Sakit Kepala – Punca, Tanda dan Rawatan

Sakit kepala adalah antara gejala yang sering berlaku dan hampir semua orang pernah mengalaminya. Jom ketahui jenis, punca serta rawatan sakit kepala.

Sakit kepala merupakan keadaan yang menyebabkan kesakitan dan ketidakselesaan pada bahagian kepala, kulit kepala atau leher. Dijangkakan lebih kurang 7 daripada 10 orang mengalami sakit kepala sekurang-kurangnya sekali dalam setahun.

Sakit kepala boleh berlaku dari tahap rendah sehingga ke tahap teruk yang akan menyebabkan seseorang itu tidak boleh bekerja atau melakukan aktiviti harian. Walaubagaimanapun kebanyakan punca sakit kepala boleh dirawat dengan bantuan ubat-ubatan dan perubahan gaya hidup.

Punca utama sakit kepala

Pengkaji telah mengenalpasti beberapa punca sakit kepala.

Sakit kepala primer merupakan keadaan yang tidak berkaitan dengan penyakit-penyakit yang lain. Sakit kepala ini adalah disebabkan proses-proses yang berlaku dalam otak. Antara contoh sakit kepala primer termasuklah migrain, sakit kepala kluster, dan sakit kepala tekanan.

Jenis-jenis sakit kepala primer.

Punca sakit kepala sekunder

Sakit kepala sekunder merupakan sakit kepala yang disebabkan oleh penyakit-penyakit yang lain. Antara contoh sakit kepala sekunder termasuklah:

Ketumbuhan otak atau pendarahan otak

Sakit kepala boleh disebabkan ketumbuhan otak (tumor) atau pendarahan dalam otak (aneurism). Ini kerana terdapat peningkatan tekanan di dalam ruang tengkorak. Ketumbuhan dan pendarahan ini akan memberikan tekanan kepada otak seterusnya menyebabkan sakit kepala.

Sakit kepala servikogenik

Sakit kepala servikogenik berlaku apabila disk tulang belakang semakin mengecut lalu menekan pada saraf tunjang. Ini akan menyebabkan sakit pada bahagian leher dan kepala.

Sakit kepala disebabkan ubat-ubatan

Jika seseorang mengambil ubat tahan sakit pada jumlah yang banyak setiap hari dan tiba-tiba berhenti mengambilnya, sakit kepala boleh berlaku. Antara ubat tahan sakit yang boleh menyebabkan sakit kepala termasuklah hydrokodon.

Sakit kepala disebabkan meningitis

Meningitis merupakan jangkitan kuman pada lapisan meninges, iaitu membran yang melapisi bahagian dalam tengkorak bagi melindungi otak dan saraf tunjang.

Sakit kepala selepas trauma

Kadangkala seseorang boleh mengalami sakit kepala selepas mengalami trauma di bahagian kepala seperti ketika jatuh, kemalangan kereta atau bersukan.

Sakit kepala sinus

Keradangan di dalam rongga sinus atau sinusitis pada bahagian muka boleh meningkatkan tekanan dalam ruang tersebut dan kesakitan akan berlaku yang dikenali sebagai sakit kepala sinus.

Sakit kepala spinal

Sakit kepala spinal boleh berlaku disebabkan cecair serebrospinal yang bocor dan mengalir keluar perlahan-lahan, selalunya selepas prosedur bius epidural atau pengambilan cecair spinal.

Jenis-jenis sakit kepala primer

Terdapat beberapa jenis sakit kepala primer seperti berikut:

Sakit kepala tekanan

Sakit kepala tekanan (tension) merupakan sakit kepala yang paling kerap berlaku dan biasanya dialami oleh wanita melebihi umur 20 tahun. Sakit kepala jenis ini selalunya dirasakan seperti bahagian kepala sedang dililit oleh pengikat getah yang ketat. Ianya disebabkan oleh pengecutan otot pada bahagian leher dan kulit kepala. Tekanan dan postur yang tidak betul boleh meningkatkan risiko seseorang mengalami sakit kepala jenis tekanan.

Sakit kepala tekanan selalunya berlaku selama beberapa minit, namun ada juga yang berlaku sehingga beberapa hari dan boleh berulang-ulang.

Sakit kepala kluster

Sakit kepala jenis kluster merupakan sakit kepala yang tidak berdenyut tetapi terasa seperti terbakar pada sebelah bahagian kepala atau dibelakang mata. Ini boleh menyebabkan pengeluaran air mata atau hingus dan kadangkala hidung akan tersumbat. Sakit kepala jenis ini boleh bertahan untuk suatu tempoh yang dikenali sebagai tempoh kluster. Ianya boleh berlaku sehingga enam minggu.

