Jangkitan Paru-paru atau Pneumonia – Punca, Tanda & Rawatan

Pneumonia merupakan jangkitan pada paru-paru dan boleh disebabkan oleh bakteria, virus serta fungal. Ketahui tanda-tanda dan rawatan untuk pneumonia.

Pneumonia merupakan jangkitan pada salah satu atau kedua-dua paru-paru. Ianya boleh disebabkan oleh bakteria, virus atau kulat.

Jangkitan ini akan menyebabkan keradangan di dalam ruang udara pada paru-paru yang dipanggil alveoli. Alveoli akan dipenuhi oleh cecair atau nanah, yang akan menyebabkan seseorang mengalami sesak nafas.

Adakah pneumonia boleh berjangkit?

Kuman yang menyebabkan pneumonia biasanya mudah berjangkit. Ini bermaksud ianya boleh merebak dari seseorang kepada orang yang lain.

Kedua-dua pneumonia yang disebabkan bakteria dan virus boleh tersebar kepada orang lain melalui sedutan titisan cecair di udara yang berlaku apabila pesakit pneumonia batuk atau bersin. Ianya juga boleh merebak melalui sentuhan permukaan atau objek yang dicemari oleh bakteria atau virus yang boleh menyebabkan pneumonia.

Pneumonia yang disebabkan kulat juga tersebar melalui udara tetapi tidak berjangkit dari seseorang kepada orang yang lain.

Tanda-tanda dan gejala pneumonia

Gejala pneumonia boleh jadi ringan atau membahayakan nyawa. Ini termasuklah:

  • Batuk yang menghasilkan kahak (mukus)
  • Demam
  • Sejuk atau menggigil
  • Sesak nafas yang boleh berlaku dengan aktiviti normal atau ketika sedang berehat
  • Sakit dada yang menjadi teruk apabila bernafas atau batuk
  • Cepat letih dan tidak bermaya
  • Kurang selera makan
  • Muntah dan mual
  • Sakit kepala

Gejala lain boleh berbeza mengikut umur atau keadaan kesihatan seseorang:

  • Kanak-kanak di bawah 5 tahun mengalami pernafasan laju atau berbunyi
  • Kadangkala kanak-kanak akan muntah, tidak aktif atau tidak mahu makan dan minum
  • Orang yang lebih tua boleh mengalami kekeliruan dan suhu badan menurun

Punca pneumonia

Terdapat beberapa jenis ejen jangkitan yang boleh menyebabkan pneumonia.

Bakterial pneumonia

Punca utama bakterial pneumonia adalah disebabkan oleh bakteria Streptococcus pneumoniae. Punca lain termasuklah: 

  • Mycoplasma pneumoniae
  • Haemophilus influenzae
  • Legionella pneumophila

Viral pneumonia

Pneumonia juga sering berlaku disebabkan oleh jangkitan virus. Antara contohnya adalah:

  • influenza (flu)
  • respiratory syncytial virus (RSV)
  • rhinoviruses (selsema biasa)

Viral pneumonia selalunya tidak teruk dan akan pulih sendiri dalam satu ke tiga minggu tanpa sebarang rawatan.

Fungal pneumonia

Kulat atau fungal daripada tanah atau najis burung juga boleh menyebabkan pneumonia. Ianya selalu menyebabkan pneumonia pada mereka yang mempunyai masalah lemah sistem imuniti. Antara contoh kulat yang boleh menyebabkan pneumonia termasuklah:

  • Pneumocystis jirovecii
  • Cryptococcus species
  • Histoplasmosis species

Jenis-jenis pneumonia

Pneumonia juga boleh dikelaskan mengikut kawasan dijangkiti atau bagaimana ianya menjangkiti.

Jangkitan pneumonia di hospital (HAP)

Pneumonia ini disebabkan oleh jangkitan bakteria ketika seseorang dimasukkan ke dalam hospital. Ianya boleh menjadi lebih bahaya berbanding pneumonia yang lain kerana bakteria di hospital lebih kebal terhadap antibiotik.

Jangkitan pneumonia di komuniti (CAP)

Jangkitan pneumonia di komuniti merujuk kepada jangkitan paru-paru yang didapati di luar fasiliti atau institusi kesihatan.

Jangkitan pneumonia berkaitan ventilator (VAP)

Apabila mereka yang sedang menggunakan ventilator menghidap pneumonia, juga dikenali sebagai VAP.

