Penyakit Skizofrenia (Schizophrenia)

Penyakit Skizofrenia atau Schizophrenia adalah penyakit mental dimana terdapat gangguan dalam perasaan, pemikiran dan tingkah-laku seseorang itu.

Penyakit Skizofrenia atau Schizophrenia adalah nama diberi kepada sekumpulan simptom penyakit mental dimana terdapat gangguan dalam perasaan, pemikiran dan tingkah-laku seseorang itu.

Ia adalah penyakit yang menyebabkan kehilangan upaya dengan mengganggu kehidupan seharian seseorang itu seperti hubungan keluarga, hubungan masyarakat dan pekerjaan.

Sesiapa sahaja boleh menghidap Schizophrenia dan ia berlaku dengan kadar 1% dikalangan penduduk dalam sesuatu negara.

Ia tidak berjangkit dari seorang kepada seorang yang lain.

Bilakah penyakit Skizofrenia boleh berlaku

Tidak kira umur tetapi biasanya dalam lingkungan umur 12 hingga 45 tahun.

Faktor Risiko

Walaupun punca sebenar masih dalam kajian dan sukar diketahui, namun sesetengah keadaan boleh meningkatkan risiko skizofrenia seperti:

  • sejarah ahli keluarga yang mempunyai skizofrenia
  • komplikasi ketika dalam kandungan atau beranak, seperti pendedahan kepada virus atau toksin yang merencatkan pertumbuhan otak
  • pengambilan dadah terlarang (psychoactive atau psikotropik) ketika zaman remaja atau awal dewasa

Tanda dan Gejala Penyakit Skizofrenia

Secara umunya, seseorang yang menghidap skizofrenia mempunyai tanda-tanda berikut:

  • Kelakuan yang pelik dan ganjil.
  • Bercakap atau ketawa seorang diri.
  • Cuai dengan rupa dan kesihatan diri.
  • Gangguan tidur malam.
  • Pertuturan sukar diikuti dan difahami.
  • Sangkaan palsu yang orang-orang lain akan mencederakan atau mengawal dirinya.
  • Berkeliaran.
  • Cuai tentang kerjanya dan lain-lain.

Tanda yang lebih spesifik adalah seperti berikut:

  1. Gangguan Pemikiran
    • Delusi:
      • Satu kepercayaan yang kuat tetapi palsu yang tidak dapat digugat oleh pendapat yang waras. Contohnya percaya bahawa orang lain berpakat untuk berbuat jahat kepadanya, percaya bahawa fikiran dan kelakuannya dikawal oleh makhluk luar seperti jin, hantu atau keramat, percaya bahawa ia mempunyai kuasa yang istimewa dan luar biasa.
      • Sukar untuk menumpukan, membentuk dan mengekalkan arus pemikiran. Pertuturan sukar difahami dan tidak berkaitan dengan soalan
  2. Gangguan persepsi
    • Halusinasi:
      • Persepsi yang salah. Contoh: Mendengar suara-suara ghaib bercakap kepadanya atau bercakap sesama sendiri atau membuat ulasan terhadap apa yang dilakukannya sedangkan suara itu tidak didengari oleh orang lain
  3. Gangguan tingkah laku
    • Perangai yang pelik dan sering berubah-ubah.
    • Kurang berupaya untuk melakukan aktiviti harian dengan baik. Menjauhkan diri dari berinteraksi dengan masyarakat (suka menyendiri)

Komplikasi Penyakit Skizofrenia

Sekiranya tidak dirawat, ia akan berubah ke peringkat skizofrenia yang kronik. Seseorang itu akan hidup menyendiri di dalam dunianya sendiri, tidak menghiraukan kebersihan dirinya(tidak mahu mandi, tidak mahu memberus gigi dan tidak mahu menukar pakaian), tidak ada motivasi untuk melakukan sebarang aktiviti, tidak dapat merasakan atau mengeluarkan perasaan (tidak ada riak muka)

Bila Perlu Berjumpa Doktor

Pesakit skizofrenia selalunya tidak menyedari keadaan kesihatan mental mereka yang memerlukan rawatan. Oleh itu adalah menjadi tanggungjawab ahli keluarga untuk membawa mereka mendapatkan nasihat doktor.

