Sakit Abdomen – Punca, Jenis & Pemeriksaan

Sakit pada bahagian abdomen seringkali disebut sebagai 'sakit perut' namun perut sebenarnya merupakan salah satu organ yang terletak di dalam abdomen.

sakit pada abdomen

Abdomen merupakan bahagian yang terletak di antara dada dan pinggang, sakit pada bahagian ini seringkali disebut sebagai ‘sakit perut’ namun perut sebenarnya merupakan salah satu organ yang terletak di bahagian kiri sebelah atas abdomen.

Sakit abdomen merupakan kesakitan pada ruang antara dada dan pinggang. Kesakitan ini boleh terasa seperti kekejangan, mencucuk, tertarik dan terbakar.

Keradangan atau penyakit yang melibatkan organ bahagian abdomen boleh menyebabkan kesakitan. Antara organ utama yang terletak di dalam bahagian abdomen adalah:

  • Usus kecil dan usus besar
  • Buah pinggang
  • Apendiks (sebahagian dari usus besar)
  • Limpa
  • Perut
  • Hempedu
  • Hati
  • Pankreas
Organ-organ yang terdapat di dalam ruang abdomen.

Jangkitan virus, bakteria atau parasit di dalam perut dan saluran pencernaan juga boleh menyebabkan sakit abdomen.

Punca-punca sakit abdomen

Kesakitan abdomen boleh disebabkan banyak punca. Namun antara punca utamanya adalah disebabkan oleh jangkitan kuman, ketumbuhan, keradangan, tersumbat dan masalah pencernaan dalam usus.

Jangkitan yang berasal dari tekak, usus dan darah boleh menyebabkan bakteria memasuki saluran pencernaan seterusnya menyebabkan sakit abdomen. Jangkitan ini juga boleh menyebabkan gejala cirit-birit dan sembelit.

Kekejangan berkaitan dengan kitaran haid juga boleh menyebabkan sakit pada bahagian bawah abdomen, namun ianya lebih dikenali sebagai sakit pelvic.

Antara punca-punca utama sakit abdomen termasuklah:

  • Sembelit
  • Cirit-birit
  • Gastroenteritis
  • Asid refluks (apabila kandungan dalam perut masuk semula ke esofagus, akan menyebabkan sakit ulu hati)
  • Muntah
  • Tekanan atau stres

Penyakit yang mengganggu sistem pencernaan juga boleh menyebabkan kesakitan abdomen kronik (jangka panjang). Antara puncanya adalah:

  • Penyakit GERD (gastroesophageal reflux disease)
  • Sindrom keradangan usus (IBS) atau kolon spastik (menyebabkan gejala sakit abdomen, kekejangan dan perubahan tabiat membuang air besar)
  • Penyakit Crohn (penyakit keradangan usus)
  • Intoleransi laktosa (usus tidak boleh mencernakan laktosa, sejenis gula yang terdapat di dalam susu dan produk tenusu)

Antara punca kesakitan abdomen yang teruk adalah:

  • Organ yang bocor atau hampir bocor (seperti kebocoran apendiks atau perut)
  • Batu karang dalam hempedu
  • Batu karang pada buah pinggang
  • Jangkitan buah pinggang
  • Pankreatitis

Jenis-jenis sakit abdomen

Sakit abdomen selalunya berpusat dan boleh berlaku dalam bentuk kekejangan atau seperti mencucuk.

Sakit yang berpusat bermaksud hanya berlaku pada satu-satu kawasan sahaja, dan biasanya melibatkan organ pada kawasan tersebut. Antara contohnya adalah ulser perut yang berlaku pada bahagian atas sebelah kiri abdomen. Sakit keradangan apendiks pula berlaku pada bahagian bawah sebelah kanan abdomen.

Sakit jenis kekejangan selalunya dikaitkan dengan cirit-birit, sembelit, kembung dan angin dalam saluran pencernaan. Pada wanita, ianya juga boleh dikaitkan dengan kitaran haid, keguguran atau komplikasi reproduktif yang lain. Sakit ini selalunya datang dan pergi dan boleh hilang dengan sendiri tanpa rawatan.

Sakit mencucuk pula sering berlaku dalam keadaan lebih teruk seperti batu karang dalam hempedu dan buah pinggang. Ianya berlaku secara tiba-tiba dan terasa seperti otot sedang mengecut.

Lokasi dan kemungkinan punca sakit abdomen

Bahagian yang sakit pada abdomen boleh menjadi petunjuk kepada punca-puncanya.

Sakit pada keseluruhan abdomen dan tidak spesifik kepada bahagian tertentu boleh disebabkan oleh:

  • Apendisitis (keradangan apendiks)
  • Penyakit Crohn
  • Kecederaan akibat trauma
  • Jangkitan saluran kencing
  • Gastroenteritis
  • Masalah keradangan usus (IBD)

Sakit yang bertumpu pada bahagian bawah abdomen boleh disebabkan oleh:

  • Apendisitis
  • Usus tersumbat
  • Kehamilan ektopik (kehamilan luar rahim)

Pada wanita, sakit pada organ reproduktif pada bahagian bawah abdomen boleh disebabkan oleh:

  • Sakit ketika kitaran haid (juga dikenali sebagai dysmenorrhea)
  • Cyst ovari
  • Keguguran
  • Fibroid
  • Endometriosis
  • Penyakit keradangan pelvik
  • Kehamilan ektopik

