Sakit Pinggul – Punca dan Pemeriksaan

Bagi kesakitan pinggul yang disebabkan punca-punca seperti arthritis, patah tulang dan nekrosis, gejalanya tidak akan hilang sehinggalah rawatan diberikan.

Sakit pinggul bermaksud sakit yang berlaku disekitar sendi pinggul iaitu sendi yang menghubungkan punggung dan peha kiri dan kanan. Ianya juga boleh melibatkan bahagian atas peha dan pelipat peha.

Punca sakit pinggul

Sesetengah kecederaan dan penyakit boleh menyebabkan sakit pinggul.

Keradangan tendon

Punca utama sakit pinggul akut adalah disebabkan oleh keradangan tendon atau tendonitis. Ia selalunya berlaku disebabkan terlampau kerap bersenam. Tendonitis akan pulih dalam masa beberapa hari sahaja.

Sakit bahagian pinggul.

Arthritis

Antara punca utama kesakitan pinggul untuk jangkamasa panjang adalah disebabkan arthritis. Arthritis akan menyebabkan sakit, kesukaran pergerakan sendi dan masalah berjalan. Terdapat beberapa jenis arthritis iaitu:

  • Osteoarthritis (OA) yang boleh disebabkan peningkatan umur berikutan tulang rawan disekeliling sendi menjadi semakin rosak.
  • Trauma kepada sendi, seperti tulang patah atau retak boleh menyebabkan arthritis traumatik sama seperti osteoarthritis.
  • Arthritis disebabkan jangkitan di dalam sendi yang seterusnya boleh menyebabkan kerosakan tulang rawan.
  • Rheumatoid arthritis (RA) yang disebabkan oleh sistem imun badan yang menyerang bahagian sendi. Lama-kelamaan bahagian tulang dan rawan akan musnah.

Osteoarthritis lebih kerap berlaku berbanding rheumatoid arthritis.

Kerosakan sendi pinggul akibat osteoarthritis.

Trokanterik bursitis

Antara punca lain sakit pinggul adalah disebabkan oleh trokanterik bursitis. Keadaan ini berlaku apabila bursa, iaitu ruangan berisi cecair berdekatan sendi mengalami keradangan.

Terdapat beberapa faktor yang boleh menyebabkan keadaan ini seperti kecederaan sendi, penggunaan sendi yang kerap dan masalah postur.

Penyakit rheumatoid arthritis juga boleh menyebabkan sakit pinggul dan selalunya berlaku pada wanita.

Patah tulang pinggul

Patah tulang pinggul selalunya berlaku pada mereka yang berumur atau penghidap osteoporosis, yang akan menyebabkan tulang menjadi rapuh.

Ianya akan menyebabkan kesakitan yang tiba-tiba dan teruk dan memerlukan rawatan kecemasan. Terdapat komplikasi yang boleh berlaku akibat kepatahan tulang pinggul seperti darah beku pada kaki.

Pembedahan selalunya perlu dilakukan untuk membetulkan semula tulang yang patah. Selepas itu pesakit perlu menjalani terapi fizikal untuk pulih sepenuhnya.

Punca yang jarang berlaku

Terdapat juga punca lain yang boleh menyebabkan sakit pinggul tetapi jarang berlaku. Antaranya adalah seperti sindrom pinggul tersentak dan osteonekrosis atau nekrosis avaskular.

Sindrom pinggul tersentak

Sindrom pinggul tersentak selalunya berlaku kepada penari dan atlet, dan dikenali melalui bunyi atau perasaan tersentak di bahagian pinggul ketika pergerakan.

Sentakan ini juga boleh berlaku dalam keadaan lain sebagai contoh apabila seseorang sedang berjalan atau berdiri dari kerusi. Selalunya ia tidak menyakitkan tetapi kadangkala boleh menyebabkan sakit pinggul.

Sentakan pinggul dengan kesakitan menandakan terdapat kerosakan pada tulang rawan atau tisu di sekitar sendi pinggul.

Osteonekrosis

Osteonekrosis juga dikenali sebagai nekrosis avaskular berlaku apabila aliran darah tidak sampai kepada tulang sama ada secara sementara atau kekal. Ini akan menyebabkan kematian tulang dan tisu-tisu disekitar sendi pinggul.

Dalam keadaan ini, tulang rawan pada mulanya normal tetapi lama-kelamaan akan musnah akibat tidak mendapat bekalan oksigen dan nutrien daripada darah. Selepas itu tulang juga akan rosak dan hancur. Punca osteonekrosis masih belum dapat dikenalpasti.

Kecederaan sendi, penggunaan ubat steroid atau alkohol, dan rawatan kanser boleh meningkatkan risiko seseorang mengalami osteonekrosis. Dalam kebanyakan kes puncanya tidak dapat dikenalpasti.

