Penyakit Alergik Rhinitis – Punca, Tanda dan Rawatan

Selalunya gejala alergik rhinitis boleh dikawal atau hilang sepenuhnya dengan pengambilan ubat dan mengelakkan diri dari terdedah kepada alergen.

Alergen merupakan bahan tidak merbahaya yang boleh mencetuskan alahan atau alergik. Penyakit alergik rhinitis merupakan reaksi badan kepada bahan alergen ini.

Habuk hama merupakan salah satu alergen yang kerap menjadi punca alahan. Lebih kurang 10 ke 30 peratus penduduk dunia mengalami alahan terhadap bahan-bahan tertentu.

Tanda-tanda dan gejala

Antara tanda-tanda dan gejala alergik rhinitis termasuklah:

  • Bersin
  • Selsema
  • Hidung tersumbat
  • Hidung gatal
  • Batuk
  • Gatal tekak
  • Mata gatal
  • Mata berair
  • Tanda hitam sekeliling mata
  • Sakit kepala
  • Ekzema – iaitu kulit menjadi kering, gatal dan boleh merekah
  • Gegata
  • Penat melampau

Gejala-gejala di atas akan terus dirasai sebaik sahaja seseorang itu terdedah kepada alergen. Sesetengah gejala seperti sakit kepala dan penat hanya berlaku dengan pendedahan berpanjangan kepada alergen. Demam bukanlah gejala alergik rhinitis.

Sesetengah penghidap pula jarang mengalami sebarang gejala. Ini biasanya berlaku dengan pendedahan alergen pada kuantiti yang banyak. Ada penghidap yang mendapat gejala sepanjang tahun. Bincang dengan doktor anda mengenai kemungkinan alahan jika gejala anda berlaku melebihi beberapa minggu dan tidak berkurang.

Punca alergik rhinitis

Apabila badan seseorang terdedah kepada alergen, ianya akan merembeskan histamin, iaitu bahan kimia semulajdi sebagai pertahanan kepada alergen tersebut. Bahan kimia inilah yang menyebabkan gejala-gejala alergik rhinitis seperti selsema, bersin dan kegatalan mata.

Selain debu hama, antara alergen yang lain termasuklah:

  • Debunga
  • Debunga pada rumput
  • Bulu dan kulit mati pada haiwan
  • Air liur kucing
  • Fungus

Terdapat alergen yang hanya muncul pada masa-masa tertentu dalam setahun seperti debunga yang mengikut musim buah. Manakala debunga rumput pula boleh ada sepanjang tahun.

Jenis-jenis alergik rhinitis

Terdapat dua jenis alergik rhinitis iaitu bermusim dan sepanjang tahun. Seperti namanya, alergik rhinitis bermusim adalah disebabkan kemunculan alergen pada masa-masa tertentu sahaja manakala alergik rhinitis sepanjang tahun pula biasa disebabkan oleh debu hama dan haiwan peliharaan di dalam rumah.

Faktor risiko mendapat alergik rhinitis

Sesiapa sahaja boleh mendapat alergik rhinitis, tetapi seseorang itu lebih berisiko jika terdapat sejarah penyakit alergik rhinitis di dalam keluarga. Seseorang yang mempunyai asma atau ekzema kulit juga lebih tinggi risikonya untuk mendapat alergik rhinitis.

Terdapat beberapa faktor luaran yang boleh mencetuskan atau menerukkan lagi keadaan alergik rhinitis, antaranya adalah:

  • Merokok
  • Terdedah kepada bahan kimia tertentu
  • Cuaca sejuk
  • Kelembapan
  • Pencemaran udara
  • Angin
  • Penyembur rambut
  • Pewangi badan
  • Asap kayu
  • Jelaga

Pengesanan alergik rhinitis

Jika anda mempunyai alahan ringan, selalunya pemeriksaan fizikal sudah cukup untuk mengesan masalah alergik rhinitis. Doktor juga mungkin akan melakukan beberapa ujian untuk menentukan rawatan yang paling sesuai untuk anda dan juga cara pencegahan alergik rhinitis.

Ujian pada kulit (skin prick test) adalah yang paling kerap dilakukan. Doktor akan mendedahkan kulit anda kepada beberapa bahan untuk melihat reaksi badan anda terhadap bahan itu. Selalunya jika anda ada alahan terhadap bahan itu, ruam kemerahan akan muncul pada kulit.

Ujian darah atau ujian radioallergosorbent (RAST) juga boleh dilakukan. Ujian ini akan menentukan paras antibodi immunoglobulin E dalam darah terhadap alergen tertentu.

Rawatan alergik rhinitis

Terdapat beberapa cara rawatan alergik rhinitis. Selalunya rawatan akan melibatkan pengambilan ubat, rawatan sendiri di rumah dan mungkin juga rawatan alternatif. Dapatkan nasihat doktor dahulu sebelum mencuba rawatan alternatif atau tradisional bagi merawat alergik rhinitis.

