Jangkitan Dalam Telinga – Punca, Tanda & Rawatan

Selalunya jangkitan telinga akan pulih dengan sendiri, rawatan hanyalah untuk mengawal jangkitan dan mengurangkan komplikasi.

Jangkitan dalam telinga atau nama saintifiknya otitis media merupakan jangkitan bahagian tengah telinga, iaitu poket udara selepas gegendang telinga yang mengandungi tulang kecil untuk pendengaran. Kanak-kanak lebih terdedah kepada jangkitan ini.

Selalunya jangkitan telinga akan pulih dengan sendiri, rawatan hanyalah untuk mengawal jangkitan dan mengurangkan komplikasi. Kadang kala antibiotik diberikan untuk mempercepatkan pemulihan. Sesetengah orang mendapat jangkitan ini berulangkali yang boleh menyebabkan masalah pendengaran dan komplikasi lain.

Jangkitan bahagian dalam telinga

Tanda-tanda dan simptom jangkitan dalam telinga

Jangkitan ini selalunya berlaku dengan cepat dengan tanda-tanda berikut:

Kanak-kanak

  • Sakit telinga terutamanya ketika baring
  • Perasaan gatal atau tertarik dalam telinga
  • Masalah tidur
  • Menangis berterusan
  • Resah dan tidak senang duduk
  • Masalah pendengaran, tidak respons pada panggilan
  • Masalah menyeimbangkan badan
  • Demam melebihi 38°C
  • Lelehan dari telinga (pekat atau cair)
  • Sakit kepala
  • Kurang selera makan

Dewasa

  • Sakit telinga
  • Lelehan dari telinga (pekat atau cair)
  • Masalah pendengaran

Bila perlu berjumpa doktor

Tanda dan simptom jangkitan dalam telinga boleh disebabkan beberapa masalah, adalah penting untuk mendapatkan diagnosis yang tepat sebelum rawatan diberikan. Sila berjumpa doktor jika:

  • Simptom melebihi 1 hari
  • Simptom pada bayi kurang 6 bulan
  • Sakit telinga yang sangat teruk
  • Kanak-kanak tidak dapat tidur dan tidak senang duduk selepas selesema atau jangkitan pernafasan
  • Terdapat nanah atau lelehan dari telinga, terutamanya jika berbau dan ada darah

Punca jangkitan dalam telinga

Jangkitan dalam telinga boleh disebabkan bakteria atau virus. Selalunya jangkitan daripada kawasan lain seperti selsema, batuk ataupun alahan yang menyebabkan penyempitan pada salur tenggorokan, leher dan tiub eustachian.

Fungsi tiub eustachian

Tiub ini merupakan tiub yang menghubungkan bahagian dalam telinga ke bahagian tenggorokan di belakang salur pernafasan. Tiub ini boleh terbuka dan tertutup bertujuan untuk:

  • Mengawal tekanan udara di bahagian dalam telinga
  • Menyegarkan udara bahagian dalam telinga
  • Membolehkan sebarang lelehan mengalir keluar dari dalam telinga

Tiub eustachian boleh membengkak dan tersumbat, menyebabkan cecair berkumpul di dalam telinga. Cecair ini akan menyebabkan simptom jangkitan telinga.

Tiub ini adalah lebih halus pada kanak-kanak dan berbentuk mendatar yang menyebabkannya lebih mudah tersumbat.

Kedudukan tiub eustachian

Fungsi adenoids

Adenoids merupakan sekumpulan tisu di belakang salur pernafasan yang membantu dalam melawan jangkitan.

Kerana adenoid terletak berdekatan tiub eustachian, ianya boleh membengkak dan menyebabkan tiub itu tersumbat lalu menyebabkan jangkitan dalam telinga. Selalunya masalah ini berlaku pada kanak-kanak yang mempunyai adenoids yang lebih besar berbanding orang dewasa.

Faktor risiko jangkitan dalam telinga

Faktori risiko termasuklah:

  • Umur. Kanak-kanak berumur 6 bulan hingga 2 tahun lebih terdedah kepada jangkitan telinga kerana bentuk dan saiz tiub eustachian dan sistem imuniti masih berkembang
  • Kanak-kanak dalam jagaan berkumpulan. Kanak-kanak ini lebih senang terdedah kepada jangkitan seperti jangkitan selsema dan batuk kerana berkumpul dalam kawasan tertutup.
  • Cara makan kanak-kanak. Kanak-kanak yang suka menghisap botol sambil baring lebih terdedah kepada jangkitan bebanding yang menyusu ibu.
  • Faktor musim. Terdapat musim tertentu sepanjang tahun di mana lebih banyak jangkitan dari biasa seperti faktor cuaca atau musim bunga.
  • Udara tercemar. Pendedahan kepada asap rokok dan udara tercemar meningkatkan lagi risiko jangkitan.
  • Bibir sumbing (cleft palate). Terdapat perbezaan struktur tulang dan otot yang menyebabkan mereka lebih terdedah kepada jangkitan.

Komplikasi

Kebanyakan jangkitan dalam telinga tidak menyebabkan komplikasi jangka masa panjang. Tetapi jika berlaku dengan kerap boleh menyebabkan masalah berikut:

  • Masalah pendengaran. Terdapat kurang pendengaran tahap ringan ketika jangkitan tetapi selalunya hilang bila jangkitan sembuh. Jangkitan berulang atau cecair di bahagian dalam telinga boleh menyebabkan kehilangan pendengaran yang teruk. Jika berlaku kerosakan pada struktur dalam telinga boleh menyebabkan kecacatan pendengaran kekal.
  • Perkembangan percakapan lewat. Jika hilang pendengaran berlaku dengan kerap atau kekal, perkembangan percakapan anak akan terganggu.
  • Jangkitan merebak. Jangkitan yang tidak dirawat boleh merebak ke kawasan lain seperti bahagian mastoid yang boleh menyebabkan mastoiditis. Dalam kes yang lebih teruk jangkitan boleh merebak ke otak.
  • Gegendang telinga pecah. Selalunya gegendang telinga akan pulih dalam masa 72 jam tetapi ada yang memerlukan pembedahan.

Pencegahan

Tips berikut membantu mengurangkan jangkitan dalam telinga:

  • Elakkan jangkitan selsema dan batuk. Ajar anak anda sentiasa membasuh tangan dan jangan berkongsi alatan makan dengan kanak-kanak lain. Ajar juga etika batuk dan bersin yang betul agar penyakit ini tidak merebak. Bila anak sakit jangan hantar ke pusat jagaan kanak-kanak.
  • Elakkan asap rokok. Jangan merokok di dalam rumah dan pastikan kanak-kanak tidak terdedah kepada asap rokok.
  • Menyusu badan. Jika boleh, berikan susu badan berbanding susu botol. Susu badan juga mempunyai antibodi yang melindungi bayi.
  • Vaksinasi. Pastikan anak anda mendapat vaksinasi yang cukup seperti yang disarankan.

Print Friendly, PDF & Email
Langgan Newsletter Kami
Jom dapatkan notifikasi artikel-artikel terbaru kami terus ke email anda!
Laman web ini bertujuan untuk memberikan pengetahuan am sahaja dan tidak membuat sebarang nasihat perubatan individu. Jika anda mempunyai apa-apa simptom sila berjumpa doktor dengan kadar segera.