Bila perlu berjumpa doktor

Dapatkan rawatan perubatan jika anda mengalami sakit pada bahagian pinggul selama beberapa hari. Doktor akan memberikan rawatan untuk mengurangkan kesakitan dan mengenalpasti puncanya.

Walaubagaimanapun jumpa doktor dengan segera jika terdapat pendarahan ataupun luka, terdapat bunyi pada sendi dan tidak boleh berjalan. Dapatkan juga rawatan segera jika sendi bahagian pinggul membengkak, berubah bentuk atau mengalami sakit yang teruk.

Jika terdapat tanda-tanda berikut, segera berjumpa dengan doktor:

  • Bengkak
  • Sakit apabila disentuh
  • Sakit apabila bergerak
  • Rasa panas apabila disentuh
  • Kemerahan

Ianya boleh disebabkan penyakit yang berbahaya seperti arthritis septik iaitu jangkitan pada sendi. Jika tidak dirawat ianya boleh menyebabkan kecacatan pada sendi dan osteoarthritis.

Pemeriksaan pinggul

Jika sakit tersebut disebabkan keadaan seperti arthritis, doktor akan bertanyakan beberapa soalan seperti:

  • Pada waktu bila sakit menjadi lebih teruk
  • Adakah terdapat masalah pergerakan atau berjalan
  • Bilakah gejala mula muncul
  • Adakah terdapat gejala-gejala yang lain

Doktor juga akan memeriksa postur berjalan dan pergerakan sendi. Kedua-dua sendi yang sakit dan normal akan dibandingkan untuk melihat jika terdapat sebarang perubahan.

Untuk mengesahkan penyakit arthritis, doktor akan melakukan beberapa ujian dan pengimejan. Ujian ini melibatkan pengambilan sampel darah, kencing dan cecair sendi untuk diuji di makmal. Ujian pengimejan boleh melibatkan:

Ujian pengimejan akan membantu doktor melihat dengan lebih jelas lagi keadaan tulang, tulang rawan dan tisu-tisu yang lain pada bahagian pinggul.

Rawatan sakit pinggul

Rawatan sakit pinggul bergantung kepada puncanya. Untuk sakit berkaitan senaman, rehat selalunya sudah mencukupi untuk menyembuhkan kecederaan dan kesakitan biasanya akan hilang dalam masa beberapa hari.

Jika anda menghidap penyakit arthritis, doktor akan memberikan ubat untuk mengurangkan kesakitan dan membantu pergerakan.

Doktor juga mungkin akan merujuk anda kepada pakar perubatan atau ahli fisioterapi untuk membantu meningkatkan semula pergerakan sendi.

Jika berlaku kecederaan, rawatan selalunya melibatkan rehat dan ubat seperti naproxen bagi mengurangkan sakit dan bengkak.

Jika berlaku patah tulang pinggul, kerosakan sendi dan kecederaan yang lain, pesakit mungkin memerlukan pembedahan untuk memperbaiki atau menggantikan semula bahagian sendi pinggul yang rosak. Untuk pembedahan gantian sendi pinggul, pakar bedah akan menggantikan sendi yang rosak dengan sendi buatan.

Pembedahan ini kerap dilakukan dan pesakit perlu menjalani terapi fizikal bagi membiasakan diri menggunakan sendi yang baru. Selepas pembedahan selalunya kesakitan sendi akan hilang.

Rawatan alternatif

Terdapat beberapa rawatan alternatif yang mungkin dapat membantu mengurangkan sakit sendi. Dapatkan dahulu nasihat doktor anda sebelum mencubanya.

Antaranya seperti rawatan kiropraktor atau akupuntur. Namun selalunya ia hanya memberikan kelegaan jangka pendek tetapi boleh dicuba.

Rumusan

Apabila punca kesakitan pinggul dapat diketahui, rawatan perubatan dapat membantu untuk mengawal dan menghilangkan kesakitan.

Untuk kecederaan kecil seperti ketika bersenam, rawatan mungkin tidak diperlukan dan hanya memerlukan rehat sementara menunggu tisu yang cedera pulih.

Walaubagaimanapun untuk keadaan yang lebih teruk seperti arthritis, patah tulang dan nekrosis, gejalanya tidak akan hilang sehinggalah rawatan diberikan. Bincang dengan doktor anda berkenaan rawatan terbaik berdasarkan punca kesakitan.

Print Friendly, PDF & Email
Langgan Newsletter Kami
Jom dapatkan notifikasi artikel-artikel terbaru kami terus ke email anda!
Laman web ini bertujuan untuk memberikan pengetahuan am sahaja dan tidak membuat sebarang nasihat perubatan individu. Jika anda mempunyai apa-apa simptom sila berjumpa doktor dengan kadar segera.