Ulser Kulit – Punca, Jenis dan Rawatan

Jika seseorang itu mengalami masalah pengaliran darah, luka pada kulit tidak dapat pulih dengan baik dan lama-kelamaan akan menjadi ulser.

Ulser kulit merupakan luka yang disebabkan oleh kurang aliran darah ke kawasan yang terlibat.

Pengaliran darah yang baik amat diperlukan untuk penyembuhan luka. Namun jika seseorang itu mengalami masalah pengaliran darah, luka pada kulit tidak dapat pulih dengan baik dan lama-kelamaan akan menjadi ulser.

Jika ulser tersebut dijangkiti kuman, ianya perlu dirawat segera kerana kuman ini boleh merebak ke seluruh badan.

Selalunya ulser kulit berlaku pada bahagian betis. Ianya juga boleh terjadi pada kaki, belakang dan pinggang. Ulser kulit lebih banyak terjadi kepada mereka yang berumur.

Gejala ulser, jenis rawatan dan tahap pemulihan bergantung kepada jenis ulser tersebut.

Tanda-tanda dan gejala

Secara umumnya, ulser kulit merupakan luka yang berbentuk bulat pada kulit. Bahagian pinggir ulser selalunya lebih tebal dan ternaik.

Pada peringkat awal, selalunya terdapat kehilangan pigmen warna kulit di sekeliling ulser. Ianya boleh juga menjadi sedikit merah dan panas apabila disentuh. Jika seseorang itu berkulit gelap, sekelliling ulser mungkin nampak berkilat atau biru.

Apabila ulser menjadi semakin teruk, ianya kelihatan seperti kawah. Mungkin juga terdapat cecair dan darah di dalam ulser tersebut.

Gejala-gejala lain adalah bergantung kepada jenis dan tahap keterukan ulser. Antara gejala-gejala yang boleh berlaku adalah:

  • Bengkak
  • Kemerahan
  • Sakit apabila disentuh
  • Kegatalan
  • Warna kulit berubah
  • Perubahan tekstur kulit (mungkin menjadi kasar atau nipis)
  • Nanah berwarna kuning atau hijau (disebabkan jangkitan)
Contoh ulser kulit pada bahagian kaki.

Punca ulser kulit

Ulser kulit berlaku apabila terdapat masalah pengaliran darah kepada kulit. Antara punca-punca masalah aliran darah ini adalah:

Penyakit kencing manis

Penyakit kencing manis menyebabkan paras gula dalam darah meningkat. Lama-kelamaan, paras gula yang tinggi ini akan merosakkan urat saraf yang dipanggil sebagai neuropathi periferi. Pesakit akan kehilangan deria sentuh pada bahagian tangan dan kaki.

Disebabkan itu, pesakit tidak merasa sakit jika terdapat luka-luka pada kaki atau betis. Paras gula yang tinggi juga akan memperlahankan penyambuhan luka. Jika dibiarkan lama-kelamaan ianya boleh menjadi ulser.

Atherosklerosis

Atherosklerosis atau arteriosklerosis berlaku apabila arteri menjadi sempit disebabkan pengumpulan lemak dalam saluran darah yang dipanggil sebagai plak.

Dalam keadaan normal, arteri berfungsi menyalurkan darah ke seluruh badan. Namun apabila ianya menjadi sempit, aliran darah akan terganggu. Apabila terdapat bahagian badan yang tidak mendapat darah yang mencukupi, tisu pada bahagian tersebut akan rosak atau mati lalu terjadinya ulser.

Atherosklerosis selalu terjadi kepada pesakit kencing manis.

Tekanan 

Jika seseorang kekal dalam posisi yang sama untuk jangkamasa yang lama, tekanan yang berterusan akan menekan saluran darah dan menghalang aliran darah ke kawasan berkenaan. Tisu bahagian tersebut akan mati dan ulser boleh berlaku.

Biasanya berlaku pada pesakit yang terbaring lama atau sukar bergerak seperti pesakit strok.

Kekurangan aliran darah vena

Kekurangan aliran darah vena berlaku apabila saluran darah vena tidak boleh menghantar darah daripada kaki ke arah jantung. Jadi darah akan berkumpul pada bahagian kaki dan menyebabkan kaki menjadi bengkak.

Jika bengkak menjadi semakin teruk, tekanan pada kulit akan meningkat lalu menyebabkan ulser. Antara punca ulser ini adalah penyakit vena varikos dan kewujudan darah beku.

