Penyakit Glaukoma – Punca, Tanda dan Rawatan

Glaukoma merupakan penyakit mata yang disebabkan oleh tekanan cecair yang terlalu tinggi di dalam bebola mata yang merosakkan sel retina dan serabut saraf.

Hampir 2% daripada mereka yang berusia melebihi 40 tahun mengidap penyakit glaukoma. Glaukoma merupakan salah satu sebab mereka menjadi buta selain daripada penyakit katarak. Di Malaysia dianggarkan satu daripada setiap tujuh orang buta disebabkan oleh glaukoma.

Glaukoma merupakan sejenis kerosakan mata yang disebabkan oleh tekanan cecair yang terlalu tinggi di dalam bebola mata. Tekanan yang tinggi ini akan merosakkan sel retina dan serabut saraf sehingga ruang penglihatan sekitar seseorang itu menjadi semakin sempit dan akhirnya akan terus menjadi buta.

Bagi mata glaukoma, tekanan cecair di dalam bebola mata meningkat kerana saluran cecair tersekat akibat kerosakan saraf.

Bagi mata sihat (normal) pula, pengaliran keluar-masuk cecair di dalam bola mata adalah seimbang.

Peningkatan tekanan punca glaukoma

Terdapat dua jenis glaukoma, iaitu:

  1. Glaukoma Akut
  2. Glaukoma Kronik

Glaukoma Akut 

Glaukoma akut menyerang secara tiba-tiba, mengurangkan daya penglihatan, menyebabkan mata merah serta kesakitan di dalam dan sekitar bola mata. Glaukoma akut memerlukan rawatan kecemasan. Rawatan awal boleh menyelamatkan penglihatan mereka yang mengidap Glaukoma akut.

Glaukoma Kronik

 Glaukoma kronik melarat secara perlahan-lahan tanpa rasa sakit.

Glaukoma kronik melarat secara perlahan-lahan tanpa rasa sakit atau kabur penglihatan. Pengidap glaukoma tidak menyedari yang mereka mempunyai masalah glaukoma kronik sehingga keadaan menjadi terlalu lewat untuk mendapatkan rawatan.

Tanda-tanda Glaukoma Kronik

Diantara tanda-tanda glaukoma kronik adalah ruang penglihatan yang semakin sempit. Penglihatan menjadi kabur dan rabun. Kesukaran menyesuaikan penglihatan dalam keadaan gelap (rabun ayam). Kerap menukar cermin mata kerana penglihatan masih tidak terang.

Beza penglihatan pesakit glaukoma

Rawatan

Apabila seseorang menunjukkan tanda-tanda glaukoma kronik, beliau perlu mendapatkan rawatan SEGERA. Rawatan awal boleh mencegah kehilangan penglihatan yang disebabkan oleh glaukoma kronik. Rawatan glaukoma kronik adalah mudah dan tidak merbahaya iaitu dengan:

  1. Ubat titisan mata
  2. Ubat makan (pil)
  3. Pembedahan

Ubat titis mata dan pil membantu mengurangkan tekanan dalam bola mata. Bentuk rawatan ini perlu diikuti dengan rapi dan mungkin sepanjang hayat.

Pembedahan diperlukan jika rawatan ubat titis mata dan pil gagal mengawal tekanan tinggi di dalam bola mata. Pembedahan akan melicinkan keluar masuk cecair dari bola mata.

Pembedahan glaukoma sedang dijalankan

Rawatan Susulan

Pengidap glaukoma kronik perlu mengikuti rawatan susulan yang rapi untuk menjalankan pemeriksaan-pemeriksaan berikut:

  • Ruang penglihatan
  • Daya penglihatan
  • Pemeriksaan pada bola mata.
  • Tekanan di dalam bola mata.

Pemeriksaan-pemeriksaan ini dijalankan pada setiap lawatan untuk menentukan jenis rawatan serta mengawal penyakit glaukoma kronik daripada melarat.

Di mana rawatan boleh didapati

Pemeriksaan mata dan rawatan untuk glaukoma kronik boleh di dapati di mana-mana klinik mata (oftalmologi) atau hospital kerajaan berhampiran. 

  • Pengesahan dan rawatan awal dapat menyelamatkan penglihatan anda.
  • Segeralah berjumpa doktor mata (ophtalmologis) jika anda mempunyai tanda-tanda glaukoma.
  • Periksalah mata anda setahun sekali jika keluarga anda mempunyai keturunan penyakit glaukoma.
  • Jalani pemeriksaan glaukoma jika anda berusia 40 tahun keatas.

Peringatan

  • Glaukoma menyerang anda secara perlahan-lahan tanpa disedari kehadirannya.
  • Jika tidak diberi rawatan awal, glaukoma boleh menyebabkan anda menjadi buta.
  • Jika anda disahkan mengidap glaukoma, pastikan anda mengikuti rawatan susulan dan nasihat doktor anda.

Print Friendly, PDF & Email
Langgan Newsletter Kami
Jom dapatkan notifikasi artikel-artikel terbaru kami terus ke email anda!
Laman web ini bertujuan untuk memberikan pengetahuan am sahaja dan tidak membuat sebarang nasihat perubatan individu. Jika anda mempunyai apa-apa simptom sila berjumpa doktor dengan kadar segera.