Pening Kepala – Punca, Tanda dan Rawatan

Pening kepala merupakan gejala yang kerap berlaku dan boleh disebabkan pelbagai punca. Jom ketahui punca, pemeriksaan dan rawatan pening kepala.

Pening kepala merupakan perasaan seperti kepala menjadi ringan, berpusing atau hilang keseimbangan. Gejala pening kepala berhubungkait dengan organ sensori iaitu mata dan telinga, oleh itu kadangkala ianya boleh menyebabkan seseorang pengsan. Pening kepala bukanlah penyakit tetapi ianya merupakan suatu gejala yang boleh disebabkan oleh pelbagai jenis penyakit.

Pening kepala merupakan antara gejala yang kerap berlaku dan pernah dialami oleh hampir semua orang. Jika ianya berlaku untuk tempoh seketika, anda tidak perlu risau. Namun dapatkan pemeriksaan doktor dengan segera jika pening kepala berlaku dengan kerap tanpa sebarang punca atau berlaku untuk tempoh yang lama.

Punca pening kepala

Pening kepala boleh disebabkan oleh pelbagai punca.

Vertigo dan hilang keseimbangan

Kepeningan sebenar bermaksud perasaan seperti kepala menjadi ringan atau hampir pengsan.

Vertigo dan hilang keseimbangan juga boleh menyebabkan pening kepala, tetapi terma ini digunakan untuk gejala yang berbeza.

Vertigo merupakan perasaan seperti seseorang sedang berputar, atau keadaan sekeliling yang sentiasa bergerak. Ianya juga dikaitkan dengan mabuk kenderaan dan terasa seperti badan sereng kesebelah.

Hilang keseimbangan pula merupakan kegagalan badan untuk menyeimbangkan diri.

Punca utama vertigo atau pening yang dikaitkan dengan vertigo adalah penyakit BPV (benign positional vertigo). BPV boleh menyebabkan pening seketika apabila seseorang menukar posisi secara tiba-tiba, seperti bangun tiba-tiba daripada kedudukan baring.

Selain itu vertigo dan pening juga boleh disebabkan oleh penyakit Meniere. Penyakit ini akan menyebabkan cecair berkumpul di dalam telinga lalu telinga akan terasa seperti tersumbat, hilang pendengaran serta menjadi berdengung.

Antara punca lain bagi pening kepala dan vertigo adalah akustik neuroma. Ianya merupakan sejenis tumor bukan kanser pada saraf vestibulokoklear (saraf auditori), yang menghubungkan bahagian dalam telinga ke otak.

Punca utama

Kehilangan air dari badan dengan banyak boleh menyebabkan dehidrasi, iaitu antara punca utama kepeningan. Antara gejala lain bagi dehidrasi adalah rasa dahaga dan kulit menjadi kering.

Punca utama yang lain pula termasuklah serangan migrain atau pengambilan alkohol.

Pening kepala juga boleh disebabkan oleh masalah pada bahagian dalam telinga, iaitu kawasan yang mengesan pergerakan dan mengawal keseimbangan badan. Antara gejala lain bagi masalah dalam telinga termasuklah hilang pendengaran.

Pening kepala juga boleh dikaitkan dengan sesetengah ubat-ubatan seperti:

Punca lain

Punca-punca lain yang boleh menyebabkan pening kepala termasuklah:

