Penyakit Sopak atau Vitiligo – Punca, Tanda dan Rawatan

Penyakit sopak akan menyebabkan sel melanosit menjadi rosak lalu melanin tidak dapat dihasilkan dan bahagian kulit yang terlibat akan kehilangan warna.

Penyakit sopak atau vitiligo merupakan sejenis penyakit kulit yang menyebabkan kehilangan pigmen warna pada kulit. Sel melanosit merupakan sejenis sel pada kulit yang berfungsi menghasilkan pigmen warna yang dipanggil melanin.

Penyakit sopak akan menyebabkan sel melanosit ini menjadi rosak lalu melanin tidak dapat dihasilkan dan menyebabkan bahagian kulit yang terlibat menjadi putih atau kehilangan warna. Penyakit sopak dihidapi lebih kurang satu peratus dari penduduk dunia.

Penyakit ini boleh menyerang mana-mana sahaja bahagian kulit pada badan termasuklah:

  • Bahagian yang terdedah kepada cahaya matahari seperti tangan, kaki dan muka
  • Bahagian dalam mulut atau membran mukus
  • Lubang hidung
  • Kemaluan
  • Belakang mata
  • Di dalam telinga

Rambut juga boleh bertukar kelabu atau putih jika melibatkan bahagian kepala. Walaupun kelihatan teruk namun penyakit ini tidak boleh berjangkit tidak seperti penyakit kusta.

Tanda-tanda dan gejala

Tanda utama penyakit sopak adalah tompokan putih pada kulit. Ianya boleh berlaku pada mana-mana bahagian badan termasuklah di sekeliling mata. Tompokan putih ini boleh bersaiz besar atau kecil dan dibahagikan seperti berikut:

Jenis segmental atau bertumpu

Tompokan putih jenis segmental adalah lebih kecil dan berlaku pada satu atau beberapa bahagian badan sahaja. Sopak jenis ini juga akan kekal di bahagian yang sama dan boleh terjadi selama beberapa tahun sebelum hilang. Pembentukannya juga lebih lambat berbanding sopak tidak segmental.

Jenis tidak segmental atau umum

Sopak jenis ini menyebabkan kemunculan tompokan putih yang simetri pada seluruh badan. Ianya boleh memberi kesan kepada sel pigmen di semua bahagian badan. Ianya boleh terjadi beberapa kali dalam jangka hayat seseorang. Sukar untuk menentukan bila, di mana dan berapa pantas tompokan ini akan berlaku.

Kajian menunjukkan 75 peratus penghidap sopak jenis ini mengalami kehilangan pigmen kulit pada tangan dan muka. Bahagian badan lain yang biasa terlibat termasuklah kawasan lipatan badan seperti kulit pada lengan dan juga pinggang.

Jenis-jenis sopak.

Faktor risiko

Punca penyakit sopak masih belum diketahui. Ianya bukanlah penyakit keturunan dan kebanyakan pesakit tidak mempunyai sejarah keluarga yang menghidap sopak. Namun sejarah keluarga yang pernah mengalami sopak atau mana-mana penyakit autoimun yang lain boleh meningkatkan risiko seseorang mengalami penyakit ini.

Salah satu faktor risiko sopak mungkin disebabkan kehadiran gen seperti NLRP1 dan PTPN22 yang dikaitkan dengan penyakit ini.

Kebanyakan pengkaji percaya bahawa sopak merupakan penyakit autoimun kerana badan pesakit sendiri yang menyerang sel-sel pigmen. Namun mekanisma serangan ini masih belum diketahui. Sebanyak 20 peratus penghidap sopak juga mempunyai penyakit autoimun yang lain. Antara penyakit imun yang boleh terjadi bersekali dengan sopak termasuklah:

  • Skleroderma, iaitu penyakit berkaitan tisu penghubung dalam badan
  • Lupus
  • Tiroiditis, yang disebabkan fungsi tiroid yang tidak sempurna
  • Psoriasis
  • Alopecia areata, atau kebotakan
  • Kencing manis jenis 1
  • Pernicious anemia, kehilangan fungsi usus menyerap vitamin B-12
  • Penyakit Addison
  • Rheumatoid arthritis

Terdapat juga laporan yang penyakit sopak muncul setelah kejadian berikut:

  • Sunburn yang teruk
  • Pendedahan kepada toksin dan bahan kimia
  • Tekanan atau stres yang teruk
Sopak jenis umum dan simetri pada kedua-dua belah tangan.

Komplikasi Sopak

Berita baik untuk penghidap sopak adalah penyakit ini jarang memberikan kesan fizikal yang lain kepada tubuh badan. Antara komplikasi yang lebih serius adalah melibatkan telinga dan mata tetapi ianya jarang berlaku.

Komplikasi utama sopak adalah kehilangan pigmen badan yang boleh meningkatkan risiko mendapat sunburn. Namun ianya boleh dielakkan dengan memakai pelindung matahari (sunscreen) dengan SPF 30 atau memakai pakaian pelindung dari matahari.