Pneumonia akibat tersedak

Pneumonia akibat tersedak (aspiration pneumonia) berlaku apabila seseorang menyedut bakteria ke dalam paru-paru daripada makanan, minuman atau air liur. Pneumonia ini sering berlaku terhadap mereka yang mengalami kesukaran menelan atau terlalu mamai akibat pengambilan ubat, alkohol atau dadah yang lain.

Rawatan pneumonia

Rawatan pneumonia bergantung kepada jenis pneumonia yang dialami, tahap keterukan, dan tahap kesihatan keseluruhan pesakit.

Ubat-ubatan

Doktor akan memberikan ubat untuk merawat pneumonia, ubat ini bergantung kepada punca pneumonia tersebut.

Ubat antibiotik secara menelan boleh merawat kebanyakan penyakit pneumonia yang disebabkan oleh bakteria. Ubat antibiotik ini perlu dihabiskan secara keseluruhan, walaupun pesakit telah bertambah baik. Jika tidak dihabiskan boleh menyebabkan jangkitan tidak sembuh sepenuhnya dan akan menjadi lebih sukar untuk dirawat.

Ubat antibiotik tidak berkesan terhadap jangkitan virus. Dalam kes tertentu doktor akan memberikan ubat anti-virus. Walaubagaimanapun kebanyakan pneumonia yang disebabkan oleh virus akan sembuh sendiri dengan rawatan di rumah.

Ubat anti-fungus juga digunakan untuk merawat pneumonia yang disebabkan oleh jangkitan fungus. Anda mungkin perlu mengambil ubat anti-fungus selama beberapa minggu untuk menghapuskan jangkitan.

Rawatan di rumah

Doktor juga mungkin akan mencadangkan beberapa ubat yang lain untuk melegakan kesakitan dan demam apabila perlu. Antaranya termasuklah:

  • aspirin
  • ibuprofen (Advil, Motrin)
  • acetaminophen (Tylenol)

Doktor juga mungkin mencadangkan pengambilan ubat batuk untuk melegakan batuk supaya pesakit dapat berehat. Walaubagaimanapun batuk sebenarnya membantu untuk mengeluarkan cecair dari paru-paru oleh itu batuk juga adalah satu proses yang penting dalam penyembuhan pneumonia.

Selain itu, pesakit juga perlu mendapatkan rehat yang cukup dan minum air masak dengan mencukupi ketika proses penyembuhan.

Rawatan di hospital

Jika gejala pesakit adalah teruk atau pesakit mempunyai masalah kesihatan yang lain, pesakit mungkin perlu dimasukkan ke dalam wad. Di wad, doktor akan memantau denyutan jantung, suhu dan pernafasan pesakit. Rawatan di hospital termasuklah:

  • pemberian antibiotik melalui suntikan intravena
  • terapi pernafasan, termasuk memasukkan ubat secara terus ke dalam paru-paru atau mengajar pesakit melakukan senaman pernafasan untuk meningkatkan pengambilan oksigen
  • terapi oksigen untuk mengekalkan tahap oksigen yang normal di dalam darah, boleh diberikan melalui tiub hidung, topeng muka atau mesin ventilator bergantung kepada tahap keterukan pesakit

Faktor risiko pneumonia

Sesiapa sahaja boleh dijangkiti pneumonia, tetapi terdapat golongan yang lebih berisiko untuk dijangkiti. Ini termasuklah:

  • kanak-kanak dari lahir sehingga berumur 2 tahun
  • warga tua berumur 65 tahun ke atas
  • mereka yang lemah sistem imun badan kerana penyakit atau mengambil ubat seperti steroid dan ubat kanser
  • penghidap penyakit kronik seperti asma, cystic fibrosis, kencing manis dan penyakit jantung
  • mereka yang baru mengalami jangkitan saluran pernafasan seperti selsema dan influenza
  • pesakit yang dimasukkan ke hospital, terutamanya yang diberikan rawatan menggunakan ventilator
  • pesakit strok yang bermasalah menelan atau mengalami kesukaran bergerak
  • perokok, penagih dadah atau mengambil alkohol dalam jumlah yang banyak
  • mereka yang terdedah kepada bahan yang boleh merangsang paru-paru seperti asap, habuk, dan bahan kimia

Pencegahan pneumonia

Dalam kebanyakan kes, pneumonia boleh dicegah.

