Penyakit Darah Tinggi Sekunder – Punca dan Rawatan

Penyakit tekanan darah tinggi sekunder merupakan masalah tekanan darah tinggi yang disebabkan penyakit yang lain, jom ketahui punca dan rawatannya.

Hipertensi atau lebih dikenali sebagai tekanan darah tinggi bagi sebahagian besar daripada kita bukanlah sesuatu yang baru. Selain sejenis masalah kesihatan yang kerap ditemui, ia juga sering dikaitkan dengan lain-lain penyakit yang boleh menyebabkan kematian seperti strok dan penyakit jantung.

Statistik darah tinggi di Malaysia

Tekanan darah tinggi bermaksud tekanan darah seseorang melebihi 140/90. Penyakit yang dihidapi oleh mereka yang berumur melebihi 40 tahun ini biasanya dihidapi oleh lelaki.Bagaimanapun ia juga tidak mengecualikan jantina untuk penghidapnya.

Meskipun lelaki lebih terdedah dengan masalah ini, namun risiko untuk wanita menghidapnya adalah sama selepas mereka putus haid (menopaus). Ini kerana, apabila menopaus hormon estrogen yang melindungi wanita daripada kebanyakan penyakit ini kurang dihasilkan.

Keadaan inilah yang menyebabkan wanita selepas menopaus mempunyai risiko tinggi untuk menghidap tekanan darah tinggi. Meskipun ia kerap ditemui tekanan darah tinggi merupakan sejenis penyakit yang cukup berbahaya.

Ini kerana dalam tempoh jangka masa panjang, ia boleh mengakibatkan kerosakan seperti kegagalan buah pinggang, penyakit saluran darah, serangan jantung dan strok.

Tekanan darah yang optimal seharusnya kurang dari 120/80, manakala tekanan darah yang unggul pula ialah kurang dari 135/85.  Sebaliknya, jika tekanan darah seseorang mencecah melebihi 140/90 individu terbabit dikategorikan menghidap tekanan darah tinggi.

Jadual tekanan darah

Dalam kebanyakan kes tekanan darah tinggi puncanya tidak dapat dipastikan. Biasanya mereka yang mempunyai latar belakang keluarga menghidap penyakit ini mempunyai risiko tinggi mendapat masalah seumpamanya.  

Namun, bagi tekanan darah tinggi sekunder, lima hingga 10 peratus berpunca daripada penyakit-penyakit  lain iaitu endokrin dan buah pinggang (renal). 

Tanda-tanda dan Gejala

Tekanan darah tinggi tidak mempunyai tanda-tanda tertentu yang menunjukkan bahawa seseorang menghadapi masalah ini.

Sakit kepala yang sering dikaitkan dengan tekanan darah tinggi juga tidak boleh dijadikan bukti kukuh mengesahkan seseorang menghidap tekanan darah tinggi melainkan jika tekanan darah terlalu tinggi.  Ini kerana sakit kepala juga boleh berpunca daripada tekanan, demam dan lain-lain lagi. Sakit kepala itu sendiri boleh menyebabkan tekanan darah menjadi tinggi. 

Ambil peduli tekanan darah anda

Punca

Majoriti penyakit tekanan darah tinggi tidak mempunyai punca yang nyata. Sebahagian kecil mungkin disebabkan penyakit lain. Adalah penting punca tersebut di kenalpasti kerana jika penyakit tersebut diubati, insya Allah penyakit tekanan darah tinggi dapat disembuhkan sepenuhnya.

Endokrin

Masalah daripada endokrin ini termasuklah penyakit seperti:

  1. Sindrom Cushing
  2. Akromegaly
  3. Sindrom Conn

Ketumbuhan (benign-bukan kanser) pada kelenjar adrenal menyebabkan hormon aldosteron dihasilkan berlebihan. Adakalanya, pembengkakan pada kelenjar adrenal juga boleh menyebabkan timbulnya masalah ini.

Sehubungan itu, apabila hormon aldosteron yang mengawal darah ini meningkat, ia menyebabkan tekanan darah menjadi tinggi.

Phaeochromocytoma

Ketumbuhan pada kelenjar adrenal menyebabkan hormon catecholamines yang dihasilkan pada bahagian medula berlebihan.

Hormon catecholamine ini biasanya terhasil apabila dalam tekanan (stress), menyebabkan kita berasa gemuruh, tangan berpeluh dan degupan jantung  menjadi laju.

Kedudukan kelenjar adrenal

Sehubungan itu, ketumbuhan ini menyebabkan hormon tersebut terhasil secara berlebihan dan mengalami episod yang serupa.

Biasanya episod ini boleh berlaku pada bila bila masa sahaja, dan kadang kadang apabila seseorang itu melakukan perbuatan saperti makan coklat, menekan perut dan waktu membuang air. Keadaan ini cukup berbahaya jika tidak dirawat kerana ia menyebabkan tekanan darah tinggi yang susah dikawal dan strok.

Doktor biasanya akan mengesyaki pesakit terbabit mengalami masalah ini jika mereka dalam lingkungan umur yang masih muda dan tekanan darah tinggi yang dialami sukar dikawal dengan rawatan ubat-ubatan.

