Penyakit Endometriosis – Punca, Tanda dan Rawatan

Penyakit endometriosis merupakan masalah sakit puan yang boleh menyebabkan gejala kesakitan dan masalah kesuburan pada wanita yang mengalaminya.

Endometriosis merupakan sejenis penyakit di mana tisu yang melapisi bahagian dalam rahim tumbuh pada kawasan lain di luar rahim. Lapisan dalam rahim ini juga dikenali sebagai endometrium.

Endometriosis berlaku apabila tisu endometrial tumbuh pada ovari, usus, dan tisu yang melapisi ruang dalaman pelvis. Tisu endometrial selalunya tidak tumbuh di luar dari ruangan pelvis, tetapi kadangkala ianya boleh terjadi. Tisu endometrial yang tumbuh di luar rahim dikenali sebagai implan endometrial.

Implan endometrial yang berada di luar rahim

Perubahan hormon ketika kitaran haid boleh mempengaruhi tisu endometrial yang berada di luar lokasi asal tadi, dan kawasan yang terlibat boleh mengalami keradangan dan kesakitan. Ini kerana tisu tersebut akan bertumbuh, menebal dan seterusnya mati. Lama kelamaan, tisu yang telah mati tersebut tidak dapat dikeluarkan dan terperangkap di dalam ruangan pelvis.

Tisu yang terperangkap di dalam ruangan pelvis ini boleh menyebabkan:

  • iritasi
  • pembentukan parut
  • pelekatan di antara tisu dan organ dalam pelvik (adhesion)
  • sakit yang teruk ketika datang haid
  • masalah kesuburan

Endometriosis merupakan antara masalah sakit puan yang kerap berlaku, dialami lebih kurang 10 peratus wanita. Anda tidak bersendirian jika menghadapi masalah ini.

Tanda-tanda dan gejala endometriosis

Gejala endometriosis berbeza-beza pada setiap orang. Sesetengah wanita hanya mengalami gejala ringan manakala yang lain mengalami gejala yang sederhana atau teruk. Tahap kesakitan selalunya tidak berkaitan dengan tahap keterukan penyakit. Terdapat mereka yang mempunyai endometriosis tahap ringan tetapi mengalami kesakitan yang teruk. Ada juga wanita yang mempunyai endometriosis tahap teruk tetapi hanya mengalami gejala yang ringan.

Sakit pada bahagian pelvik merupakan gejala yang paling kerap berlaku untuk penghidap endometriosis. Pesakit juga boleh mengalami gejala berikut:

  • sakit ketika datang haid
  • sakit pada bahagian bawah abdomen sebelum atau semasa haid
  • kekejangan pada seminggu atau dua minggu kedatangan haid
  • pendarahan yang banyak ketika haid atau berdarah di antara kitaran haid
  • sakit ketika melakukan hubungan seksual
  • rasa tidak selesa apabila berlaku pergerakan usus
  • sakit pinggang yang boleh berlaku pada bila-bila masa ketika datang haid

Seseorang itu juga mungkin tidak mengalami sebarang gejala. Adalah penting untuk setiap wanita menjalani pemeriksaan berkala, yang membolehkan doktor anda memantau jika terdapat sebarang perubahan, terutamanya jika anda mengalami mana-mana gejala di atas.

Rawatan endometriosis

Mereka yang mengalami gejala kesakitan atau gejala lain akibat endometriosis semestinya mahukan kelegaan yang segera. Penyakit endometriosis boleh mengganggu kehidupan seharian jika tidak dirawat. Ianya sukar disembuhkan, tetapi gejala endometriosis boleh dikawal.

Terdapat pilihan rawatan perubatan dan pembedahan yang dapat membantu melegakan gejala dan mengurangkan risiko mendapat komplikasi. Doktor selalunya mencuba rawatan konservatif terlebih dahulu. Jika tiada perubahan barulah pembedahan akan dicadangkan.

Setiap pesakit akan memberikan tindakbalas berbeza terhadap pilihan rawatan ini. Doktor anda akan mencadangkan pilihan rawatan terbaik berdasarkan tahap kesihatan anda.

Mereka yang mula dikesan mengalami endometriosis pastinya merasa resah dan bimbang terutamanya berkaitan isu seperti tahap kesuburan, kesakitan dan kebimbangan bahawa endometriosis sukar disembuhkan. Cuba dapatkan bantuan daripada kumpulan sokongan atau membuat bacaan lanjut berkenaan penyakit ini.

