Bakteria Vaginosis – Punca, Tanda & Rawatan

Bakteria vaginosis adalah di antara jangkitan kuman pada faraj yang kerap terjadi di kalangan wanita terutamanya pada usia subur.

Bakteria vaginosis adalah di antara jangkitan kuman pada faraj yang kerap terjadi di kalangan wanita terutamanya pada usia subur. Kesihatan faraj wanita selalunya dikawal oleh kehadiran bakteria baik (normal flora) yang boleh membantu mencegah pembiakan bakteria jahat.

Sekiranya kehadiran bakteria baik menjadi kurang, bakteria jahat akan semakin membiak dan menggalakkan kewujudan bakteria yang lebih bahaya, ini termasuklah bakteria vaginosis.

Jangkitan Vaginosis biasanya hilang dengan sendiri tanpa sebarang rawatan tetapi jangkitan yang kerap boleh membawa kepada masalah yang lebih teruk.

Faktor risiko

Bakteria vaginosis bukanlah penyakit kelamin. Bakteria vaginosis boleh terjadi dengan sendiri tetapi terdapat faktor-faktor yang menyebabkan anda lebih cenderung untuk mendapat jangkitan ini. Anda lebih berisiko sekiranya anda:

  • Melakukan douching atau membilas ruang faraj dengan kerap
  • Memakai pantiliner
  • Membasuh faraj dari belakang ke depan
  • Memakai seluar yang ketat seperti jeans
  • Memakai seluar dalam tebal menyebabkan vagina kurang pengudaraan
  • Mempunyai pasangan seks lebih dari satu
  • Sekiranya anda merokok dan meminum alkohol
  • Memakai alat intrauterin (IUD) sebagai alat perancang keluarga

Bakteria vaginosis tidak berjangkit melalui sentuhan atau perkongsian kolam.

Tanda dan gejala

Gejala yang paling biasa ialah keputihan yang berbau hanyir. Ia kadang-kadang gatal dan mungkin sedikit kekuningan apabila melekat pada seluar dalam anda. Bau mungkin menjadi lebih teruk semasa atau selepas hubungan seks dan suami anda mungkin akan mengadu tentang kehadiran bau tersebut.

Kebanyakan wanita tidak sedar akan bau tersebut dan mungkin mereka tiada gejala langsung. Gejala keputihan juga boleh berpunca dari jangkitan kuman kelamin yang lain, jadi pastikan anda berjumpa doktor untuk memastikan rawatan yang sesuai.

Selain itu penghidap boleh juga mendapat kegatalan dan sakit di bahagian pelvik serta demam.

Keputihan dilihat ketika pemeriksaan spekulum

Pengesanan

Berdasarkan simptom dan gejala, doktor akan membuat pemeriksaan faraj menggunakan spekulum dan mungkin mengambil sampel keputihan atau tisu dari faraj untuk diuji di makmal.

Ujian Whiff boleh dijalankan di mana cecair keputihan akan dicampur dengan potassium hydroxide (KOH) yang akan menghasilkan bau hanyir.

Pemeriksaan menggunakan alat spekulum

Komplikasi

Selalunya jangkitan vaginosis adalah ringan dan tidak memberikan kesan yang mendalam terhadap pesakit, tetapi ia boleh memberikan kesan serius sekiranya:

  • Anda hamil kerana ia boleh memberikan risiko keguguran dan kelahiran pramatang
  • Semasa pantang, anda mempunyai lebih risiko untuk mendapat jangkitan rahim, demam dan pendarahan faraj
  • Anda lebih cenderung untuk mendapat jangkitan pada pelvis selepas pembedahan cesarean atau prosedur D&C (dilation & curettage)

Rawatan

Doktor akan menyarankan penggunaan antibiotik seperti metronidazole untuk membunuh kuman ini. Ia mungkin dalam bentuk pil makan atau tablet yang dimasukkan ke dalam faraj.

Rawatan mungkin mengambil masa 5 hingga 14 hari, bergantung kepada tahap keterukan jangkitan anda.

Jangan berhenti memakan antibiotik ini walaupun anda rasa sudah pun sembuh dari jangkitan ini. Sekiranya anda berhenti, jangkitan mungkin akan berulang dengan lebih cepat dan ia mungkin lebih sukar untuk dirawat.

Print Friendly, PDF & Email
Langgan Newsletter Kami
Jom dapatkan notifikasi artikel-artikel terbaru kami terus ke email anda!
Laman web ini bertujuan untuk memberikan pengetahuan am sahaja dan tidak membuat sebarang nasihat perubatan individu. Jika anda mempunyai apa-apa simptom sila berjumpa doktor dengan kadar segera.