Kanser merupakan antara kumpulan penyakit yang terjadi daripada tindakan sel yang bertindak di luar tabiat asalnya. Tahukah anda bahawa setiap organ pada tubuh badan kita terbentuk daripada pelbagai jenis sel?
Pada kelumrahan serta sifat sedia asalnya, sel-sel ini akan membuat pembahagian dengan kadar yang terkawal serta dihasilkan mengikut keperluan tubuh seseorang individu.
Apabila kadar penghasilan sel melebihi keperluan, ianya akan menghasilkan lebihan tisu. Lebihan tisu ini jugalah yang dikenali sebagai ketumbuhan. Ketumbuhan ini boleh dibahagikan kepada dua jenis ketumbuhan iaitu benign (tumor bukan kanser) dan malignan (tumor jenis kanser).
Jenis ketumbuhan yang pertama iaitu benign adalah merupakan ketumbuhan yang tidak membahayakan nyawa para penghidapnya. Hampir 80 peratus daripada para penghidap ketumbuhan payudara adalah dari kalangan mereka yang mengalami ketumbuhan jenis ini.
Kanser payudara adalah merupakan ketumbuhan malignan yang terjadi daripada tindakan sel yang bermula dari bahagian payudara. Ianya berkembang melalui proses pembahagian yang melebihi kadar keperluan organ serta seterusnya menyerang organ serta tisu-tisu yang berhampiran.
Sel-sel kanser ini juga mampu untuk membebaskan dirinya daripada ketumbuhan asal sekaligus memasuki saluran darah serta sistem limfatik. Inilah juga cara serta kaedah penyakit kanser payudara menyerang bahagian-bahagian organ lain para penghidapnya. Proses penjangkitan ini juga dikenali sebagai metastasis.
Faktor risiko
Setakat ini, bagaimana kanser payudara boleh timbul belum diketahui lagi. Penyelidik-penyelidik telah membuat kesimpulan bahawa punca utama menyebabkan penyakit kanser adalah gandingan faktor keturunan (faktor genetik) dan persekitaran (faktor alam sekeliling).
Apa yang kita tahu hanyalah faktor risiko. Faktor risiko merupakan suatu perkara yang akan menentukan risiko seseorang terhadap sesuatu penyakit. Contohnya, merokok adalah faktor risiko kanser paru-paru atau penyakit lemah jantung.
Risiko seorang individu terhadap sesuatu penyakit tidak mudah ditentukan kerana pengaruh faktor-faktor risiko berbeza. Seorang wanita seharusnya mengetahui dan memahami apakah faktor-faktor yang akan mempengaruhi risikonya terhadap kanser payudara.
Berikut adalah faktor-faktor yang telah dikenal pasti :
Jantina
Kanser payudara adalah khususnya penyakit wanita (95% daripada kes kanser payudara adalah di kalangan kaum wanita)
Umur
Semakin usia meningkat semakin tinggi risiko. Wanita yang berumur kurang daripada 25 tahun jarang sekali menghidapi kanser payudara
Perbezaan geografi
Kawasan kediaman memainkan peranan. Kanser payudara lebih didapati di negeri barat jika dibandingkan dengan negara Asia atau Afrika
Riwayat kanser payudara
Sekiranya anda pernah menghidapi kanser payudara, risiko ianya akan berulang meningkat 4 kali ganda
Riwayat keluarga dan faktor genetik
Sekiranya seorang wanita mempunyai ibu atau adik beradik perempuan (waris perempuan terdekat) yang pernah menghidapi kanser payudara pada usia yang agak muda, risiko ia akan menghidapi kanser payudara akan meningkat 2 kali ganda dan risiko ini akan meningkat 4 kali ganda sekiranya 2 atau lebih waris terdekat menghidapi kanser payudara.
Untuk lelaki, risiko meningkat sekiranya, bapa, adik beradik lelaki atau anak lelakinya menghidapi kanser payudara. Saudara mara seorang lelaki yang menghidapi kanser payudara mempunyai risiko tinggi. Ada laporan yang mengatakan 60% lelaki penghidap kanser payudara mempunyai saudara wanita yang menghidapi kanser payudara. Usia mereka ketika menghidapi kanser penting diketahui.