Antara pilihan rawatan yang boleh diberikan termasuklah:

Ubat tahan sakit

Anda boleh mencuba ubat tahan sakit daripada farmasi sepeti ibuprofen, tetapi kadangkala ianya tidak cukup berkesan.

Rawatan hormon

Pengambilan hormon tambahan kadangkala boleh melegakan sakit dan mengelakkan endometriosis menjadi bertambah teruk. Terapi hormon dapat membantu badan seseorang mengawal perubahan hormon bulanan yang menyebabkan pertumbuhan tisu endometrial bagi mengawal gejala penyakit endometriosis.

Hormon perancang keluarga

Hormon perancang keluarga mengurangkan kesuburan dengan mencegah pertumbuhan tisu endometrial pada setiap kitaran haid. Pil perancang, patch perancang dan cincin vagina boleh mengurangkan atau menghilangkan kesakitan untuk pesakit endometriosis ringan.

Suntikan medroxyprogesterone (Depo-Provera) juga berkesan dalam menghentikan kitaran haid. Ianya boleh menghentikan pertumbuhan implan endometrial sekaligus melegakan gejala dan kesakitan akibat endometriosis. Walaubagaimanapun, ianya bukanlah pilihan pertama rawatan kerana terdapat risiko kurang penghasilan sel tulang, pertambahan berat badan dan perubahan mood seperti kemurungan dalam sesetengah kes.

Gonadotropin-releasing hormone (GnRH) agonis dan antagonis

Doktor juga boleh memberikan sejenis ubat iaitu gonadotropin-releasing hormone (GnRH) agonis dan antagonis bagi menghalang penghasilan hormon estrogen yang merangsang ovari. Estrogen merupakan sejenis hormon yang banyak menyumbang kepada pembentukan karakteristik seksual wanita. Dengan menghalang penghasilan estrogen, kitaran haid akan berhenti dan menyebabkan menopaus buatan.

Terapi GnRH ini mempuunyai kesan sampingan seperti kekeringan vagina dan panas pada waktu malam. Mengambil estrogen dan progesteron bersekali pada dos yang rendah boleh mengurangkan atau mencegah kesan sampingan ini.

Danazol

Danazol merupakan sejenis ubat yang digunakan bagi menghentikan kitaran haid dan mengurangkan gejala endometriosis. Ketika mengambil danazol, penyakit masih boleh menjadi teruk. Kesan sampingan danazol adalah seperti jerawat dan hirsutism. Hirsutism merupakan penghasilan bulu yang tidak normal pada bahagian muka dan badan.

Terdapat beberapa lagi ubat yang masih dalam kajian dan boleh membantu mengurangkan gejala serta melambatkan perkembangan penyakit.

Pembedahan konservatif

Pembedahan konservatif dilakukan pada wanita yang ingin mengandung, mengalami sakit yang teruk atau jika rawatan hormon tidak berkesan. Matlamat pembedahan konservatif adalah untuk membuang atau memusnahkan pertumbuhan tisu endometrial tanpa merosakkan organ peranakan.

Laparoskopi, sejenis pembedahan invasif minimal, akan dilakukan bagi melihat dan mengesahkan penyakit endometriosis. Ianya juga boleh digunakan untuk membuang tisu endometrial. Pakar bedah akan membuat potongan kecil pada bahagian abdomen untuk membuang atau membakar tisu endometrial yang terlibat. Kini lazer semakin kerap digunakan bagi memusnahkan tisu endometrial tersebut.

Pembedahan membuang rahim atau histerektomi

Kadangkala, doktor akan menyarankan pembedahan untuk membuang rahim atau histerektomi total sebagai jalan terakhir jika gejala endometriosis tidak berkurang dengan rawatan yang lain.

Ketika pembedahan histerektomi, pakar bedah akan membuang rahim dan serviks. Kedua-dua ovari juga akan dibuang kerana ianya merupakan organ yang menghasilkan estrogen, dan estrogen bertanggungjawab menyebabkan pertumbuhan tisu endometrial. Selain itu pakar bedah juga akan membuang tisu endometrial yang kelihatan.

Melakukan pembedahan histerektomi bukanlah bermaksud seseorang telah sembuh sepenuhnya dari endometriosis. Seseorang yang melakukan pembedahan ini tidak boleh mengandung semula dan hanya dilakukan kepada mereka yang tidak ingin lagi mengandung.

Punca-punca endometriosis

Semasa kitaran haid berlaku, badan seseorang wanita akan membuang selapisan tisu yang melapisi bahagian dalam rahim. Ini akan menyebabkan berlakunya darah haid yang keluar daripada rahim melalui bukaan kecil pada serviks dan melalui vagina.

