Fakta Penyakit TB atau Batuk Kering

Dianggarkan pada tahun 2018, lebih kurang 10 juta orang di seluruh dunia menghidap penyakit TB dan 1.5 juta orang meninggal dunia akibat penyakit ini.

Penyakit TB atau batuk kering merupakan penyakit berjangkit yang selalunya menyerang paru-paru, namun ianya juga boleh menyerang organ-organ badan yang lain. Penyakit TB boleh berjangkit apabila bakteria tersebar melalui titisan-titisan dalam udara. Walaupun TB boleh membunuh, namun ianya boleh dicegah dan dirawat.

Pada masa dahulu penyakit TB menjadi antara punca kematian tertinggi di seluruh dunia. Namun dengan kemajuan dari segi gaya hidup dan perubatan, terutamanya dengan penemuan ubat antibiotik, kes-kes TB semakin berkurang dan kematian akibat TB juga menurun dengan mendadak.

Walaubagaimanapun pada tahun 1980, Pertubuhan Kesihatan Sedunia mendapati kes-kes TB semakin meningkat semula dan terdapat negara yang masih lagi dalam endemik penyakit TB. Dianggarkan pada tahun 2018, lebih kurang 10 juta orang di seluruh dunia menghidap penyakit TB dan 1.5 juta orang meninggal dunia akibat penyakit ini. Lebih 251,000 dari mereka yang meninggal dunia adalah merupakan penghidap HIV.

Kebanyakan kes-kes kematian berlaku di negara Asia. Pada masa kini, kerintangan antibiotik menjadi isu utama berkenaan rawatan penyakit TB. Terdapat sesetengah strain bakteria TB yang kebal terhadap sesetengah antibiotik. Ianya akan menyebabkan penyakit TB lebih sukar untuk dirawat.

Seseorang boleh dijangkiti penyakit TB dengan menyedut bakteria Mycobacterium tuberculosis (M. tuberculosis).

Apabila penyakit TB menyerang paru-paru, ianya paling senang menjangkiti orang lain, namun selalunya orang yang dijangkiti perlu berada berhampiran dengan mereka yang mempunyai TB yang aktif.

Jangkitan TB Laten

Seseorang boleh dijangkiti TB dan tidak mengalami sebarang gejala. Kebanyakan orang yang dijangkiti akan melawan semula bakteria TB melalui sistem imun badan, jadi bakteria tidak dapat membiak dan tidak menyebabkan gejala. Keadaan ini dipanggil TB tidak aktif atau TB laten.

Seseorang yang mengalami TB jenis ini mungkin tidak akan mengalami gejala dan tidak sedar mereka telah dijangkiti. Mereka juga tidak akan menjangkitkan penyakit TB ini kepada orang lain. Walaubgaimanapun jika dikesan, mereka masih perlu dirawat kerana TB ini boleh menjadi aktif pada bila-bila masa.

Jangkitan TB Aktif

Jika badan tidak dapat menghalang serangan bakteria TB, penyakit TB akan menjadi aktif dan menyebabkan gejala. Ianya boleh menjadi lebih teruk pada mereka yang mempunyai sistem imun yang lemah disebabkan penyakit atau pengambilan ubat-ubatan tertentu.

Dalam penyakit TB aktif, bakteria akan membiak dan menyebabkan banyak masalah kepada organ dalam badan. Pesakit juga boleh menjangkitkan penyakit ini kepada orang lain.