Hanya 5-10% wanita yang menghidapi kanser payudara mempunyai faktor-faktor genetik. Pada tahun 1990 gen BRCA1 ditemui dan diikuti berapa tahun kemudian dengan gen BRCA2. Sekiranya salah satu gen tersebut didapati, risiko akan meningkat sebanyak 85%
Gen BRCA1 mempunyai kaitan dengan kanser ovari. Gen ini bukan suatu gen yang berlebihan tetapi merupakan suatu gen yang berubah mengakibat munculnya kanser payudara. Wanita yang ada gen BRCA1 mempunyai riwayat keluarga di mana beberapa generasi menghidapi kanser pada usia yang muda dan kanser didapati pada kedua-dua payudara.
Walaubagaimanapun, terdapat wanita yang ada gen BRCA1 di mana saudaranya tidak menghidapi kanser payudara.
Sindrom Li-Frameni adalah sejenis kanser payudara yang jarang berlaku dan dikaitkan dengan gen p53. Kanser pada pesakit-pesakit ini dikaitkan dengan ketumbuhan tisu lembut, tulang, otak dan kelenjar adrenal.
Adanya sejarah penyakit payudara
Ini meliputi semua keadaan di mana terdapat sel-sel abnormal. Wanita di mana sel-sel agak abnormal iaitu hiperplasia atypical mempunyai kadar risiko 4 kali ganda menghidapi kanser payudara. Begitu juga dengan penyakit fibrosistik atau penyakit proliferatif.
Sejarah haid
Sekiranya seorang wanita baligh pada usia sebelum 12 tahun atau putus haid selepas 55 tahun, risiko ia menghidapi kanser meningkat 2 atau 3 kali ganda. Ini berkaitan dengan fasa kesuburan dan pendedahan terhadap pengaruh hormon oestrogen.
Jumlah anak
Seorang wanita yang tidak mempunyai anak atau tidak pernah hamil selepas umurnya 30 tahun mempunyai risiko tinggi menghidapi kanser payudara. Ini mungkin ada kaitan dengan pusingan haid yang tidak terganggu.
Pendedahan radiasi
Pendedahan radiasi seperti sinar-X semasa usia atau sebelum usia 30 tahun boleh meningkatkan risiko terhadap kanser payudara tetapi pendedahan seperti ini jarang sekali berlaku
Pendedahan kepada letupan bom atom boleh meningkatkan risiko sebanyak 3 kali ganda. Risiko radiasi diperolehi daripada data pendedahan tinggi seperti mangsa letupan bom atom, pelombong uranium, mangsa pendedahan gas radon, pesakit tuberkulosis yang pernah mengalami floroskopi ulangan (satu cara pemeriksaan yang tidak dilakukan lagi) dan pesakit yand didedahkan radiasi untuk rawatan penyakit mastitis dan penyakit Hodgkins.
Dos yang didapati merangkumi 250mGy – 20Gy (25 sehingga 2000rads). Dos seperti ini tidak digunakan semasa pemeriksaan diagnostik.
Status sosioekonomi
Status sosioekonomi tinggi akan meningkatkan risiko kanser payudara. Ini berkaitan dengan usia semasa baligh, usia semasa putus haid, usia ketika hamil anak pertama dan juga pemakanan.
Pemakanan
Pemakanan telah dikatakan mempengaruhi kadar kanser di antara negara-negara. Walaubagaimanapun kajian telah menunjukkan bahawa kaitan antara kadar kanser payu dara dan pemakanan adalah lemah atau tidak secara langsung. Pengambilan minuman beralkohol telah membuktikan peningkatan risiko 1.4 sehingga 2.0 kali ganda.
Saiz tubuh
Wanita yang gemuk selepas putus haid mempunyai risiko yang meningkat. Ini adalah kerana lemak mengandungi oestrogen dan pada wanita seperti ini paras oestrogen lebih tinggi.
Pil perancang dan terapi hormon gantian (THG)
Pengambilan pil perancang pada jangka masa yang lama dikaitkan dengan peningkatan risiko dalam lingkungan 1.2 kali. Rawatan hormon gantian (THG) dalam bentuk campuran oestrogen dan progestogen sering diberikan. Dos oestrogen yang diberikan adalah rendah dan risiko kanser akan meningkat 1.8 kali hanya selepas penggunaan selama 5 tahun. Selepas 5 tahun risiko meningkat 2.6 kali.