Diagnosis Skizofrenia

Doktor akan cuba melihat masalah mental yang lain dahulu dan memastikan simptom bukan disebabkan oleh penyalahgunaan dadah, ubat-ubatan atau sakit organik yang lain. Untuk memastikan pesakit menghidap skizofrenia, doktor akan melakukan:

  • Pemeriksaan fizikal: Untuk melihat sama ada terdapat kecederaan di kepala, kesan penyalahgunaan dadah atau penyakit lain
  • Ujian dan saringan: ujian termasuk saringan air kencing untuk memastikan tiada pengaruh dadah dan alkohol. Doktor juga mungkin akan membuat ujian CT scan atau MRI jika terdapat sejarah kecederaan atau dipukul.
  • Ujian psikiatri: Doktor akan bertanyakan soalan-soalan bagi memastikan unsur-unsur delusi, halusinasi, penggunaan dadah dan jika ada unsur bunuh diri. Soalan juga akan ditanyakan kepada ahli keluarga terdekat.
  • Kriteria diagnostik: Doktor selalunya akan menggunakan kriteria diagnostik Diagnostic and Statistical Manual of Mental Disorders (DSM-5) untuk membuat diagnosis

Rawatan Penyakit Skizofrenia

Pesakit skizofrenia selalunya memerlukan rawatan sehingga akhir hayat untuk penyakit ini walaupun simptom sudah berkurangan atau hilang. Jika perlu, pesakit akan dimasukkan ke wad sama ada secara sukarela atau paksaan untuk memastikan keselamatan diri, pemakanan ubat yang betul serta kaunseling dan rehat yang cukup kepada pesakit.

Berikut adalah rawatan untuk Schizophrenia:

  • Pengubatan yang berterusan iaitu tablet dan suntikan.
  • Rawatan Electroconvulsive therapy.
  • Aktiviti kerja.
  • Sokongan keluarga.
  • Bercakap dengan seseorang yang terlatih seperti pakar psikiatri atau ahli psikologi.

Ubat skizofrenia

Ubat-ubatan merupakan salah satu rawatan penting pesakit skizofrenia. Ubat antipsikotik merupakan ubat utama yang diberikan. Ubat ini mengawal neurotransmitter dopamine pada otak.

Tujuan utama pemberian antipsikotik adalah untuk menghilangkan simptom pada dos ubat yang terendah. Pakar psikiatri akan mencuba beberapa ubat yang sesuai atau kombinasi untuk mencapai matlamat ini. Ubat lain yang mungkin berkesan termasuk ubat anti-kemurungan atau anti-anxiety. Pesakit mungkin mengambil masa beberapa minggu sebelum kesan ubat dapat dilihat.

Selalunya disebabkan kesan sampingan ubat ini, pesakit tidak mahu mengambilnya. Kerjasama pesakit ketika rawatan amat penting bagi memilih ubat yang sesuai contohnya jika pesakit tidak suka makan ubat mungkin perlu mengambil suntikan.

Sila bertanya dengan doktor anda dengan lebih lanjut berkenaan ubat yang diberikan supaya anda selesa mengambilnya.

Rawatan elektrokonvulsif akan diberikan jika ubat-ubatan tidak berkesan.

Sokongan ahli keluarga dan masyarakat amat penting dalam pemulihan

Menjaga Pesakit Skizofrenia

Rawatan pesakit skizofrenia memerlukan semangat yang tinggi dari pesakit dengan sokongan ahli keluarga dan masyarakat terdekat, antara tips yang boleh diamalkan:

  • Ahli keluarga perlu belajar memahami simptom dan gejala pesakit skizofrenia
  • Fokus kepada pemulihan pesakit, tidak menghiraukan kecaman mana-mana pihak supaya kekal bermotivasi
  • Elakkan pesakit dari mengambil dadah dan alkohol ketika pemulihan
  • Minta bantuan dari mana-mana agensi kerajaan jika perlu seperti jabatan kebajikan atau NGO
  • Belajar pengurusan stress dan teknik untuk relaks
  • Banykkan berdoa kepada tuhan supaya simptom pesakit boleh dikawal
  • Menyertai kumpulan sokongan supaya sama-sama dapat memotivasikan diri dan belajar mengenai keadaan pesakit
Print Friendly, PDF & Email
Staf Editorial
Laman web ini bertujuan untuk memberikan pengetahuan am sahaja dan tidak membuat sebarang nasihat perubatan individu. Jika anda mempunyai apa-apa simptom sila berjumpa doktor dengan kadar segera.