Penyakit Resdung atau Sinusitis – Punca, Tanda dan Rawatan

Resdung atau sinusitis merupakan masalah keradangan pada ruang dalaman sinus di muka dan boleh menyebabkan pelbagai gejala kepada penghidapnya.

Resdung dalam bidang perubatan dikenali juga sebagai sinusitis atau rhinosinusitis. Ianya merupakan masalah keradangan akut (jangka pendek) pada membran yang melapisi bahagian dalaman hidung dan rongga sinus pada muka. Ini akan menyebabkan mukus yang terhasil tidak dapat dikeluarkan dari hidung dan rongga sinus.

Hidung tersumbat, tekanan pada pipi dan sekeliling mata atau dahi mungkin menandakan anda sedang mengalami resdung.

Resdung selalunya berpunca daripada selsema yang disebabkan jangkitan virus. Ianya juga boleh disebabkan masalah lain. Masalah resdung kerap berlaku dan dialami oleh 1 daripada 8 orang dewasa setiap tahun. 

Kedudukan rongga sinus pada bahagian muka.

Punca penyakit resdung

Antara punca-punca penyakit resdung adalah seperti berikut:

  • Jangkitan virus
  • Jangkitan bakteria
  • Jangkitan fungus
  • Alahan atau alergi
  • Polyp atau ketumbuhan dalam hidung
  • Septum hidung yang rosak
  • Jangkitan adenoid
  • Penyakit cystic fibrosis, penyakit keturunan di mana terdapat pengumpulan mukus di dalam badan

Jangkitan pada gigi juga boleh menyebabkan resdung. Walaupun jarang berlaku, tetapi bakteria daripada gigi boleh merebak dan menjangkiti rongga sinus muka.

Faktor risiko resdung

Faktor-faktor berikut boleh meningkatkan risiko seseorang mendapat resdung:

  • Alahan melibatkan hidung.
  • Laluan udara dalam hidung tidak normal seperti kecacatan septum hidung atau kewujudan polyp.
  • Perokok atau sering menghidu udara tercemar.
  • Adenoid membesar atau mengalami keradangan.
  • Pergi ke kawasan jangkitan seperti pusat penjagaan kanak-kanak.
  • Aktiviti yang melibatkan perubahan tekanan seperti menyelam skuba dan melakukan terjunan udara.
  • Sistem imuniti yang lemah.
  • Penyakit cystic fibrosis.

Tanda-tanda dan gejala

Antara tanda-tanda dan gejala resdung termasuklah:

  • Hidung tersumbat
  • Lelehan hidung atau hingus berwarna kuning atau kehijauan
  • Sakit tekak
  • Batuk yang teruk pada waktu malam
  • Sakit kepala
  • Lelehan hidung yang masuk ke dalam tekak
  • Sakit dan tekanan di belakang mata, hidung, pipi dan dahi
  • Sakit telinga
  • Sakit gigi
  • Nafas berbau
  • Kurang deria bau
  • Kurang deria rasa
  • Demam
  • Rasa letih

Pengesanan resdung

Pengesanan resdung melibatkan pemeriksaan fizikal. Doktor akan menekan bahagian sinus untuk melihat jika terdapat tanda-tanda jangkitan. Doktor juga akan melihat ke dalam rongga hidung untuk memeriksa jika terdapat keradangan, polyp, ketumbuhan atau masalah yang lain.

Ujian berikut juga mungkin akan dilakukan untuk mengesahkan diagnosis resdung:

Endoskopi melalui hidung

Doktor akan melihat ke dalam rongga hidung menggunakan alat endoskop. Ianya merupakan tiub fleksibel yang mempunyai kamera pada hujungnya. Alat ini dapat membantu doktor melihat lebih jauh dan jelas ke dalam rongga hidung bagi mencari punca resdung.

Polyp yang ditemui ketika endoskopi dilakukan.

Ujian imbasan

Doktor mungkin akan melakukan imbasan CT atau MRI untuk melihat jika berlakunya keradangan atau sebarang ketidaknomalan di dalam sinus muka. Ini kerana endoskop tidak dapat melihat sehingga ke dalam sinus.

Rawatan resdung

Kebanyakan kes resdung boleh dirawat di rumah dengan melakukan perkara berikut:

  • Menggunakan kain yang direndam dalam air suam, diperah dan diletakkan di kawasan sinus untuk mengurangkan kesakitan.
  • Menggunakan pelembap udara.
  • Menggunakan spray hidung saline beberapa kali sehari untuk membersihkan bahagian dalaman hidung yang tersumbat.
  • Meminum air secukupnya bagi mengelakkan dehidrasi dan mengurangkan kepekatan hingus.
  • Tidur dengan meninggikan kepala untuk menggalakkan pengeluaran hingus supaya tidak terkumpul di dalam sinus.

