Kumpulan Ubat Penghalang Reseptor Angiotensin II (AR II Blockers)

Kumpulan Ubat Penghalang Reseptor Angiotensin II ataupun Angiotensin Receptor Blockers (ARBs) merupakan ubat terbaru bagi rawatan tekanan darah tinggi.

Kumpulan Ubat Penghalang Reseptor Angiotensin II ataupun Angiotensin Receptor Blockers (ARBs) merupakan kumpulan yang terbaru bagi rawatan tekanan darah tinggi. Ia mempunyai banyak persamaan dengan kumpulan perencat enzim angiotensin termasuk kelebihannya kepada pesakit yang mempunyai kegagalan jantung. Namun begitu kelebihan kumpulan ini ialah kurang kesan sampingan berbanding kumpulan lain. 

Cara Tindakan ARBs

Tindakan kumpulan ubat ini ialah dengan menghalang kesan vasokonstriksi (pengecutan salur darah) yang disebabkan oleh angiotensin 2. Ini akan mengurangkan tekanan darah.

Cara tindakan ARBs

Antara ubat dalam kumpulan ARBs

  • Losartan 
  • Valsartan
  • Irbesartan
  • Telmisartan

Cara Pengambilan Ubat ARBs

Secara umumnya, dinasihatkan anda ambil ubat ini selepas makan bagi mengurangkan ketidakselesaan perut. Sila rujuk maklumat pembungkusan untuk arahan yang lebih tepat.

Nama GenerikCara Pengambilan
LosartanBersama atau tanpa makanan
ValsartanBersama atau tanpa makanan
IrbesartanBersama atau tanpa makanan
TelmisartanBersama atau tanpa makanan

Cara Penyimpanan Ubat ARBs

Dinasihatkan ubat-ubatan disimpan di dalam sampul ubat asal dengan label arahan pengambilan / cara makan yang jelas. Simpan pada suhu bilik. Rujuk maklumat pembungkusan untuk arahan suhu penyimpanan.

Kesan Sampingan Ubat ARBs

Kesan sampingan yang mungkin berlaku ialah:- 

  • Pening
  • Insomnia
  • Hipotensi
  • Sakit perut
  • Batuk
  • Cirit-birit
  • Jangkitan sistem pernafasan
  • Hidung tersumbat
  • Angioedema
Nama GenerikKesan sampingan spesifik
LosartanSakit perut, letih, sakit dada, oedema (pembengkakan akibat pengumpulan cecair), berdebar, hipotensi (tekanan darah rendah), sakit urat dan tulang, sakit kepala, vertigo (terasa seperti tidak seimbang / berpusing-pusing)
ValsartanRasa malas, hipotensi, sakit kepala
IrbesartanRasa malas, loya, muntah, letih, ortostatik hipotensi (penurunan tekanan darah yang mengejut dan berlaku dengan cepat ketika berdiri), sakit urat dan tulang
TelmisartanGangguan tidur, hipotensi, sakit perut, mulut kering, kembung, sakit urat dan tulang, vertigo

Sila hubungi doktor atau ahli farmasi anda jika berlaku kesan seperti di atas

Kontraindikasi ARBs

PERHATIAN: TIDAK boleh digunakan oleh wanita yang mengandung atau mempunyai rancangan untuk  mengandung.

Penarikan Ubat Losartan

Pihak Berkuasa Kawalan Dadah (PBKD) sudah menggantung pendaftaran tujuh produk ubat-ubatan yang dikesan mengandungi bahan aktif losartan, bermula 7 Mac 2019 kerana mengandungi impuriti (bahan luar).

Tujuh produk terbabit ialah LOSAGEN 50 (Losartan Potassium Tablets 50mg); LOSAGEN 100 (Losartan Potassium Tablets 100 Mg); Losartas 50mg Tablets (Losartan Potassium Tablets 50mg); Losartas 50mg Tablets (Losartan Potassium Tablets 50mg).

Turut digantung pendaftaran ialah produk Losartas 100mgc Tablets (Losartan Potassium Tablets 100 Mg); TOZAAR PLUS LS 50/12.5mg Tablet (Losartan Potassium/ Hydrochlorothiazide); Tozaar 50mg Tablet (Losartan Potassium Tablets 50mg) dan Tozaar Tablets 100mg (Losartan Potassium Tablets 100 Mg).

Ubat Losartan
Print Friendly, PDF & Email
Staf Editorial
Laman web ini bertujuan untuk memberikan pengetahuan am sahaja dan tidak membuat sebarang nasihat perubatan individu. Jika anda mempunyai apa-apa simptom sila berjumpa doktor dengan kadar segera.