Penyakit nyanyuk atau dementia merupakan kemerosotan fungsi kognitif otak. Seseorang itu dikatakan nyanyuk apabila sekurang-kurangnya dua fungsi otak terjejas. Nyanyuk boleh melibatkan fungsi:
- Ingatan
- Pemikiran
- Percakapan
- Membuat keputusan
- Tingkahlaku
Nyanyuk sebenarnya bukanlah satu penyakit. Ianya merupakan satu proses yang disebabkan beberapa penyakit dan kecederaan pada otak. Kehilangan fungsi otak boleh jadi sedikit sahaja atau teruk. Ianya juga boleh menyebabkan perubahan personaliti seseorang.
Selalunya nyanyuk akan beransur teruk di mana gejalanya semakin lama akan menjadi semakin bertambah. Sesetengah pakar mengehadkan penggunaan terma dementia untuk kemerosotan fungsi otak yang kekal sahaja.
Tanda-tanda dan gejala nyanyuk
Pada peringkat awal, nyanyuk boleh menyebabkan gejala-gejala seperti:
- Sukar menerima perubahan. Pesakit akan mengalami kesukaran menerima perubahan seperti jadual harian atau persekitaran.
- Ingatan jangka pendek berkurang. Seseorang itu masih boleh mengingati peristiwa yang berlaku 15 tahun lampau tetapi tidak boleh ingat apa yang dimakan pada hari ini.
- Sukar mencari perkataan. Sukar mencari perkataan ketika bercakap dan membuat perkaitan.
- Melakukan perbuatan berulang. Bertanyakan soalan berulang, membuat tugasan berulang atau menyebut cerita yang sama berulangkali.
- Kehilangan deria arah. Tempat yang biasa dikunjungi dirasakan asing. Sukar mengingati jalan yang kerap digunakan.
- Sukar memahami cerita. Pesakit sukar memahami dan mengikuti penceritaan seseorang.
- Perubahan mood. Kemurungan, cepat marah, cepat kecewa merupakan perkara biasa bagi pesakit.
- Hilang minat. Kadangkala seperti tiada perasaan. Pesakit juga hilang minat melakukan hobi atau aktiviti yang digemari.
- Keliru. Orang, tempat dan situasi dirasakan asing. Juga sukar untuk mengingati orang yang dikenali.
- Sukar menyiapkan aktiviti harian. Pesakit menghadapi kesukaran mengingati cara melakukan aktiviti harian yang dilakukan bertahun-tahun.
Masalah kehilangan memori tidak semestinya disebabkan nyanyuk.
Tahap-tahap nyanyuk
Dalam kebanyakan kes, masalah nyanyuk semakin lama akan menjadi semakin teruk namun ianya berbeza bagi setiap orang. Namuun kebanyakan penghidap akan melalui tahap-tahap seperti berikut:
Kerosotan kognitif ringan
Orang yang berumur mungkin akan mengalami kemerosotan kognitif ringan (MCI) tetapi tidak sampai ke tahap nyanyuk atau kemerosotan mental yang lain. Mereka dengan MCI selalunya akan menjadi senang lupa, sukar mencari perkataan dan mengalami masalah memori jangka pendek.
Dementia ringan
Pada tahap ini, mereka dengan dementia ringan mungkin masih boleh berdikari. Antara gejalanya termasuklah:
- Kehilangan memori jangka pendek
- Perubahan personaliti seperti menjadi pemarah atau murung
- Sering terlupa atau kehilangan barang
- Sukar melakukan perbuatan kompleks dan menyelesaikan masalah
- Sukar menyatakan idea atau emosi
Dementia sederhana
Pada tahap ini, pesakit mungkin memerlukan bantuan dari orang tersayang atau penjaga. Ini kerana masalah nyanyuk akan menyebabkan aktiviti harian terganggu. Antara gejalanya termasuklah:
- Tidak boleh menilai
- Menjadi semakin keliru dan cepat marah
- Kehilangan memori yang semakin teruk
- Memerlukan bantuan melakukan aktiviti seperti memakai pakaian dan mandi
- Perubahan personaliti yang ketara
Dementia teruk
Merupakan tahap akhir masalah nyanyuk, gejala mental dan fizikal semakin merosot dan akan menyebabkan gejala seperti:
- Fungsi badan semakin terganggu, termasuklah berjalan, menelan dan mengawal berak atau kencing.
- Sukar berkomunikasi
- Memerlukan bantuan sepanjang masa
- Senang mendapat jangkitan
Mereka yang mengalami masalah nyanyuk akan melalui tahap-tahap di atas dalam tempoh berbeza.
