Penyakit Migrain – Punca, Tanda dan Rawatan

Tanda-tanda penyakit migrain adalah berbeza bagi setiap pesakit dan berlaku dalam beberapa peringkat iaitu prodrome, aura, sakit kepala dan postdrome.

Penyakit migrain merupakan sakit kepala yang teruk sehingga boleh menyebabkan muntah, pening dan sensitif terhadap cahaya. Ianya boleh berlaku untuk tempoh beberapa jam atau hari.

Tanda-tanda dan gejala migrain

Tanda-tanda migrain adalah berbeza bagi setiap pesakit dan berlaku dalam beberapa peringkat. Peringkat-peringkat tersebut adalah seperti berikut:

Peringkat Prodrome

Berlaku beberapa jam atau hari sebelum sakit kepala, lebih kurang 60% pesakit akan mengalami gejala seperti:

  • Sensitif kepada cahaya, bunyi dan bau
  • Keletihan
  • Kuat makan atau kurang selera makan
  • Perubahan mood
  • Kerap dahaga
  • Perut kembung
  • Sembelit atau cirit-birit

Peringkat Aura

Pada peringkat ini, gejala berlaku kerana sistem saraf pusat yang terangsang dan biasanya melibatkan gejala penglihatan. Ianya bermula sedikit demi sedikit dan berlaku dalam tempoh 5 ke 20 minit. Antara tanda-tandanya adalah:

  • Nampak titik hitam, garisan halus, tompokan cahaya ataupun halusinasi
  • Penglihatan menjadi sempit
  • Tidak boleh melihat langsung
  • Rasa kebas atau semut-semut pada sebelah badan
  • Tidak boleh bercakap dengan jelas
  • Tangan dan kaki terasa berat
  • Telinga berdengung
  • Perubahan deria rasa, bau dan sentuh

Peringkat Serangan Migrain

Serangan migrain selalunya bermula sedikit demi sedikit dan semakin lama menjadi semakin berdenyut. Ianya akan menjadi lebih teruk jika melakukan sebarang aktiviti. Sakit kepala tersebut boleh berubah dari sebelah kepala ke sebelah yang lain atau meliputi keseluruhan kepala.

Lebih kurang 80% pesakit juga akan merasa pening dan muntah. Muka juga mungkin kelihatan pucat dengan kaki dan tangan terasa sejuk.

Kebanyakan serangan boleh berlaku sehingga 4 jam dan untuk yang lebih teruk lagi sehingga 3 hari. Sesetengah pesakit mendapat serangan migrain selang beberapa hari dan ada juga yang jarang berlaku iaitu hanya beberapa kali dalam setahun.

Beza migrain dan sakit kepala yang lain.

Peringkat Postdrome

Peringkat ini berlaku selepas serangan sakit kepala. Antara gejalanya adalah:

  • Perasaan letih dan teruk
  • Rasa lebih segar atau gembira
  • Sakit otot atau lemah badan
  • Rasa lapar atau tiada selera makan

Punca-punca migrain

Tiada punca khusus untuk penyakit migrain tetapi ianya mungkin berkaitan dengan genetik dan fungsi dalam otak. Pesakit migrain selalunya mempunyai ahli keluarga dengan masalah yang sama dan selalunya pencetus migrain juga adalah sama.

Sebelum ini saintis berpendapat bahawa serangan migrain adalah disebabkan masalah aliran darah ke otak tatapi ianya bukanlah punca sebenar migrain. Kajian terbaru mendapati migrain mungkin mempunyai kaitan dengan sistem saraf yang terlebih aktif yang akan menyebabkan gangguan kepada saraf trigeminal yang mengawal perasaan sakit pada kepala dan muka.

Hal ini menyebabkan badan merembeskan neurotransmitter serotonin dan gene-related peptide (CGRP) yang boleh menyebabkan keradangan dan kesakitan pada sel saraf.

Faktor risiko migrain

Antara faktor risiko mendapat penyakit migrain termasuklah:

  • Jantina. Wanita mempunyai risiko tiga kali ganda lebih tinggi berbanding lelaki.
  • Umur. Kebanyakan yang mendapat migrain adalah mereka yang berumur antara 10 ke 40 tahun dan ramai wanita mendapati serangan migrain mula hilang selepas umur 50 tahun.
  • Sejarah keluarga. 4 daripada 5 pesakit migrain mempunyai ahli keluarga dengan masalah ini. Jika salah seorang ibu bapa mempunyai migrain, anaknya 50% berkemungkinan mendapat migrain dan jika kedua-dua ibu bapa mempunyai migrain risikonya meningkat kepada 75%.
  • Mempunyai penyakit lain. Kemurungan, keresahan, penyakit bipolar, gangguan tidur dan epilepsi boleh meningkatkan risiko.

Pencetus migrain

Antara pencetus migrain termasuklah:

  • Perubahan hormon seperti ketika mengandung atau haid
  • Stres – kerana akan berlaku perubahan hormon ketika stres
  • Sesetengah makanan seperti cheese, alkohol, dan penambah perisa makanan seperti MSG
  • Tidak makan
  • Kafein
  • Perubahan cuaca
  • Bunyi kuat atau cahaya terang
  • Ubat-ubatan seperti pengembang salur darah untuk penyakit darah tinggi
  • Aktiviti fizikal
  • Merokok
  • Perubahan tabiat tidur

Jenis-jenis migrain

Terdapat banyak jenis migrain tetapi dua yang utama adalah migrain dengan aura (atau migrain klasik) dan juga migrain tanpa aura (migrain biasa).