Vaksin

Lapisan perlindungan pertama terhadap pneumonia adalah dengan mengambil vaksin. Terdapat beberapa jenis vaksin yang dapat mencegah pneumonia.

Prevnar 13 dan Pneumovax 23

Kedua-dua vaksin ini dapat membantu melindungi seseorang daripada pneumonia dan meningitis yang disebabkan oleh bakteria pneumokokal. Doktor boleh menjelaskan kepada anda vaksin yang mana lebih baik untuk anda.

Prevnar 13 adalah efektif terhadap 13 jenis bakteria pneumokokal. Vaksin ini disarankan untuk diambil oleh:

  • kanak-kanak berusia 2 tahun ke bawah
  • warga tua berumur 65 tahun ke atas
  • mereka yang berumur antara 2 ke 65 tahun yang menghidap penyakit kronik yang boleh meningkatkan risiko mendapat pneumonia

Pneumovax 23 pula efektif terhadap 23 jenis bakteria pneumokokal. Ianya disarankan untuk:

  • orang dewasa berumur 65 tahun ke atas
  • orang dewasa berumur dari 19 ke 64 tahun yang merokok
  • mereka yang berumur antara 2 ke 64 tahun yang menghidap penyakit kronik yang boleh meningkatkan risiko mendapat pneumonia

Vaksin influenza

Pneumonia juga boleh berlaku akibat komplikasi penyakit influenza, jadi adalah bagus untuk mendapatkan vaksin influenza secara tahunan. Disarankan untuk mereka yang berusia 6 bulan ke atas untuk mendapatkan vaksin ini, terutamanya bagi mereka yang mudah mendapat komplikasi influenza.

Vaksin Hib

Vaksin ini melindungi seseorang daripada Haemophilus influenzae jenis b (Hib), sejenis bakteria yang boleh menyebabkan pneumonia dan meningitis. Vaksin ini disarankan untuk:

  • semua kanak-kanak di bawah umur 5 tahun
  • kanak-kanak lebih 5 tahun yang belum divaksin atau orang dewasa yang mengalami masalah kesihatan tertentu
  • mereka yang menjalani pemindahan sum-sum tulang

Vaksin di atas mungkin tidak dapat mencegah semua kes pneumonia, namun mereka yang telah divaksin biasanya hanya mendapat gejala yang ringan, dengan tempoh jangkitan pneumonia yang lebih pendek serta kurang komplikasi berbanding individu yang tidak divaksin.

Tips pencegahan yang lain

Selain mendapatkan vaksin, terdapat cara lain yang anda boleh lakukan untuk mencegah pneumonia:

  • Berhenti merokok. Merokok boleh menyebabkan saluran pernafasan seseorang lebih senang dijangkiti kuman terutamanya pneumonia
  • Kerap membasuh tangan dengan sabun dan air
  • Mengamalkan etika batuk yang betul dengan menutup mulut dan hidung
  • Mengamalkan kehidupan yang sihat untuk menguatkan sistem imun. Dapatkan rehat yang cukup, makan makanan berkhasiat dan lakukan senaman dengan kerap.

Tips di atas beserta vaksinasi dapat membantu mengurangkan risiko anda mendapat penyakit pneumonia.

Pengesanan pneumonia

Doktor akan bermula dengan mengambil sejarah perubatan anda. Doktor akan bertanya bilakah gejala bermula dan keadaan kesihatan anda secara umum.

Kemudian doktor akan melakukan pemeriksaan fizikal termasuk mendengar bunyi pada paru-paru menggunakan stetoskop bagi mencari bunyi yang tidak normal. Bergantung kepada tahap keterukan gejala dan risiko komplikasi, doktor mungkin akan melakukan ujian-ujian seperti berikut:

X-ray dada

X-ray boleh membantu doktor untuk melihat jika terdapat keradangan pada paru-paru. Jika keradangan berlaku, X-ray juga boleh menunjukkan kawasan yang terlibat dan tahap keterukan.

Perbezaan x-ray dada mengikut jenis jangkitan

Kultur darah

Ujian ini dilakukan dengan mengambil sampel darah bagi mengesahkan jangkitan. Kultur juga dapat membantu mengenalpasti punca jangkitan.

Kultur kahak

Kultur kahak dilakukan dengan mengambil sampel kahak selepas seseorang batuk kuat. Ianya akan dihantar ke makmal untuk dianalisa bagi menentukan punca jangkitan.