Punca nyanyuk
Masalah nyanyuk boleh disebabkan pelbagai punca. Secara umumnya ia disebabkan oleh kemerosotan fungsi neuron (sel otak) atau gangguan pada sistem tubuh badan yang memberi kesan kepada fungsi neuron.
Terdapat beberapa penyakit yang boleh menyebabkan nyanyuk termasuklah penyakit pada otak. Antara penyakit yang kerap berlaku adalah penyakit Alzheimer dan dementia vaskular.
Neurodegeneratif bermaksud kemerosoton fungsi neuron sedikit demi sedikit dan secara berterusan sehinggalah fungsinya semakin menghilang dan akhirnya akan mati.
Ini memberi kesan kepada hubungan neuron-ke-neuron atau dikenali sebagai synaps. Synaps merupakan cara sel-sel otak berkomunikasi, jadi kerosakan pada synaps akan mengganggu fungsi otak.
Antara penyebab utama masalah nyanyuk termasuklah:
Penyakit neurodegeneratif
- Penyakit Alzheimer
- Penyakit Parkinson dengan dementia
- Dementia vaskular
- Kesan sampingan ubat
- Masalah alkohol kronik
- Beberapa jenis tumor atau jangkitan pada otak
Punca lain termasuklah degenerasi frontotemporal lobar, iaitu terma yang digunakan untuk penyakit yang menyebabkan kerosakan otak di bahagian frontal dan lobar. Ini termasuklah:
- Dementia frontotemporal
- Penyakit Pick
- Palsi supranuklear
- Degenerasi kortikobasal
Punca yang lain
Masalah nyanyuk juga boleh disebabkan penyakit-penyakit yang lain termasuklah:
- Masalah kerosakan struktur otak seperti hydrocephalus bertekanan normal dan hematoma subdural
- Masalah metabolik seperti hipotiroidism, kekurangan vitamin B-12 dan penyakit hati dan buah pinggang
- Bahan toksin seperti plumbum
Sesetengah masalah ini boleh disembuhkan jika dikesan dan dirawat pada peringkat awal. Sebab itulah amat penting untuk berjumpa doktor dengan segera jika anda mengalami gejala-gejala nyanyuk kerana ada puncanya yang boleh dirawat.
Jenis-jenis nyanyuk
Kebanyakan kes nyanyuk merupakan sebahagian dari gejala penyakit-penyakit tertentu. Penyakit berbeza akan menyebabkan masalah nyanyuk yang berbeza. Antara jenis-jenis masalah nyanyuk termasuklah:
- Penyakit Alzheimer. Merupakan jenis nyanyuk yang paling kerap berlaku dan menyebabkan sehingga 60 ke 80 peratus masalah nyanyuk.
- Dementia vaskular. Merupakan nyanyuk yang disebabkan oleh kekurangan aliran darah ke otak. Ianya boleh disebabkan pengumpulan plak di dalam arteri yang membekalkan darah ke otak atau akibat penyakit angin ahmar.
- Dementia badan Lewy. Ianya merupakan pengumpulan protein dalam sel saraf yang menghalang otak dari menghantar isyarat kimia. Ini akan menyebabkan reaksi otak menjadi lembab dan kehilangan memori.
- Penyakit Parkinson. Mereka yang menghidap penyakit Parkinson boleh mengalami masalah nyanyuk. Antara gejala nyanyuk pada pesakit Parkinson termasuklah masalah membuat keputusan dan penilaian dan juga senang terganggu, paranoid dan kemurungan.
- Dementia frontotemporal. Terdapat beberapa jenis masalah nyanyuk yang termasuk dalam kategori ini. Ianya menyebabkan kerosakan pada bahagian depan dan tepi otak. Antara gejalanya adalah kesukaran bercakap dan masalah tingkahlaku.
Terdapat juga beberapa jenis lagi masalah nyanyuk namun ianya jarang berlaku.
Ujian nyanyuk
Tiada ujian tunggal untuk mengesahkan masalah nyanyuk. Doktor akan melakukan beberapa jenis pemeriksaan dan ujian untuk menentukan jika seseorang itu mengalami nyanyuk. Antaranya adalah seperti:
- Pengambilan sejarah perubatan
- Pemeriksaan fizikal
- Ujian makmal termasuk ujian darah
- Pemeriksaan fungsi mental seperti fungsi neuro, memori dan lain-lain
- Sejarah keluarga
Doktor selalunya dapat menentukan jika seseorang itu mengalami masalah nyanyuk berdasarkan ujian dan pemeriksaan di atas. Namun punca masalah nyanyuk tersebut mungkin agak sukar untuk ditentukan. Dalam kebanyakan kes, punca-punca nyanyuk berlaku serentak dan sukar untuk dibezakan.