Migrain jenis lain termasuklah:

  • Migrain ketika haid
  • Migrain senyap, hanya terdapat aura tanpa sakit kepala
  • Migrain vestibular yang boleh menyebabkan masalah vertigo
  • Migrain abdomen yang akan menyebabkan sakit perut, pening dan muntah
  • Migrain hemiplegic yang boleh menyebabkan lumpuh atau lemah pada sebelah badan
  • Migrain oftalmik yang boleh menyebabkan hilang penglihatan
  • Migrain dengan aura pangkal otak di mana seseorang boleh menjadi keliru, gilang keseimbangan dan pening
  • Status migrainosus di mana serangan migrain berlaku sehingga 72 jam dengan kesakitan yang amat sangat
  • Migrain oftalmoplegik di mana terdapat kesakitan dan kelemahan pada otot sekitar mata

Pengesanan migrain

Doktor akan bertanya sejarah serangan dan gejala yang berlaku. Amat membantu jika pesakit membuat catatan, antara yang boleh ditulis termasuklah:

  • Apakah gejala yang berlaku ketika serangan termasuk kawasan terlibat
  • Berapa kerap
  • Berapa lama tempoh setiap serangan
  • Adakah ahli keluarga yang lain menghidap migrain
  • Jika ada mengambil sebarang ubat atau suplemen sebelum serangan

Antara ujian yang boleh dilakukan termasuklah:

  • Ujian darah
  • Ujian imbasan otak seperti MRI atau imbasan CT
  • Elektroenkefalogram (EEG)

Rawatan migrain

Tiada rawatan yang betul-betul boleh menyembuhkan migrain tetapi terdapat banyak ubat untuk mencegah dan mengurangkan serangan migrain.

Antara ubat tersebut termasuklah:

  • Ubat tahan sakit. Contohnya seperti acetaminophen (Panadol, Tylenol), aspirin, kafein, dan ibuprofen (Advil, Motrin, Nuprin). Aspirin tidak boleh diambil bagi mereka berumur 19 tahun ke bawah kerana boleh menyebabkan sindrom Reye. Walaubagaimanapun terdapat sesetengah ubat yang boleh menambahkan lagi serangan migrain bagi sesetengah individu. Sila berbincang dengan doktor anda.
  • Ubat muntah.
  • Ubat Triptan. Untuk menyeimbangkan semula kandungan bahan kimia dalam otak. Contohnya seperti almotriptan, eletriptan, sumatriptan, rizatriptan, dan zolmitriptan.
  • Ergotamine. Juga untuk mengawal bahan kimia dalam otak.
  • Lasmiditan. Mengurangkan kesakitan, muntah dan sensitif terhadap cahaya.
  • CGRP reseptor antagonis.
  • Rawatan pencegahan. Doktor juga boleh memberikan ubat lain untuk mencegah migrain jika ubat di atas tidak berkesan.
  • Single Pulse Transcranial Magnetic Stimulation (sTMS). Ianya merupakan alat yang diletakkan di bahagian belakang kepala apabila aura migrain berlaku. Alat ini akan menghantar denyutan magnetik ke bahagian otak untuk mengurangkan kesakitan.
  • Alat Neuromodulation: Alat ini akan memberikan isyarat kepada saraf vagus dan trigeminal untuk mengurangkan kesakitan dan mencegah migrain.
Alat Single Pulse Transcranial Magnetic Stimulation (sTMS)

Rawatan sendiri

Gejala migrain boleh dikurangkan dengan:

  • Berehat dalam bilik yang gelap dan senyap
  • Meletakkan ais atau kain tuam yang sejuk di bahagian dahi
  • Meminum banyak air

Rawatan alternatif

Rawatan alternatif boleh memberikan kelegaan tambahan selepas menerima rawatan daripada doktor. Antara rawatan yang boleh dicuba termasuklah:

  • Kaedah biofeedback untuk mengurangkan perasaan stres ketika serangan migrain
  • Rawatan terapi kognitif
  • Supplemen seperti vitamin, garam galian dan herba seperti koenzim Q10 dan melatonin
  • Rawatan lain seperti kiropraktik, urutan, rawatan tekanan, akupuntur, dan terapi kraniosakral mungkin boleh membantu

Bincang dengan doktor anda sebelum mencuba mana-mana rawatan alternatif.

Pencegahan migrain

Langkah berikut boleh membantu mencegah migrain:

  • Mengenalpasti dan mengelakkan pencetus migrain
  • Tulis diari untuk mengenalpasti pencetus migrain
  • Kawal stres dengan aktiviti seperti ibadah, meditasi dan yoga
  • Makan mengikut waktu
  • Minum banyak air
  • Rehat secukupnya
  • Melakukan senaman
  • Tanya doktor anda jika ada ubat yang sesuai untuk mencegah migrain jika aktiviti di atas tidak membantu
Alat Cefaly untuk mencegah migrain.

Terdapat juga beberapa alat untuk mencegah migrain seperti Cefaly yang berbentuk getah di kepala dan berfungsi menghantar denyutan elektrik ke bahagian dahi. Alat yang lain adalah seperti gammaCore yang juga menghantar denyutan elektrik ke bahagian saraf untuk mengurangkan kesakitan.

Print Friendly, PDF & Email
Langgan Newsletter Kami
Jom dapatkan notifikasi artikel-artikel terbaru kami terus ke email anda!
Laman web ini bertujuan untuk memberikan pengetahuan am sahaja dan tidak membuat sebarang nasihat perubatan individu. Jika anda mempunyai apa-apa simptom sila berjumpa doktor dengan kadar segera.