Pesakit yang tidak mengetahui mereka menghadapi masalah ini dan menjalani pembedahan boleh menghadapi risiko kematian akibat ubat bius.  Ini kerana ubat bius tersebut menyebabkan tekanan darah meningkat dan jatuh mendadak. 

Buah Pinggang

Penyakit buah pinggang yang mengakibatkan tekanan darah tinggi ini termasuklah:

Glomerulnefritis

Renal artery stenosis

Saluran buah pinggang tersumbat akibat arterisklerosis atau adanya pembengkakan pada saluran darah atau ketumbuhan besar yang menekan

Saluran darah tersumbat menyebabkan kerosakan buang pinggang

Diagnosis dan Pengesanan

Sindrom Conn

Pesakit yang disyaki mengidap penyakit ini biasanya mengalami tekanan darah tinggi di waktu usia yang agak muda atau tekanan darah sukar dikawal dengan ubat ubatan

Doktor akan mengesyaki pesakit mengalami masalah ini jika paras kalium dalam darah rendah (hipokalemia). Ujian darah akan dilakukan untuk mengukur paras hormon aldosteron dan hormon renin.

Sekiranya paras hormon aldosteron tinggi dan hormon  renin rendah ia disebabkan oleh kelenjar adrenal (hiperaldosteron primer).  Sebaliknya, jika paras hormon aldosteron dan renin juga tinggi, ia disebabkan oleh tindak balas pada tubuh dan biasanya berlaku apabila terdapat pendarahan yang serius, kegagalan jantung (heart failure) kegagalan buah pinggang atau kegagalan hepar (hati).

Hormon renin merupakan sejenis hormon yang dirembeskan oleh salah satu bahagian yang terdapat pada buah pinggang iaitu juxtaglomerular apparatus.  Hormon yang dihasilkan ini berfungsi untuk mempastikan pengaliran darah pada buah pinggang.

Jika pengaliran darah ini kurang, renin akan dihasilkan untuk merangsang kelenjar adrenal merembeskan hormon aldosteron.

Phaeochromocytoma

Pesakit disyaki mengalami penyakit ini jika beliau mengalami tekanan darah tinggi diwaktu muda (bawah umur 40 tahun) dan juga jika tekanan darah sukar untuk dikawal dengan ubat ubatan. Pesakit juga mungkin mengalami episod darah gemuruh, sakit kepala, berpeluh dan berdebar tanpa sebab sebab munasabah.

Ujian air kencing yang dikumpul untuk 24 jam akan dilakukan untuk menguji paras vanillylmandelic acid (VMA).

Sebelum ujian dijalankan, pesakit tidak dibenarkan memakan makanan atau minuman yang mengandungi vanila seperti milo, teh, kopi, ais kerim, kek dan lain-lain. Di setengah hospital yang besar, ujian yang lebih spesifik saperti metanephrine atau catecholamine dapat diukur didalam air kencing

Apabila paras VMA, metanephrine atau catecholamine dalam air kencing tinggi, CT Scan, MRI atau Nuclear Isotope Scan akan dilakukan.

Jika ujian berjaya mengesahkan status sebenar pesakit, pesakit perlu menjalani pembedahan

Rawatan

Bukan semua tekanan darah tinggi sekunder dapat disembuhkan dengan mengubati penyakit yang menjadi punca tekanan darah tinggi tersebut. Namun, sekalipun ia tidak sembuh sepenuhnya, sekurang-kurangnya tekanan darah tinggi tersebut dapat dikawal dengan lebih senang.

Rawatan Sindrom Conn

Untuk ketumbuhan – pembedahan – membuang ketumbuhan

Tekanan darah akan kembali menjadi normal apabila ketumbuhan dibuang dan tidak perlu memakan ubat-ubatan.

Untuk pembengkakan – ubat-ubatan –

Pesakit juga perlu mengawal tekanan darah dan memakan ubat spironolactone.  Bagaimanapun, ubat ini mempunyai kesan sampingan iaitu buah dada membesar (lelaki) dan pusingan haid tidak teratur (wanita).

Rawatan phaeochromocytoma

Pembedahan merupakan rawatan untuk masalah ini.  Pembedahan akan dilakukan oleh pakar bedah berpengalaman bagi mengelakkan berlakunya tekanan darah meningkat dan menurun secara mendadak.  Selepas pembedahan, pesakit perlu mendapat rawatan dari pakar endokrin untuk mempastikan kesemua ketumbuhan telah di keluarkan. Kadangkala penyakit ini terdapat dalam ramai ahli keluarga dan dalam keadaan ini, kemungkinan ada ketumbuhan pheochromocytoma dikedua kedua kelenjar adrenal atau mungkin di luar kelenjar adrenal.

Print Friendly, PDF & Email
Langgan Newsletter Kami
Jom dapatkan notifikasi artikel-artikel terbaru kami terus ke email anda!
Laman web ini bertujuan untuk memberikan pengetahuan am sahaja dan tidak membuat sebarang nasihat perubatan individu. Jika anda mempunyai apa-apa simptom sila berjumpa doktor dengan kadar segera.