Ubat Antihistamin

Ubat Antihistamin boleh melegakan alergik rhinitis. Ianya berfungsi dengan menghentikan aktiviti penghasilan histamin oleh badan.

Antara ubat antihistamin yang boleh didapat adalah:

  • Fexofenadine (Allegra)
  • Diphenhydramine (Benadryl)
  • Desloratadine (Clarinex)
  • Loratadine (Claritin)
  • Levocetirizine (Xyzal)
  • Cetirizine (Zyrtec)

Dapatkan nasihat doktor sebelum memulakan pengambilan ubat. Pastikan ubat antihistamin yang dimakan tidak berinteraksi dengan ubat lain yang sedang anda ambil.

Ubat melegakan tersumbat

Juga dikenali sebagai ubat dekongestan, ianya boleh diambil untuk jangkamasa pendek, selalunya tidak melebihi tiga hari untuk melegakan hidung tersumbat. Pengambilan untuk jangkamasa yang lama boleh menyebabkan alergik rhinitis menjadi lebih teruk apabila pengambilan ubat ini dihentikan.

Antara contoh ubat dekongestan termasuklah:

  • Oxymetazoline
  • Pseudoephedrine (Sudafed)
  • Phenylephrine (Sudafed PE)
  • Cetirizine dengan pseudoephedrine (Zyrtec-D)

Jika anda mempunyai masalah ritma jantung, penyakit jantung, angin ahmar, keresahan, masalah tidur, tekanan darah tinggi atau masalah pundi kencing, sila dapatkan nasihat doktor terlebih dahulu sebelum menggunakan ubat ini.

Ubat titis mata dan semburan hidung

Ubat titis mata dan semburan hidung boleh melegakan kegatalan dan gejala lain untuk masa yang singkat. Ubat ini juga tidak sesuai digunakan untuk jangkamasa yang lama kerana boleh menyebabkan gejala menjadi lebih teruk apabila pengambilan dihentikan.

Ubat kortikostreroid boleh membantu mengurangkan keradangan dan tindakbalas imun. Ianya tidak menyebabkan gejala menjadi teruk apabila berhenti pengambilannya, jadi semburan steroid pada hidung boleh diambil untuk jangkamasa yang lama. Ianya sesuai untuk mencegah alergik rhinitis.

Bincang dahulu dengan doktor anda mengenai kombinasi ubat yang sesuai berdasarkan gejala yang berlaku pada anda dan jenis alergen terlibat. Doktor juga boleh menasihatkan ubat mana yang sesuai untuk jangkamasa pendek atau panjang.

Imunoterapi

Jika seseorang mengalami masalah alergik rhinitis yang teruk, rawatan imunoterapi boleh diberikan. Rawatan ini perlu dijalankan bersekali dengan ubat-ubatan yang lain untuk mengawal gejala alergik rhinitis. Ianya diambil dalam bentuk suntikan dan berfungsi untuk mengurangkan tindakbalas sistem imun terhadap alergen untuk jangkamasa panjang. Rawatan ini memerlukan komitmen yang tinggi kerana mengambil masa yang lama.

Suntikan akan diberikkan 1 ke 3 kali dalam seminggu selama 3 ke 6 bulan bagi membolehkan badan anda membiasakan diri dengan alergen yang terkandung dalam suntikan itu. Selepas itu suntikan akan dikurangkan sebanyak 1 ke 2 kali sebulan selama 3 ke 5 tahun. Selalunya kesan hanya dapat dilihat selepas setahun rawatan.

Sesetengah orang boleh sembuh sepenuhnya setelah melakukan rawatan ini. Namun ianya berisiko menyebabkan gejala alergik rhinitis dan juga anafilaksis iaitu alahan yang teruk.

Sublingual imunoterapi (SLIT) 

Rawatan sublingual imunoterapi melibatkan pengambilan tablet yang mengandungi campuran alergen di bawah lidah. Konsepnya sama seperti suntikan imunoterapi tetapi melalui mulut. Ianya berkesan untuk merawat alergik rhinitis yang disebabkan oleh debunga, bulu dan kulit haiwan, debu hama dan habuk. Seperti rawatan imunoterapi, rawatan ini juga akan mengambil masa yang lama sebelum menunjukkan kesan.

Antara risiko rawatan ini adalah gejala alergik rhinitis akan berlaku termasuklah kemungkinan mendapat anafilaksis.

Rawatan di rumah

Rawatan di rumah adalah bergantung kepada jenis alergen anda. Jika anda alah kepada bahan seperti debunga, tingkap perlu ditutup dan mungkin lebih sesuai menggunakan penyaman udara. Dapatkan penyaman udara atau penapis udara yang boleh menapis bahan-bahan alergen.

Penggunaan dehumidifier atau penapis high-efficiency particulate air (HEPA) juga boleh membantu mengawal alahan ketika di dalam rumah. Jika anda alah kepada habuk atau debu hama, basuh selimut dan alat tilam dengan air panas pada suhu melebihi 54.4°C. Dapatkan vakum yang mengandungi penapis HEPA dan lakukan pembersihan dengan lebih kerap. Kurangkan juga jumlah karpet di dalam rumah.