Kesan psikologi

Kajian menunjukkan penyakit sopak boleh memberikan kesan psikologi yang teruk. Lebih 50 peratus penghidap sopak melaporkan terdapat masalah dalam perhubungan dan ketika bersosial. Sesetengah pesakit juga menjadi resah apabila memikirkan masalah yang dialami sepanjang hari.

Antara gejala psikologi yang dialami: 

  • Mengelakkan aktiviti fizikal
  • Tidak menyertai majlis sosial
  • Merasakan diri cacat
  • Kemurungan
  • Keresahan
  • Bebanan emosi

Jika anda menghidap sopak dan sentiasa mempunyai gejala psikologi di atas, sila berbincang dengan doktor anda atau orang yang rapat dengan anda. Adalah penting juga untuk pesakit mempelajari tentang penyakit sopak ini dengan lebih mendalam bagi mengurangkan kerisauan terutamanya berkaitan rawatan dan pemulihan.

Pengesanan Sopak

Doktor akan menjalankan pemeriksaan fizikal, bertanyakan tentang sejarah perubatan dan melakukan ujian makmal. Sila laporkan jika terdapat sebarang faktor risiko seperti kerap sunburn, kemunculan uban sejak muda, atau jika anda menghidap sebarang penyakit autoimun. Beritahu juga doktor jika terdapat ahli keluarga yang mengalami sopak atau penyakit kulit yang lain.

Soalan lain yang boleh ditanya:

  • Di manakah ianya bermula?
  • Ada ahli keluarga yang menghidap sopak?
  • Ada ahli keluarga mempunyai penyakit autoimun?
  • Adakah pernah menerima atau membuat rawatan?
  • Adakah gejala bertambah teruk atau semmakin berkurang?

Doktor mungkin akan menggunakan lampu ultraviolet untuk melihat tompokan pada badan. Lampu ini juga dikenali sebagai lampu Wood dan membantu doktor untuk membezakan penyakit sopak dan penyakit yang lain seperti jangkitan fungus.

Kadangkala doktor juga akan mengambil sampel kulit untuk ujian biopsi. Sampel ini akan dihantar ke makmal. Biopsi dapat menunjukkan jika masih terdapat sel yang menghasilkan pigmen pada kulit. Ujian darah yang lain mungkin diperlukan untuk melihat jika terdapat masalah tiroid, kencing manis atau anemia.

Rawatan Sopak

Rawatan penyakit sopak bertujuan untuk mengembalikan keseimbangan warna kulit. Terdapat rawatan untuk menambah pigmen dan ada juga rawatan untuk mengurangkan pigmen. Rawatan bergantung kepada:

  • Tahap keterukan
  • Lokasi tompokan
  • Berapa banyak tompokan
  • Berapa besar tompokan
  • Reaksi tubuh badan terhadap rawatan

Rawatan yang boleh diberikan termasuklah ubat-ubatan, pembedahan atau gabungan kedua-duanya. Namun tidak semua rawatan sesuai untuk semua pesakit dan boleh menyebabkan kesan sampingan berbeza kepada setiap pesakit.

Sentiasa berbincang dengan doktor anda jika anda mengalami sebarang kesan sampingan apabilal sedang menjalani rawatan. Doktor boleh mengubah dos ubat atau menggantikan dengan ubat yang lain.

Ubat-ubatan

Selalunya pesakit memerlukan sekurang-kurangnya tiga bulan sebelum dapat melihat perubahan pada kulit. Antara ubat yang boleh diberikan termasuklah:

Ubat Sapu

Sesetengah krim seperti kortikosteroid dapat membantu mengembalikan warna kulit pada peringkat awal. Terdapat juga krim yang akan melambatkan proses pembentukan tompokan. Kesemua krim ini memerlukan preskripsi oleh doktor kerana ianya dapat menyebabkan kesan sampingan jangka panjang seperti:

  • Kulit mengecut
  • Kulit menipis
  • Bulu semakin lebat
  • Keradangan kulit

Ubat Makan

Sesetengan ubat makan seperti steroid dan antibiotik boleh membantu dalam rawatan penyakit sopak.

Pesakit sopak sebelum dan selepas rawatan.

Terapi Cahaya

Psoralen dan Terapi Ultraviolet A (PUVA)

Rawatan kombinasi ini memerlukan pesakit mengambil pil psolaren atau menyapunya ke atas kulit. Selepas itu pesakit akan didedahkan kepada cahaya UVA untuk mengaktifkan ubat yang dapat mengembalikan warna kulit. Namun pesakit perlu mengurangkan pendedahan kepada cahaya matahari dan sentiasa memakai cermin mata gelap.

Antara kesan sampingan rawatan ini adalah:

  • Sunburn
  • Mual
  • Kegatalan
  • Hiperpigmentasi

Terapi Cahaya Narrow band UVB

Ianya merupakan alternatif kepada terapi PUVA. Rawatan ini memfokuskan kepada terapi cahaya dan kesan sampingannya juga tidak berapa teruk.

