Penyakit Anxiety atau Keresahan – Punca, Tanda dan Rawatan

Penyakit anxiety atau keresahan merupakan salah satu penyakit emosi yang kerap berlaku dan boleh dihidapi sesiapa sahaja tanpa mengira umur.

Perasaan resah merupakan tindakbalas semulajadi manusia apabila berhadapan dengan tekanan atau stres. Contohnya semasa hari pertama persekolahan, pergi ke temuduga atau ketika diminta memberikan ucapan boleh menyebabkan seseorang berasa takut dan resah.

Namun jika perasaan ini menjadi melampau, berlaku melebihi tempoh enam bulan dan mengganggu aktiviti harian, anda mungkin menghidap penyakit keresahan melampau atau anxiety disorder.

Apakah itu penyakit anxiety

Adalah normal untuk berasa resah apabila tiba di tempat baru, memulakan kerja baru atau mengambil peperiksaan. Ianya tidak menggembirakan tetapi boleh memotivasikan diri kita untuk bekerja lebih kuat atau mencari jalan penyelesaian. Keresahan adalah perasaan yang datang dan pergi serta tidak mengganggu aktiviti harian seseorang.

Untuk penyakit anxiety pula, perasaan takut itu berlaku sepanjang masa. Penghidap akan merasa gelabah dan gemuruh.

Penyakit anxiety ini akan menyebabkan seseorang berhenti melakukan sesuatu yang digemari. Pada tahap yang serius, seseorang mungkin menjadi takut untuk menaiki lif, melintas jalan sehinggakan ada yang tidak mahu meninggalkan rumah. Jika tidak dirawat, ianya mampu menjadi lebih teruk.

Penyakit anxiety merupakan salah satu penyakit emosi yang kerap berlaku dan boleh dihidapi sesiapa sahaja tidak mengira umur. Wanita lebih kerap menghidap penyakit ini berbanding lelaki.

Jenis-jenis penyakit anxiety

Penyakit anxiety boleh menjadi sebahagian dari penyakit mental yang lain termasuk:

  • Serangan panik: Pesakit akan mengalami serangan panik pada masa yang tidak dijangka. Mereka yang mengalami masalah ini sering risau kerana serangan panik boleh berlaku pada bila-bila masa.
  • Fobia: Ketakutan melampau kepada sesuatu objek, situasi atau aktiviti.
  • Masalah keresahan sosial: Ketakutan melampau seperti sedang dinilai oleh orang lain sepanjang masa ketika bersosial.
  • Penyakit obsesif-kompulsif: Pemikiran tidak rasional yang berulang dan menyebabkan seseorang perlu melakukan sesuatu yang spesifik untuk merasa lega.
  • Masalah keresahan apabila berpisah: Merasa resah apabila jauh dari rumah atau orang yang tersayang.
  • Keresahan kerana penyakit: Sering risau mengalami masalah kesihatan atau penyakit, sebelum ini dikenali dibagai hipokondria.
  • Masalah stres selepas trauma atau PTSD: Keresahan apabila berlakunya trauma dalam hidup seseorang.

Tanda-tanda dan gejala

Perasaan resah yang dialami adalah berbeza bagi setiap orang. Tanda-tandanya boleh bermula sekadar rasa perut memulas ataupun jantung berdegup kencang. Seseorang juga terasa seperti hilang kawalan diri dan terputus hubungan antara badan dan otak.

Sesetengah orang mengalami gejala seperti mimpi ngeri, serangan panik dan pemikiran atau memori sedih yang tidak boleh dikawal. Pada umumnya seseorang itu akan menjadi takut dan risau serta mungkin akan cuba mengelakkan sesuatu tempat atau situasi tertentu.

Tanda-tanda umum penyakit anxiety adalah:

  • Degupan jantung menjadi laju
  • Pernafasan menjadi laju
  • Tidak boleh duduk diam
  • Tidak boleh fokus
  • Susah tidur

Gejala keresahan yang anda alami tidak sama dengan orang lain. Jadi anda perlu mengenalpasti sendiri tanda-tanda yang berlaku ketika anda sedang merasa resah.

Serangan keresahan

Serangan keresahan bermaksud perasaan resah, gelisah, risau dan takut yang melampau secara tiba-tiba. Pada kebanyakan orang perasaan resah akan datang sedikit demi sedikit dan menjadi teruk apabia sesuatu telah dan akan berlaku.

Tanda-tanda dan gejala serangan keresahan adalah berbeza bagi setiap orang. Ini kerana ianya boleh berubah-ubah sepanjang masa, gejala pada hari ini mungkin tidak sama dengan serangan keresahan yang lalu.