Perubatan tradisional atau alternatif

Disebabkan salah faham atau takut kepada kesan sampingan ubat, sesetengah orang memilih untuk mendapatkan rawatan tradisional dan alternatif. Namun perlu diingat bahawa semua rawatan mempunyai kesan sampingan termasuklah ubat tradisional dan juga ubat alami.

Masih tiada bukti kukuh yang menunjukkan keberkesanan perubatan tradisional dalam merawat alergik rhinitis dan ada pengamal yang mencampurkan ubat terkawal seperti steroid ke dalam rawatan yang diberikan. Jika steroid diambil untuk jangkamasa yang panjang boleh menyebabkan banyak kesan sampingan berbahaya.

Terdapat juga beberapa rawatan yang dikatakan boleh membantu mengurangkan gejala, namun sila berbincang dahulu dengan doktor anda sebelum melakukan rawatan alternatif ini. Antara rawatan tersebut adalah:

  • Akupuntur
  • Pembersihan hidung menggunakan air steril
  • Suplemen butterbur
  • Madu (pilih yan asli dan organik, bukan campuran)
  • Probiotik

Pastikan ubat alternatif yang anda ambil tidak bertindakbalas dengan ubat yang telah diberikan oleh doktor. Tanya doktor anda atau ahli farmasi jika tidak pasti.

Komplikasi

Rawatan yang betul dan mengelakkan alergen adalah kunci mendapatkan hidup yang lebih berkualiti jika anda menghidap alergik rhinitis. Jika alergik rhinitis tidak dirawat atau terlampau teruk, komplikasi berikut boleh berlaku:

Alergik rhinitis pada kanak-kanak

Kanak-kanak juga boleh mengalami alergik rhinitis, selalunya bermula sebelum berumur 10 tahun. Jika anak anda sering mengalami gejala selsema, berkemungkinan itu adalah alergik rhinitis.

Gejalanya adalah lebih kurang sama dengan orang dewasa. Kanak-kanak juga sering mengalami mata merah yang dikenali sebagai alergik konjunktivitis. Jika anak anda anda mengalami juga gejala sesak nafas di samping gejala-gejala yang lain, berkemungkinan itu adalah asma.

Sila bawa anak anda berjumpa doktor dengan segera untuk untuk membuat pemeriksaan dan menerima rawatan yang tepat.

Jika anda mengetahui alergen yang boleh menyebabkan gejala pada anak anda, gejala tersebut perlulah dielakkan. Sebagai contoh jika alah kepada debunga, basuh baju dengan segera apabila memasuki hutan atau pergi ke taman.

Ubat-ubatan untuk kanak-kanak juga tidak sama dengan orang dewasa, sila jangan berikan ubat anda kepada anak anda kerana kesan sampingan ubat pada kanak-kanak adalah lebih merbahaya. Dapatkan nasihat doktor untuk mengetahui ubat dan dos yang sesuai dengan gejala anak anda.

Kesan alergik rhinitis

Keberkesanan rawatan bergantung kepada tahap keterukan rhinitis tersebut. Selalunya gejala boleh dikawal atau hilang sepenuhnya dengan pengambilan ubat dan mengelakkan diri dari terdedah kepada alergen.

Pencegahan alahan

Cara terbaik bagi mencegah gejala alahan adalah dengan mendapatkan rawatan sebelum badan anda sempat bertindakbalas terhadap alergen. Cara pencegahan adalah berbeza mengikut jenis alahan.

Debunga 

Jika anda ingin memasuki hutan atau pergi ke taman, boleh mengambil ubat antihistamin terlebih dahulu. Pencegahan terbaik adalah mengelakkan pergi ke tempat-tempat yang mempunyai banyak debunga dan setelah keluar, terus mandi dan basuh baju yang dipakai sebaik tiba ke rumah. Tingkap juga perlu sentiasa ditutup pada musim bunga.

Habuk

Untuk mengurangkan pendedahan kepada habuk, pastikan ianya tidak mudah berada di rumah anda. Selalulah membersihkan rumah dengan menggunakan vakum yang dilengkapi penapis HEPA, mengemop lantai dan kerap mencuci sarung bantal serta tilam. Gunakan juga bantal dan tilam yang anti-hama.

Bulu haiwan

Elakkan dari membela haiwan jika anda mempunyai alahan. Jika tidak boleh, pastikan kawasan persekitaran kerap dibersihkan dan basuh tangan setiap kali selepas memegang haiwan peliharaan anda dan pastikan haiwan itu tidak naik ke atas katil atau sofa. Pakaian juga perlu lebih kerap dibasuh.

Print Friendly, PDF & Email
Langgan Newsletter Kami
Jom dapatkan notifikasi artikel-artikel terbaru kami terus ke email anda!
Laman web ini bertujuan untuk memberikan pengetahuan am sahaja dan tidak membuat sebarang nasihat perubatan individu. Jika anda mempunyai apa-apa simptom sila berjumpa doktor dengan kadar segera.