kaya dengan fiber serta utamakan juga pengambilan sayur-sayuran dan buah. Diet jenis Mediterranean dan diet DASH mungkin bagus untuk kesihatan jantung. Kurangkan juga pengambilan makanan berproses, dan lemak, garam serta gula yang berlebihan.
  • Kerap bersenam: Senaman boleh menguatkan otot jantung serta sistem peredaran darah, mengurangkan paras kolesterol dan mengawal tekanan darah. Setiap orang perlu bersenam selama lebih daripada 150 minit dalam seminggu.
  • Mengekalkan berat badan yang sihat: Berat badan yang sihat bermaksud mempunyai BMI (body mass index) antara 20 ke 25.
  • Berhenti merokok: Merokok merupakan antara faktor risiko utama untuk penyakit jantung dan kardiovaskular.
  • Mengurangkan pengambilan alkohol: Pengambilan alkohol berlebihan juga merupakan salah satu punca meningkatnya risiko mendapat penyakit jantung.
  • Mengawal penyakit-penyakit lain: Dapatkan rawatan untuk penyakit yang boleh meningkatkan risiko mendapat penyakit jantung seperti tekanan darah tinggi, obesiti dan kencing manis.

Langkah di atas dapat membantu seseorang meningkatkan tahap kesihatan di samping mengurangkan risiko mendapat penyakit jantung beserta komplikasinya.

Kesan jangka panjang

Penyakit jantung merupakan penyakit yang kerap berlaku. Terdapat beberapa jenis penyakit jantung. Ada yang berpunca daripada masalah genetik dan tidak boleh dicegah.

Walaubagaimanapun dalam kebanyakan kes, setiap orang boleh mengambil langkah untuk mencegah penyakit jantung dan komplikasinya. Antaranya adalah dengan mengamalkan pemakanan sihat, kerap bersenam, dan mendapatkan nasihat perubatan segera apabila mengalami gejala penyakit jantung.

Print Friendly, PDF & Email
Langgan Newsletter Kami
Jom dapatkan notifikasi artikel-artikel terbaru kami terus ke email anda!
Laman web ini bertujuan untuk memberikan pengetahuan am sahaja dan tidak membuat sebarang nasihat perubatan individu. Jika anda mempunyai apa-apa simptom sila berjumpa doktor dengan kadar segera.