Antara tanda-tanda dan gejala serangan keresahan biasanya adalah:

  • Terasa ingin pitam atau pengsan
  • Mulut kering
  • Berpeluh
  • Sejuk dan menggigil
  • Rasa takut
  • Rasa risau
  • Tidak boleh duduk diam
  • Gemuruh
  • Rasa kebas atau semut-semut

Serangan panik dan keresahan boleh berkongsi gejala yang sama tetapi ianya bukanlah penyakit yang sama.

Punca penyakit anxiety

Pengkaji masih belum dapat mengenalpasti punca-punca penyakit anxiety. Namun ianya berkemungkinan disebabkan gabungan beberapa faktor. Antaranya adalah faktor genetik, persekitaran dan juga perubahan kimia dalam otak.

Selain itu, pengkaji juga percaya kawasan pada otak yang mengawal perasaan takut mungkin tidak dapat berfungsi dengan baik. Kajian lanjut sedang dijalankan bagi mengkaji impak kawasan otak ini terhadap kewujudan penyakit anxiety.

Pengesanan penyakit anxiety

Satu ujian sahaja tidak cukup untuk mengesahkan penyakit anxiety. Ianya melibatkan proses yang panjang di mana pemeriksaan fizikal, penilaian kesihatan mental dan ujian soalan-soalan psikologikal perlu dilakukan.

Sesetengah doktor juga akan melakukan pemeriksaan fizikal termasuklah ujian darah dan urin bagi melihat jika terdapat sebarang penyakit lain yang boleh menyebabkan gejala-gejala tersebut berlaku.

Terdapat beberapa alat atau skala yang digunakan bagi menilai tahap keterukan keresahan yang sedang dialami.

Rawatan penyakit anxiety

Apabila anda telah disahkan menghidap penyakit anxiety, terdapat beberapa pilihan rawatan yang boleh diberikan oleh doktor. Pada sesetengah orang, rawatan perubatan mungkin tidak diperlukan. Mereka hanya memerlukan perubahan gaya hidup untuk mengawal gejala.

Untuk keresahan tahap sederhana dan teruk, rawatan perubatan selalunya diperlukan untuk mengawal gejala dan mendapatkan kualiti hidup yang lebih baik.

Terdapat dua jenis kategori rawatan perubatan iaitu psikoterapi dan penggunaan ubat-ubatan. Konsultasi bersama ahli terapi dan pakar psikiatri dapat membantu untuk mengenalpasti rawatan yang paling sesuai untuk anda.

Ubat-ubatan yang boleh digunakan untuk merawat penyakit anxiety termasuklah ubat antidepresan dan juga sedatif. Ianya berfungsi dengan cara menyeimbangkan semula bahan kimia di dalam otak lalu mencegah dari berlakunya kebanyakan gejala-gejala keresahan yang dialami.

Rawatan sendiri

Perubahan gaya hidup juga merupakan suatu cara berkesan untuk mengurangkan stres dan seterusnya keresahan. Kebanyakan perubahan ini melibatkan proses mengambil berat tentang diri anda, melibatkan diri dalam aktiviti sihat dan menjauhkan diri dari aktiviti tidak sihat.

Antaranya termasuklah:

  • Dapatkan tidur yang cukup
  • Beribadah atau bermeditasi
  • Bersenam dan kekal aktif
  • Pemakanan sihat
  • Berhenti atau mengurangkan alkohol
  • Mengelakkan atau mengurangkan pengambilan kafein
  • Berhenti merokok

Sesetengah pesakit berjaya merawat masalah keresahan yang dialami hanya dengan melakukan aktiviti-aktiviti di atas tanpa memerlukan bantuan ubat-ubatan. Namun jika masih belum berjaya, sila berbincang dengan doktor anda.

Keresahan dan kemurungan

Seseorang yang mengalami penyakit anxiety juga boleh mengalami kemurungan. Ianya boleh berlaku pada masa berbeza atau boleh juga berlaku secara serentak.

Keresahan boleh menjadi salah satu gejala untuk masalah kemurungan teruk dan kemurungan juga boleh dicetuskan oleh perasaan resah ini.

Gejala kedua-dua penyakit ini boleh dikawal dengan menggunakan rawatan yang sama iaitu psikoterapi atau kaunseling, ubat-ubatan dan perubahan gaya hidup.

Kanak-kanak dan keresahan

Perasaan resah sering berlaku pada kanak-kanak dan ianya adalah normal. Lebih kurang satu daripada lapan kanak-kanak mengalami gejala keresahan. Apabila semakin membesar, kanak-kanak itu akan belajar cara menangani keresahan ini daripada ibu bapa, rakan-rakan serta penjaga.

Namun keresahan ini boleh menjadi semakin kerap dan teruk sehingga menjadi penyakit keresahan melampau. Keadaan ini akan mengganggu aktiviti harian kanak-kanak itu dan mereka mungkin cuba mengelakkan diri dari kawan-kawan serta ahli keluarga.

