Kumpulan Ubat Penghalang Saluran Kalsium (CCB)

Kumpulan ini biasanya diberikan kepada golongan pesakit yang mempunyai masalah jantung, tekanan darah tinggi dan juga kepada golongan tua.

Kumpulan ini biasanya diberikan kepada golongan pesakit yang mempunyai masalah jantung, tekanan darah tinggi dan juga kepada golongan tua kerana ianya berkesan untuk menurunkan risiko strok (angin ahmar).

Ia juga berkesan untuk rawatan angina dan arythmia. Agen-agen dari kumpulan ini boleh digunakan secara bersndirian ataupun gabungan dengan kumpulan penghalang beta atau kumpulan penghalang penukaran enzim angiotensin

Fungsi CCB

Kumpulan Penghalang Saluran Kalsium bertindak dengan menghalang kemasukan kalsium ke dalam sel otot jantung dan juga sel otot di saluran darah.

Ini akan memberikan kesan kerehatan kepada  saluran darah disamping  meningkatkan bekalan darah dan oksigen ke jantung. Ini akan mengurangkan beban jantung dan seterusnya menurunkan tekanan darah.

Mekanisme tindakan ubat penghalang saluran kalsium

Senarai Ubat

Antara ubat-ubat dari kumpulan ini ialah:

  • Amlodipine
  • Nifedipine
  • Nicardipine
  • Diltiazem
  • Verapamil

Cara Pengambilan

Secara umumnya, anda dinasihatkan untuk mengambil ubat selepas makan bagi mengurangkan masalah ketidakselesaan perut. Sila rujuk maklumat pembungkusan untuk arahan yang lebih tepat.

Nama GenerikCara Pengambilan
Nifedipine Bersama atau tanpa makanan. Jauhi jus limau gedang (grapefruit).
AmlodipineBersama atau tanpa makanan.
Felodipine Ambil bersama makanan yang sedikit atau tanpa makanan.
Ubat Amlodipine

Penyimpanan ubat

Dinasihatkan ubat-ubatan disimpan di dalam sampul ubat asal dengan label arahan pengambilan dan cara makan yang jelas. Simpan pada suhu bilik dan sila rujuk maklumat pembungkusan untuk arahan suhu penyimpanan.

Kesan Sampingan

Kesan sampingan umum yang mungkin dihadapi ialah:

  • Sakit kepala
  • Flushing (muka menjadi merah)
  • Ruam
  • Edema Pulmonari
  • Sakit perut
  • Loya
  • Peningkatan denyutan jantung
  • Bengkak pergelangan kaki
  • Sembelit
  • Keletihan

Kesan sampingan spesifik

Nama GenerikKesan Sampingan
NifedipineSakit kepala, oedema (pembengkakan akibat pengumpulan cecair), sembelit, rasa tidak selesa.
AmlodipineOedema, sakit kepala, loya, letih, mengantuk, sakit perut.
FelodipineMuka merah, sakit kepala, berdebar, loya, letih, oedema pada anggota peripheral (tangan atau kaki).

Sila hubungi doktor atau ahli farmasi anda jika berlaku kesan seperti di atas

Kontraindikasi

Tidak boleh digunakan oleh wanita mengandung.

Print Friendly, PDF & Email
Langgan Newsletter Kami
Jom dapatkan notifikasi artikel-artikel terbaru kami terus ke email anda!
Laman web ini bertujuan untuk memberikan pengetahuan am sahaja dan tidak membuat sebarang nasihat perubatan individu. Jika anda mempunyai apa-apa simptom sila berjumpa doktor dengan kadar segera.