Ianya boleh berlaku setiap hari atau beberapa kali sehari. Puncanya masih belum diketahui namun selalunya berlaku pada lelaki berumur antara 20 ke 40 tahun.

Sakit kepala migrain

Migrain boleh menyebabkan sakit kepala yang berdenyut, seperti dipukul dan selalunya berlaku pada sebelah bahagian kepala. Terdapat beberapa jenis sakit kepala migrain yang boleh berlaku. Antaranya adalah migrain kronik iaitu migrain yang berlaku melebihi 15 hari.

Migrain hemiplegik pula akan menyebabkan gejala seperti penyakit angin ahmar. Terdapat juga migrain yang tidak menyebabkan sakit kepala tetapi gejala-gejala yang lain akan berlaku seperti mual, gangguan penglihatan dan pening.

Sakit kepala melantun (rebound)

Sakit kepala melantun (rebound) berlaku apabila seseorang itu berhenti mengambil ubat tahan sakit yang diambil untuk merawat sakit kepala. Antara contoh ubat yang sering diambil adalah seperti acetaminophen, triptans, ergotamine, dan lain-lain lagi.

Sakit kepala thunderclap

Sakit kepala thunderclap berlaku secara mengejut dan sangat teruk tetapi akan pulih dengan cepat. Ianya berlaku secara tiba-tiba tanpa amaran dan tiada gejala lain tetapi biasanya hilang tidak sampai 5 minit. Selalunya sakit kepala jenis ini menandakan terdapat masalah pada salur darah dalam otak yang memerlukan pemeriksaan lanjut.

Migrain dan sakit kepala

Migrain menyebabkan sakit kepala yang paling teruk dan kompleks. Pengkaji percaya ianya berpunca daripada perubahan pada aktiviti sistem saraf dan bahan kimia dalam otak. Faktor genetik dan persekitaran juga dikatakan memainkan peranan dalam menentukan risiko seseorang mendapat penyakit migrain.

Migrain selalunya akan menyebabkan sakit kepala berdenyut dan sangat teruk pada sebelah bahagian kepala. Ianya juga boleh menyebabkan peningkatan sensitiviti terhadap cahaya dan bunyi. Migrain boleh berlaku selama beberapa jam sehingga beberapa hari.

Statistik dan jenis migrain

Migrain termasuk dalam senarai 20 penyakit yang sering menyebabkan gangguan kerja dan aktiviti harian seseorang.

Dikalangan kanak-kanak, migrain lebih kerap berlaku pada lelaki berbanding wanita. Namun pada orang dewasa ianya seringkali berlaku dikalangan wanita berbanding lelaki. Mereka yang mempunyai ahli keluarga yang menghidap migrain juga lebih berisiko.

Terdapat dua jenis sakit kepala yang disebabkan migrain iaitu migrain dengan aura dan tanpa aura. Aura merupakan gangguan penglihatan di mana seseorang akan melihat seperti tompokan, garisan atau pancaran cahaya. Kadangkala ianya boleh menyebabkan hilang penglihatan sementara. Gangguan penglihatan ini berlaku selama kira-kira 30 minit sebelum migrain bermula.

Migrain dengan aura selalunya kurang teruk berbanding migrain tanpa aura. Namun lebih ramai pesakit mengalami migrain tanpa aura.

Migrain hemiplegik pula merupakan migrain yang boleh menyebabkan gejala seperti strok. Sebagai contoh sukar bercakap dan lemah atau kebas pada sebelah bahagian badan.

Fasa migrain

Migrain mempunyai tiga fasa iaitu fasa prodrom, fasa sakit kepala dan fasa postdrom.

Prodrom merupakan tempoh sebelum berlakunya migrain dan aura akan berlaku dalam fasa ini. Ianya juga boleh menyebabkan hilang tumpuan, mood dan selera makan. Fasa ini juga boleh menyebabkan menguap yang kerap.

Fasa sakit kepala merupakan tempoh di mana gejala migrain yang paling teruk berlaku. Ianya boleh bertahan dari beberapa minit sehingga ke beberapa jam.

Postdrom merupakan tempoh 24 jam selepas serangan migrain. Pada masa ini pesakit akan berasa mengantuk dan mood juga akan berubah-ubah diantara perasaan sedih dan gembira.

