Koronavirus: Adakah Seseorang Boleh Mendapat Jangkitan Kali Kedua?

Masalah berkaitan sistem imuniti antara yang sering dipersoalkan namun masih banyak jawapan yang belum diketahui berkenaan kekebalan seseorang terhadap koronavirus.

Pelbagai persoalan masih timbul mengenai koronavirus. Masalah berkaitan sistem imuniti adalah perkara yang sering dipersoalkan, namun masih banyak jawapan yang belum diketahui berkenaan kekebalan seseorang terhadap koronavirus.

Bagaimana seseorang boleh menjadi imun kepada koronavirus?

Sistem imun badan kita akan bertindak untuk melawan jangkitan dalam dua fasa.

Fasa pertama adalah tindakan secara umum dan spontan ke atas mana-mana bendasing yang masuk ke dalam badan termasuk koronavirus. Sistem imun fasa ini menyebabkan sel tubuh melepaskan bahan kimia yang menyebabkan keradangan bertujuan untuk memusnahkan virus tersebut.

Tetapi fasa ini tidak spesifik kepada koronavirus sahaja, pada tahap ini imuniti terhadap koronavirus masih belum terbentuk.

Jadi, fasa kedua diperlukan di mana badan akan mengenalpasti protein spesifik yang terdapat pada koronavirus dan akan menghasilkan antibodi dalam bentuk Sel T. Sel T ini hanya akan menumpukan perhatiannya kepada koronavirus.

Fasa kedua mengambil masa yang lebih lama iaitu kira-kira 10 hari untuk menghasilkan antibodi yang mampu melawan koronavirus. Setiap orang akan menghasilkan antibodi ini.

Jika sistem imun badan cukup kuat, memori berkenaan koronavirus akan kekal untuk jangka panjang dan memberi perlindungan pada masa hadapan.

Jika seseorang itu hanya mengalami simptom ringan, atau tiada langsung, bermaksud sistem imunnya bertindak dengan cekap.

Berapa lamakah imuniti ini akan kekal?

Sistem imuniti mempunyai memori seperti kita, kadangkala kita boleh mengingat dengan jelas, namun kadangkala boleh terlupa.

Contoh imuniti yang senang diingat adalah seperti demam campak di mana setiap orang akan mempunyai antibodi sepanjang hayat selepas imunisasi campak (MMR). Manakala ada sesetengahnya sukar diingat seperti imuniti terhadap virus selsema (virus RSV) di mana virus strain berbeza akan menyerang setiap tahun.

Untuk virus Sars-CoV-2 pula iaitu nama saintifik untuk koronavirus, ianya masih baru dan kajian lanjut sedang dijalankan. Tetapi kita boleh belajar daripada paten 6 koronavirus yang lain.

4 daripada 6 koronavirus ini menghasilkan penyakit selsema dan antibodi hanya bertahan dalam jangkamasa singkat. Kajian menunjukkan seseorang boleh dijangkiti setiap tahun!

Tetapi penyakit selsema hanyalah penyakit yang ringan. Contoh penyakit serius yang disebabkan koronavirus adalah seperti Severe Acute Respiratory Syndrome (Sars) dan Middle East Respiratory Syndrome (Mers) di mana kajian menunjukkan antibodi masih dikesan hingga beberapa tahun selepas jangkitan.

Kajian yang dilakukan terhadap virus Sars menunjukkan antibodi hanya mampu kekal selama kira-kira 2 tahun sahaja. Tetapi kajian juga menunjukkan jangkitan kedua selalunya tidaklah seteruk yang pertama.

Jadi persoalan yang penting bukanlah mengenai kemampuan penghasilan antibodi, tetapi berapa lamakah antibodi ini mampu bertahan di dalam badan. Jika mengikut paten koronavirus yang lain seperti di atas, ianya tidak akan kekal sepanjang hayat.

imuniti koronavirus
Adakah kita masih perlu mencegah koronavirus walaupun sudah mempunyai antibodi?

Bagaimana seseorang boleh dijangkiti kali kedua?

Terdapat laporan menyatakan ada pesakit yang dijangkiti koronavirus kali kedua dalam masa yang singkat.

Ada pendapat yang menyatakan mereka betul-betul dijangkiti kali kedua dalam sela masa yang singkat, ada juga yang menyatakan itu hanyalah virus yang sama tetapi berhibernasi seketika dan menjadi aktif semula.

Namun sebab sebenar yang dinyatakan pengkaji adalah ianya berlaku akibat cara pengujian yang belum sempurna dan pesakit tersebut sebenarnya masih belum bebas sepenuhnya daripada koronavirus.

Ujian klinikal telah dijalankan terhadap monyet macaque di mana jangkitan koronavirus kali kedua telah diberikan.

Untuk kali pertama monyet ini berjaya menghasilkan antibodi. Jangkitan kedua diberikan 3 minggu selepas jangkitan pertama sembuh. Hasil kajian menunjukkan monyet ini tidak lagi mempunyai simptom selepas diberikan jangkitan kali kedua.

Jika saya mempunyai antibodi adakah bermaksud saya telah kebal?

Mempunyai antibodi bukanlah jaminan kekebalan dan Badan Kesihatan Sedunia (WHO) tidak bersetuju mana-mana pihak menggunakan alasan sudah mempunyai antibodi untuk tidak melaksanakan pencegahan koronavirus.

Ada pihak menyatakan kerana sudah mempunyai antibodi, mereka bebas mengadakan kontak dengan pesakit Covid-19 kerana mereka sudah kebal. Namun pendapat ini sememangnya tidak tepat.

Ini kerana walaupun terdapat antibodi, namun tidak semua antibodi sama. Neutralising antibodi merupakan antibodi yang menghalang jangkitan koronavirus menular ke sel badan yang lain. Kajian di China terhadap 175 orang bekas pesakit Covid-19 menunjukkan 30% daripada mereka mempunyai neutralising antibodi pada tahap sangat rendah.

Tambahan pula walaupun anda mempunyai antibodi dan tiada simptom, tetapi anda masih boleh menjadi pembawa dan menularkan virus ini kepada orang lain.

Sebab itulah WHO menjelaskan bahawa “imuniti sel juga amat penting untuk proses pemulihan pesakit”.

Kenapa imuniti terhadap koronavirus sangat penting?

Imuniti penting kerana ianya melibatkan kemampuan badan anda melawan virus ini dan jika anda mampu mengelak jangkitan Covid-19 berulang kali.

Imuniti juga boleh mengehadkan tindakan virus ketika menyerang badan kita. Mereka yang telah mempunyai imuniti tidak akan mendapat jangkitan yang teruk.

Pemahaman mengenai tindakan imuniti terhadap virus adalah penting untuk kita merancang kehidupan harian pada masa hadapan.

Adalah sukar untuk membentuk imuniti sepanjang hayat terhadap koronavirus – keadaan ini mungkin memaksa kita menilai semula penggunaan vaksin bila ianya sudah dihasilkan kelak – adakah setiap orang perlu diberikan vaksin tahunan seperti vaksin selsema.

Tempoh jangkahayat imuniti, samada melalui jangkitan ataupun vaksin, akan menentukan cara pengawalan penularan virus ini pada masa hadapan.

Ini merupakan persoalan-persoalan yang masih belum ditemukan jawapannya.

Print Friendly, PDF & Email
Staf Editorial
Laman web ini bertujuan untuk memberikan pengetahuan am sahaja dan tidak membuat sebarang nasihat perubatan individu. Jika anda mempunyai apa-apa simptom sila berjumpa doktor dengan kadar segera.