Keputusan untuk menerima rawatan THG bergantung kepada berapa faktor. Data mengenai manafaat terhadap penyakit kardiovaskular dan penyakit osteoporosis makin menggalakkan.THG juga bermanfaat kepada wanita yang mempunyai gejala gejala putus haid seperti ‘hot flush’ dan perubahan perasaan.
Kanser payudara yang dikaitkan dengan THG didapati mudah dirawati dan kurang merebak. Ini mungkin kerana wanita-wanita ini lebih sering melakukan mamogram dan kanser dikesan lebih awal. Walaubagaimanapun implikasi risiko dan faedah penggunaan THG perlu dikaji dengan teliti.
Penggunaan THG dipertimbangkan apabila faedah mengambilnya adalah melebihi risikonya.
Penyusuan
Kajian telah menunjukkan bahawa tidak ada kaitan antara penyusuan dan kanser payudara. Penyusuan tidak memberikan apa perlindungan. Kajian Carolina Breast Center pada tahun 1999 telah menunjukkan bahawa penyusuan merendahkan sedikit risiko terhadap kanser payudara di kalangan wanita yang boleh hamil (child bearing).
Kajian ini juga memperingatkan wanita jangan melakukan penyusuan hanya sebagai perlindungan untuk kanser payudara. Penyusuan harus dilakukan kerana manfaat kepada kedua dua ibu dan bayi.
Tanda dan gejala
Bagi ramai wanita, kanser payudara dikesan sebagai satu ketumbuhan yang tidak sakit. Walaubagaimanapun, terdapat tanda-tanda yang lain yang harus diketahui.
Untuk mereka yang dikesan pada tahap yang awal sekali, iaitu daripada pemeriksaan mammogram, tiada tanda ataupun simptom payudara.
Payudara
- Perubahan saiz dan rupa
- Lekuk pada kulit
- Ketulan atau penebalan
Puting
- Puting berdarah (jarang berlaku)
- Ruam di puting dan di persekitaran kulit (jarang berlaku)
- Puting tertarik ke dalam
- Ketulan atau penebalan terutama jika terdapat juga cecair keluar daripada puting
- Penghasilan cecair daripada puting adalah biasa dan selalunya akibat masaalah payudara yang tidak mudarat. Keadaan boleh membimbangkan sekiranya puting berdarah.
- Penyakit Paget di payudara ada kaitan dengan kanser payudara
- Ruam di puting atau sekitaran puting boleh akibat daripada eczema. Sila jumpa doktor anda untuk mendapat kepastian
- Puting tertarik kedalam adalah satu keadaan normal dan semula jadi pada setengah wanita. Walaubagaimanapun sekira keadaan ini baru berlaku dan tanpa sebab, anda harus berjumpa doktor anda.
Lengan
- Ketulan atau bengkak di atau sekitar ketiak rasa Sakit
- Kesakitan di payudara atau mastalgia perlu diberi tumpuan khas kerana kesakitan adalah sebab utama wanita melakukan pemeriksaan sendiri payudara, menjadi cemas dan berjumpa dengan doktornya.
- Walaubagaimanapun, kesakitan dalam payudara selalunya bukanlah gejala kanser payudara. Ramai wanita merasakan payudaranya berketul dan sakit sebelum haid. Sakit juga biasanya disebabkan oleh perubahan fibrosistik yang tidak mudarat.
Kelainan Dalam Perkembangan Payudara dan Perubahan Mengikut Usia
Perbincangan mengenai gejala dan tanda-tanda kanser payudara tidak akan lengkap tanpa menyentuh mengenai penyakit-penyakit payudara yang lain yang tidak mudarat. Semasa penyiasatan kanser payudara, penyakit-penyakit tersebut mungkin dijumpai.
Disepanjang hayat, seorang wanita akan mengalami berbagai perubahan pada payudara. Ini termasuk perubahan semasa haid dan juga timbulnya berapa jenis ketulan yang tidak mudarat.