Oksigen dalam darah 

Alat oksimetri nadi akan digunakan untuk menentukan jumlah kandungan oksigen dalam darah. Sensor akan diletakkan di atas salah satu jari yang boleh menentukan sama ada paru-paru memindahkan oksigen yang cukup ke dalam darah.

Imbasan CT 

Imbasan CT boleh memberikan gambaran yang lebih jelas dan terperinci berkenaan keadaan paru-paru.

Sampel cecair 

Jika doktor mengesyaki terdapat cecair di dalam ruang pleural di sekeliling paru-paru, doktor mungkin akan mengambil sampel cecair ini dengan menggunakan jarum yang dicocok diantara tulang rusuk. Ujian ini juga dapat menentukan punca jangkitan.

Bronkoskopi

Bronkoskopi merupakan ujian untuk melihat keadaan dalaman paru-paru. Ianya dilakukan dengan menggunakan kamera kecil pada hujung tiub fleksibel yang akan dimasukkan melalui mulut sehingga ke paru-paru. Ujian ini selalunya dilakukan jika pesakit mempunyai gejala yang teruk dan tidak berkesan terhadap antibiotik ketika di hospital.

Pneumonia ringan

Pneumonia ringan atau ‘walking pneumonia‘ adalah pesakit pneumonia yang mengalami gejala ringan dan kadangkala tidak menyedari mereka sedang mengalami pneumonia kerana gejalanya hanyalah seperti jangkitan salur pernafasan biasa.

Antara gejala pneumonia ringan termasuklah:

  • demam ringan
  • batuk yang kering dan kurang dari seminggu
  • sejuk
  • sesak nafas
  • sakit dada
  • kurang selera makan

Selalunya virus dan bakteria seperti Streptococcus pneumoniae atau Haemophilus influenzae yang menyebabkan pneumonia biasa. Namun pneumonia ringan adalah disebabkan oleh bakteria seperti Mycoplasma pneumoniae, Chlamydophilia pneumoniae, dan Legionella pneumoniae

Walaupun gejalanya lebih ringan, namun tempoh pemulihan pneumonia ini adalah lebih lama berbanding pneumonia biasa.

Adakah pneumonia sejenis virus?

Terdapat beberapa jenis ejen jangkitan yang boleh menyebabkan pneumonia, dan virus hanyalah salah satu daripadanya. Pneumonia juga boleh disebabkan oleh bakteria dan kulat.

Antara contoh jangkitan virus yang boleh menyebabkan pneumonia termasuklah:

  • influenza (flu)
  • jangkitan RSV
  • rhinoviruses (selsema biasa)
  • jangkitan human parainfluenza virus (HPIV)
  • jangkitan human metapneumovirus (HMPV)
  • demam campak (measles)
  • cacar air atau chickenpox (varicella-zoster virus)
  • jangkitan adenovirus
  • jangkitan koronavirus

Walaupun gejala pneumonia yang disebabkan oleh virus dan bakteria adalah sama, namun jangkitan virus selalunya kurang teruk berbanding bakteria. Walaubagaimanapun mereka yang dijangkiti viral pneumonia lebih berisiko untuk menghidap bakterial pneumonia.

Salah satu perbezaan utama antara pneumonia yang disebabkan oleh virus atau pun bakteria adalah cara rawatan. Kebanyakan kes viral pneumonia memerlukan rawatan di rumah dan kadangkala perlu diberikan ubat antivirus.

Pneumonia dan bronkitis

Pnerumonia dan bronkitis merupakan dua penyakit berbeza. Pneumonia merupakan keradangan pada kantung udara di dalam paru-paru. Bronkitis pula merupakan keradangan pada tiub bronkial. Tiub ini merupakan saluran daripada tenggorok ke dalam paru-paru.

Jangkitan adalah penyebab kedua-dua penyakit pneumonia dan bronkitis akut. Manakala bagi bronkitis kronik pula adalah disebabkan oleh menghidu bahan kotor seperti asap rokok.

Jangkitan virus atau bakteria boleh menyebabkan bronkitis akut. Jika tidak dirawat, ianya boleh menyebabkan pneumonia. Jadi kadangkala sukar untuk membezakan kedua-duanya kerana berkongsi gejala yang sama.