Sakit pada bahagian atas abdomen boleh disebabkan oleh:

  • Batu karang hempedu
  • Serangan jantung
  • Hepatitis (keradangan hati)
  • Pneumonia (jangkitan paru-paru)

Sakit pada bahagian tengah abdomen boleh disebabkan oleh:

  • Apendisitis
  • Gastroenteritis
  • Kecederaan trauma
  • Uremia (peningkatan bahan kumuh dalam darah)

Sakit pada bahagian bawah sebelah kiri abdomen boleh disebabkan oleh:

  • Penyakit Crohn
  • Kanser
  • Jangkitan buah pinggang
  • Cyst ovari
  • Apendisitis (kadangkala)

Sakit pada behagian atas sebelah kiri abdomen boleh disebabkan oleh:

  • Limpa membesar
  • Najis tersumbat (mungkin akibat sembelit)
  • Kecederaan trauma
  • Jangkitan buah pinggang
  • Serangan jantung
  • Kanser

Sakit pada bahagian bawah sebelah kanan abdomen boleh disebabkan oleh:

  • Apendisitis
  • Angin pasang atau hernia (apabila organ dalam abdomen terkeluar disebabkan oleh kelemahan otot abdomen)
  • Jangkitan buah pinggang
  • Kanser
  • Gastroenteritis

Sakit pada bahagian atas sebelah kanan abdomen boleh disebabkan oleh:

  • Hepatitis
  • Kecederaan trauma
  • Pneumonia
  • Apendisitis

Bila perlu berjumpa doktor

Sakit yang ringan boleh hilang tanpa rawatan. Walaubagaimapun jika ianya tidak hilang atau semakin teruk, sila berjumpa doktor.

Dapatkan rawatan kecemasan dengan segera jika sakit abdomen yang berlaku akibat kemalangan atau kecederaan luaran, ataupun sakit yang melibatkan bahagian dada.

Dapatkan juga rawatan segera jika kesakitan yang berlaku terlalu teruk sehinggakan anda tidak boleh duduk diam atau perlu memeluk tubuh bagi mendapatkan kelegaan, ataupun jika anda mempunyai gejala-gejala seperti berikut:

  • Berak berdarah
  • Demam melebihi 38.3°C
  • Muntah darah (hematemesis)
  • Muntah dan mual yang berterusan
  • Kuning pada mata dan kulit (jaundis)
  • Bengkak dan sakit jika abdomen ditekan
  • Masalah pernafasan

Dapatkan juga temujanji dengan doktor jika anda mempunyai gejala berikut:

  • Sakit abdomen melebihi 24 jam
  • Sembelit berpanjangan
  • Muntah
  • Rasa terbakar ketika kencing
  • Demam
  • Kurang selera makan
  • Berat badan berkurang

Dapatkan rawatan segera jika anda sedang hamil atau menyusu badan dan mengalami sakit abdomen.

Pemeriksaan sakit abdomen

Punca-punca kesakitan abdomen boleh dikesan dengan menjalankan ujian-ujian tertentu. Sebelum melakukan ujian, doktor akan melakukan pemeriksaan fizikal terlebih dahulu. Ini termasuklah menekan bahagian abdomen bagi melihat jika terdapat kesakitan atau bengkak.

Maklumat pemeriksaan, tahap kesakitan serta lokasinya pada abdomen akan membantu doktor menentukan jenis ujian yang perlu dilakukan.

Ujian pengimejan seperti x-ray, ultrasound, dan imbasan MRI digunakan untuk melihat organ, tisu dan struktur lain di dalam abdomen dengan lebih jelas. Ujian-ujian ini juga dapat membantu mengesan ketumbuhan, keretakan, kebocoran dan juga keradangan dalam abdomen.

Antara ujian-ujian lain yang boleh dilakukan adalah:

  • Kolonoskopi (untuk melihat bahagian dalam usus besar)
  • Endoskopi (untuk melihat bahagian dalam perut, esofagus dan usus kecil)
  • X-ray khas menggunakan pewarna kontras bagi melihat kewujudan ketumbuhan, ulser, keradangan, tersumbat dan penyakit-penyakit yang lain.
  • Ujian darah, urin dan najis juga boleh dilakukan untuk melihat jika terdapat jangkitan bakteria, virus atau parasit.

Pencegahan

Tidak semua punca sakit abdomen boleh dicegah. Walaubagaimanapun, risiko mendapat sakit abdomen boleh dikurangkan dengan cara berikut:

  • Mengamalkan pemakanan sihat dan meningkatkan pengambilan fiber
  • Kerap meminum air
  • Kerap bersenam
  • Makan dalam jumlah yang kecil

Jika anda mempunyai penyakit usus seperti penyakit Crohn, sila ikuti diet yang disarankan oleh doktor yang merawat anda untuk mengurangkan gejala. Jika anda menghidap penyakit GERD, jangan makan 2 jam sebelum tidur.

Baring terlalu awal selepas makan boleh menyebabkan sakit abdomen dan ulu hati. Tunggu selepas 2 jam makan sebelum berbaring.

Print Friendly, PDF & Email
Langgan Newsletter Kami
Jom dapatkan notifikasi artikel-artikel terbaru kami terus ke email anda!
Laman web ini bertujuan untuk memberikan pengetahuan am sahaja dan tidak membuat sebarang nasihat perubatan individu. Jika anda mempunyai apa-apa simptom sila berjumpa doktor dengan kadar segera.