Penyakit Hepatitis B – Punca, Tanda dan Rawatan

Penyakit Hepatitis B disebabkan oleh virus dan boleh menyebabkan kerosakan sel-sel hati dan mempunyai hubungkait yang rapat dengan barah hati.

Hepatitis B merupakan keradangan pada hati disebabkan oleh virus Hepatitis B (HBV).

Hepatitis B merupakan yang paling teruk daripada semua jenis hepatitis yang disebabkan oleh virus. Kebarangkalian untuk mendapat komplikasi yang teruk seperti kerosakan sel-sel hati dan mempunyai hubungkait yang rapat dengan barah hati (melebihi 200 kali risiko daripada orang normal).

Penyebaran Hepatitis B

3-5 % penduduk Malaysia adalah pembawa Hepatitis B. Kejadiannya adalah lebih tinggi bagi komuniti orang-orang Cina. Lebih daripada 1 juta orang di seluruh dunia mati disebabkan Hepatitis B yang kronik setiap tahun.

Cara Hepatitis B berjangkit

1. Hubungan secara terus dengan darah/hasil darah yang dijangkiti seperti:

  • menerima darah/ hasil darah yang dijangkiti semasa transfusi darah
  • luka yang disebabkan perkongsian alatan yang tajam seperti pencukur, pemotong kuku, berus gigi dan lain-lain
  • jangkitan daripada alatan terinfeksi semasa melakukan akupantur, tatu, bertindik telinga.
  • penggunaan jarum suntikan yang terinfeksi. Contoh : Penagih dadah.
  • hemodialisis

2. Melalui hubungan dengan air mani atau bendalir vagina orang yang dijangkiti.

3. Dari ibu yang dijangkiti kepada anak.

Hampir 90 % dari bayi yang dijangkiti adalah pembawa, 20-25 % daripadanya meninggal dunia akibat komplikasi disebabkan oleh Hepatitis B semasa dewasa.

Nota: Hubungan dengan bendalir tubuh yang lain seperti peluh, air mata, dan susu ibu tidak lagi dapat dibuktikan boleh menjangkiti orang lain.

Tanda-Tanda Jangkitan Hepatitis B

1. Kebanyakan kes adalah tiada tanda luar biasa dan tidak dapat dikesan. Tubuhnya akan menghasilkan imuniti terhadap virus Hepatitis B.

2. Sesetengah orang akan mengidap tanda-tanda seperti yang dinyatakan dibawah selepas 2 – 3 bulan dijangkiti.

  • Bintik-bintik marah pada kulit dan sendi
  • Loya/muntah
  • Demam
  • Letih yang berpanjangan
  • Sakit pada bahagian atas sebelah kanan abdomen
  • Demam kuning
  • Air kencing/Najis kehitaman

Kebanyakan pesakit dapat sembuh dengan sendiri dan memperolehi imuniti sepanjang hayat bagi hepatitis B. 1-2 % berkemungkinan meninggal dunia disebabkan hepatitis dan selebihnya 5-10 % tidak memperolehi imuniti dan menjadi pembawa hepatitis B yang kronik.

3. Sesetengah orang yang dijangkiti tidak menunjukkan sebarang tanda/simptom dan juga tidak mendapat imuniti. Mereka menjadi pembawa dan menjangkitinya kepada orang lain. Lebih kurang 15-25% pembawa hepatitis B berisiko mendapat penyakit hati yang teruk seperti barah hati dan sirosis .

Perkara -perkara yang patut dilakukan bagi Pembawa Hepatitis B

  1. Jangan menderma darah
  2. Berkongsi benda-benda peribadi yang boleh melukakan kulit seperti berus gigi, pencukur dan pemotong kuku.
  3. Berhati-hati semasa membuang benda-benda yang dicemari darah anda.
  4. Pastikan pasangan seksual mendapat imunisasi atau menggunakan kondom
  5. Memberitahu doktor anda bahawa anda adalah pembawa hepatitis B terutama semasa mengandung atau melakukan pembedahan.
  6. Berjumpa doktor anda secara tetap.
  7. Ujian darah sepatutnya dilakukan 6 bulan atau setahun sekali bagi mengesan keadaan hati anda

Cara Mencegah Hepatitis B

Sehingga sekarang, tiada kaedah yang benar-benar berkesan bagi mengubat hepatitis B. Walaubagaimanapun ianya dapat dihalang daripada dijangkiti dengan mengambil vaksin hepatitis B.

Sebelum pemberian vaksin, ujian darah perlu dilakukan bagi mengetahui status hepatitis B. Doktor anda akan menerangkan kepada anda keputusan ujian darah tersebut, samada anda perlukan vaksin atau sudah mempunyai imuniti atau pembawa.

Langgan Newsletter Kami
Jom dapatkan notifikasi artikel-artikel terbaru kami terus ke email anda!
Laman web ini bertujuan untuk memberikan pengetahuan am sahaja dan tidak membuat sebarang nasihat perubatan individu. Jika anda mempunyai apa-apa simptom sila berjumpa doktor dengan kadar segera.