Faktor risiko ulser kulit

Seseorang itu lebih mudah mendapat ulser kulit jika mempunya faktor risiko seperti berikut:

  • Mengandung. Ketika hamil,perubahan hormon dan peningkatan isipadu darah boleh menyebabkan masalah vena pada kaki.
  • Merokok. Merokok boleh menyebabkan pengerasan arteri dan mengganggu pengaliran darah.
  • Kurang bergerak. Pesakit yang sering terbaring, lumpuh atau menggunakan kerusi roda berisiko untuk mendapat ulser tekanan. Kecederaan kaki dan arthritis juga boleh menyebabkan kurangnya pergerakan.
  • Umur meningkat. Peningkatan umur dikaitkan dengan atherosklerosis dan kekurangan aliran darah vena.
  • Tekanan darah tinggi. Tekanan darah tinggi boleh memusnahkan arteri dan mengganggu aliran darah.
  • Kolesterol tinggi. Paras kolesterol tinggi boleh menyempitkan dan meningkatkan tekanan pengoksidaan di dalam arteri yang akan mengganggu pengaliran darah.
  • Obesiti. Berat badan berlebihan akan meningkatkan risiko kencing manis, atherosklerosis dan peningkatan tekanan dalam vena pada kaki.
  • Sejarah darah beku. Jika seseorang mudah mendapat darah beku, masalah aliran darah juga boleh berlaku.

Komplikasi ulser kulit

Jika dibiarkan, jangkitan kuman boleh berlaku pada ulser dan melambatkan lagi penyembuhan ulser tersebut. Jangkitan ini juga boleh merebak kepada bahagian lain seperti tisu sekeliling, tulang, sendi atau masuk ke dalam darah (bakteremia).

Jenis ulser kulit

Terdapat empat jenis ulser kulit. Setiap satunya menyebabkan gejala yang sedikit berbeza. Antara jenis-jenis ulser kulit adalah:

Ulser tekanan atau dekubitus

User tekanan adalah disebabkan oleh tekanan berterusan atau geseran pada kulit. Ianya juga dikenali sebagai ulser dekubitus atau bedsore.

Ulser ini berlaku pada bahagian yang bertulang, kerana bahagian ini memberikan tekanan tambahan kepada kulit.

Ulsser tekanan selalu terjadi pada bahagian berikut:

  • Belakang
  • Pinggang
  • Pinggul
  • Buku lali
  • Tumit

Ulser ini selalunya terjadi pada pesakit yang terbaring (bedridden) atau yang sukar bergerak seperti pesakit strok.

Ulser kulit disebabkan salur darah vena

Ulser vena adalah disebabkan oleh pengaliran darah vena yang terganggu. Ianya selalu berlaku pada bahagian di antara lutut dan buku lali.

Lebih kurang 80 ke 90 peratus ulser pada betis merupakan ulser dari jenis vena.

Ulser kulit disebabkan salur darah arteri

Ulser arteri atau ulser iskemik berlaku apabila aliran darah pada arteri terhalang.

Ianya selalu terjadi pada:

  • Betis bahagian bawah
  • Kaki
  • Tumit
  • Jari kaki
  • Bahagian luar buku lali

Selalunya ulser arteri adalah amat menyakitkan. Kesakitan ini akan menjadi lebih teruk pada waktu malam atau apabila kaki tidak bergerak.

Ulser kulit neuropatik

Ulser neuropatik adalah disebabkan oleh kerosakan pada saraf dan penyempitan arteri. Ianya juga dikenali sebagai ulser kaki diabetik.

Selalunya berlaku pada pusat-pusat tekanan pada kaki yang termasuk:

  • Tumit
  • Jari kaki
  • Tapak kaki

Disebabkan kerosakan saraf, pesakit selalunya tidak merasa sakit. Ulser ini juga selalunya akan menghasilkan cecair. Ulser neuropatik berlaku kepada lebih kurang 15 peratus pesakit kencing manis.

Pemeriksaan ulser kulit

Doktor akan melakukan beberapa ujian bagi memeriksa jenis ulser. Antaranya adalah:

  • Pengambilan sejarah perubatan. Informasi yang anda berikan dapat membantu doktor melakukan diagnosis.
  • Pemeriksaan fizikal. Doktor akan memeriksa saiz dan kedalaman ulser, dan melihat jika terdapat darah, cecair ataupun nanah.
  • Ujian darah. Jika ulser tersebut berkemungkinan telah dijangkiti, ujian darah boleh dilakukan.
  • Kultur tisu atau cecair. Ujian ini dapat menentukan bakteria yang menyebabkan jangkitan supaya antibiotik yang sesuai dapat diberikan.
  • Ujian pengimejan. Ujian x-ray, imbasan CT atau MRI dapat membantu doktor melihat kerosakan pada tisu atau tulang di kawasan ulser.

Rawatan di rumah

Jika ulser tersebut bersaiz kecil, rawatan di rumah yan berikut mungkin dapat membantu mempercepatkan penyembuhan ulser. Namun dapatkan juga nasihat doktor terlebih dahulu.

