Penyakit Tiroid – Punca, Tanda dan Rawatan

Penyakit tiroid boleh dibahagikan kepada dua iaitu hipertiroidism dan hipotiroidism. Jom ketahui berkenaan punca, gejala dan rawatan penyakit ini.

Tiroid merupakan sejenis kelenjar yang membantu mengawal metabolisma badan seseorang dengan menghasilkan hormon-hormon tiroid.

Penyakit tiroid boleh berlaku apabila kelenjar tiroid terlebih atau kurang menghasilkan hormon-hormon tiroid ini. Keadaan ini dipanggil sebagai hipertiroidism (terlebih hormon) atau hipotiroidism (kurang hormon).

Perubahan pada proses penghasilan hormon ini juga boleh menyebabkan kelenjar tiroid membengkak dan boleh dilihat dari luaran, ianya dikenali sebagai goiter.

Goiter iaitu pembesaran kelenjar tiroid

Artikel ini akan menjelaskan serba sedikit tentang beberapa jenis penyakit tiroid, punca, gejala dan bagaimana doktor mengesan serta merawat penyakit ini.

Hipotiroidism

Hipotiroidism adalah keadaan di mana kelenjar tiroid seseorang tidak menghasilkan hormon tiroid yang mencukupi. Kekurangan hormon tiroid ini akan memperlahankan sistem metabolisma badan seseorang dan boleh menyebabkan pelbagai gejala.

Masalah hipotiroidism ini selalunya berlaku pada wanita dan lebih kerap terjadi berbanding hipertiroidism.

Punca

Antara punca hipotiroidism termasuklah:

  • tiroiditis Hashimoto
  • pembedahan membuang sebahagian atau keseluruhan kelenjar tiroid
  • terapi radiasi untuk kanser pada leher dan kepala
  • sesetengah ubat seperti lithium untuk penyakit bipolar dan sulfonylurea untuk kencing manis
  • kelenjar tiroid yang rosak atau tiada dari lahir
  • terlalu banyak atau kurang pengambilan iodin dalam pemakanan
  • sindrom Turner, sejenis masalah kromosom pada wanita
  • kerosakan kelenjar pituitari

Punca utama masalah hipotiroidism adalah tiroiditis Hashimoto. Ianya merupakan keadaan di mana sistem imun seseorang telah tersilap menyerang kelenjar tiroid pada badan sendiri. Kelenjar ini kemudiannya akan mengalami keradangan, lalu hormon tiroid akan kurang dihasilkan.

Punca sebenar tiroiditis Hashimoto ini masih belum diketahui, namun mungkin disebabkan oleh faktor keturunan. Jika seseorang mempunyai ahli keluarga terdekat yang mempunyai masalah ini, risiko mendapatnya juga menjadi lebih tinggi.

Risiko juga akan menjadi lebih tinggi jika seseorang itu menghidap penyakit autoimun yang lain seperti arthritis rheumatoid, kencing manis jenis 1 atau lupus.

Perkembangan penyakit ini juga kadangkala mengambil masa yang lama sehingga mencecah beberapa bulan atau tahun.

Tanda dan gejala

Gejala hipotiroid boleh berbeza pada setiap pesakit, antara gejala ini termasuklah:

Pesakit juga boleh mengalami goiter, iaitu kelenjar tiroid yang membengkak. Keadaan ini berlaku kerana kelenjar tiroid cuba menghasilkan lebih banyak hormon lalu menyebabkannya semakin membesar.

Pengesanan

Selepas mendapatkan sejarah perubatan berkenaan gejala yang dialami, doktor akan melakukan pemeriksaan fizikal. Pemeriksaan ini termasuklah memeriksa kawasan kelenjar tiroid untuk melihat jika terdapat bengkak, mengambil bacaan denyutan jantung dan juga memeriksa tindakbalas refleks.

Doktor juga mungkin akan melakukan ujian darah sebelum membuat diagnosis. Ujian darah dapat menentukan paras hormon perangsang tiroid (TSH) dan thyroxine dalam darah seseorang.

Hormon thyroxine dihasilkan oleh kelenjar tiroid. Paras hormon thyroxine yang rendah di dalam darah menandakan hipotiroidism.

