Rambut Gugur – Punca, Tanda dan Rawatan

Masalah rambut gugur merupakan gejala yang merisaukan kerana ianya berkaitan penampilan seseorang, jom ketahui punca rambut gugur dan rawatannya.

Rambut gugur dari segi perubatan dikenali sebagai alopecia. Ianya kerap berlaku terutamanya kepada orang dewasa, tetapi sesiapa sahaja boleh mengalaminya termasuklah kanak-kanak.

Kebiasaannya seseorang yang normal mengalami keguguran rambut sebanyak 50 ke 100 helai sehari. Jumlah ini tidak membimbangkan kerana rambut kita boleh mencapai sehingga 100 000 helai rambut pada satu-satu masa. Kadangkala, rambut baru juga akan tumbuh bagi menggantikan rambut yang telah gugur.

Masalah rambut gugur boleh berlaku secara perlahan-lahan atau tiba-tiba. Bergantung kepada puncanya, keguguran ini boleh jadi sementara ataupun kekal.

Artikel ini akan membincangkan bagaimana untuk mengenalpasti sama ada keguguran rambut tersebut adalah normal ataupun tidak dan bagaimana cara untuk merawatnya.

Tanda dan gejala

Tanda utama masalah rambut gugur adalah kehilangan rambut yang lebih banyak daripada sepatutnya, namun tanda ini agak sukar dikenalpasti pada peringkat awal.

Gejala-gejala di bawah boleh menandakan rambut gugur dengan banyak:

  • Ruang antara rambut membesar. Jika anda membelah rambut menggunakan sikat, anda mungkin akan perasan ruang diantara rambut semakin membesar yang menandakan rambut menjadi semakin nipis.
  • Sempadan rambut mengecil. Jika anda perasan sempadan rambut (hairline) semakin tinggi dari biasa, ianya juga menandakan rambut yang semakin berkurang.
  • Rambut yang mudah tercabut. Lihat pada sikat rambut anda ketika menggunakannya. Adakah terdapat lebih banyak rambut yang tercabut daripada biasa, ianya juga boleh menandakan keguguran.
  • Tompokan botak. Ianya boleh berbeza dari segi saiz dan boleh menjadi semakin besar.
  • Laluan air tersumbat. Anda merasakan laluan air pada tempat mandi atau sinki kerap tersumbat dengan rambut.
  • Sakit pada kulit kepala. Jika anda mempunyai penyakit yang menyebabkan keguguran rambut, anda juga boleh merasai kesakitan atau kegatalan pada kulit kepala.

Punca rambut gugur

Terdapat beberapa jenis keguguran rambut, dan ianya disebabkan oleh punca yang berbeza.

Androgenik alopecia

Androgenik alopecia merujuk kepada rambut gugur disebabkan keturunan, seperti yang biasa berlaku kepada lelaki dan wanita yang semakin berumur. Ianya merupakan punca rambut gugur yang paling kerap berlaku dan dialami sehingga 50 peratus penduduk dunia.

Rambut gugur yang berkaitan androgenik alopecia berlaku secara perlahan-lahan. Terdapat mereka yang kehilangan rambut seawal akil baligh, dan gejala ini selalunya hanya disedari pada pertengahan usia iaitu diantara 6 ke 11 tahun kemudian.

Keguguran rambut pada wanita pula selalunya melibatkan rambut yang semakin menipis secara keseluruhan. Rambut juga boleh kelihatan jarang dan semakin menipis pada kawasan-kawasan tertentu.

Keguguran rambut pada lelaki pula selalunya melibatkan kehilangan rambut secara perlahan-lahan pada kawasan dahi dan juga rambut yang semakin menipis pada bahagian tengah kepala, yang menyebabkannya seperti bentuk huruf “M”.

Perbezaan rambut gugur lelaki dan wanita

Alopecia areata

Alopecia areata merupakan masalah autoimun yang menyebabkan sistem imun badan seseorang menyerang folikel rambut pada badan sendiri, seterusnya menyebabkan tompokan botak yang boleh jadi bersaiz kecil atau besar pada kepada. Kadangkala, ianya terlalu teruk sehingga seseorang itu menjadi botak secara keseluruhan.

Selain kehilangan rambut pada kulit kepala, penghidap alopecia areata juga akan kehilangan rambut pada bulu kening, bulu mata dan bahagian badan yang lain.

