Kumpulan ubat perencat enzim angiotensin ataupun Angiotensin Enzyme Inhibitor (ACEI) adalah antara kumpulan ubat pilihan untuk rawatan tekanan darah tinggi terutamanya dikalangan pesakit yang mempunyai kegagalan jantung kongestif, kencing manis dan juga infarksi miokardia.
Kumpulan ini juga telah menunjukkan keupayaan untuk menurunkan morbiditi dan mortaliti bagi pesakit yang mempunyai komplikasi kegagalan jantung kongestif disamping mengurangkan kehadiran protein di dalam air kencing (proteinurea) bagi pesakit yang menghidap kencing manis.
Ini akan memperlahankan proses kegagalan buah pinggang bagi pesakit tersebut. Ubat dalam kumpulan ini juga boleh digabungkan dengan kumpulan diuretik dan penghalang saluran kalsium.
Bagaimana ACEI bertindak
Kumpulan ubat ini bertindak dengan menghalang penukaran enzim angiotensin 1 kepada enzim angiotensin 2. Enzim angiotensin 2 merupakan satu vasokonstriktor (enzim yang mengecilkan salur darah) yang kuat dan akan meningkatkan tekanan darah.
Penghalangan kepada proses penukaran enzim ini akan mengembangkan salur darah seterusnya mengurangkan tekanan darah dalam individu yang terbabit.
Senarai Ubat
Antara ubat ACEI:
- Captopril
- Enalapril
- Perindopril
- Ramipril
- Lisinopril
- Imidapril
Cara Pengambilan ACEI
Secara umumnya, dinasihatkan anda ambil ubat ini sebelum makan untuk kesan yang optimum. Sila rujuk maklumat pembungkusan untuk arahan yang lebih tepat.
Nama Generik | Cara Pengambilan |
---|---|
Captopril | Ambil ketika perut kosong, 1 jam sebelum atau 2 jam selepas makan. |
Enalapril | Bersama atau tanpa makanan. |
Perindopril | Ambil ketika perut kosong, 1 jam sebelum atau 2 jam selepas makan. |
Ramipril | Bersama atau tanpa makanan. |
Lisiopril | Bersama atau tanpa makanan. |
Imidapril | Ambil 15 minit sebelum makan. Bagi pesakit yang baru memulakan rawatan, dos pertama hendaklah diambil ketika hendak tidur. |
Cara Penyimpanan ACEI
Dinasihatkan ubat-ubatan disimpan di dalam sampul ubat asal dengan label arahan pengambilan / cara makan yang jelas.
Simpan pada suhu bilik. Rujuk maklumat pembungkusan untuk arahan suhu penyimpanan.
Kesan Sampingan ACEI
Antara kesan sampingan yang boleh berlaku adalah:
- Batuk
- Ruam
- Angioedema
- Hipotensi
- Ganguan pada perut
- Loya
- Muntah
- Cirit-birit
- Sembelit
- Sakit kepala
- Lemah badan
- Demam
- Sakit tulang dan otot
- Kepeningan
- Sakit tekak
Nama Generik | Kesan Sampingan Yang Khusus |
---|---|
Captopril | ruam, gatal, angioedema (pembengkakan bibir dan hilang dalam masa 24 jam), batuk, gangguan perut, hipotensi (tekanan darah rendah), peningkatan paras potassium |
Enalapril | Pening, sakit kepada, letih, hipotensi, loya, ruam, batuk, peningkatan paras potassium |
Perindopril | Pening, sakit kepala, letih, hipotensi, loya , batuk |
Ramipril | Pening, sakit kepala, letih, hipotensi, loya, sakit perut, batuk kering |
Lisinopril | Hipotensi, pening, lemah-lemah badan, batuk kering, sakit kepala, letih |
Sila hubungi doktor atau ahli farmasi anda jika berlaku kesan seperti di atas
Kontraindikasi
PERHATIAN: TIDAK boleh digunakan oleh wanita yang mengandung atau mempunyai rancangan untuk mengandung.
Tulis Komen