Ubat-ubatan

Antara ubat-ubatan yang boleh diberikan oleh doktor atau dibeli di farmasi termasuklah:

  • Penggunaan spray kortikosteroid seperti fluticasone propionate untuk mengurangkan keradangan di dalam hidung serta sinus.
  • Penggunaan ubat dekongestan seperti pseudoephedrine (Sudafed) untuk mengeringkan hingus.
  • Penggunaan ubat tahan sakit seperti acetaminophen (Tylenol) atau ibuprofen (Motrin, Advil) yang boleh membantu mengurangkan kesakitan sinus.
  • Doktor juga mungkin akan memberikan ubat antibiotik jika terdapat tanda-tanda jangkitan seperti demam.

Ubat alahan 

Jika masalah resdung tersebut dikaitkan dengan alahan dalam hidung, doktor mungkin akan mencadangkan anda berjumpa dengan doktor alahan. Antara rawatan tambahan yang boleh diberikan termasuklah suntikan alahan dan rawatan untuk mengurangkan sensitiviti badan terhadap alergen.

Pembedahan

Dalam kes tertentu, pembedahan mungkin diperlukan untuk merawat punca penyakit resdung. Antara prosedur pembedahan yang boleh dijalankan termasuklah:

  • Pembedahan membuang polyp atau ketumbuhan di dalam hidung
  • Pembedahan membetulkan septum hidung
  • Pembedahan untuk membersihkan rongga sinus

Rawatan tradisional atau alternatif

Rawatan alternatif berikut mungkin dapat membantu melegakan gejala-gejala resdung, namun sila dapatkan nasihat doktor anda terlebih dahulu sebelum mencubanya.

Herba

Herba Nasturtium dan horseradish mungkin dapat mengurangkan gejala resdung akut. Menurut kajian, herba ini juga kurang memberikan kesan sampingan.

Akupuntur

Sesetengah pesakit melaporkan rawatan akupuntur dapat memberikan kelegaan terutamanya untuk masalah resdung yang disebabkan oleh alahan.

Kesan jangka panjang

Kebanyakan kes resdung akan pulih setelah mengambil ubat dan melakukan rawatan di rumah. Namun jika ianya berpanjangan, resdung boleh menjadi subakut atau kronik.

Resdung subakut bermaksud resdung yang berterusan sehingga tempoh empat ke lapan minggu. Resdung kronik pula berlaku melebihi tempoh lapan minggu.

Penyakit resdung juga boleh menyebabkan komplikasi jangkitan kuman kepada mata, telinga dan tulang muka. Kadangkala ianya juga boleh menyebabkan meningitis atau jangkitan selaput otak.

Antara tanda-tanda jangkitan ini adalah:

  • Sakit kepala yang teruk dan tidak berkurang dengan pengambilan ubat
  • Demam panas
  • Perubahan penglihatan

Tanda-tanda ini bermaksud jangkitan telah merebak keluar daripada rongga sinus. Sila berjumpa doktor dengan segera jika anda mengalami gejala ini.

Pencegahan resdung

Antara cara-cara untuk untuk mencegah resdung termasuklah:

  • Mengamalkan pemakanan sihat untuk menguatkan sistem imun.
  • Berhenti merokok atau tidak tinggal di kawasan yang mempunyai udara tercemar.
  • Tidak berada dekat dengan pesakit sinus atau pesakit saluran pernafasan.
  • Basuh tangan dengan kerap terutamanya sebelum makan.
  • Menggunakan pelembap udara jika udara sekeliling terlampau kering untuk melembapkan rongga sinus.
  • Mendapatkan suntikan vaksin influenza setiap tahun.
  • Merawat alahan dan mengelakkan alergen.
  • Mengambil ubat dekongestan jika hidung tersumbat.

Print Friendly, PDF & Email
Langgan Newsletter Kami
Jom dapatkan notifikasi artikel-artikel terbaru kami terus ke email anda!
Laman web ini bertujuan untuk memberikan pengetahuan am sahaja dan tidak membuat sebarang nasihat perubatan individu. Jika anda mempunyai apa-apa simptom sila berjumpa doktor dengan kadar segera.