Sakit mata merupakan antara gejala yang kerap berlaku, namun jarang melibatkan punca yang serius. Kadangkala ianya akan hilang dengan sendiri tanpa apa-apa rawatan. Dalam perubatan, sakit mata juga dikenali sebagai oftalmalgia.
Bergantung kepada di mana kesakitan berlaku, sakit mata boleh dikelaskan kepada dua kategori:
- Sakit okular yang berlaku pada permukaan mata
- Sakit orbital yang berlaku di dalam bebola mata
Sakit mata yang berlaku pada permukaan mata mungkin terasa seperti gatal, terbakar atau pedih. Sakit pada permukaan mata selalunya disebabkan oleh kecederaan akibat objek luar, jangkitan, atau trauma. Selalunya sakit mata jenis ini boleh dirawat dengan mudah menggunakan ubat titis mata dan rehat yang cukup.
Sakit mata yang berlaku pada bahagian dalam mata pula mungkin terasa seperti dicucuk, ngilu, sebal, atau berdenyut. Sakit mata jenis ini biasanya memerlukan pemeriksaan dan rawatan lanjut.
Sakit mata yang berlaku bersekali dengan masalah penglihatan pula merupakan gejala penyakit yang lebih berbahaya. Dapatkan pemeriksaan segera jika kedua-dua gejala ini berlaku dengan serentak.
Punca sakit pada permukaan mata
Sebab berikut mungkin menjadi punca kepada sakit pada permukaan mata:
Objek luar
Punca utama sakit mata selalunya disebabkan terdapat bendasing pada permukaan mata. Tidak kira sama ada ianya habuk, bahan kosmetik atau bulu mata, kesemuanya boleh menyebabkan iritasi, kemerahan, mata berair dan juga sakit pada mata.
Konjunktivitis
Konjunktiva merupakan tisu yang melapisi bahagian mata yang terletak di permukaan dan juga bawah kelopak mata. Ianya boleh dijangkiti kuman dan akan menyebabkan mata mengalami keradangan. Antara puncanya adalah seperti jangkitan bakteria, virus ataupun alahan.
Sakit mata yang disebabkan konjunktivitis selalunya tidak teruk, dan keradangan tersebut boleh menyebabkan mata menjadi gatal, merah serta berair.
Iritasi kanta lekap
Mereka yang memakai kanta lekap sepanjang malam atau tidak mencuci kanta lekap dengan betul lebih mudah mendapat jangkitan serta keradangan pada mata.
Kornea melecet
Kornea merupakan permukaan jernih yang melapisi luar mata, dan mudah mendapat kecederaan. Jika kornea seseorang telah melecet, mereka akan merasakan seperti ada bendasing di dalam mata.
Walaubagaimanapun, rawatan dengan mengalihkan bendasing, dan mencuci bahagian mata yang terlibat selalunya tidak mengurangkan gejala tersebut apabila kornea telahpun melecet.
Kecederaan
Kecederaan pada mata boleh mengakibatkan sakit yang teruk. Kecederaan ini selalunya terjadi akibat pendedahan kepada bahan kimia seperti bahan peluntur atau cahaya yang sangat terang, seperti cahaya matahari.
Selain itu pekerjaan tertentu seperti melakukan kerja kimpalan juga boleh menyebabkan seseorang terdedah kepada kecederaan mata jika tidak memakai alat keselamatan.
Blepharitis
Blepharitis berlaku apabila kelenjar yang menghasilkan minyak pada kelopak mata dijangkiti kuman lalu mengalami keradangan. Ini juga boleh menyebabkan sakit mata.
Ketumbit (stye)
Jangkitan blepharitis boleh menyebabkan terhasilnya nodul atau bengkak pada kelopak mata. Ianya juga dikenali sebagai ketumbit (stye) atau chalazion. Ketumbit ini boleh menyebabkan kesakitan, terutamanya apabila disentuh. Chalazion pula selalunya tidak menyebabkan kesakitan.
Punca sakit pada bebola mata
Sakit di dalam bebola mata pula boleh disebabkan oleh punca-punca berikut:
Glaukoma
Glaukoma berlaku disebabkan peningkatan tekanan intraokular, iaitu tekanan di dalam bebola mata. Gejala lain yang boleh berlaku disebabkan glaukoma termasuklah mual, sakit kepala, dan hilang penglihatan.
Peningkatan tekanan intraokular yang berlaku secara tiba-tiba, yang dikenali sebagai glaukoma sudut tertutup akut, merupakan suatu keadaan kecemasan dan rawatan segera perlu diberikan sebelum ianya menyebabkan hilang penglihatan kekal.
Neuritis optik
Penyakit neuritis optik menyebabkan sakit mata yang diikuti dengan hilang penglihatan. Ini berlaku kerana saraf optik, iaitu saraf yang menghubungkan mata ke otak sedang mengalami keradangan.
Punca penyakit ini termasuklah masalah autoimun dan jangkitan bakteria atau virus yang boleh menyebabkan keradangan saraf optik.
Sinusitis atau resdung
Jangkitan pada sinus atau lebih dikenali sebagai resdung menyebabkan peningkatan tekanan di dalam ruangan sinus di belakang mata. Ianya boleh menyebabkan kesakitan pada sebelah atau kedua-dua belah mata.
Migrain
Sakit mata merupakan salah satu gejala yang boleh berlaku ketika serangan migrain.
Kecederaan
Kecederaan tercucuk pada mata, seperti ketika seseorang itu dipukul atau terlibat dalam kemalangan boleh menyebabkan sakit mata yang teruk.