  • Tekanan darah menurun tiba-tiba: Tekanan darah yang rendah secara tiba-tiba boleh disebabkan pelbagai punca atau disebabkan berdiri (hipotensi ortostatik). Ianya boleh menyebabkan seseorang menjadi pening dan terjatuh, terutamanya kepada mereka yang berumur.
  • Kardiomyopathy: Keadaan ini menyebabkan otot jantung menjadi lemah dan kurang mengepam darah. Antara gejalanya termasuklah pening, pengsan dan sesak nafas.
  • Serangan jantung: Sakit dada selalunya menjadi gejala utama serangan jantung, tetapi ianya juga boleh menyebabkan pening dan pitam. Ini kerana kurang darah sampai ke otak ketika serangan jantung berlaku.
  • Arrhythmia: Arrythmia berlaku apabila jantung berdegup dengan tidak sekata. Ianya boleh menyebabkan pening, pitam dan sesak nafas.
  • Masalah peredaran darah: Kardiomyopathy, serangan jantung dan masalah jantung yang lain boleh menyebabkan gangguan peredaran darah. Ini boleh menyebabkan seseorang itu menjadi pening.
  • Senaman berlebihan: Senaman secara berlebihan juga boleh menyebabkan pening dan pitam. Selain itu ianya boleh menyebabkan dehidrasi dan peningkatan suhu badan di mana kedua-duanya juga menyebabkan gejala pening.
  • Kepanasan: Jika anda berada di persekitaran yang panas dan banyak berpeluh, anda boleh mengalami strok haba. Antara gejalanya adalah kepeningan, dahaga dan lemah badan.
  • Pengurangan isipadu darah: Keadaan ini boleh disebabkan oleh pendarahan atau dehidrasi. Ianya boleh menyebabkan pening, lemah badan dan tekanan darah rendah.
  • Penyakit anxiety: Pening kepala juga boleh disebabkan penyakit anxiety. Pesakit anxiety boleh mengalami pening kepala yang beruulang-ulang.
  • Anemia: Anemia bermaksud kurang darah merah. Apabila kurang hemoglobin di dalam darah merah, sel ini tidak dapat mengangkut oksigen yang mencukupi ke seluruh badan. Ini akan menyebabkan gejala seperti pening kepala, keletihan, dan sesak nafas.
  • Hipoglisemia: Hipoglisemia atau paras gula yang rendah boleh menyebabkan menggeletar, ingin pitam atau kelaparan. Hipoglisemia yang teruk boleh menyebabkan sawan.
  • Keracunan karbon monoksida: Jika gas karbon monoksida daripada kereta, pemanggang atau relau berkumpul di dalam ruang tertutup, ianya boleh menyebabkan keracunan gas ini. Gejalanya termasuklah pening kepala, sakit kepala dan muntah.
  • Mabuk kenderaan: Menaiki kereta, bot atau apa-apa sahaja yang bergerak boleh menyebabkan mabuk kenderaan. Gejalanya adalah pening kepala dan mual.
  • Sklerosis berbilang (MS): Penyakit sklerosis berbilang akan merosakkan otak dan saraf tunjang seterusnya boleh menyebabkan gejala kepeningan.
  • Penyakit Parkinson: Pening kepala merupakan antara gejala yang kerap berlaku kepada pesakit Parkinson, iaitu masalah neurologi yang menyebabkan menggeletar dan masalah keseimbangan. Kepeningan juga akan menjadi semakin teruk pada tahap-tahap akhir penyakit ini.
  • Jangkitan: Terdapat beberapa jangkitan kuman yang dikaitkan dengan pening kepala. Antaranya adalah: 
    • COVID-19: Seseorang boleh mengalami pening kepala dan vertigo jika dijangkiti atau selepas sembuh daripada COVID-19. Pening dan vertigo ini juga dikaitkan dengan sakit kepala serta hilang keseimbangan badan.
    • Jangkitan virus lain: Jangkitan virus yang lain seperti influenza dan selsema juga boleh menyebabkan pening kepala dan pitam. Jangkitan ini juga dikaitkan dengan dehidrasi.
    • Jangkitan telinga: Jangkitan dalam telinga boleh menyebabkan keradangan pada bahagian dalam telinga, yang akan menyebabkan kepeningan dan hilang keseimbangan. Ianya boleh disebabkan oleh bakteria atau virus.
    • Labyrinthitis dan vestibular neuritis: Labyrinthitis dan vestibular neuritis berlaku apabila saraf spesifik pada bahagian dalam telinga mengalami keradangan. Punca utamanya adalah jangkitan virus, tetapi ianya boleh juga disebabkan masalah yang lain. Jangkitan bakteria lebih kerap berlaku pada penyakit labyrinthitis.

Kes yang jarang berlaku pula termasuklah seperti penyakit angin ahmar, tumor malignan dan masalah dalam otak yang lain boleh juga menyebabkan gejala pening kepala.

Tanda dan gejala berkaitan

Mereka yang mengalami pening kepala juga boleh mengalami gejala-gejala yang lain, seperti:

  • kepala terasa ringan atau pengsan
  • terasa dunia seperti sedang berputar
  • tidak boleh menyeimbangkan badan
  • ketidakstabilan
  • rasa seperti melayang

Kadangkala pening kepala juga boleh menyebabkan mual, muntah dan pengsan. Dapatkan pemeriksaan doktor dengan segera jika anda mengalami gejala-gejala di atas.