Apabila proses perkembangan dan perubahan ini menjadi berlebihan atau lebih ketara, barulah ianya dikatakan penyakit dan anda akan merasai gejalanya. Apa yang penting ialah kebanyakannya bukanlah kanser. Dianggarkan 80-90% ketulan payudara yang memerlukan biopsi bukanlah disebabkan oleh kanser.
Semasa umur antara 15-25 tahun, ketumbuhan seperti fibroadenoma boleh didapati akibat pengaruh hormon kepada berbagai tisu dalam payudara. Keadaan ini boleh mengkibatkan timbul lebih daripada satu ketumbuhan atau sesuatu ketumbuhan itu boleh mencapai saiz yang besar. Kedua-dua payudara juga boleh membesar lebih daripada normal (hipertropi remaja).
Semasa umur antara 25-40 tahun, terdapat pula pengaruh hormon yang berlebihan sehingga mengakibatkan kesakitan berkala semasa pusingan haid, dan timbul ketulan-ketulan yang mungkin dapat dirasa dengan jelas dan terasing.
Semasa umur antara 35-55 tahun, mungkin akan terjadi sista (cyst), pelebaran saluran susu, perubahan fibrosis di sekitar saluran susu dan juga inflamasi. Sel-sel dalam tisu payudara juga boleh mengalami perubahan sama ada ianya akan bertambah berlipat ganda atau menimbulkan sel-sel yang atipikal atau luar biasa.
Peringkat Serta Tahap Kanser Payudara
Sehinggalah waktunya pencegahan kanser payudara ditemui, usaha menangani penyakit tersebut adalah terletak kepada keupayaan untuk mengesannya pada peringkat terawal serta mendapat rawatan penyakit tersebut.
Tahap-tahap kanser selalunya merujuk kepada keadaan kanser payudara selepas penyiasatan, yang selalunya termasuk siasat bedah ataupun biopsi. (Biopsi adalah suatu penyiasatan di mana sedikit tisu payudara akan diambil untuk kajian makmal). Kelenjar limfa di ketiak juga diperiksa untuk mengenal pasti adakah kanser telah merebak ke limfa (lymph nodes).
Tetapi, tahap hanyalah satu daripada ciri-ciri kanser yang perlu diketahui. Jenis sel-sel kanser(cell type) juga penting apabila jenis rawatan perlu dipertimbangkan.
Tahap serta peringkat penghidapan penyakit ini boleh dibahagikan kepada empat tahap.
Tahap 1
Ini adalah tahap terawal penghidapan penyakit kanser payudara. Pada peringkat ini, ketumbuhan kanser adalah dalam ukuran sebesar 2 cm ataupun kurang daripadanya. Dalam tahap ini, sasaran serangannya adalah terhad kepada bahagian payudara sahaja.
Tahap 2
Pada tahap serta peringkat yang kedua ini, ukuran ketumbuhan kanser payudara akan meningkat diantara 2 cm hingga 5 cm. Selain daripada bahagian payudara, ia turut menjadikan nodus limfa (yang terdapat pada bahagian bawah ketiak) sebagai sasaran serangannya.
Tahap 3
Saiz ketulan kanser payudara berukuran 5 cm. Pada peringkat ini, kanser payudara sudah melibatkan nodus limfa ketiak, kulit ataupun otot yang terdapat di bawahnya (otot bahagian dada).
Tahap 4
Pada peringkat serta tahap ini, serangan kanser ini akan menjalar kepada bahagian serta organ-organ yang terletak agak jauh daripada bahagian payudara. Antara bahagian yang menjadi sasaran serangan kanser payudara pada peringkat ini ialah nodus limfa pada leher, paru-paru, hepar ataupun tetulang penghidapnya.
Kadar kesinambungan hayat (prognosis) para pesakit kelazimannya berkait rapat dengan tahap penghidapan penyakit tersebut pada masa diagnosa dibuat.
Keadaan yang bebas daripada kanser selama 5 tahun adalah dianggap sudah sembuh daripada kanser payudara. Ini adalah 80% di tahap 1, 50-75% di tahap 2, 30-40% di tahap 3 dan kurang daripada 10% di tahap 4.
Tulis Komen