Rujukan kepada pakar mungkin diperlukan bagi menentukan punca masalah nyanyuk. Antara pakar yang boleh dirujuk adalah pakar neurologi dan pakar geriatrik.
Rawatan nyanyuk
Terdapat dua rawatan utama untuk mengawal gejala nyanyuk, iaitu rawatan menggunakan ubat dan tidak menggunakan ubat. Tidak semua ubat sesuai untuk semua jenis masalah nyanyuk dan sehingga kini tiada rawatan yang dapat menyembuhkan masalah nyanyuk.
Ubat-ubatan
Terdapat dua jenis ubat yang boleh digunakan untuk merawat penyakit Alzheimer:
- Perencat Cholinesterase. Ubat ini berfungsi meningkatkan sejenis bahan kimia dalam otak iaitu acetylcholine. Acetylcholine membantu dalam pembentukan memori dan membuat keputusan. Ianya juga boleh melambatkan kemerosotan fungsi pesakit Alzheimer.
- Memantine. Ubat ini berfungsi untuk melambatkan proses kemerosotan fungsi kognitif dan masalah tingkahlaku bagi pesakit Alzheimer tahap sederhana dan teruk. Ianya boleh membantu pesakit Alzheimer mengekalkan fungsi otak untuk tempoh lebih lama.
Kedua-dua ubat ini boleh diberikan bersama-sama.
Terapi tanpa ubat
Terapi ini dilakukan untuk mengurangkan gejala nyanyuk dan membantu menguruskan komplikasi yang berlaku. Antara rawatan yang boleh dilakukan termasuklah:
- Mengubah persekitaran. Menyediakan tempati tinggal yang kemas, bersih dan tenang untuk membantu pesakit fokus.
- Mengubah teknik aktiviti harian. Ahli terapi akan mengajar pesakit dan ahli keluarga teknik-teknik yang berkesan bagi melakukan aktiviti harian dengan lebih mudah berdasarkan gejala pesakit.
- Terapi pekerjaan. Ahli terapi pekerjaan akan mengajar cara-cara menjadikan persekitaran lebih selamat di samping alat-alat yang sesuai untuk digunakan pesakit.
Pencegahan nyanyuk
Selama beberapa dekad pengkaji berpendapat bahawa masalah nyanyuk tidak dapat dipulihkan. Namun kajian terkini mungkin menunjukkan sebaliknya.
Pada tahun 2017 didapati bahawa satu pertiga kes nyanyuk adalah disebabkan oleh faktor gaya hidup. Terdapat sembilan faktor risiko yang telah dikenalpasti dapat meningkatkan risiko seseorang mendapat masalah nyanyuk. Antaranya adalah:
- Kurang pendidikan
- Penyakit tekanan darah tinggi pertengahan umur
- Obesiti pertengahan umur
- Masalah pendengaran
- Kemurungan lewat umur
- Kencing manis
- Kurang melakukan aktiviti fizikal
- Merokok
- Isolasi sosial
Pengkaji percaya pemulihan dan rawatan faktor risiko ini dapat mencegah atau melambatkan berlakunya masalah nyanyuk. Namun pada masa kini kes-kes nyanyuk didapati semakin bertambah.
Jangka hayat pesakit nyanyuk
Mereka yang mengalami masalah nyanyuk masih boleh hidup selama bertahun-tahun setelah ianya dikesan. Masalah nyanyuk tidak membahayakan nyawa namun masalah dementia tahap akhir boleh mengurangkan hayat seseorang.
Adalah sukar untuk menganggarkan jangka hayat seseorang yang menghidap masalah nyanyuk kerana terdapat beberapa faktor yang mempengaruhinya. Kajian mendapat wanita yang menghidap penyakit Alzheimer hidup lebih lama berbanding lelaki. Manakala, masalah nyanyuk selain dari jenis Alzheimer didapati mempunyai jangka hayat yang lebih rendah.
Beberapa faktor dikaitkan dengan peningkatan risiko kematian bagi mereka yang mempunyai masalah nyanyuk. Antara faktor-faktor ini termasuklah:
- Umur yang lanjut
- Jantina lelaki
- Kehilangan fungsi dan kemahiran diri
- Mempunyai penyakit-penyakit yang lain seperti kencing manis atau kanser
Walaubagaimanapun adalah penting untuk memahami bahawa masalah nyanyuk ini berbeza pada setiap individu. Ada yang berkembang dengan cepat dan ada yang mengambil masa lebih lama, perkara ini juga akan mempengaruhi jangka hayat pesakit.
Perbezaan nyanyuk dan penyakit Alzheimer
Masalah nyanyuk dan penyakit Alzheimer adalah tidak sama. Masalah nyanyuk merupakan terma yang merujuk kepada gejala-gejala yang berkaitan memori, percakapan dan membuat keputusan.