Rawatan Lazer Excimer

Rawatan ini dapat membantu pesakit yang mengalami tompokan halus dan tidak teruk. Rawatan selalunya mengambil masa sehingga empat bulan, sesinya pula biasanya 2 ke 3 kali seminggu.

Depigmentasi

Doktor mungkin akan mencadangkan rawataan depigmentasi jika lebih 50 peratus kawasan badan terlibat dan anda ingin menyeimbangkan warna kulit. Selalunya hanya dilakukan apabila rawatan yang lain tidak berjaya.

Rawatan ini dilakukan dengan mengurangkan pigmentasi pada kulit yang tidak terkesan dengan penyakit sopak. Rawatan boleh mengambil masa sehingga 2 tahun dan antara ubat yang boleh digunakan termasuklah monobenzone. Antara kesannya adalah kulit menjadi lebih sensitif terhadap cahaya matahari.

Pembedahan

Prosedur pembedahan boleh dilakukan jika penggunaan ubat-ubatan dan terapi cahaya tidak berkesan. Doktor akan mencadangkan pembedahan jika tiada tompokan baru atau tompokan asal tidak bertambah teruk dalam tempoh 12 bulan.

Antara pembedahan yang boleh dilakukan adalah:

Grafting Kulit

Doktor akan mengambil dan memindahkan bahagian kulit yang sihat pada badan ke kawasan sopak. Antara komplikasinya termasuklah jangkitan, parut dan kegagalan untuk pigmen terbentuk semula.

Pemindahan Melanosit

Doktor akan mengambil melanosit dari kulit yang normal dan membiakkannya di dalam makmal. Melanosit yang terhasil akan ditanam semula pada kawasan tompokan sopak.

Mikropigmentasi

Doktor akan menyucuk pigmen warna ke dalam kulit. Ianya berkesan pada kawasan bibir namun agak sukar untuk mendapatkan warna kulit yang tepat.

Terapi yang lain

Kadangkala rawatan yang dijalani agak lambat memberikan kesan kepada pesakit. Sementara menunggu ianya berkesan, pesakit boleh melakukan perkara berikut:

Memakai Sunscreen

Mengurangkan pendedahan kepada matahari boleh membantu menyeimbangkan semula warna kulit. Ini kerana tanning dan sunburn akan menyebabkan tompokan sopak lebih menyerlah. Lebih tinggi paras SPF, lebih tinggi perlindungan kepada kulit anda. Krim sunscreen juga perlu disapu ke kawasan sopak kerana ianya sensitif kepada cahaya matahari.

Memakai Kosmetik

Memakai kosmetik juga dapat membantu menyeimbangkan warna kulit. Anda juga boleh mencuba produk self-tanning kerana kesannya yang lebih lama walaupun setelah dicuci.

Menangani masalah kesihatan mental

Mendapatkan rawatan kaunseling dan psikoterapi dapat membantu menangani masalah kesihatan mental yang disebabkan penyakit sopak. Sila beritahu doktor anda jika anda mengalami sebarang gejala penyakit mental.

Menangani kesan emosi

Kajian menunjukkan pesakit sopak sering mengalami gejala emosi dan rendah diri. Ibu bapa pesakit juga mungkin terkesan jika mempunyai anak yang menghidap penyakit ini. Namun harus difahami bahawa penyakit sopak tidak boleh berjangkit dan tidak menyebabkan masalah fizikal yang serius. Mereka yang menghidap penyakit sopak boleh hidup dengan sihat dan aktif seperti orang lain.

Adalah penting untuk ahli terapi memahami bahaya penyakit kulit boleh memberikan kesan kepada kesihatan mental seseorang. Terdapat kajian menunjukkan bahawa terapi tingkahlaku kognitif dapat membantu pesakit sopak dari segi:

  • Meningkatkan harga diri (self esteem)
  • Mencegah kemurungan
  • Meningkatkan kualiti hidup pesakit

Pesakit dan ahli keluarga juga digalakkan untuk menyertai kumpulan sokongan pesakit sopak. Kumpulan ini akan memberikan peluang kepada pesakit dan ahli keluarga meluahkan dan berkongsi tips bagaimana untuk mengatasi masalah emosi dan fizikal yang berkaitan penyakit sopak.

Rawatan baru sopak

Kajian berkenaan penyakit sopak semakin meningkat sejak beberapa tahun kebelakangan ini. Teknologi baru membolehkan kajian genetik dijalankan untuk mengenalpasti bagaimana sopak berlaku. Pemahaman ini penting bagi membolehkan pengkaji mencuba atau mencadangkan rawatan-rawatan yang baru.

Kajian juga banyak dilakukan untuk melihat bagaimana penyakit sopak menyebabkan masalah kesihatan mental dan trauma dikalangan penghidapnya dan bagaimana untuk mengatasinya.

Print Friendly, PDF & Email
Langgan Newsletter Kami
Jom dapatkan notifikasi artikel-artikel terbaru kami terus ke email anda!
Laman web ini bertujuan untuk memberikan pengetahuan am sahaja dan tidak membuat sebarang nasihat perubatan individu. Jika anda mempunyai apa-apa simptom sila berjumpa doktor dengan kadar segera.