Jadi jika anda menghidap bronkitis, sila dapatkan rawatan segera sebelum ianya menjadi pneumonia.

Pneumonia pada kanak-kanak

Pneumonia juga sering berlaku pada kanak-kanak. Menurut statistik terdapat lebih kurang 120 juta kes pneumonia pada kanak-kanak berlaku di seluruh dunia pada setiap tahun.

Punca pneumonia pada kanak-kanak berbeza mengikut umur. Sebagai contoh, pneumonia yang disebabkan oleh virus, Streptococcus pneumoniae, dan Haemophilus influenzae lebih kerap berlaku pada kanak-kanak di bawah umur 5 tahun.

Pneumonia yang disebabkan oleh Mycoplasma pneumoniae selalu berlaku pada kanak-kanak berusia antara 5 ke 13 tahun. Mycoplasma pneumoniae merupakan salah satu punca pneumonia ringan.

Sila berjumpa doktor dengan segera jika anak anda:

  • sukar bernafas atau bernafas laju
  • kurang aktif
  • kurang selera makan atau menyusu

Pneumonia boleh menyebabkan komplikasi berbahaya dengan cepat, terutamanya pada kanak-kanak.

Rawatan alternatif

Walaupun rawatan di rumah selalunya tidak boleh menyembuhkan pneumonia, terdapat beberapa perkara yang anda boleh lakukan untuk mengurangkan gejala.

Batuk merupakan gejala yang sering berlaku pada pesakit pneumonia. Cara semulajadi untuk melegakan batuk adalah dengan berkumur dengan air garam atau meminum teh pudina.

Ubat daripada farmasi sepeti ubat tahan sakit, ubat demam dan pad penyejuk boleh membantu menurunkan suhu badan. Meminum air suam atau memakan sup yang suam boleh membantu mengurangkan gejala kesejukan.

Walaupun rawatan di rumah boleh melegakan gejala pneumonia, adalah penting untuk meneruskan pengambilan ubat daripada doktor terutamanya antobiotik sehingga habis.

Pemulihan pneumonia

Kebanyakan pesakit akan pulih daripada pneumonia selepas menerima rawatan. Namun pesakit perlu menjalani proses pemulihan bergantung kepada jenis, tahap keterukan dan tahap kesihatan pesakit secara umum.

Bagi orang muda, selalunya boleh kembali normal sepenuhnya seminggu selepas rawatan. Namun ada yang perlu mengambil masa yang lebih lama dan sering berasa penat. Jika gejala anda teruk, proses pemulihan mungkin menjadi lebih lama.

Ambil langkah di bawah untuk membantu proses pemuhan dan mengelakkan komplikasi pneumonia daripada berlaku:

  • Ikut pelan rawatan daripada doktor dan ambil ubat seperti yang diarahkan
  • Dapatkan rehat yang cukup untuk membolehkan badan fokus melawan penyakit
  • Minum air dalam jumlah mencukupi
  • Tanya doktor anda berkenaan temujanji seterusnya, rawatan susulan atau ujian susulan

Komplikasi pneumonia

Pneumonia boleh menyebabkan komplikasi, terutamanya bagi mereka yang mempunyai sistem imun yang lemah atau penyakit kronik seperti kencing manis.

Penyakit kronik semakin teruk

Jika pesakit pneumonia mempunyai penyakit kronik yang lain, ianya boleh menjadi lebih teruk. Antara penyakit kronik yang boleh menjadi teruk adalah kegagalan jantung dan emfisema. Bagi sesetengah orang, penyakit pneumonia boleh meningkatkan risiko mendapat serangan jantung.

Bakteremia

Bakteria daripada jangkitan pneumonia boleh masuk ke dalam salur darah seterusnya menyebabkan jangkitan dalam darah. Ianya boleh menyebabkan tekanan darah menjadi rendah, renjatan dan lebih teruk lagi kegagalan organ.

Abses paru-paru

Abses merupakan pembentukan ruang pada paru-paru yang mengandungi nanah. Kadangkala prosedur sedutan atau pembedahan perlu dilakukan untuk membuang nanah tersebut.

Kesukaran bernafas

Pesakit boleh menghadapi masalah pernafasan kerana kurang oksigen yang dipindahkan dari paru-paru dan jika teruk mungkin memerlukan bantuan alat ventilator.

Sindrom kegagalan pernafasan akut

Ianya adalah kegagalan pernafasan yang paling teruk dan merupakan kes kecemasan.