Antara rawatan yang boleh dilakukan di rumah termasuklah:

  • Meninggikan kaki. Untuk membantu melancarkan aliran darah, tinggikan kaki melebihi paras jantung ketika berbaring dengan menggunakan kusyen atau bantal.
  • Stoking tekanan. Stoking tekanan dapat mengurangkan bengkak dan membantu pengaliran darah dari kaki ke jantung.
  • Membersihkan luka. Gunakan air saline dari farmasi untuk membersihkan ulser yang kecil. Jika ulser bersaiz besar, dapatkan nasihat doktor berkenaan cara pembersihan yang sesuai.
  • Menggunakan kunyit. Kunyit mempunyai kesan anti-jangkitan dan anti-keradangan yang boleh membantu penyembuhan ulser.
  • Menggunakan madu. Madu juga mempunyai kesan anti-jangkitan dan anti-keradangan dan boleh digunakan pada kawasan ulser.

Rawatan ulser kulit

Tujuan rawatan adalah untuk menyembuhkan luka, mengurangkan kesakitan dan merawat sebarang jangkitan. Antara rawatan yang boleh diberikan termasuklah:

Dressing atau balutan luka

Balutan luka boleh membantu melindungi dan menjadikan ulser kekal bersih. Ianya juga dapat menggalakkan penyembuhan dan mengelakkan jangkitan.

Jenis dressing adalah bergantung kepada jenis ulser dan atas nasihat doktor yang merawat anda. Antara contoh jenis-jenis dressing termasuklah dressing lembap, hydrogel, hydrokoloid, dressing kolagen, dan dressing antimikrobial.

Sentiasa ikuti nasihat doktor berkenaan cara untuk melakukan dressing dan bila ianya perlu ditukar.

Contoh dressing pada bahagian kaki.

Antibiotik

Jika berlaku jangkitan pada ulser, antibiotik akan diberikan secara sapuan. Namun jika ianya telah merebak ke kawasan lain, antibiotik secara makan akan diberikan.

Kadangkala doktor juga akan memberikan antibiotik untuk mencegah risiko jangkitan walaupun ulser masih belum dijangkiti.

Ubat tahan sakit

Pada peringkat awal, proses dressing boleh menyebabkan kesakitan. Doktor boleh memberikan ubat penahan sakit untuk membantu mengurangkan kesakitan tersebut. Jika anda tidak merasa sakit, tidak perlu mengambil ubat ini.

Pembedahan

Selalunya, pembedahan tidak diperlukan untuk ulser. Namun jika terdapat komplikasi seperti jangkitan ianya mungkin terpaksa dilakukan. Jika saiz ulser terlalu besar, grafting kulit juga mungkin diperlukan bagi menutup kawasan luka dan menggalakkan penyembuhan.

Pembedahan juga boleh dilakukan untuk mengurangkan tekanan ke atas kulit dengan mengikis sedikit bahagian tulang.

Bila perlu berjumpa doktor

Jika luka tidak sembuh dalam masa dua ke tiga minggu atau lambat sembuh, jumpa doktor dengan segera. Anda mungkin telah mendapat ulser. Rawatan awal boleh mengelakkan jangkitan kuman dan komplikasi yang lain.

Pemulihan dan kesan jangka panjang

Secara umumnya, ulser kulit akan sembuh dalam masa beberapa minggu sehingga tiga bulan. Ulser yang bersaiz besar boleh mengambil masa sehingga dua tahun untuk sembuh.

Kadar kesembuhan bergantung kepada:

  • Jenis ulser
  • Saiz ulser
  • Kualiti penjagaan ulser
  • Keadaan kesihatan keseluruhan pesakit
  • Aliran darah ke kawasan ulser
  • Tekanan pada kawasan ulser

Pemulihan juga mungkin lebih lama jika berlaku jangkitan atau ulser pada pesakit kencing manis dan atherosklerosis.

Rumusan

Ulser kulit merupakan ulser yang terbuka. Ianya berlaku apabila pengaliran darah berkurang di kawasan terlibat. Antara puncanya termasuklah kencing manis, atherosklerosis, tekanan dan masalah vena.

Selalunya ulser ini berlaku pada betis tetapi boleh juga terjadi pada kaki, pinggang dan bahagian belakang. Rawatan ulser bergantung kepada punca ulser dan juga keadaan kesihatan pesakit. Pesakit mungkin perlu meninggikan kaki, memakai stoking tekanan, atau mengambil antibiotik dan ubat-ubat yang lain.

Jika anda mendapati luka lambat sembuh atau sudah menjadi ulser, sila berjumpa doktor dengan segera.

Print Friendly, PDF & Email
Langgan Newsletter Kami
Jom dapatkan notifikasi artikel-artikel terbaru kami terus ke email anda!
Laman web ini bertujuan untuk memberikan pengetahuan am sahaja dan tidak membuat sebarang nasihat perubatan individu. Jika anda mempunyai apa-apa simptom sila berjumpa doktor dengan kadar segera.