Masalah alopecia areata

Anagen effluvium

Anagen effluvium menyebabkan kehilangan rambut yang cepat. Ia selalunya berlaku ketika rawatan radiasi dan kemoterapi.

Walaubagaimanapun rambut akan tumbuh semula selepas rawatan dihentikan.

Telogen effluvium

Telogen effluvium merupakan kehilangan rambuut secara tiba-tiba yang disebabkan oleh kejuutan emosi atau fizikal, seperti kejadian traumatik, perasaan tertekan yang teruk atau disebabkan penyakit berbahaya.

Ianya juga boleh berlaku disebabkan perubahan hormon, seperti ketika:

Antara punca lain bagi telogen effluvium termasuklah:

  • kurang nutrisi
  • masalah endokrin
  • memulakan atau menghentikan pengambilan pil perancang

Terdapat juga beberapa jenis ubat-ubatan yang boleh menyebabkannya seperti:

  • ubat anti-koagulan
  • ubat sawan
  • ubat retinoid secara oral
  • penghalang beta
  • ubat penyakit thyroid

Keguguran rambut jenis ini selalunya akan pulih dengan sendiri apabila puncanya dapat dikenalpasti dan dirawat.

Tinea kapitis

Tinea kapitis, atau dikenali juga sebagai cacing cincin pada kulit kepala, merupakan sejenis jangkitan kulat yang boleh memberi kesan kepada kulit kepala dan rambut. Ianya akan menyebabkan tompokan botak yang gatal dan berkuping. Lama-kelamaan saiz tompokan ini akan menjadi semakin besar.

Gejala lain yang boleh berlaku termasuklah:

  • rambut menjadi rapuh dan mudah putus
  • sakit pada kulit kepala
  • kuping pada kulit kepala yang berwarna merah atau kelabu

Ianya boleh dirawat dengan ubat anti-fungal.

Penyakit tinea kapitis

Alopecia disebabkan tarikan

Alopecia disebabkan tarikan berlaku kerana terdapat banyak tekanan pada rambut, selalunya disebabkan pemakaian aksesori seperti pengikat rambut, sekak rambut dan rambut palsu. Ianya juga boleh disebabkan rambut yang diikat terlalu ketat seperti ketika membuat tocang atau braid.

Punca lain

Penyakit yang boleh menyebabkan parut seperti lichen planus dan sesetengah lupus juga boleh menyebabkan keguguran rambut kekal disebabkan parut yang dihasilkan.

Pengesanan punca

Kerana terdapat banyak punca yang boleh menyebabkan keguguran rambut, adalah lebih baik untuk mendapatkan pemeriksaan oleh doktor jika anda mengesyaki keguguran rambut yang teruk.

Doktor akan mengambil sejarah perubatan dan melakukan pemeriksaan fizikal bagi mencari punca keguguran.

Jika doktor mengesyaki masalah autoimun atau penyakit kulit, doktor mungkin akan mengambil biopsi dari kulit kepala. Sampel kulit kepala ini kemudiannya akan dihantar ke makmal untuk diuji. Adalah penting untuk memahami bahawa proses pertumbuhan rambut merupakan suatu proses yang kompleks.

Doktor juga mungkin akan melakukan ujian darah bagi melihat jika terdapat kekurangan nutrisi atau penyakit-penyakit yang lain.

Rawatan rambut gugur

Terdapat pelbagai pilihan rawatan bagi merawat rambut gugur, namun pilihan terbaik bergantung kepada punca keguguran tersebut.

Ubat-ubatan selalunya menjadi rawatan awal bagi masalah rambut gugur.

Antara ubat-ubatan yang boleh didapati dari farmasi termasuklah krim sapu, gel, cecair atau foam yang boleh diletakkan terus pada kulit kepala. Antara produk yang sering digunakan mengandungi bahan yang dipanggil sebagai minoxidil.

Ubat yang diberi oleh doktor, seperti finasteride (Propecia) boleh membantu, terutamanya bagi merawat keguguran rambut pada lelaki. Ubat ini boleh diambil setiap hari bagi memperlahankan proses keguuguran, dan ada juga yang mengalami pertumbuhan semula rambut selepas mengambil finasteride.

Selain itu doktor juga mungkin akan memberikan ubat anti keradangan seperti kortikosteroid, jika keguguran rambut adalah disebabkan oleh masalah autoimun.

Prosedur perubatan

Jika ubat-ubatan tidak dapat membantu, doktor mungkin akan mencadangkan prosedur-prosedur berikut bagi merawat keguguran rambut.