Risiko mendapat TB aktif lebih tinggi pada mereka yang:

  • Mempunyai sistem imuniti yang lemah
  • Pernah mendapat jangkitan TB dalam masa 2 ke 5 tahun yang lepas
  • Orang yang berumur atau kanak-kanak
  • Mereka yang menyalahgunakan dadah
  • Mereka yang tidak mendapat rawatan secukupnya pada jangkitan TB yang lepas

Tanda-tanda awal

Sila berjumpa doktor jika anda mengalami gejala-gejala seperti berikut:

  • Batuk berterusan melebihi 3 minggu
  • Kahak apabila batuk, mungkin mengandungi darah
  • Hilang berat badan dan selera makan
  • Rasa cepat penat dan tidak sihat
  • Bengkak pada leher
  • Demam
  • Berpeluh pada waktu malam
  • Sakit dada

Simptom TB

TB Laten: Pesakit TB laten tidak mempunyai sebarang gejala, dan tiada kerosakan paru-paru pada ujian x-ray. Walaubagaimanapun, ujian darah dan ujian pada kulit boleh menunjukkan keputusan positif jika terdapat jangkitan.

TB Aktif: Pesakit TB aktif akan mengalami gejala batuk berkahak, rasa penat, demam, menggigil, hilang selera makan dan juga kehilangan berat badan. Gejala ini akan menjadi semakin teruk dan boleh juga datang dan pergi.

TB di luar paru-paru

Selain paru-paru, penyakit TB juga boleh menyerang bahagian badan yang lain. Ini selalunya berlaku pada pesakit yang lemah sistem imuniti badan.

TB boleh menyebabkan:

  • Kelenjar limfa membengkak
  • Sakit abdomen
  • Sakit tulang atau sendi
  • Kekeliruan
  • Sakit kepala berterusan
  • Sawan

Pengesanan TB

Pesakit TB laten tidak mempunyai sebarang gejala, tetapi boleh dikesan melalui beberapa ujian. Mereka yang berisiko perlu melakukan ujian TB, antaranya adalah:

  • Mereka yang berada dekat atau tinggal bersama pesakit TB
  • Kerap ke kawasan yang tinggi jangkitan TB
  • Bekerja dalam suasana yang terdedah kepada pesakit atau bakteria TB

Doktor akan bertanyakan berkenaan gejala-gejala dan sejarah perubatan. Doktor juga akan melakukan pemeriksaan fizikal termasuklah pemeriksaan paru-paru dan jika terdapat kelenjar limfa yang membengkak.

Terdapat dua ujian yang boleh menunjukkan kehadiran bakteria TB pada seseorang:

  • Ujian TB pada kulit
  • Ujian TB melalui darah

Namun ianya tidak dapat menunjukkan jika TB tersebut sedang aktif atau laten. Untuk menguji sama ada TB tersebut sedang aktif, doktor akan melakukan ujian kahak dan X-ray dada.

Semua penghidap TB memerlukan rawatan tidak kiralah ianya aktif atau laten.

Rawatan TB

Dengan pengesanan awal dan pengambilan ubat antibiotik, pesakit TB boleh pulih sepenuhnya.

Jenis antibiotik dan tempoh rawatan adalah bergantung kepada:

  • Umur pesakit dan tahap kesihatan keseluruhan
  • Sama ada TB aktif atau laten
  • Lokasi jangkitan
  • Jenis strain TB sama ada kebal terhadap sesetengah antibiotik

Rawatan untuk TB laten selalunya melibatkan pengambilan ubat antibiotik sekali seminggu selama sehingga 12 minggu atau setiap hari selama 9 bulan.

Rawatan TB aktif pula melibatkan pengambilan gabungan ubat selama 6 ke 9 bulan. Apabila pesakit dijangkiti bakteria TB yang kebal terhadap sesetengah ubat antibiotik, rawatan akan menjadi lebih kompleks dan lama.

Adalah penting untuk menghabiskan keseluruhan pelan rawatan yang telah diberikan, walaupun gejala TB telah hilang. Jika pengambilan ubat dihentikan lebih awal, akan terdapat bakteria yang masih hidup dan menjadi kebal terhadap antibiotik tersebut. Rawatan seterusnya akan menjadi lebih sukar.

Bergantung kepada bahagian badan yang terlibat, doktor juga mungkin akan memberikan ubat kostikosteroid.