Pencetus migrain

Punca sebenar migrain masih belum diketahui. Namun terdapat beberapa faktor yang boeh mencetuskan serangan migrain. Antaranya adalah:

  • Perubahan hormon seperti ketika akil baligh dan ketika kitaran haid pada wanita
  • Tekanan dan stres
  • Memakan jeruk atau tapai
  • Memakan daging jeruk atau keju yang lama
  • Sesetengah buah seperti pisang, avokado dan sitrus
  • Tidak makan
  • Tidur terlalu sedikit atau banyak
  • Cahaya yang terlalu terang
  • Perubahan cuaca
  • Pengambilan alkohol
  • Berhenti mengambil kafein

Kadangkala sukar untuk membezakan sakit kepala yang disebabkan migrain dan sakit kepala yang lain.

Gejala sakit kepala mengikut jenis

Sakit kepala tekanan

Sakit kepala tekanan selalunya akan menyebabkan gejala berikut:

  • Sakit leher
  • Sakit yang menekan
  • Sakit pada kulit kepala
  • Sakit bahu
  • Tekanan pada dahi yang boleh menjalar sehingga ke bahagian belakang kepala

Kadangkala sakit kepala tekanan kelihatan seperti migrain, namun sakit kepala tekanan tidak menyebabkan gangguan penglihatan.

Sakit kepala kluster

Sakit kepala kluster berlaku untuk tempoh sekejap dan menyebabkan kesakitan di belakang mata. Sakit ini berlaku pada sebelah bahagian kepala dan berlaku secara berdenyut atau berterusan. Selalunya sakit kepala kluster berlaku selepas sejam atau dua jam seseorang itu tidur. Ianya tidak menyebabkan mual atau muntah.

Sakit kepala migrain

Sakit kepala migrain boleh menyebabkan gejala seperti berikut:

  • Kepala berdenyut
  • Mual
  • Sakit pada sebelah bahagian kepala
  • Sensitif kepada cahaya dan bunyi
  • Sakit kepala yang teruk
  • Muntah

Sakit kepala migrain juga selalunya sangat teruk sehinggakan pesakit tidak boleh menumpukan perhatian kepada kerja dan aktiviti harian.

Sakit kepala melantun (rebound)

Sakit kepala melantun selalunya berlaku setiap hari dan lebih teruk pada waktu pagi. Ianya akan pulih dengan pengambilan ubat dan muncul semula apabila kesan ubat semakin hilang. Ianya juga boleh menyebabkan gejala berikut:

  • Mudah terganggu
  • Mual
  • Tidak boleh duduk diam
  • Sukar mengingat

Perasaan sakit yang dirasai juga bergantung kepada jenis ubat yang diambil.

Sakit kepala thunderclap

Sakit kepala thunderclap selalunya berlaku untuk tempoh sekejap tetapi sangat teruk.

Pemeriksaan sakit kepala

Sakit kepala kadangkala boleh menjadi gejala kepada penyakit yang lain. Doktor boleh menentukan punca sakit kepala melalui pengambilan sejarah perubatan dan melakukan pemeriksaan fizikal. Pemeriksaan ini juga termasuklah penilaian neurologikal yang lengkap.

Pengambilan sejarah perubatan amat penting kerana pemberhentian ubat secara tiba-tiba atau makanan tertentu boleh menyebabkan sakit kepala yang berulang. Sebagai contoh, mereka yang kerap meminum air kopi yang berhenti secara tiba-tiba boleh mengalami sakit kepala.

Doktor juga boleh melakukan ujian diagnostik yang lain jika mengesyaki terdapat masalah perubatan yang menyebabkan sakit kepala. Antara ujian-ujian ini termasuklah:

  • Ujian kiraan darah lengkap, untuk melihat jika terdapat jangkitan
  • X-ray kepala, untuk melihat keadaan tengkorak jika terdapat kecederaan
  • X-ray sinus, jika doktor mengesyaki penyakit sinusitis
  • Imbasan CT atau MRI jika doktor mengesyaki penyakit seperti angin ahmar, trauma, atau darah beku dalam otak

Bila perlu berjumpa doktor

Kebanyakan sakit kepala tidak membahayakan nyawa. Namun anda perlu terus berjumpa doktor jika mengalami trauma atau kecederaan kepala. Terus dapatkan rawatan juga jika sakit kepala diiringi dengan gejala-gejala seperti berikut:

  • Mengantuk
  • Demam
  • Muntah
  • Kebas pada muka
  • Sukar bercakap
  • Lemah dan kebas pada tangan atau kaki
  • Sawan
  • Keliru

Gejala lain seperti tekanan di sekitar mata dan hingus berwarna kuning kehijauan serta sakit tekak juga perlu diperiksa oleh doktor.