Bila perlu berjumpa doktor

Adalah penting bagi mendapatkan pemeriksaan doktor jika anda kerap mengalami pening kepala. Selain itu, dapatkan juga pemeriksaan doktor jika anda mengalami pening kepala bersama-sama gejala berikut:

Gejala-gejala di atas boleh menandakan penyakit yang berbahaya, jadi adalah penting untuk mendapatkan pemeriksaan perubatan dengan segera. Menurut sebuah kajian pada 2021 di Sweden, 5 peratus mereka yang mendapatkan rawatan kecemasan yang dikaitkan dengan pening kepala memerlukan rawatan yang segera (time critical).

Rawatan

Rawatan pening kepala adalah bergantung kepada puncanya. Dalam kebanyakan kes, rawatan di rumah serta rawatan perubatan dapat membantu pesakit mengawal punca pening kepala.

Berikut merupakan antara rawatan pening kepala berdasarkan puncanya:

  • Vertigo dan BPV (benign positional vertigo): BPV, punca utama vertigo boleh dilegakan dengan melakukan pergerakan Epley. Pergerakan ini melibatkan memusing kepala dalam kedudukan tertentu bagi mengurangkan gejala. Selalunya pembedahan tidak diperlukan, namun boleh dilakukan jika gejala yang terlalu teruk.
  • Penyakit Meniere: Penyakit ini tidak boleh disembuhkan tetapi gejalanya boleh dikurangkan dengan ubat-ubatan, diet kurang garam, antibiotik atau suntikan kortikosteroid, dan pembedahan.
  • Akustik neuroma: Jika tumor semakin membesar, pesakit mungkin memerlukan rawatan radiasi atau pembedahan.
  • Dehidrasi: Bagi merawat dehidrasi, minum air dengan banyak.
  • Migrain: Rawatan migrain termasuklah ubat-ubatan dan perubahan gaya hidup seperti mengenalpasti dan mengelakkan pencetus migrain.
  • Alkohol: Kurangkan meminum alkohol atau terus berhenti bagi mengelakkan ketagihan.
  • Masalah dalam telinga: Masalah dalam telinga boleh dirawat dengan ubat-ubatan atau senaman di rumah bagi meningkatkan keseimbangan badan.
  • Ubat-ubatan: Jika pening kepala disebabkan ubat-ubatan, bincang dengan doktor anda bagi mengurangkan dos atau bertukar kepada ubat yang lain.
  • Tekanan darah menurun tiba-tiba: Rawatan untuk tekanan darah rendah bergantung kepada puncanya, tetapi ianya mungkin melibatkan perubahan dos atau jenis ubat, senaman, atau menukar kedudukan badan secara perlahan-lahan.
  • Kardiomyopathy: Penyakit ini boleh dirawat dengan ubat-ubatan dan perubahan gaya hidup seperti berhenti merokok dan mengamalkan pemakanan sihat.
  • Serangan jantung: Serangan jantung memerlukan rawatan kecemasan termasuk ubat-ubatan, terapi oksigen atau pembedahan.
  • Arrhythmia: Tidak semua arrythmia memerlukan rawatan perubatan. Perubahan gaya hidup seperti bersenam dan menjaga pemakanan boleh membantu mengawal gejala. Ubat-ubatan juga akan diberikan jika perlu. Pembedahan boleh dilakukan dalam kes-kes yang teruk.
  • Masalah peredaran darah: Masalah peredaran darah boleh diatasi dengan senaman yang kerap, pemakanan sihat, ubat-ubatan atau pembedahan.
  • Senaman berlebihan atau kepanasan: Meminum banyak air boleh membantu jika pening kepala disebabkan oleh senaman atau kepanasan melampau.
  • Pengurangan isipadu darah: Rawatan untuk kurang isipadu darah melibatkan penambahan semula dengan memasukkan cecair melalui saluran intravena serta merawat puncanya seperti pendarahan.
  • Penyakit anxiety: Ubat-ubatan dan teknik mengurangkan keresahan seperti terapi perbualan boleh membantu.
  • Anemia: Suplemen zat besi dan pemakanan seimbang boleh membantu merawat anemia.
  • Hipoglisemia: Jika anda mengalami gejala hipoglisemia, cuba minum minuman manis seperti jus buah-buahan atau soda atau memakan gula-gula. Jika paras gula sangat rendah, pesakit mungkin memerlukan suntikan hormon glukagon.
  • Keracunan karbon monoksida: Masalah ini memerlukan rawatan kecemasan. Ianya boleh dirawat dengan oksigen, mesin ventilator dan cecair intravena.
  • Mabuk kenderaan: Anda boleh cuba mengambil gula-gula halia, aromaterapi dan ubat dari farmasi seperti diphenhydramine (Benadryl) untuk mabuk kenderaan.
  • Sklerosis berbilang (MS): Penyakit ini tidak boleh disembuhkan tetapi terapi fizikal dan ubat-ubatan boleh membantu mengawal gejala.
  • Penyakit Parkinson: Ubat-ubatan, pembedahan dan senaman boleh melegakan gejala penyakit Parkinson, namun penyakit ini tidak boleh disembuhkan.
  • Jangkitan: Rawatan bergantung kepada punca jangkitan dan selalunya melibatkan pengambilan air yang cukup serta rehat.
    • COVID-19: Minum air secukupnya dan senaman bagi menguatkan keseimbangan badan boleh membantu jika pening kepala masih kekal selepas jangkitan COVID-19. Jika gejala menjadi semakin teruk, dapatkan pemeriksaan doktor dengan segera.
    • Jangkitan virus lain: Minum air secukupnya dan rehat adalah rawatan utama. Ubat antivirus mungkin akan diberikan untuk sesetengah jangkitan virus. Ubat dari farmasi seperti ubat dekongestan dan ubat tahan sakit juga boleh membantu melegakan gejala.
    • Jangkitan telinga: Jangkitan telinga juga memerlukan rehat dan meminum air secukupnya, ubat antibiotik boleh diberikan jika perlu.
    • Labyrinthitis dan vestibular neuritis: Antara rawatannya termasuklah ubat anti-pening, antihistamin dan antibiotik.
  • Strok: Pesakit strok memerlukan rawatan kecemasan yang termasuk ubat-ubatan dan pembedahan jika perlu bagi mengurangkan pendarahan dalam otak.
  • Tumor malignan: Rawatannya termasuklah pembedahan, terapi radiasi, kemoterapi dan ubat-ubatan lain.
  • Masalah otak: Rawatannya bergantung kepada penyakit yang terlibat. Antara contoh rawatan termasuklah ubat tahan sakit, terapi fizikal, terapi percakapan dan pembedahan.