Iritis
Keradangan pada iris, atau iritis juga boleh menyebabkan sakit pada bahagian dalam mata.
Sakit mata kecemasan
Jika anda mula mengalami hilang penglihatan di samping sakit mata, ini mungkin menandakan keadaan kecemasan. Gejala lain berkaitan mata yang memerlukan rawatan kecemasan termasuklah:
- sakit mata yang teruk
- sakit mata disebabkan terdedah kepada bahan kimia atau cahaya yang sangat terang
- sakit pada abdomen dan muntah yang berlaku bersekali dengan sakit mata
- sakit mata sehingga mata tidak boleh disentuh
- apa-apa perubahan pada penglihatan
Rawatan sakit mata
Rawatan sakit mata adalah bergantung kepada punca kesakitan. Antara rawatan yang kerap diberikan termasuklah:
Rawatan di rumah
Cara terbaik untuk merawat keadaan yang menyebabkan sakit mata adalah dengan merehatkan mata. Melihat skrin komputer atau televisyen terlalu lama boleh menyebabkan ketegangan pada mata dan otot di sekeliling mata, jadi doktor mungkin akan mencadangkan mata ditutup dan direhatkan untuk tempoh tertentu.
Cermin mata
Jika anda kerap menggunakan kanta lekap, berikan masa kepada kornea untuk sembuh dengan menggunakan cermin mata.
Tuaman panas
Doktor mungkin akan mencadangkan kepada pesakit blepharitis atau ketumbit untuk meletakkan tuaman panas menggunakan tuala lembab dan suam pada mata. Ini juga dapat membantu memulihkan semula kelenjar minyak atau folikel rambut yang tersumbat.
Bilasan
Jika terdapat objek luar atau bahan kimia masuk ke dalam mata, bilas dengan menggunakan air mengalir untuk membuang bahan tersebut daripada mata secepat mungkin.
Antibiotik
Ubat antibiotik jenis titis dan makan boleh digunakan untuk merawat jangkitan pada mata yang menyebabkan kesakitan seperti konjunktivitis dan kornea melecet.
Antihistamin
Ubat antihistamin jenis titis atau makan boleh membantu mengurangkan kesakitan mata yang disebabkan oleh alahan.
Ubat titis mata
Pesakit glaukoma mungkin perlu menggunakan ubat titis khas bagi mengurangkan tekanan di dalam bebola mata.
Kortikosteroid
Untuk jangkitan yang teruk, seperti neuritis optik dan uveitis anterior (iritis), doktor mungkin akan memberikan ubat kortikosteroid.
Ubat tahan sakit
Jika sakit sangat teruk dan mengganggu kehidupan harian, doktor mungkin akan membekalkan ubat tahan sakit yang lebih kuat bagi mengurangkan kesakitan sementara punca kesakitan sedang dirawat.
Pembedahan
Kadangkala pembedahan diperlukan bagi memperbaiki kerosakan yang disebabkan objek luar atau bahan kimia. Selain itu penyakit tertentu seperti glaukoma mungkin memerlukan pembedahan lazer bagi memulihkan semula aliran cecair pada mata.
Komplikasi jika tidak dirawat
Kebanyakan sakit mata selalunya hilang tanpa rawatan atau dengan rawatan ringan. Punca yang menyebabkan sakit mata jarang sekali menyebabkan komplikasi hilang penglihatan.
Namun kadangkala, terdapat punca sakit mata yang boleh menyebabkan komplikasi serius jika tidak menerima rawatan.
Sebagai contoh, glaukoma boleh menyebabkan sakit mata dan beberapa gejala lain yang jika tidak dirawat, boleh menyebabkan hilang penglihatan kekal.
Deria penglihatan merupakan aset yang penting dalam hidup anda. Jika anda mula mengalami sakit mata yang tiba-tiba dan tidak diketahui puncanya, segera berjumpa dengan doktor untuk pemeriksaan lanjut.
Pencegahan sakit mata
Pencegahan sakit mata bermula dengan melindungi mata anda. Berikut merupakan cara untuk mencegah sakit mata:
Memakai alat pelindung mata
Alat pelindung mata dapat mencegah kebanyakan punca sakit mata seperti tercalar atau terbakar. Anda boleh memakai cermin mata ketika melakukan aktiviti seperti bersukan, bersenam, memotong rumput atau bekerja dengan peralatan berbahaya.
Pekerja tapak binaan, pekerja kimpalan dan mereka yang bekerja dengan objek yang terbang, bahan kimia, atau alat kimpalan dinasihatkan untuk sentiasa memakai alat pelindung mata.
Berhati-hati menguruskan bahan kimia
Bahan kimia berbahaya dan menghakis seperti bahan pencuci, detergen dan racun serangga perlu dikendalikan dengan berhati-hati. Pakai alat pelindung mata dan pastikan ianya tidak memercik ke arah anda.
Berhati-hati bermain alat permainan
Elakkan memberi alat permainan yang boleh mencederakan mata kepada anak anda. Alat permainan dengan spring, yang boleh ditembak, pedang dan alat melantun adalah lebih berisiko untuk mencederakan mata.
Menjaga kebersihan kanta lekap
Bersihkan kanta lekap anda setiap hari. Kadangkala anda perlu memakai cermin mata bagi merehatkan mata anda. Jangan memakai kanta lekap terlalu lama dan dapatkan nasihat ahli optometris berkenaan produk yang anda sedang gunakan.
Tulis Komen