Badan juga akan menghasilkan hormon TSH sebagai isyarat kepada kelenjar tiroid untuk menghasilkan lebih banyak hormon tiroid.

Jika badan mengesan paras hormon tiroid yang rendah, lebih banyak TSH akan dihasilkan, jadi paras TSH yang tinggi dalam darah juga selalunya menandakan masalah hipotiroidism.

Rawatan

Tiada rawatan untuk menyembuhkan penyakit hipotiroidism, tetapi pesakit yang mengalami masalah ini boleh mengambil hormon tiroid gantian. Selalunya hormon ini diambil pada setiap hari dalam bentuk pil.

Hipertiroidism

Hipertiroidism bermaksud seseorang itu mempunyai paras hormon tiroid yang tinggi di dalam badan. Ini boleh meningkatkan proses metabolisma badan seseorang. Mereka yang mengalami peningkatan metabolisma akan mengalami gejala denyutan jantung yang laju, peningkatan tekanan darah dan cepat merasa letih.

Punca

Punca utama bagi masalah hipertiroidism adalah penyakit Grave.

Penyakit Grave akan menyebabkan sistem imun badan seseorang menghasilkan antibodi bagi meningkatkan pertumbuhan kelenjar tiroid seterusnya menghasilkan lebih banyak hormon tiroid yang melebihi keperluan badan individu tersebut.

Punca terjadinya penyakit Grave ini masih belum diketahui, namun pengkaji berpendapat ianya berkaitan dengan genetik seseorang.

Antara punca lain bagi masalah hipertiroidism adalah goiter multinodul. Penyakit ini adalah disebabkan oleh nodul yang menghasilkan hormon pada kelenjar tiroid membesar, lalu menghasilkan hormon tiroid secara berlebihan.

Goiter multinodul merupakan antara masalah berkaitan kelenjar tiroid yang paling kerap berlaku dan lebih banyak berlaku pada wanita berbanding lelaki.

Seseorang juga boleh mengalami peningkatan hormon tiroid yang bukan disebabkan oleh kelenjar tiroid yang menjadi terlampau aktif.

Tiroiditis merupakan keradangan sementara pada kelenjar tiroid yang disebabkan oleh masalah autoimun atau jangkitan virus. Ianya boleh menyebabkan hormon tiroid dilepaskan ke dalam darah secara berlebihan tetapi bukannya disebabkan penghasilan hormon yang berlebihan.

Pesakit yang mengambil ubat gantian hormon untuk merawat masalah hipotiroidism juga mungkin mengalami gejala-gejala yang disebabkan oleh paras hormon tiroid yang tinggi.

Tanda dan gejala

Antara gejala-gejala hipertiroidism termasuklah:

  • cepat penat dan lemah otot
  • denyutan jantung yang laju atau tidak sekata
  • tangan menggeletar
  • masalah tidur
  • sering merasa resah
  • cepat marah
  • kerap membuang air besar
  • berat badan berkurang secara tiba-tiba
  • darah haid berkurang atau tempoh haid yang pendek

Pengesanan

Doktor akan melakukan pengesahan menggunakan ujian darah bagi mengesan hipertiroidism. Sebelum itu, doktor juga akan melakukan pemeriksaan fizikal bagi melihat jika kelenjar tiroid membengkak, denyutan jantung laju dan tangan menggeletar.

Ujian darah dilakukan bagi melihat paras hormon tiroid dan TSH, sama seperti hipotiroidism.

Bagi mereka yang mengalami hipertiroidism, paras hormon tiroid di dalam darah akan meningkat, dan badan pula akan mengurangkan penghasilan TSH. Kedua-dua keputusan ini menunjukkan seseorang itu mengalami masalah hipertiroidism.

Rawatan

Doktor mungkin akan memulakan ubat penghalang beta sebagai rawatan jangka pendek untuk hipertiroidism. Ubat penghalang beta akan menghentikan kesan hormon tiroid berlebihan dan akan mengurangkan gejala denyutan jantung laju serta tangan menggeletar.