Punca sebenar endometriosis masih dalam kajian, dan terdapat beberapa teori berkenaan punca ini walaupun masih tiada bukti kukuh.

Salah satu teori ini adalah proses yang dipanggil sebagai aliran darah haid terbalik (retrograde). Ianya berlaku apabila darah haid mengalir melalui tiub fallopian ke dalam ruangan pelvik dan tidak keluar melalui vagina secara normal.

Teori lain pula menyatakan bahawa hormon boleh menyebabkan transformasi sel yang berada di luar rahim kepada sel yang sama melapisi bahagian dalam rahim yang dikenali sebagai sel endometrial.

Ada juga yang menyatakan bahawa endometriosis terjadi jika terdapat kawasan kecil pada abdomen yang berubah menjadi tisu endometrial. Ini boleh terjadi kerana abdomen berasal daripada sel embrionik yang boleh bertukar bentuk dan bertindak seperti sel endometrial. Namun punca kenapa ianya berlaku masih tidak diketahui.

Sel-sel endometrial ini boleh berada pada dinding pelvik dan lapisan permukaan organ pelvik seperti pundi kencing, ovari, dan rektum. Sel ini akan terus bertumbuh, menebal dan berdarah ketika kitaran haid berlaku kerana bertindakbalas terhadap hormon yang menyebabkan haid.

Selain itu, terdapat juga kemungkinan darah haid terkeluar ke dalam ruangan pelvik melalui luka pembedahan seperti pembedahan caesarean.

Terdapat satu lagi teori di mana sel endometrial diangkut keluar daripada rahim menerusi sistem limfatik. Dan teori ini perlu disokong oleh kesilapan sistem imuniti yang tidak memusnahkan sel endometrial ini.

Ada juga yang berpendapat bahawa endometriosis bermula ketika janin lagi namun tisu endometrial yang berada di lokasi yang salah hanya aktif dan bertindakbalas ketika seseorang wanita mengalami akil baligh akibat perubahan hormon. Teori ini dikenali sebagai teori Mullerian.

Terdapat kajian yang menunjukkan faktor genetik dan toksin daripada persekitaran yang boleh dikaitkan dalam sesetengah kes endometriosis.

Tahap endometriosis

Terdapat empat tahap endometriosis. Ianya termasuklah tahap berikut:

  • minima
  • ringan
  • sederhana
  • teruk

Terdapat beberapa faktor yang menentukan tahap endometriosis ini termasuklah lokasi, bilangan, saiz, dan kedalaman implan endometrial.

Tahap 1: Minima

Untuk endometriosis minima, terdapat luka kecil dan implan endometrial yang tidak dalam pada ovari. Kadangkala berlakunya keradangan di dalam atau sekeliling ruang pelvik.

Tahap 2: Ringan

Endometriosis tahap ringan melibatkan sedikit luka dan implan yang tidak dalam pada lapisan dalaman pelvik.

Tahap 3: Sederhana

Endometriosis tahap sederhana melibatkan implan pelvik pada ovari dan lapisan dalaman pelvik yang dalam dan luka yang lebih banyak.

Tahap 4: Teruk

Endometriosis tahap teruk juga melibatkan implan pada ovari dan lapisan dalaman pelvik. Luka boleh berlaku pada tiub fallopian dan juga usus.

Pengesanan endometriosis

Gejala endometriosis kadangkala menyerupai gejala penyakit lain seperti cyst ovari dan penyakit keradangan pelvik (PID). Rawatan kepada kesakitan ini terlebih dahulu memerlukan diagnosis yang tepat.

Oleh itu doktor akan melakukan salah satu atau gabungan ujian-ujian berikut:

Pengambilan sejarah perubatan

Doktor akan bertanyakan mengenai sejarah penyakit dan gejala yang berlaku serta jika terdapat ahli keluarga yang mengalami penyakit endometriosis atau penyakit yang lain. Selain itu doktor juga akan bertanyakan dengan lebih lanjut berkenaan kitaran haid atau gejala-gejala lain yang berkaitan.

Pemeriksaan fizikal

Pemeriksaan fizikal akan dilakukan termasuk pemeriksaan pada bahagian pelvik dan abdomen bagi melihat jika terdapat tanda-tanda luaran.

Ultrasound

Doktor mungkin akan melakukan imbasan ultrasound pada abdomen atau transvaginal. Untuk imbasan transvaginal, alat transduser akan dimasukkan melalui vagina.