Penyakit Alzheimer pula merupakan salah satu punca masalah nyanyuk. Ianya akan menyebabkan masalah kehilangan memori jangka pendek, kemurungan, kehilangan orientasi, perubahan tingkahlaku dan lain-lain lagi.
Masalah nyanyuk boleh menyebabkan gejala seperti kerap lupa, kehilangan memori, hilang deria arah, kekeliruan, dan masalah penjagaan diri. Namun gejala-gejala ini boleh berubah berdasarkan jenis nyanyuk yang berlaku.
Penyakit Alzheimer juga boleh menyebabkan gejala-gejala ini, namun antara gejala lain yang boleh berlaku adalah kemurungan, sukar bercakap dan membuat penilaian.
Rawatan untuk masalah nyanyuk bergantung kepada jenis yang dihidapi. Rawatan untuk penyakit Alzheimer pula selalunya melibatkan rawatan bukan ubat.
Dalam kes-kes tertentu untuk masalah nyanyuk, merawat puncanya boleh membantu mengurangkan atau menghentikan gejala yang berlaku. Namun penyakit Alzheimer pula tidak boleh disembuhkan.
Masalah nyanyuk disebabkan alkohol
Pengambilan alkohol merupakan faktor risiko nyanyuk yang boleh dicegah. Kebanyakan kes nyanyuk awal umur selalunya disebabkan oleh pengambilan alkohol.
Mereka yang mengalami masalah ketagihan alkohol didapati lebih berisiko untuk mengalami masalah nyanyuk. Ianya dikaitkan dengan pengambilan alkohol dalam jumlah yang tinggi setiap hari.
Namun pengambilan alkohol secara terkawal dan jarang tidak meningkatkan risiko seseorang menghidap masalah nyanyuk.
Nyanyuk dan lupa
Adalah normal untuk terlupa sesuatu sekali sekala. Kehilangan memori tidak bermaksud seseorang itu menghidap nyanyuk. Terdapat perbezaan antara terlupa sementara dan masalah lupa yang berterusan.
Tanda-tanda seseorang itu berkemungkinan menghidap masalah nyanyuk termasuklah:
- Lupa seseorang yang dikenali
- Lupa bagaimana melakukan aktiviti harian, seperti menggunakan telefon
- Tidak boleh memahami atau mengingat informasi yang jelas
Dapatkan pemeriksaan kesihatan jika anda mengalami gejala-gejala di atas. Sesat di kawasan yang sering dikunjungi juga merupakan antara tanda awal masalah nyanyuk. Sebagai contoh seseorang itu tersesat di pasaraya yang sering dikunjungi.
Kekerapan penyakit
Lebih kurang 10 peratus mereka yang berumur 65 ke 74 tahun dan satu perempat mereka yang berumur melebihi 85 tahun mengalami gejala-gejala nyanyuk.
Jumlah ini semakin meningkat saban tahun dan dikaitkan dengan peningkatan jangka hayat penduduk secara keseluruhan.
Kajian terbaru
Pengkaji di seluruh dunia masih bekerja keras untuk memahami dengan lebih lanjut berkenaan masalah nyanyuk. Antara kajian yang dijalankan adalah dari segi pencegahan, pengesanan awal, rawatan yang lebih berkesan dan penyembuhan.
Sebagai contoh ubat penyakit asma yang dipanggil zileuton mungkin dapat membantu memperlahankan, menghentikan dan mungkin dapat memulihkan pembentukan protein dalam otak yang belaku pada pesakit Alzheimer.
Terdapat juga kajian berkenaan rangsangan otak dalaman yang mungkin berkesan untuk mengurangkan gejala penyakit Alzheimer bagi mereka yang berumur lanjut. Rawatan ini telah digunakan untuk merawat gejala penyakit Parkinson sejak sekian lama.
Terdapat beberapa faktor yang sedang dikaji bagi mengurangkan atau memperlahankan kemerosotan otak akibat masalah nyanyuk seperti:
- Faktor genetik
- Faktor neurotransmitter
- Keradangan
- Faktor yang mempengaruhi kematian sel otak
- Tau, sejenis protein dalam neuron pada sistem saraf pusat
- Tekanan oksidasi atau reaksi kimia yang dapat merosakkan protein, DNA dan lipid di dalam sel
Kajian ini akan dapat membantu perawat memahami punca nyanyuk dan meneroka rawatan yang lebih berkesan untuk merawat dan menyembuhkannya.
Terdapat semakin banyak bukti yang menunjukkan faktor gaya hidup mungkin berkesan dalam mengurangkan risiko berlakunya nyanyuk. Antara faktor berikut termasuklah senaman dan aktiviti sosial yang berterusan.
Tulis Komen