Selain itu, doktor juga mungkin akan memulakan rawatan berikut untuk pemulihan jangka panjang:

  • Ubat anti-tiroid: Ubat ini dapat mencegah kelenjar tiroid dari menghasilkan hormon tiroid secara berlebihan.
  • Tablet iodin radioaktif: Apabila pesakit mengambil tablet ini, sel tiroid akan menyerap iodin yang terdapat di dalam ubat. Sel tiroid akan dimusnahkan dan penghasilan horomon tiroid secara berlebihan akan dihentikan.
  • Pembedahan: Pakar bedah mungkin akan membuang sebahagian atau keseluruhan kelenjar tiroid pesakit.

Jika seseorang pesakit mengambil iodin radioaktif atau menjalani pembedahan, kelenjar tiroid kadangkala tidak dapat menghasilkan hormon yang cukup bagi keperluan badan. Oleh itu pesakit perlu mengambil hormon tiroid gantian setiap hari.

Nodul tiroid

Nodul tiroid merupakan ketulan pada kelenjar tiroid yang boleh berlaku secara berkumpulan atau bersendirian.

Nodul tiroid kerap berlaku, dan lebih kurang 50% mereka yang berusia 60 tahun ke atas mempunyai nodul tiroid ini secara kasarnya. Namun majoriti mereka yang mempunyai nodul tiroid ini tidak mengalami sebarang gejala.

Tidak dapat dipastikan punca seseorang itu mendapat nodul ini. Selalunya ianya tidak menyebabkan sebarang gejala namun kadangkala terdapat nodul yang menjadi aktif lalu menyebabkan masalah hipertiroidism.

Nodul tiroid ini boleh disentuh dan diperiksa oleh doktor ketika pemeriksaan fizikal, selalunya ujian darah akan dilakukan bagi memastikan paras hormon tiroid adalah normal.

Menurut satu kajian, lebih kurang 7 ke 15 peratus nodul tiroid ini boleh menjadi kanser, jadi doktor mungkin akan melakukan imbasan ultrasound atau mengambil biopsi menggunakan jarum halus bagi melihat jika terdapat sel kanser.

Jika terdapat tanda-tanda kanser atau risiko mendapat kanser pada masa hadapan, doktor akan mencadangkan untuk membuang nodul tersebut. Berhantung kepada jenis sel yang ditemui semasa biopsi, dan risiko nodul tersebut menjadi kanser, doktor mungkin akan membuang sebahagian atau keseluruhan kelenjar tiroid.

Rumusan

Kelenjar tiroid bertanggungjawab menghasilkan hormon yang mengawal metabolisma badan.

Terdapat banyak jenis penyakit berkaitan tiroid, selalunya penyakit tiroid ini dibahagikan mengikut kategori sama ada tiroid hormon dihasilkan terlampau banyak atau kurang.

Masalah hipertiroidism berlaku apabila kelenjar tiroid menghasilkan terlalu banyak hormon tiroid. Ini menyebabkan metabolisma badan seseorang meningkat dan seterusnya menyebabkan peningkatan denyutan jantung, tekanan darah tinggi serta kepenatan.

Masalah hipotiroidism pula berlaku apabila kelenjar tiroid kurang menghasilkan hormon tiroid. Ini akan menyebabkan metabolisma badan seseorang menurun lalu menyebabkan gejala seperti keletihan, rasa sejuk dan sembelit.

Nodul tiroid pula boleh muncul pada kelenjar tiroid secara bersendirian atau berkumpulan, dan lebih banyak berlaku pada umur yang lanjut. Nodul ini kadangkala boleh menyebabkan hipertiroidism dan juga kanser.

Jika anda risau mengalami penyakit-penyakit berkaitan tiroid, dapatkan pemeriksaan doktor dengan segera bagi mencari punca penyakit tersebut.

Langgan Newsletter Kami
Jom dapatkan notifikasi artikel-artikel terbaru kami terus ke email anda!
Laman web ini bertujuan untuk memberikan pengetahuan am sahaja dan tidak membuat sebarang nasihat perubatan individu. Jika anda mempunyai apa-apa simptom sila berjumpa doktor dengan kadar segera.