Kedua-dua jenis ultrasound ini membolehkan doktor melihat organ peranakan. Ianya boleh membantu doktor melihat jika terdapat cyst yang dikaitkan dengan endometriosis. Namun jika ultrasound adalah normal, ianya tidak bermaksud seseorang itu tiada endometriosis.

Laparoskopi

Antara ujian yang berkesan bagi mengenalpasti endometriosis adalah dengan melihat terus ke dalam ruangan pelvik. Ianya dilakukan melalui prosedur pembedahan laparoskopi. Apabila sudah disahkan, tisu yang terlibat boleh dibuang ketika prosedur yang sama.

Pembedahan laparoskopi untuk melihat cyst dan sel endometriosis

Komplikasi endometriosis

Antara komplikasi utama endometriosis adalah masalah kesuburan. Wanita yang mengalami endometriosis tahap lemah mungkin masih subur dan boleh mengandung secara normal. Menurut kajian, lebih kurang 30 ke 40 peratus wanita yang menghidap endometriosis mengalami kesukaran untuk mengandung.

Ubat-ubatan tidak dapat meningkatkan kesuburan. Terdapat wanita yang boleh mengandung setelah tisu endometrial dibuang melalui pembedahan. Jika ianya masih tidak berjaya, pasangan boleh mendapatkan rawatan kesuburan in vitro (IVF) bagi meningkatkan peluang mendapatkan anak.

Mereka yang disahkan menghidap endometriosis juga dinasihatkan untuk mendapatkan anak lebih awal kerana penyakit ini boleh menjadi semakin teruk dan mungkin lebih sukar untuk mengandung pada masa hadapan. Sila dapatkan nasihat dan pemeriksaan daripada doktor terlebih dahulu untuk melihat pilihan yang terbaik untuk anda.

Selain masalah kesuburan, pengurusan kesakitan juga kadangkala boleh menyebabkan kemurungan, keresahan dan masalah-masalah mental yang lain. Dapatkan sokongan daripada pasangan dan ahli keluarga terdekat serta bincang dengan doktor anda jika anda mengalami gejala-gejala yang lain.

Faktor risiko endometriosis

Lebih kurang 2 ke 10 peratus wanita berumur antara 25 ke 40 tahun menghidap endometriosis. Ianya bermula beberapa tahun selepas wanita tersebut mula mengalami kitaran haid. Penyakit ini kadangkala sukar dikesan namun dengan memahami faktor risiko endometriosis, seseorang boleh menentukan jika mereka lebih berisiko untuk mendapat penyakit ini seterusnya mendapatkan rawatan doktor.

Umur

Wanita pada semua peringkat umur berisiko mendapat endometriosis, namun selalunya dikesan pada wanita berumur 25 ke 40 tahun, dan gejala boleh bermula seawal akil baligh.

Sejarah keluarga

Seseorang lebih berisiko mendapat penyakit endometriosis jika mempunyai ahli keluarga yang disahkan mengalami penyakit ini.

Sejarah mengandung

Mengandung boleh mengurangkan risiko seseorang mengalami gejala endometriosis secara sementara. Wanita yang tidak pernah mengandung lebih berisiko mendapat endometriosis. Walaubagaimanapun, mereka yang pernah mengandung juga boleh mendapat endometriosis. Ini menyokong teori bahawa hormon mempengaruhi pembentukan dan perkembangan penyakit ini.

Sejarah haid

Seseorang wanita lebih berisiko mendapat endometriosis jika mengalami apa-apa masalah berkaitan haid seperti tempoh kitaran haid yang pendek, darah haid yang banyak dan lama, atau akil baligh pada umur yang awal.

Kesan jangka panjang

Endometriosis merupakan penyakit kronik yang masih tiada rawatan penyembuhan kerana puncanya masih belum difahami sepenuhnya.

Walaubagaimanapun ini tidak bermakna penghidap tidak boleh menjalani hidup yang berkualiti. Rawatan sepeti ubat-ubatan, terapi hormon dan pembedahan dapat membantu mengawal kesakitan dan mencegah komplikasi seperti masalah kesuburan. Gejala endometriosis selalunya akan berkurang setelah menopaus.

Print Friendly, PDF & Email
Langgan Newsletter Kami
Jom dapatkan notifikasi artikel-artikel terbaru kami terus ke email anda!
Laman web ini bertujuan untuk memberikan pengetahuan am sahaja dan tidak membuat sebarang nasihat perubatan individu. Jika anda mempunyai apa-apa simptom sila berjumpa doktor dengan kadar segera.