Penyakit BPPV – Punca, Tanda dan Rawatan

BPPV selalunya disebabkan perubahan spesifik pada posisi kepala anda namun ianya bukanlah masalah serius dan rawatan segera mampu menghilangkannya.

Benign paroxysmal positional vertigo (BPPV) adalah penyebab utama kepada simptom vertigo – iaitu masalah pening sehingga merasa dunia berpusing atau fikiran berpusing.

BPPV boleh menyebabkan vertigo yang ringan dan juga teruk. BPPV selalunya disebabkan perubahan spesifik pada posisi kepala anda. Ini mungkin berlaku apabila anda menunduk atau mendongak ketika baring ataupun jika anda duduk atau berguling di atas katil.

Walaupun BPPV boleh menyukarkan kehidupan harian, namun ianya bukanlah masalah serius melainkan anda terjatuh dan cedera. Anda boleh menerima rawatan berkesan untuk BPPV ini jika membuat lawatan doktor.

Tanda dan simptom BPPV

Simptom dan tanda-tanda BPPV termasuklah:

  • Pening
  • Perasaan sekeliling berpusing atau bergerak – vertigo
  • Hilang keseimbangan
  • Muntah
  • Mual

Tanda dan simptom BPPV boleh datang dan pergi, dan setiap simptom boleh bertahan selama kurang satu minit. Episod BPPV boleh hilang untuk sementara dan muncul semula.

Aktiviti yang boleh menyebabkan BPPV adalah berbeza bagi setiap individu, tetapi majoritinya disebabkan perubahan posisi kepala. Sesetengah orang tidak mampu menyeimbangkan badan ketika berdiri dan berjalan.

Terdapat juga pergerakan bebola mata tidak terkawal (nystagmus) pada sesetengah orang yang mengalami BPPV.

Bilakah perlu berjumpa doktor

Secara umumnya sila berjumpa doktor jika anda mengalami masalah pening atau vertigo secara tiba-tiba, sangat teruk, berulangkali dan berpanjangan.

Dapatkan rawatan kecemasan jika

Walaupun kepeningan selalunya tidak melibatkan masalah serius, sila jumpa doktor segera jika pening diiringi dengan masalah berikut:

  • Sakit kepala yang sangat teruk
  • Demam
  • Penglihatan terganggu atau hilang
  • Masalah percakapan
  • Lemah bahagian tangan atau kaki
  • Tidak sedarkan diri
  • Susah berjalan atau jatuh
  • Kebas atau semut-semut pada tangan dan kaki

Tanda dan simptom di atas mungkin disebabkan penyakit lain yang lebih teruk.

Punca BPPV

Selalunya punca BPPV tidak diketahui dan dipanggil sebagai BPPV idiopatik.

Kadang kala seseorang boleh mengaitkan BPPV dengan kecederaan kepala samada ringan atau berat. Sebab-sebab lain seperti kerosakan pada bahagian dalam telinga, kecederaan ketika pembedahan telinga atau duduk terlalu lama dalam sesuatu posisi, seperti ketika menerima rawatan gigi. BPPV juga dikaitkan dengan migrain.

Fungsi telinga dalam keseimbangan badan

Di dalam telinga terdapat organ yang digelar vestibular labyrinth. Organ ini mempunyai tiga terusan separa bulat yang mempunyi cecair dan sensor berbentuk rerambut yang akan memantau pergerakan pusingan kepala.

Terdapat juga struktur otolith di dalam telinga yang memantau pergerakan dongakan kepala ke atas, bawah, kiri, kanan, depan dan belakang – juga kedudukan kepala berbanding graviti. Organ otolith ini mempunyai garam kristal yang sensitif pada graviti.

Atas sebab tertentu garam kristal ini boleh beralih kedudukan. Apabila ini berlaku, ianya akan memasuki terusan separa bulat – terutamanya apabila anda berbaring. Ini menyebabkan terusan ini menjadi sensitif kepada posisi kepala seterusnya anda akan senang berasa pening.

Kedudukan terusan separa bulat (semicircular canals)

Faktor risiko

BPPV selalunya berlaku pada mereka berumur 50 tahun ke atas, tetapi boleh juga berlaku pada peringkat umur yang lain. BPPV lebih banyak berlaku pada wanita. Kecederaan kepala atau apa-apa penyakit yang mengganggu organ keseimbangan menyebabkan seseorang lebih mudah mendapat BPPV.

Komplikasi BPPV

Walaupun BPPV menyebabkan ketidakselesaan, ianya jarang menyebabkan komplikasi. Pening akan menyebabkan anda tidak seimbang dan boleh menyebabkan jatuh.

Pengesanan dan diagnosis

Doktor akan membuat pemeriksaan dan ujian untuk melihat punca pening. Ketika pemeriksaan fizikal doktor mungkin akan melihat:

  • Tanda-tanda pening disebabkan pergerakan mata atau kepala yang akan hilang selepas seminit
  • Pening dengan pergerakan mata yang berlaku apabila anda baring dalam keadaan kepala sedikit tinggi dan kepala dipusingkan
  • Pergerakan mata tidak terkawal (nystagmus)
  • Tidak boleh mengawal pergerakan mata

Jika doktor mengesyaki keadaan lebih serius, ujian CT scan atau MRI akan dilakukan.

Rawatan BPPV

Penyakit BPPV boleh hilang dengan sendirinya selepas beberapa minggu atau bulan. Tetapi untuk melegakan simptom dengan cepat, doktor akan melakukan prosedur pergerakan kepala yang dikenali sebagai prosedur pengalihan canalith. Ubat pening mungkin diberikan untuk pengawalan simptom segera.

Pengalihan canalith (Prosedur Epley)

Boleh dilakukan di mana-mana sahaja, prosedur ini melibatkan beberapa pergerakan yang mudah dan perlahan pada kepala. Tujuannya untuk menggerakkan garam kristal dari dalam terusan semi bulatan pada bahagian dalam telinga ke dalam bahagian vestibule yang mengandungi organ otolith di mana garam kristal ini tidak lagi menyebabkan masalah pening.

Setiap posisi kepala dilakukan selama 30 saat iaitu selepas simptom kepeningan dan pergerakan mata berhenti. Prosedur ini berkesan selepas satu atau dua sesi.

Doktor juga akan mengajar anda melakukan prosedur ini di rumah supaya simptom boleh dilegakan dengan cepat.

Prosedur pengalihan canalith (prosedur epley)

Rawatan pembedahan

Dalam situasi yang sangat jarang, prosedur pengalihan canalith tidak berkesan dan doktor akan mencadangkan pembedahan di mana plug tulang akan digunakan untuk menutup sebahagian dalam telinga yang menyebabkan pening. Plug ini menyebabkan terusan semi bulatan tidak respons kepada pergerakan posisi kepala. Kadar kejayaan pembedahan ini adalah 90%.

Print Friendly, PDF & Email
Langgan Newsletter Kami
Jom dapatkan notifikasi artikel-artikel terbaru kami terus ke email anda!
Laman web ini bertujuan untuk memberikan pengetahuan am sahaja dan tidak membuat sebarang nasihat perubatan individu. Jika anda mempunyai apa-apa simptom sila berjumpa doktor dengan kadar segera.