Penyakit Sindrom Down – Punca, Tanda & Rawatan

Penyakit Sindrom Down adalah keadaan di mana seseorang mempunyai kromosom tambahan pada kromosom ke-21 yang dikenali juga sebagai Trisomi 21.

Sindrom Down adalah keadaan di mana seseorang mempunyai kromosom tambahan. Kromosom merupakan sekumpulan gen dalam badan kita.

Kromosomlah yang menentukan cara pertumbuhan janin ketika di dalam kandungan dan bagaimana fizikal dan mental seseorang itu akan terbentuk apabila dilahirkan kelak.

Punca Sindrom Down

Selalunya setiap bayi mempunyai 46 kromosom tetapi bagi penghidap Sindrom Down mereka mempunyai satu kromosom tambahan di kromosom ke-21 yang dipanggil sebagai Trisomi, sebab itu Sindrom Down juga dikenali sebagai Trisomi 21.

Kromosom tambahan inilah yang memberikan ciri-ciri istimewa kepada pertumbuhan dan tingkahlaku penghidap Sindrom Down.

Sindrom Down terbahagi kepada tiga jenis iaitu Trisomi, Translocation dan Mosaic. Tidak kira jenis apa, kanak-kanak Sindrom Down boleh dikenali melalui wajah mereka yang hampir sama.

Sindrom Down tidak boleh diubati. Ia terjadi kerana keadaan DNA yang berbeza. Dianggarkan Sindrom Down terjadi pada kadar satu bagi setiap 650 kelahiran. Perkembangan mental dan fizikal kanak-kanak Sindrom Down lebih lambat berbanding kanak-kanak biasa.

IQ kanak-kanak sindrom Down dikelaskan kepada ringan (IQ 50-69), sederhana (IQ 35-50), dan teruk (IQ 20-35). Kanak-kanak Sindrom Down perlu pendidikan khas seawal mungkin agar dapat membantu mereka berdikari.

Faktor risiko

Antara faktor risiko mendapat sindrom Down termasuklah:

  • Ibu yang melahirkan bayi selepas umur 35 tahun berisiko lebih tinggi mendapat anak Sindrom Down.
  • Kadar risiko kejadian berulang bagi yang pernah mendapat anak Sindrom Down ialah 1%.

Tanda dan gejala

Ciri-ciri fizikal kanak-kanak Sindrom Down:

  • Hidung kemek
  • Lidah tebal dan kerap terjelir
  • Tapak tangan lebar
  • Tapak tangan ada hanya satu lipatan
  • Jari kelengkeng tangan melengkung
  • Jarak ibu jari kaki dengan jari kedua, lebar
  • Leher pendek dan besar
  • Kelopak mata berlipat-lipat
  • Sendi longgar
  • Otot lembik
Ciri-ciri sindrom Down

Komplikasi

Masalah kesihatan yang selalu dihidapi kanak-kanak Sindrom Down:

  • Sakit jantung berlubang
  • Mudah mendapat selesema, radang tenggorok, radang paru-paru
  • Kurang pendengaran
  • Lambat atau bermasalah bertutur
  • Penglihatan kurang jelas

Tips penjagaan

Suasana membesarkan kanak-kanak Sindrom Down:

  • Suasana persekitaran penting, membantu pembesaran kanak-kanak Sindrom Down. Ketenangan dan kemesraan penjaga dapat merangsang penerimaan pembelajaran lebih cepat.
  • Alat permainan perlu sesuai teknik pengajaran. Ia perlu ditambah untuk mengelak kebosanan mereka.
  • Kanak-kanak Sindrom Down perlu berasa selamat, disayangi dan diterima keluarga serta masyarakat. Ini membantu membentuk imej diri positif dan mendorong mereka belajar.
  • Disiplin perlu diterap pada usia awal. Nyatakan had tingkah laku yang dibenar dan tidak dibenarkan.
  • Perlu beri pujian kepada setiap kecemerlangan dicapai.
Bayi dengan sindrom Down

Pemulihan

Antara terapi yang boleh diberikan termasuklah:

  • Program intervensi awal
  • Terapi carakerja
  • Terapi pertuturan
  • Pendidikan khas
  • Latihan kemahiran khas

Tujuan rawatan pemulihan ialah bagi membantu kanak-kanak tersebut mencapai keupayaan dan perkembangan maksima serta mampu berdikari. Program pemulihan boleh didapati di Pusat Pemulihan Dalam Komuniti (PDK) atau di pusat-pusat anjuran pertubuhan sukarela bukan kerajaan.

Maklumat lanjut boleh didapati dari pusat sumber tempatan seperti: hospital (klinik kanak-kanak), klinik kesihatan, Pejabat Kebajikan Masyarakat atau Pejabat Pendidikan (Unit Pendidikan Khas).

Kanak-kanak ini perlu didaftarkan seawal mungkin di Jabatan Kebajikan Masyarakat dan Jabatan Pendidikan. Ini bagi memudahkan ia mendapat jagaan kesihatan, kebajikan dan penempatan di sekolah-sekolah khas supaya mereka mendapat pendidikan yang sempurna.

Doktor yang merawat perlu mengisi borang-borang tertentu untuk memudahkan merancang program intervensi awal.

Kanak-kanak yang berdaftar dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat layak untuk mendapat beberapa keistimewaan rawatan kesihatan dari klinik atau hospital kerajaan.