Pleural Effusion

Jika pneumonia tidak dirawat, cecair mungkin terbentuk disekeliling paru-paru iaitu di ruangan pleura yang dikenali sebagai pleural effusion. Pleura merupakan membran nipis yang melapisi bahagian luar paru-paru dan bahagian dalam rongga rusuk. Cecair pleural effusion juga boleh dijangkiti dan perlu disedut keluar.

Pleural effusion iaitu cecair dalam ruang pleura

Kematian

Dalam sesetengah kes, pneumonia boleh menyebabkan kematian, Menurut statistik, lebih kurang 49 000 orang meninggal dunia disebabkan pneumonia di Amerika Syarikat pada tahun 2017.

Penyembuhan pneumonia

Ada beberapa jenis ejen jangkitan yang boleh menyebabkan pneumonia. Dengan diagnosis dan rawatan yang tepat, kebanyakan kes pneumonia boleh sembuh tanpa sebarang komplikasi.

Untuk jangkitan bakteria, jika pesakit berhenti mengambil antibiotik lebih awal ianya boleh menyebabkan jangkitan tidak hilang sepenuhnya dan pneumonia boleh terjadi semula. Selain itu, ianya juga akan menyebabkan bakteria menjadi imun terhadap antibiotik tersebut dan lebih sukar untuk dirawat.

Viral pneumonia selalunya sembuh dalam masa satu ke tiga minggu dengan rawatan di rumah. Dalam kes tertentu pesakit memerlukan ubat antivirus. Ubat antifungal pula digunakan untuk merawat bakteria yang disebabkan oleh jangkitan kulat dan mungkin tempoh rawatannya lebih lama berbanding jangkitan yang lain.

Peringkat pneumonia

Pneumonia boleh dibahagikan mengikut kawasan paru-paru yang dijangkiti:

Bronkopneumonia

Bronkopneumonia boleh menjangkiti kawasan pada kedua-dua paru-paru. Ianya selalu berlaku berhampiran bronchi. Bronchi merupakan tiub yang menghubungkan tenggorok kepada paru-paru.

Perbezaan bronkopneumonia dan lobar pneumonia

Lobar pneumonia

Lobar pneumonia melibatkan satu atau lebih lobar paru-paru. Setiap paru-paru terdiri daripada beberapa lobar yang terpisah antara satu sama lain.

Lobar pneumonia boleh dipecahkan lagi kepada empat peringkat mengikut tahap perubahan penyakit:

  1. Kesesakan. Tisu paru-paru nampak penuh dan sesak. Ini kerana terdapat cecair yang penuh dengan organisma punca jangkitan di dalam ruang udara paru-paru.
  2. Hepatisasi Merah. Sel darah merah dan sel imun masuk ke dalam cecair paru-paru ini. Paru-paru kelihatan berwarna merah dan padu.
  3. Hepatisasi Kelabu. Sel darah merah mula pecah namun sel imun akan kekal. Sel darah merah yang pecah ini akan bertukar menjadi warna kelabu.
  4. Penyembuhan. Sel imun akan mula membersihkan jangkitan. Batuk yang produktif dapat membantu mengeluarkan cecair ini daripada paru-paru.

Pneumonia ketika mengandung

Pneumonia yang berlaku ketika mengandung dikenali sebagai pneumonia maternal. Wanita mengandung lebih berisiko untuk mendapat pneumonia. Ini kerana aktiviti sistem imun akan menurun sedikit secara semulajadi ketika mengandung.

Gejala pneumonia adalah sama pada setiap trimester. Namun pesakit mungkin akan mengalami lebih banyak gejala ketidakselesaan ketika lewat kandungan.

Jika anda mengandung dan mengalami gejala pneumonia, sila berjumpa doktor dengan segera kerana pneumonia ketika mengandung boleh menyebabkan komplikasi berbahaya seperti kelahiran tidak cukup bulan dan berat kurang ketika lahir.

Print Friendly, PDF & Email
Langgan Newsletter Kami
Jom dapatkan notifikasi artikel-artikel terbaru kami terus ke email anda!
Laman web ini bertujuan untuk memberikan pengetahuan am sahaja dan tidak membuat sebarang nasihat perubatan individu. Jika anda mempunyai apa-apa simptom sila berjumpa doktor dengan kadar segera.