Pembedahan pemindahan rambut

Pembedahan pemindahan rambut melibatkan pengalihan kulit yang mempunyai rambut ke kawasan botak pada kulit kepala.

Ianya berkesan pada mereka yang botak secara keturunan kerana selalunya melibatkan keguguran rambut pada bahagian tengah kepala. Disebabkan keguguran rambut berlaku perlahan-lahan, seseorang mungkin memerlukan beberapa prosedur sepanjang hayat.

Reduksi kulit kepala

Dalam prosedur reduksi kulit kepala, pakar bedah akan membuang bahagian kulit kepala yang tiada rambut dan ditutup dengan menggunakan bahagian kulit kepala yang masih mempunyai rambut. Salah satu cara lagi adalah dengan melakukan flap, di mana pakar bedah akan melipat kulit kepala yang mempunyai rambut ke kawasan yang botak.

Prosedur pengembangan tisu juga boleh dilakukan bagi menutup kawasan botak, namun ianya memerlukan 2 pembedahan. Dalam pembedahan pertama, pakar bedah akan meletakkan bahan pengembang tisu di bawah kulit kepala yang mempunyai rambut di sebelah kawasan botak. Selepas beberapa minggu, pengembang ini akan meluaskan kawasan kulit kepala yang mempunyai rambut tersebut.

Dalam pembedahan kedua, pakar bedah akan mengeluarkan bahan pengembang dan menarik kawasan tisu yang telah mengembang ke kawasan yang botak.

Pencegahan rambut gugur

Terdapat beberapa perkara yang boleh dilakukan bagi mengurangkan keguguran rambut:

  • Jangan ikat rambut terlalu ketat. Jika anda suka menggayakan rambut menjadi bun, braid atau ekor kuda, pastikan ikatan tidak terlalu ketat dan menyebabkan tekanan ke atas rambut anda.
  • Elakkan dari kerap menyentuh rambut. Jangan suka menarik, memintal atau menggosok rambut sepanjang masa.
  • Lap rambut sehingga kering. Selepas mandi, gunakan tuala untuk mengeringkan rambut secara lembut. Elakkan menggosok rambut dengan kasar menggunakan tuala atau memintal rambut dengan tuala.
  • Amalkan pemakanan seimbang dan bernutrisi. Cuba dapatkan lebih banyak zat besi dan protein dalam pemakanan anda.

Produk penggayaan rambut dan beberapa alat juga boleh menjadi punca kepada rambut gugur. Antara contoh produk atau alat yang boleh menyebabkan keguguran rambut termasuklah:

  • alat pengering rambut
  • penyepit rambut panas
  • alat pelurus rambut
  • produk pewarna rambut
  • produk pembilas rambut
  • alat dan produk kerinting rambut
  • relaxer rambut

Jika anda ingin menggayakan rambut menggunakan alatan panas, lakukannya hanya ketika rambut sedang kering dan gunakan setting yang paling rendah.

Jika anda sedang mengalami keguguran rambut, gunakan syampu bayi yang lembut bagi mencuci rambut. Melainkan anda mempunyai rambut yang sangat berminyak, basuh rambut anda setiap selang sehari.

Bila perlu berjumpa doktor

Adalah baik untuk mendapatkan pemeriksaan doktor jika anda mengalami keguguran rambut secara tiba-tiba tanpa diketahui puncanya supaya ianya dapat dikenalpasti dan rawatan yang tepat dapat diberikan.

Semasa berjumpa doktor, pastikan anda menyatakan jika terdapat tanda-tanda lain yang sedang dialami termasuk:

  • keletihan
  • hilang berat badan tiba-tiba
  • bengkak pada kaki
  • demam
  • perubahan pada tabiat membuang air besar
  • ruam atau perubahan pada kulit kepala atau bahagian badan yang lain

Selain itu beritahu juga doktor tempoh keguguran rambut, bila ianya bermula dan berapa kerap, serta jika terdapat ahli keluarga dengan masalah botak atau keguguran rambut yang sama.

Print Friendly, PDF & Email
Langgan Newsletter Kami
Jom dapatkan notifikasi artikel-artikel terbaru kami terus ke email anda!
Laman web ini bertujuan untuk memberikan pengetahuan am sahaja dan tidak membuat sebarang nasihat perubatan individu. Jika anda mempunyai apa-apa simptom sila berjumpa doktor dengan kadar segera.