Punca TB

M. tuberculosis merupakan bakteria yang menyebabkan penyakit TB. Ianya boleh tersebar melalui titisan dalam udara apabila pesakit TB pulmonari batuk, bersin, meludah, ketawa atau bercakap.

Hanya mereka yang mempunyai TB aktif boleh menjangkiti orang lain. Walaubagaimanapun pesakit yang telah menerima rawatan secukupnya selama 2 minggu selalunya tidak lagi boleh menjangkiti orang lain.

Pencegahan TB

Antara cara mencegah penyebaran penyakit TB termasuklah dengan:

  • Mengesan dan merawat pesakit TB dari peringkat awal
  • Pesakit TB perlu menjauhi orang lain sehinggalah tiada lagi risiko penularan
  • Memakai pelitup muka, menutup mulut dan pengudaraan bilik yang bagus

Vaksinasi

Kanak-kanak boleh diberikan vaksin anti-TB yang dikenali sebagai vaksin BCG (bacillus Calmette–Guérin) dan ianya telah dimasukkan ke dalam Program Imunisasi Kebangsaan di Malaysia.

Vaksin ini kadangkala boleh menyebabkan keputusan ujian kulit untuk TB menjadi positif.

Faktor risiko TB

Mereka yang mempunyai sistem imuniti yang lemah lebih mudah dijangkiti TB. Berikut merupakan beberapa keadaan yang boleh melemahkan sistem imun badan sesorang.

HIV

Bagi penghidap HIV, penyakit TB merupakan sejenis penyakit oportunistik. Ini bermaksud mereka yang menghidap HIV mempunyai risiko yang lebih tinggi untuk dijangkiti TB dan akan mengalami gejala yang lebih teruk berbanding mereka yang sihat.

Rawatan TB bagi pesakit HIV juga boleh menjadi sukar namun doktor akan menyusun pelan rawatan yang dapat merawat kedua-dua penyakit.

Merokok

Perokok atau perokok pasif (secondhand smoker) juga lebih berisiko untuk dijangkiti TB. Selain itu, apabila dijangkiti, perokok lebih sukar untuk dirawat dan bakteria TB mungkin boleh kembali semula. Berhenti merokok atau mengelakkan asap rokok boleh mengurangkan risiko dijangkiti TB.

Faktor risiko lain

Terdapat beberapa masalah lain yang boleh melemahkan sistem imuniti badan dan menyebabkan seseorang mudah dijangkiti TB, antaranya adalah:

Selain itu, sesetengah rawatan, seperti pemindahan organ juga boleh mengganggu fungsi sistem imuniti badan.

Mengembara ke negara yang mempunyai kes TB yang tinggi juga meningkatkan risiko seseorang untuk dijangkiti. Dapatkan maklumat lanjut berkenaan negara-negara yang ingin anda lawati.

Komplikasi TB

Tanpa rawatan, penyakit TB boleh menyebabkan kematian. Ianya boleh merebak ke seluruh badan dan menyebabkan komplikasi seperti mengganggu sistem kardiovaskular serta fungsi metabolik pesakit.

TB juga boleh menyebabkan sepsis, iaitu jangkitan kuman dalam darah yang merbahaya.

Kesan jangka panjang

Penyakit TB aktif mudah berjangkit dan boleh memudaratkan nyawa jika pesakit tidak diberikan rawatan sempurna. Walaubagaimanapun kebanyakan jangkitan boleh dirawat sepenuhnya terutamanya jika dikesan dengan lebih awal.

Mereka yang berisiko mendapat penyakit TB serta mempunyai sebarang gejala perlu berjumpa doktor dengan segera.

Print Friendly, PDF & Email
Langgan Newsletter Kami
Jom dapatkan notifikasi artikel-artikel terbaru kami terus ke email anda!
Laman web ini bertujuan untuk memberikan pengetahuan am sahaja dan tidak membuat sebarang nasihat perubatan individu. Jika anda mempunyai apa-apa simptom sila berjumpa doktor dengan kadar segera.