Pil Perancang Keluarga

Pil perancang keluarga digalakkan untuk wanita yang telah berkahwin, mempunyai anak, dan sudah menjalani pemeriksaan doktor.

Kaedah-kaedah pencegah kehamilan merupakan satu keperluan penting bagi merancang saiz dan masa yang tepat untuk mendapatkan anak. Ini adalah penting terutama bagi mereka yang baru bersalin atau mempunyai masalah kesihatan ketika mengandung untuk mengelak dari mengandung dalam masa terdekat.

Salah satu cara mencegah kehamilan adalah dengan pengambilan pil perancang keluarga kontraseptif. Pil perancang keluarga digalakkan untuk wanita yang telah berkahwin, mempunyai anak, dan sudah menjalani pemeriksaan doktor.

Selain itu, mereka yang mengambil pil perancang keluarga perlu berjumpa doktor selepas 6 bulan pertama dan setiap setahun selepas itu untuk pemeriksaan.

Waktu yang sesuai untuk mengambil pil merancang keluarga

Pil perancang keluarga sesuai diambil pada waktu berikut:

  • hari kelima haid
  • Ibu yang mengalami keguguran boleh mula memakan pil selepas mendapatkan nasihat doktor
  • Ibu yang menyusukan anak digalakkan untuk menggunakan cara mencegah kehamilan yang lain untuk mengelakkan gangguan kepada penyususan
  • Ibu yang tidak menyusukan anak boleh mula mengambil pil selepas empat minggu bersalin

Pil perancang keluarga bertindak dengan menghalang ovari daripada membebaskan telur setiap bulan, oleh itu menghalang persenyawaan (mengandung) daripada berlaku.

Sekiranya digunakan dengan tepat dan berkekalan, pil perancang keluarga mampu mencegah kehamilan sehingga 99.5% keberkesanan.

Hampir semua wanita boleh menggunakan pil perancang keluarga kecuali mereka yang mempunyai keadaan seperti berikut:

Cara penggunaan pil perancang keluarga

Setiap set mengandungi 21 pil. Cara pengambilan pil yang betul adalah:

  • Mengambil sebiji pil setiap hari pada masa yang sama selama 21 hari berturut-turut.
  • Mula mengambil pil pada hari kelima haid.
  • Berhenti untuk tempoh 7 hari sebelum mula dengan paket pil perancang keluarga yang baru.

Sekiranya terlupa

Sekiranya terlupa untuk memakan pil, makanlah pil apabila teringat tetapi tidak selepas 12 jam. Sekiranya anda terlupa memakan dua atau lebih pil, anda perlu mengambil langkah berikut:

  • Sekiranya terdapat pendarahan, berhenti mengambil pil dan mula dengan paket baru pada hari kelima haid.
  • Sekiranya tiada pendarahan, teruskan mengambil pil seperti biasa, tetapi anda perlu menggunakan kaedah pencegah kehamilan yang lain sebagai langkah berjaga-jaga.

Terdapat dua jenis pil perancang keluarga yang berada di pasaran iaitu:

  • Pil yang yang mengandungi hormon-hormon estrogen dan progestin.
  • Pil yang mengandungi hanya hormon progestin.

Pil yang yang mengandungi gabungan hormon-hormon estrogen dan progestin

Pil kontraseptif dalam bentuk gabungan hormon yang diambil secara oral ini dikatakan dapat mencegah penyakit inflamasi pelvik dan kanser ovari serta endometrial. Pil kontraseptif ini selamat bagi kebanyakan wanita kecuali mereka yang merokok atau mempunyai sejarah keluarga yang berpenyakit jantung.

Pil kontraseptif ini juga tidak sesuai untuk wanita-wanita yang mempunyai sejarah penyakit kanser payu dara atau endometrial dan darah beku.

Antara kesan sampingan pil kontraseptif yang boleh dilihat ialah mual, sakit kepala, peningkatan berat badan, sakit pada bahagian payu dara, pendarahan antara haid, dan masalah tekanan. Kesan sampingan ini hanyalah sementara. Dapatkan nasihat doktor sekiranya ia berkekalan atau anda berasa bimbang tengang kesan sampingannya.

Pil yang mengandungi hanya hormon progestin

Pil kontraseptif yang hanya mempunyai hormon progestin sesuai untuk wanita yang menyusukan anak serta mereka yang tidak boleh mengambil hormon estrogen disebabkan sakit kepala atau darah tinggi akibat estrogen.

Pil yang hanya mengandungi progestin akan menyebabkan perubahan haid, peningkatan berat badan dan sakit pada bahagian payu dara. Kesan sampingan ini hanyalah sementara. Dapatkan nasihat doktor sekiranya ia berkekalan atau anda berasa bimbang tentang kesan sampingannya. Dianggarkan hanya 0.5 peratus (1 dalam 200) wanita akan hamil jika pil diambil secara konsisten dan betul.

Penggunaan pil perancang dengan betul dapat memastikan anda dapat merancang keluarga anda dengan betul. Penggunaan pil perancang mempunyai kadar 99.5% kejayaan.

Jenis pil perancang dan kelebihannya

JenisKelebihan
YASMINBerat badan tidak naik
Mencantikkan wajah
Kurang kesan sampingan
DIANE-35Menstabilkan haid dan hormon
Rawatan untuk jerawat
Berat badan tidak naik
NORIDAYTidak mengurangkan susu ibu
Sesuai untuk ibu menyusu badan
MARVELONKitaran haid menjadi lebih teratur
Mengurangkan kesakitan dan kehilangan darah ketika haid
REGIVIDONMengelakkan kehamilan apabila diambil dalam masa 72 jam selepas melakukan hubungan seks tanpa perlindungan
POSTINORPIL KECEMASAN.
Ketika terlupa atau tiada pil perancang untuk mengelakkan mengandung
DEPO-PROVERATidak perlu makan pil
Tidak perlu risau tentang mengandung walaupun tidak memakan pil
IMPLANONKaedah merancang menggunakan implan
Tidak perlu makan pil atau mengambil suntikan perancang selama 3 tahun

Kelemahan penggunaan pil perancang adalah:

  • Tidak sesuai dengan sesetengah wanita yang mempunyai masalah alahan atau penyakit.
  • Kadang-kala terdapat gangguan pada kitaran haid.
  • Tidak berkesan sekiranya terlupa memakan pil perancang setiap hari.

Bagi wanita yang ingin mengandung, mereka hanya perlu berhenti mengambil pil dan mereka akan subur seperti sediakala.

Kesan lain pengambilan pil perancang keluarga 

Pada masa kini, tiada kajian yang diketahui dapat membuktikan kesan buruk pengambilan pil perancang keluarga seperti kanser. Bagaimanapun pil perancang keluarga telah terbukti berkesan untuk:

  • Mencegah masalah kekurangan zat besi dan anaemia
  • Mencegah ketumbuhan cysts dalam ovari
  • Mencegah masalah radang pelviks

Bagi wanita yang tidak sesuai menggunakan pil perancang, masih terdapat cara-cara lain bagi mengelakkan kehamilan yang tidak dirancang. Anda perlu berbincang dengan doktor agar dapat memastikan kaedah yang digunakan bersesuaian dengan diri anda.

Print Friendly, PDF & Email
Staf Editorial
Laman web ini bertujuan untuk memberikan pengetahuan am sahaja dan tidak membuat sebarang nasihat perubatan individu. Jika anda mempunyai apa-apa simptom sila berjumpa doktor dengan kadar segera.