Program pemulihan di Kiwanis Down Syndrome Foundation

Rawatan pertuturan

Kebanyakan kanak-kanak Sindrom Down lambat bertutur. Mereka wajar dibantu pada usia awal.

Antara langkah perlu diambil:

  • Adakan kegiatan atau permainan bahasa yang dapat menarik perhatian mereka. 
  • Cuba dapatkan perhatian sebelum bercakap dengan mereka.
  • Jangan terlalu banyak bertanya. Tunggu tindak-balas mereka dan beri mereka peluang menjawab. 
  • Guna ayat pendek dan bahasa mudah difahami. 
  • Sambil bertutur, buat aksi atau lakonan.
  • Latihan berterusan.
  • Pilih masa sesuai, terutama ketika mereka masih segar dan aktif.
  • Tumpu kepada satu perkara. Beri masa, peluang dan latihan sebelum beralih kepada latihan baru.
  • Guna setiap peluang, berinteraksi dengan mereka.
  • Selalu beri tindak-balas kepada setiap percakapan mereka.

Terapi permainan

Tips kepada ibu bapa:

  • Cara terbaik kanak-kanak Sindrom Down mempelajari perkara baru, melalui boneka.
  • Pilih alat permainan sesuai tahap perkembangan kanak-kanak.
  • Sedia bahan sampingan untuk permainan khayalan.
  • Jangan terlalu memaksa mereka melakukan sesuatu.
  • Boneka pilihan atau kesayangan, dapat dijadikan pendorong.
  • Apabila kanak-kanak Sindrom Down boleh bermain dengan alat permainan mudah, mereka boleh dibiarkan bermain sendirian.
  • Jangan biar kanak-kanak Sindrom Down bersendirian. Mereka perlu bergaul, memberi dan menerima tindak-balas daripada rakan.

Kepentingan permainan

Permainan penting membantu pembesaran setiap kanak-kanak.

Ia membantu pemahaman mereka mengenai kehidupan. Melalui permainan juga, kanak-kanak Sindrom Down menjadi cerdik dan berkeupayaan memahami hubung kait, sebab dan akibat.

Permainan selidik dan jelajah

  • Tertarik kepada semua benda.
  • Mengutip dan membelek objek.
  • Menggigit, membaling dan menggosok objek pada permukaan lantai, untuk mendapatkan tindakbalas.
  • Merangkak dan bertatih serta berminat membuka almari, laci, bakul atau kotak.

Permainan membina dan kognitif

  • Misalnya, mencantum gambar berdasarkan corak, bentuk atau warna.

Permainan sosial

  • Ketawa apabila digeletek.
  • Bermain sembunyi-sembunyi.

Permainan khayalan

  • Berpura-pura menjadi orang lain dalam suasana berbeza.
  • Bermain masak-masak.

Permainan merangsang pergerakan otot

  • Berlari, melompat, memanjat, menari dan mengayuh basikal.

Permainan bahasa

  • Meniru gaya cakap.
  • Menyanyi.
UmurPermainan
0 – 6 bulanLoceng, alat permainan bergerak, tangan sendiri atau alat permainan yang boleh dipegang dan digigit
6 – 12 bulanAlat permainan berbunyi dan boleh ditarik sertapermainan cantum bina 
12 – 18 bulanKotak boleh disusun tinggi, kepingan kadbod bercorak, bol, ai, buku bergambar
18 bulanKotak, kepingan kadbod bercorak, permainan cantum 2 tahun bina, buku bergambar, boneka
Cadangan alat permainan kanak-kanak Sindrom Down mengikut umur

Cadangan kepada ibu bapa 

Jangan berasa sedih jika dikurniakan anak Sindrom Down. Ibu bapa perlu tabah dan atasi perasaan itu dengan menyayangi, membimbing dan mengajar mereka seperti anak normal.

Ibu bapa perlu membuat rujukan doktor, sekiranya mendapati anak mereka Sindrom Down. Dapatkan maklumat mengenainya, dengan menghubungi pusat Sindrom Down. Jadi ahli persatuan Sindrom Down, cara itu anda dapat bertukar pengalaman dan berkongsi maklumat demi kebaikan anak.

Kumpulan Sokongan

Terdapat banyak kumpulan sokongan di seluruh dunia. Maklumat lanjut boleh didapati dari internet. Contohnya:

  1. Kiwanis Down Syndrome Foundation
    Alamat : KDSF-National Centre
    Lot 13490 Jalan Jenjarum, off Jalan SS23/1,
    Taman SEA, 47400 Petaling Jaya
    Tel: 03-78030179
    Fax: 03-78064862
    Website : www.kdsf.org.my
    E-mail : admin@kdsf.org.my info@kdsf.org.my
  2. Persatuan Sindrom Down Malaysia
    Alamat : 79 Lingkungan U-Thant,
    55000 Kuala Lumpur
    Tel : 03-42579818
    Website : https://www.facebook.com/PersatuanSindromDownMalaysia/
    E-mail : rumahpsdm@yahoo.com

Rumusan

Infografik Sindrom Down

Print Friendly, PDF & Email
Langgan Newsletter Kami
Jom dapatkan notifikasi artikel-artikel terbaru kami terus ke email anda!
Laman web ini bertujuan untuk memberikan pengetahuan am sahaja dan tidak membuat sebarang nasihat perubatan individu. Jika anda mempunyai apa-apa simptom sila berjumpa doktor dengan kadar segera.