Antara gejala penyakit anxiety pada kanak-kanak termasuklah:

  • Senang terkejut
  • Senang marah
  • Tidak boleh tidur
  • Sentiasa takut
  • Rasa malu
  • Meminggirkan diri

Antara rawatan yang sesuai untuk kanak-kanak ini termasuklah terapi tingkahlaku kognitif atau terapi percakapan di samping ubat-ubatan.

Remaja dan keresahan

Remaja juga mempunyai banyak sebab untuk berasa resah. Peperiksaan, persekolahan, dan temujanji pertama berlaku dalam selang masa yang singkat. Namun jika ianya berpanjangan dan semakin teruk, remaja ini mungkin mengalami penyakit anxiety.

Antara gejala yang boleh berlaku termasuklah perasaan resah, malu, meminggirkan diri dan sering berseorangan. Remaja tersebut juga cenderung melakukan perbuatan tidak elok seperti ponteng sekolah, tidak mahu bersosial atau mengambil dadah dan alkohol.

Selain itu, ianya juga boleh diterukkan lagi dengan kemurungan. Pengesanan awal kedua-dua masalah ini amat penting supaya puncanya dapat diketahui dan diberikan rawatan segera.

Selalunya rawatan yang berkesan untuk remaja adalah terapi percakapan dan ubat-ubatan. Rawatan ini juga boleh mengurangkan gejala kemurungan.

Keresahan dan stres

Stres dan keresahan boleh dikatakan adik beradik. Stres berlaku disebabkan terdapat tekanan berlebihan pada otak dan badan. Ianya boleh disebabkan oleh aktiviti atau situasi yang menyebabkan anda merasa resah sama seperti gejala keresahan.

Keresahan boleh disebabkan stres namun ianya juga boleh berlaku walaupun tiada punca stres.

Kedua-dua keresahan dan stres boleh menyebabkan gejala-gejala fizikal dan mental seperti:

  • Sakit kepala
  • Sakit perut
  • Jantung berdegup laju
  • Berpeluh
  • Pening
  • Senang terkejut
  • Otot menegang
  • Panik
  • Resah
  • Susah menumpukan perhatian
  • Senang marah
  • Tidak boleh duduk diam
  • Sukar tidur

Stres dan keresahan yang sedikit sebenarnya boleh membantu kita untuk lebih bermotivasi dan cepat menyiapkan kerja. Namun jika ianya berlebihan sehingga mengganggu aktiviti harian yang lain, adalah penting untuk segera mendapatkan rawatan.

Kesan jangka panjang keresahan dan stres yang lain termasuklah masalah penyakit kronik seperti serangan jantung.

Keresahan dan alkohol

Jika anda kerap merasa resah, anda mungkin memilih untuk mengambil alkohol bagi merasa lebih tenang. Ini kerana alkohol merupakan sejenis substan penekan yang boleh mengurangkan aktiviti sistem saraf pusat.

Walaubagaimanapun ianya bukanlah jalan terbaik bagi mengurangkan keresahan. Ini kerana untuk jangka masa panjang alkohol boleh menyebabkan ketagihan dan boleh merosakkan tubuh badan terutamanya hati.

Selain itu, seseorang yang menagih alkohol mungkin akan cuba mengambil dadah kerana inginkan kesan yang lebih kuat. Ini akan membuatkan keadaan diri menjadi lebih teruk.

Jika dibiarkan anda akan mempunyai kedua-dua masalah keresahan dan ketagihan yang memerlukan lebih banyak rawatan.

Pemakanan pesakit anxiety

Ubat dan terapi percakapan adalah rawatan yang selalu diberikan. Perubahan gaya hidup seperti mendapatkan tidur yang cukup serta kerap bersenam juga boleh membantu. Selain itu, terdapat kajian yang menyatakan sesetengah makanan boleh memberikan manfaat untuk mengurangkan keresahan.

Antara makanan tersebut adalah:

  • Ikan salmon
  • Chamomile
  • Kunyit
  • Coklat jenis dark
  • Yogurt
  • Teh hijau

Hidup dengan keresahan

Penyakit anxiety boleh dirawat dengan ubat-ubatan, psikoterapi atau gabungan kedua-duanya. Sesetengah orang yang mengalami keresahan tahap rendah atau sederhana memilih untuk tidak mendapatkan rawatan.

Perlu difahami bahawa kesemua masalah keresahan boleh dirawat walaupun sudah mencapai tahap teruk. Walaupun sukar untuk pulih sepenuhnya, penghidap masih boleh hidup dengan sihat, gembira dan berkualiti dengan teknik-teknik dan rawatan yang betul.

Print Friendly, PDF & Email
Langgan Newsletter Kami
Jom dapatkan notifikasi artikel-artikel terbaru kami terus ke email anda!
Laman web ini bertujuan untuk memberikan pengetahuan am sahaja dan tidak membuat sebarang nasihat perubatan individu. Jika anda mempunyai apa-apa simptom sila berjumpa doktor dengan kadar segera.