Pengesanan punca pening

Doktor akan cuba mengesan punca pening kepala dengan mengambil sejarah perubatan serta melakukan pemeriksaan fizikal. Antara soalan-soalan berkaitan pening kepala yang boleh ditanya termasuklah:

  • bila ianya berlaku
  • ianya berlaku dalam situasi apa
  • berapa terukkah pening kepala tersebut
  • adakah terdapat gejala yang lain selain pening kepala

Doktor juga mungkin akan:

  • memeriksa bahagian mata dan telinga
  • melakukan pemeriksaan neurologikal
  • melihat postur tubuh dan pergerakan pesakit

Jika doktor mengesyaki punca tertentu, seperti keracunan karbon monoksida, masalah jantung atau angin ahmar, doktor mungkin akan melakukan ujian imbasan CT, MRI atau ujian-ujian yang lain.

Kadangkala punca pening kepala tidak dapat dipastikan.

Ujian keseimbangan

Doktor mungkin akan melakukan beberapa ujian bagi memeriksa keseimbangan badan. Ujian ini dilakukan bagi melihat jika terdapat masalah pada telinga bahagian dalam yang boleh menjejaskan keseimbangan badan dan menyebabkan pening kepala.

Antara ujian ini termasuklah:

  • ujian postugrafi dinamik berkomputer (CDP), di mana seseorang perlu cuba mengekalkan keseimbangan apabila berdiri di atas platform yang bergerak
  • ujian Romberg, yang akan mengukur tahap seseorang mengekalkan keseimbangan apabila berdiri dengan mata tertutup selama 1 minit
  • ujian elektronystagmografi (ENG), yang menggunakan sensor yang diletakkan disekeliling mata bagi mengukur pergerakan mata
  • ujian videonystagmografi (VNG), di mana seseorang akan memakai cermin mata khas dan melihat paten cahaya bagi mengukur pergerakan mata
  • ujian rotari, di mana cermin mata khas akan merakam pergerakan mata seseorang yang duduk di atas kerusi yang sedang berputar

Ujian vertigo

Jika anda mengalami gejala vertigo, doktor mungkin akan melakukan ujian berikut:

  • pergerakan Dix-Hallpike, yang melibatkan memusing kepala dan menukar kedudukan kepala dengan cepat ketika sedang berbaring dan duduk di mana ketika pergerakan ini dilakukan doktor akan melihat jika seseorang itu mengalami vertigo
  • ujian VEMP (vestibular evoked myogenic potentials), di mana doktor akan memeriksa jika terdapat masalah pada bahagian dalam telinga dengan memainkan bunyi menggunakan fon telinga ketika pergerakan kepala dan mata dilakukan
  • ujian video impuls kepala, yang akan merakam pergerakan mata apabila seseorang sedang melihat ke arah sasaran sambil menggerakkan kepala