Rawatan sakit kepala

Rawatan sakit kepala adalah bergantung kepada puncanya. Jika sakit kepala disebabkan oleh sesuatu penyakit, ianya akan hilang setelah penyakit itu dirawat. Namun kebanyakan sakit kepala bukanlah disebabkan penyakit berbahaya dan boleh dirawat menggunakan ubat-ubat seperti aspirin, acetaminophen atau ibuprofen.

Jika ubat-ubatan tidak berkesan, terdapat beberapa cara lain yang boleh membantu mengurangkan sakit kepala:

  • Biofeedback iaitu sejenis teknik relaksasi untuk mengurangkan kesakitan.
  • Teknik kawalan stres bagi membantu anda menghadapi dan melegakan stres dan tekanan.
  • Terapi tingkahlaku kognitif iaitu sejenis terapi perbualan yang boleh membantu anda mengenalpasti situasi yang boeh menyebabkan stres dan tekanan.
  • Akupuntur iaitu sejenis rawatan alternatif yang boleh membantu mengurangkan stres dengan menggunakan jarum halus yang ditusuk pada beberapa bahagian badan.
  • Senaman boleh membantu meningkatkan penghasilan beberapa bahan kimia dalam otak yang boleh menjadikan anda lebih gembira dan tenang.
  • Terapi sejuk atau panas dengan menggunakan tuaman sejuk atau panas pada kepala selama 5 ke 10 minit beberapa kali sehari.
  • Mandian panas atau spa untuk mengendurkan otot.

Rawatan pencegahan mungkin diperlukan jika sakit kepala berlaku 3 kali atau lebih dalam sebulan. Sumatriptan merupakan ubat yang biasa digunakan bagi mengawal migrain. Ubat lain yang boleh digunakan bagi mengawal migrain atau sakit kepala kluster yang kronik termasuklah:

Ubat-ubat yang digunakan untuk merawat penyakit migrain juga boleh membantu melegakan sakit kepala yang lain. Terdapat juga ubat yang masih lagi dalam peringkat kajian. Bincang dengan doktor anda rawatan terbaik yang anda perlukan mengikut gejala-gejala yang berlaku.

Rawatan alternatif

Sesetengah orang memilih untuk merawat atau mencegah sakit kepala melalui pengambilan vitamin dan herba. Bincang dahulu dengan doktor jika anda ingin mencuba rawatan alternatif kerana ianya mungkin boleh berinteraksi dengan ubat yang sedang diambil.

Antara rawatan alternatif yang mungkin dapat membentu mengurangkan sakit kepala termasuklah:

  • Butterbur
  • Coenzyme Q10
  • Feverfew
  • Magnesium
  • Vitamin B-12

Selain suplemen dan herba, antara rawatan alternatif lain yang boleh dicuba termasuklah urut dan akupuntur. Bincang dahulu dengan doktor anda sebelum mencuba rawatan-rawatan alternatif.

Pencegahan sakit kepala

Gaya hidup yang sihat dan tidur yang mencukupi boleh membantu mengurangkan episod sakit kepala. Selain itu, langkah-langkah pencegahan ini juga boleh dilakukan:

  • Mengelakkan pencetus makanan. Pencetus sakit kepala adalah berbeza-beza bagi setiap orang. Antara contoh makanan yang boleh mencetuskan sakit kepala termasuklah cheese, wine, cashew, bawang, coklat, daging diproses, beer, perasa makanan, produk tenusu, dan gandum.
  • Kurangkan pengambilan kafein. Meminum lebih daripada enam cawan kopi sehari boleh menyebabkan sakit kepala kronik akibat kesan tarikan apabila pengambilan dihentikan. Tetapkan pengambilan sebanyak dua ke tiga cawan sehari boleh membantu.
  • Dapatkan tidur yang cukup. Tidur yang tidak mencukup boleh mencetuskan sakit kepala. Tidur yang cukup dapat membantu anda bangun dengan lebih segar pada waktu pagi.
  • Lakukan teknik relaksasi. Mereka yang mengalami sakit kepala tekanan boleh mendapat manfaat dengan melakukan teknik-teknik relaksasi seperti terapi bayangan dan teknik pernafasan.
  • Kerap bersenam. Lakukan senaman sekurang-kurangnya 3 kali sehari selama 30 minit setiap sesi bagi mengurangkan stres dan tekanan.

Gaya hidup yang sihat dan menjaga kesihatan diri juga dapat membantu mencegah sakit kepala.

Langgan Newsletter Kami
Jom dapatkan notifikasi artikel-artikel terbaru kami terus ke email anda!
Laman web ini bertujuan untuk memberikan pengetahuan am sahaja dan tidak membuat sebarang nasihat perubatan individu. Jika anda mempunyai apa-apa simptom sila berjumpa doktor dengan kadar segera.
Exit mobile version