Ujian pendengaran

Ujian pendengaran juga boleh dilakukan bagi memeriksa masalah kepeningan dan keseimbangan. Antara ujian ini termasuklah:

  • ujian pancaran otoakustik, di mana fon telinga akan memainkan bunyi di dalam telinga dan doktor akan mengukur gema yang kembali daripada bahagian dalam telinga
  • timpanometri, di mana doktor akan memasukkan udara ke dalam telinga bagi mengukur pergerakan gegendang telinga
  • elektrokokleografi, yang menguji aktiviti elektrik pada koklea (tulang kecil pada bahagian dalam telinga) menggunakan elektrod yang diletakkan di dalam telinga

Elektrokokleografi juga digunakan bagi mengesan penyakit Meniere.

Ujian jantung

Antara ujian yang dapat membantu doktor mengesan jika terdapat penyakit jantung yang menyebabkan kepeningan termasuklah:

  • elektrokardiogram, bagi melihat aktiviti elektrik pada jantung
  • ekokardiogram, merupakan sejenis ultraosund bagi melihat aktiviti dan fungsi jantung
  • ujian stres, di mana doktor akan memeriksa jantung ketika seseorang berada di atas treadmill atau melakukan senaman lain

Cara menangani pening kepala

Ikuti tips di bawah jika anda kerap mengalami pening kepala:

  • Terus duduk atau baring jika anda berasa pening dan rehat sehingga pening tersebut hilang. Ini boleh mencegah anda daripada hilang keseimbangan seterusnya terjatuh dan mengalami kecederaan.
  • Gunakan tongkat atau alat walker jika perlu bagi mengekalkan keseimbangan badan.
  • Gunakan rel tangan ketika menaiki atau menuruni tangga.
  • Mencuba aktiviti yang dapat meningkatkan keseimbangan badan seperti yoga dan tai chi.
  • Elakkan daripada bergerak atau menukar posisi badan secara tiba-tiba.
  • Elakkan daripada memandu atau mengendalikan mesin berat jika anda selalu mengalami pening kepala secara tiba-tiba.
  • Elakkan pengambilan kafein, alkohol dan tembakau. Penggunaan bahan ini boleh mencetuskan kepeningan atau menyebabkannya menjadi bertambah teruk.
  • Minum air dengan secukupnya dan dapatkan juga tidur yang cukup. Elakkan situasi yang boleh memberikan tekanan kepada anda.
  • Jika anda mengesyaki pening berpunca dari ubat yang diambil, bincang dengan doktor untuk mengurangkan dos atau bertukar kepada ubat yang lain.
  • Ambil ubat dari farmasi seperti meclizine (Antivert, Bonine) jika anda mungalami mual dan pening. Ubat ini boleh menyebabkan mengantuk, jadi jangan ambil jika anda mahu bekerja atau melakukan aktiviti.
  • Rehat di tempat yang selesa dan minum air jika pening kepala disebabkan kepanasan dan dehidrasi.

Dapatkan pemeriksaan doktor dengan segera jika pening kepala menjadi semakin kerap atau teruk.

Rumusan

Kebanyakan kes pening kepala boleh hilang dengan sendiri apabila puncanya dikenalpasti dan dirawat. Dalam kes yang jarang berlaku, pening kepala boleh menjadi gejala kepada penyakit-penyakit yang berbahaya.

Pening kepala juga boleh menyebabkan komplikasi seperti pengsan atau hilang keseimbangan badan. Ianya menjadi berbahaya jika seseorang itu sedang memandu, mengendalikan mesin berat atau menaiki tangga.

Sila berhati-hati jika anda mula mengalami pening kepala. Jika tidak tahan, hentikan memandu atau melakukan aktiviti dengan serta-merta dan cari kawasan yang selamat untuk berehat sehinggalah kepeningan menjadi reda.

Print Friendly, PDF & Email
Langgan Newsletter Kami
Jom dapatkan notifikasi artikel-artikel terbaru kami terus ke email anda!
Laman web ini bertujuan untuk memberikan pengetahuan am sahaja dan tidak membuat sebarang nasihat perubatan individu. Jika anda mempunyai apa-apa simptom sila berjumpa doktor dengan kadar segera.